Halaman

07 May 2014

Pembangunan Terengganu mengutamakan kepentingan rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Mohd. Johari Abu Bakar
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Mohd. Johari Abu Bakar menyifatkan kemajuan pembangunan negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said amat bertepatan dengan agenda dan pendekatan yang digunapakai iaitu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Menurut beliau, lebih enam tahun menerajui negeri ini terbukti kepimpinan Dato’ Seri Ahmad lebih mengutamakan kepentingan rakyat.

Katanya, apa jua pembangunan di negeri ini termasuk dari aspek sosial dan ekonomi dibuat berdasarkan pelan perancangan yang begitu teliti dan hala tuju pembangunan kerajaan negeri yang memenuhi keperluan rakyat.

 “Sebagai contoh, kerajaan negeri menyediakan pelbagai skim bantuan termasuk perumahan, persekolahan, dana raya dan sebagainya bagi meringankan beban kewangan rakyat yang kurang berkemampuan bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan seharian.

“Malah, kerajaan negeri juga sentiasa menitikberatkan kemudahan infrastruktur untuk dinikmati rakyat Terengganu,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Mohd. Johari yang juga merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkata, rakyat negeri ini sepatutnya bersyukur atas nikmat yang dikecapi dan berterima kasih kepada kepimpinan Dato’ Seri Ahmad.

Katanya, dari aspek ekonomi pula, pelbagai pelaburan melibatkan pelabur asing dibawa masuk ke negeri ini untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Antaranya, projek bernilai jutaan ringgit diwujudkan dalam pelbagai sektor termasuk perindustrian, pembuatan, pelancongan, minyak dan gas yang pastinya menjanjikan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu.

“Ditambah dengan pelbagai pembangunan komersial berimpak tinggi yang sedang rancak dijalankan, pastinya mampu memacu Kuala Terengganu terus maju ke hadapan selaras dengan peredaran zaman,” ujarnya.