Halaman

09 May 2014

Kamariah gigih usaha Sos/ Jual 1000 dozen sebulan.

BANYAK...Kamariah bergambar di bengkel sosnya.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BERBEKALKAN modal hanya RM400 kira-kira 30 tahun lalu, seorang surirumah Kamariah Ahmad gigih mengusahakan produk sos dan perencah dan sehingga kini produk keluarannya berjenama Aqila sudah terkenal di seluruh Terengganu.

Memulakan perniagaan dengan mengeluarkan sos pencicah kini syarikat itu yang didaftar atas nama Kamariah Maju Enterprise mengeluarkan enam produk iaitu Perencah Ikan Bakar, Sos Pencicah, Sos Cili, Sos Tomata, Rempeyek dan Mini Popia.

Menyingkap kembali bagaimana beliau boleh terbabit dengan perniagaan itu, Kamariah yang dibantu suaminya seorang guru itu berkata, pada mulanya dia hanya membuat sos pencicah secara suka-suka dan bukan untuk perniagaan.

Laris...menunjukan Perencah Ikan Bakar.
“Selepas pulang ke kampung kerana suami bertukar dari Cukai, Kemaman ke Setiu manakala saya pula berhenti kerja sebagai kakitangan Jabatan Kesihatan ketika itu, saya mengisi masa lapang dengan membuat sos pencicah semata-mata untuk diberi kepada saudara mara dan rakan-rakan.

“Selama enam bulan saya membuat dan memberi percuma kepada mereka, iaitu kira-kira seribu botol, saya mengambil keputusan untuk menjualnya kerana banyak permintaan. Bermula dari situlah saya mula memberi sepenuh perhatian kepada perusahaan ini,” katanya yang tinggal di Kampung Pandan Jaya, Rhu 10, Setiu itu.

Katanya, pada peringkat permulaan, sambutan penjualan sosnya amat mengalakan dan jumlah keluarannya bertambah pada setiap bulan manakala pasarannya yang pada asal sekitar Setiu semakin luas ke beberapa daerah lain.

“Sambutanya amat mengalakan dan saya mampu menjual kira-kira 1,000 dozen dalam sebulan. Ketika itu tiada persaingan kerana tidak banyak yang membuat sos pencicah botol ini.

“Selepas 10 tahun menjual produk sos pencicah itu, saya mengambil keputusan untuk menambah lagi produk dengan membuat sos cili dan sos tomato dan paling terbaru ialah Perencah ikan bakar. Perencah ini sambutanya agak baik dan ramai yang mengunakannya,” katanya.

Ringkas...Kamariah di bilik pemerosesan sos.
Katanya, dalam sehari dia mampu mengeluarkan 70 dozen perencah ikan dan pasaranya ialah ke beberapa kedai di seluruh negeri Terengganu dan Kuantan, Pahang.

Kamariah berkata, sekiranya mempunyai modal yang cukup dia bercadang untuk membeli sebuah mesin baru yang lebih moden bagi menambah jumlah pengeluaran dan menjadikan jenama Aqila akan terkenal di seluruh Malaysia.

“Buat masa ini saya mahu menumpukan apa yang ada dan sekiranya ada modal yang cukup suatu hari ini saya akan membeli peralatan yang lebih moden untuk menghasilkan jumlah pengeluaran yang lebih banyak dan cepat,” katanya mengenai produk yang mendapat persijilan halal dengan moto syarikat Suci dan Bersih.