Halaman

14 May 2014

BAIK, TENANG, TANGKAS, MESRA DAN BERWIBAWA MENJAWAB SOALAN WARTAWAN DI HARI PERTAMA DI PEJABAT

Hari pertama yang penuh mesra...Dato' Haji Ahmad Razif memulakan hari pertama sebagai Menteri Besar Terengganu  di pejabatnya di Wisma Darul Iman dengan penuh yakin dan tenang. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Seorang yang ‘pantual’ atau tepat masa, YAB Dato’ Hj Ahmad Razif Abd Rahman tiba di pejabat Menteri Besar iaitu pejabat lama beliau di Tingkat Enam, Wisma Darul Iman tepat jam 7.45 pagi sebagaimana dijadualkan.

Dato' Haji Ahmad Razif memulakan tugas di hari pertama sebagai Menteri Besar dengan mengetip kad perakam waktu.

Berpakaian kemas ‘longsuit’ Dato’ Haji Ahmad Razif tiba ke pejabat dengan penuh yakin, segak tetapi mesra. Mengiringi beliau Dato’ Hj Mazlan Ngah, Setiausaha Kerajaan dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mat Razali Kassim.

 Selepas mengetik kad perakam waktu, doa dibacakan oleh Ustaz Kamaruddin Omar, Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar.

 Beliau kemudiannya mengadakan sidang akhbar khas di depan bilik pejabat lamanya itu yang dihadiri oleh lebih 50 orang wartawan dan jurufoto tempatan dan juga yang datang dari Kuala Lumpur.
Tenang menjawab pertanyaan wartawan.

Semoga mendapat hidayah...berdoa sebelum melangkah masuk pejabat.
Dato’ Haji Ahmad Razif dapat menjawab dengan baik, tenang, tangkas, mesra dan berwibawa setiap soalan yang diajukan oleh wartawan kepadanya. Pemerhati melihat akan kemampuan beliau berbicara dan menjawab soalan dengan penuh yakin, berhemah dan matang.

 Sejurus selepas itu beliau memasuki biliknya dan mengadakan perbincangan seketika dengan pegawai kanan kerajaan sebelum bergegas ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk ke Kuala Lumpur bersama rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Terengganu bagi menghadiri perjumpaan dengan Perdana Menteri , Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Kelihatan juga di hadapan pejabat lamanya itu beberapa rakyat datang, termasuk golongan tua dan muda meraikan beliau sambil bersalam dan berpelukan dengan Menteri Besar baru itu. Beliau memilih untuk memasuki pejabat lama sebagai pejabat sementaranya itu kerana banyak kenangan bermula di situ; menjalankan tugas sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sejak tahun 2008.

 

No comments: