Halaman

20 May 2014

Dedikasikan juara Sukma kepada bekas MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejayaan Terengganu merampas kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 nanti akan menjadi hadiah terbaik dan paling bermakna kepada bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata semua atlet perlu membuktikan kemampuan untuk merampas semula kejuaraan Sukma yang pernah dirangkul sebanyak empat kali sejak 2008 sebelum kecundang di tangan Selangor tahun lalu untuk muncul naib juara.


“Saya berharap semua atlet dan Kontinjen Terengganu mampu membuktikan penguasaan kita pada temasya Sukma nanti dan kejayaan kita mengulangi kejuaraan dan muncul johan keseluruhan pada kali ini akan menjadi hadiah terbaik kepada mantan Menteri Besar , Dato’ Sri Haji Ahmad Said.

“Ini sebagai tanda penghargaan serta terima kasih kepada beliau yang menyediakan pelbagai insentif serta kemudahan kepada atlet selama ini. Malah, legasi kelangsungan sukan ini akan kita teruskan,” katanya katanya di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Terengganu 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong dan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Terengganu 2014, YB Mohd Mahdi Musa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin. Ahmad Razif berkata, sebagaimana umum sedar, projek penyediaan inisiatif dan kemudahan Sukma yang memberi kesan kepad a kejayaan bidang itu sebelum ini, adalah idea dan ilham oleh bekas Menteri Besar berkenaan.

“Kita melihat Dato’ Seri Ahmad bersungguh-sungguh berkait dengan bidang sukan, pelajaran, pembangunan, pelancongan dan sebagainya, jadi tiada sebab untuk saya tidak meluluskan apa yang telah dilaksanakan oleh beliau.

“Maka sekarang ini , yang saya sebut awal-awal dahulu, bahawa apa sahaja yang memberi satu impak besar kepada negeri, memberi kebaikan untuk rakyat jadi perkara ini kita akan teruskan, insha-Allah,” katanya. 

Pada kali ini, Terengganu mensasarkan 53 emas, 45 perak dan 51 gangsa menerusi 307 acara atau 79.43 peratus daripada keseluruhan penawaran acara serta pingat yang membabitkan 392 atlet negeri sepanjang temasya pada 24 Mei hingga 4 Jun ini.

 Untuk rekod, kali pertama Terengganu muncul juara Sukma ketika menjadi tuan rumah temasya itu pada 2008 dengan meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan juara di Sukma Melaka (47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa), sebelum mencipta hatrik pada 2011 di Kuala Lumpur dengan pungutan 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa. Terengganu terus mendominasi kejuaraan pada Sukma Pahang 2012 (62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa).

Bagaimanapun Selangor yang memperolehi 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa memintas Terengganu (19 emas, 13 perak dan 13 gangsa) merampas kejuaraan pada Sukma Ke-16 Kuala Lumpur, tahun lalu.

No comments: