Halaman

18 May 2014

Qari Terengganu johan tilawah

Qari Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali dan qariah Pahang, Hanimzah Jalaluddin dinobat johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-57 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan, malam tadi.

Dengan kemenangan berkenaan, masing-Masing menerima sebuah kereta Proton Preve 1.6 CVT Executive sumbangan Tabung Haji, wang tunai RM30,000, piala pusingan dan iringan, sijil penyertaan serta pakej ibadat haji.


Ahmad Tirmizi, 29, yang memperdengarkan bacaan surah al-Imran bermula ayat 177 memperoleh markah 91.67 peratus manakala Hanimzah, 32, (ayat 23 surah al-Israq) pula meraih 88.67 peratus.

Mereka akan mewakili negara dalam Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur bermula 16 hingga 21 Jun ini.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sementara itu, Tirmizi bersyukur kerana percubaan kali keempatnya itu membuahkan hasil dan bakal membawa nama negara ke pentas antarabangsa tidak lama lagi.

Anak jati Dungun itu mempersiapkan diri dengan bertawakal, ikhtiar serta bekerja keras membuat persiapan termasuk latihan hampir setahun lalu merupakan faktor kejayaannya.

Selain itu, Terengganu turut muncul johan keseluruhan dengan mengumpul 85.17 peratus.

Majlis tilawah tahun ini yang bertemakan ‘Wassatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' menyaksikan 30 peserta mengambil bahagian, iaitu masing-masing 14 qari dan 14 qariah serta dua johan menunggu.

Manakala pemarkahan dibarisi 15 hakim yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.


No comments: