Halaman

10 May 2014

Sasar Buka 60 KR1M Tahun Ini

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan menyasarkan untuk membuka 60 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara tahun ini sebagai usaha membantu rakyat berbelanja secara lebih berhemah.

 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Hasan Malek berkata, ia termasuk 31 di semenanjung, Sabah (12), Sarawak (16), dan Wilayah Persekutuan Labuan (1).

“Setakat ini, sudah ada 131 KR1M yang telah beroperasi di seluruh negara dengan menawarkan harga yang cukup murah iaitu 50 peratus lebih rendah berbanding kedai biasa.

“Awal tahun ini sahaja, enam KR1M telah dibuka iaitu di Parlimen Betong, Selangou, Limbang, dan Kanowit di Sarawak, Batu Pahat di Johor serta Pengkalan Chepa di Kelantan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan KR1M , Jalan Sultan Omar Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Menurut beliau, melalui penambahbaikan yang dilakukan dari semasa ke semasa sehingga kini sebanyak 378 jenis produk dijual di KR1M yang merangkumi produk makanan dan bukan makanan.

 “Malah, mulai 1 Mac lalu sebanyak 11 outlet di Lembah Kelang dipilih sebagai perintis kepada produk yang baru diperkenalkan KR1M iaitu jualan barangan basah,” katanya.

 Katanya, kerajaan serius dalam menangani kos sara hidup yang dialami rakyat berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar mahupun luar bandar dengan memberi pilihan kepada mereka berbelanja di kedai harga patut.

Di Terengganu sendiri katanya, tiga buah KR1M telah beroperasi iaitu di Parlimen Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun.

Hasan berkata, KR1M yang diilhamkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak melalui program tranformasi ini akan terus diperluaskan sehingga mencapai sekurang-kurangnya sebuah KR1M di setiap parlimen di seluruh negara termasuk negeri ini.

“Bagaimanapun jumlah berkenaan akan mengambil kira kekangan dihadapi kerajaan untuk mendapatkan lokasi sesuai dan beberapa faktor lain,” ujarnya.