Halaman

04 May 2014

Kerajaan Negeri Luluskan Pembinaan Litar Lumba di Gong Badak

Kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan sebuah litar lumba berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak Kuala Terengganu sebagai usaha menangani kegiatan lumba
haram dalam kalangan mat rempit di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerja-kerja tapak akan dimulakan tahun ini dan beliau yakin dengan kewujudan litar lumba tersebut dapat mengurangkan masalah mat rempit yang sering mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya yang lain.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah kepada pemenang 
di majlis perasmian penutup Karnival Permotoran Terengganu 2014 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam. - Gambar oleh Zulkipli Putra.
Katanya, pembinaan litar itu juga sebagai medan mencungkil lebih ramai bakat baru dalam sukan permotoran, sekali gus melahirkan pelumba profesional dalam kalangan anak Terengganu yang mampu menaikkan nama negeri dan negara ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau ada bakat-bakat yang hebat, kerajaan negeri sentiasa bersedia membiayai mereka ini untuk menjadi pelumba profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup Karnival Permotoran Terengganu 2014 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan tender untuk membina tiga buah asrama sukan di kawasan Kompleks Sukan Gong Badak dalam masa terdekat di mana setiap satu boleh memuatkan 350 orang.

“Apabila siapnya asrama yang turut dilengkapi dengan kemudahan kafeteria, perkhidmatan dobi serta trek jogging ini, lebih 1000 atlet boleh manfaatkannya untuk mengikuti sesi latihan pada satu-satu masa,” ujarnya.


No comments: