Halaman

05 May 2014

Enam JKKK Besut dapat insentif.

Terima...Rahim menyampaikan sumbangan makanan kepada seorang penduduk.
Oleh: Mohammad Ishak.

PEJABAT Daerah Besut (PDB) memilih enam daripada 178 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah itu untuk menerima insentif khas berupa bantuan kewangan kerana berjaya menggalakkan komuniti dalam program keindahan dan kebersihan kampung.

Pegawai Daerah, A Rahim Jusoh berkata insentif itu sebagai penghargaan kepada JKKK terbabit yang membantu kerajaan dalam usaha menjaga keindahan dan kebersihan kampung masing-masing.

Katanya, enam JKKK terbabit ialah Rumah Awam Seberang Jertih, Lay Out Tok Saboh, Bukit Payong, Kayu Kelat, Amer dan Gong Tanah Merah. Beliau berkata, semua kampung terbabit juga dipilih mewakili daerah itu ke Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Negeri Terengganu tahun ini. 

“Sumbangan RM5,000 daripada kerajaan negeri kepada JKKK terbabit diharap dapat meningkatkan lagi usaha jawatankuasa dan penduduk menjaga tahap kebersihan dan keindahan kampung,” katanya pada majlis penyerahan cek insentif kepada JKKK Rumah Awam Seberang Jertih di sini.

 Beliau berpuas hati dengan keadaan kebersihan dan keindahan kawasan yang mewakili enam JKKK terbabit dan pihak PDB akan sentiasa memberi perhatian dan insentif lain sebagai galakkan kepada mereka. 

Sempena majlis itu, 30 penduduk di perumahan berkenaan turut menerima sumbangan berbentuk makanan terutama golongan miskin dan uzur.

Beliau berharap, JKKK lain yang tidak disenaraikan sebagai penerima insentif berkenaan supaya berusaha menjaga kebersihan dan keindahan di kawasan masing-masing kerana ia sebahagian imej JKKK di daerah ini.