Halaman

20 May 2014

Ahmad Razif kekal jalankan portfolio MB, Exco terdahulu

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman kekal menjalankan tugas dari portfolio Menteri Besar terdahulu dan memangku tugas exco yang disandangnya sebelum ini.

Portfolio Menteri Besar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Alam Sekitar. Manakala tugas exco terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air yang disandang beliau sebelum dilantik sebagai Menteri Besar sejak 14 Mei lalu.


“Sekarang ini saya memangku dahulu tugas pengerusi jawatankuasa (exco) bawah menteri besar yang ada dan ditambah lagi exco yang saya pegang sebelum ini, jadi saya pangku kedua-duanyalah. Sementara sebelum kita putuskan apakah keputusan yang terbaik,” katanya di sidang media sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Terengganu 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong dan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Terengganu 2014, YB Mohd Mahdi Musa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri. Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin.

Ketika ditanya kemungkinan ada perubahan dan pertambahan exco baharu kerajaan negeri, Ahmad Razif menegaskan semua exco sedia ada akan bergerak seperti biasa dan kekal dengan jawatan masing-masing. 

“Exco yang satu lagi (Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air) belum kita putuskan dan itu bergantung kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia, Tuanku (Sultan Mizan Zainal Abidin),” katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif juga akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Umno untuk melantik sesiapa sahaja sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu selepas ini.

Katanya, sebagai ahli parti Umno, beliau yakin dengan kebijaksanaan Presiden parti, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak untuk menentukan pengerusi badan itu di peringkat negeri.

“Kita sebagai ahli parti yang setia, kita tiada masalah dan memulangkan keputusan itu secara bijaksana yang akan diputuskan oleh presiden parti dan saya tidak ada masalah dan kita seperti yang disebut tadi bukan ketua yang menjadi perkara mustahak bagi kita, yang lebih mustahak adalah bersama.

 “Tiada masalah, andai kata melatik sesiapa sahaja menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, hatta YB Rozi sendiri pun, maka kita akan bekerja bersama. Jadi ini kita perlukan perpaduan dalam saat-saat yang sebegini. Lebih-lebih lagi Terengganu sekarang ini sebagaimana kita sedia maklum dalam keadaan 17-15 dan komitmen saya kepada YAB Presiden adalah memastikan Pilihan Raya Umum Ke-14 ini akan lebih baik daripada yang sebelum ini,” katanya

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa calon yang sesuai mengisi jawatan itu, adalah Menteri Besar bagi negeri berkenaan supaya pentadbiran negeri dan kerja parti berjalan lancar.

Kenyataan itu susulan laporan sebuah kolum di akhbar tempatan semalam yang menyebut, Ahmad Shabery menjadi calon sesuai mengisi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, yang kosong ekoran peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said minggu lepas.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata menjadi kelaziman menteri besar juga memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.


No comments: