Halaman

13 May 2014

Petronas anjur kem UPSR

Seramai 444 murid Tahun Enam dari 18 sekolah di enam negeri menyertai Kem Motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) anjuran Petronas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini sejak Jumaat lepas.

Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata program empat hari itu membabitkan murid-murid dari Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Melaka dan Johor.

Beliau berkata program itu dijalankan di bawah Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan para pelajar yang tinggal di kawasan operasi Petronas.

"Ini merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas dan murid yang dipilih datangnya dari keluarga kurang bernasib baik serta dikategorikan sebagai pelajar 'harapan lulus'," katanya pada sidang media selepas menutup Kem Motivasi itu, kelmarin.

 Melalui program itu, murid-murid dilatih dan dibimbing mengenai teknik menjawab soalan oleh perunding khas.

 PSIP merupakan program sepanjang tahun anjuran Petronas sejak 2002 yang melibatkan 3,000 pelajar setiap tahun bagi memfokuskan kepada tiga subjek utama iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.