Halaman

27 May 2014

Exco lawat mangsa kebakaran di Seberang Jertih.

Terima Kasih...seorang mangsa kebakaran menerima sumbangan daripada Pehimi.
Oleh: Mohammad Ishak.

KERESAHAN hidup tiga keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Perumahan Awam Seberang Jertih,terubat apabila mereka dikunjungi pemimpin yang prihatin dengan nasib yang menimba keluarga terbabit.

Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Pembangunan Wanita,Keluarga Masyarakat Negeri, Muhamad Pehimi Yusof yang melawat mangsa melegakan sedikit perasaan selepas mereka kini hilang tempat tinggal selepas rumah kediaman musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira 10.58 pagi semalam tiga rumah teres terbabit musnah apabila kebakaran yang bermula dari salah sebuah rumah di situ merebak ke rumah berdekatan.

Bagaimanapun, kecekapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan berpulah rumah lain daripada hangus terbakar. Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, memberi jaminan kerajaan negeri akan memberi apa juga bantuan untuk memulihkan kehidupan mangsa yang terjejas dengan kejadian itu.

Ketika menemui mangsa Muhamad Pehimi berkata, bagi mereka yang mempunyai tanah sendiri kerajaan negeri sedia memberi bantuan untuk membina rumah kekal kepada mangsa terbabit.

Sempena lawatan itu beliau turut menyampaikan bantuan segera kepada ketiga-tiga mangsa bagi meringankan beban hidup mereka.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh yang diwakili oleh Pegawai Khas,Rozali Embong, turut menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran terbabit.