Halaman

17 May 2014

Sultan Mizan terhibur aksi bola sepak kayu

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin terhibur dengan aksi bola sepak kayu ketika mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Keluarga Maidam.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Aksi spontan pemain memakai kain sarung sambil mengawal bola dalam perlawanan akhir bola sepak kayu menghiburkan dan mencuit hati Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Majlis Sambutan Hari Keluarga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.



Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri To’ Puan Halina Zakaria.

Hadir sama, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Salleh. Sebelum itu, baginda dan tetamu dihiburkan dengan persembahan silat oleh 50 pelajar dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin.

Kira-kira 2,000 peserta di kalangan pegawai dan kakitangan bersama keluarga masing-masing memeriahkan sambutan tahunan jabatan yang menyediakan pelbagai acara sukaneka dan aktiviti menarik.

Sementara itu, Mohd Rozali berkata keberangkatan Sultan Mizan dan Sultanah ke sambutan berkenaan merupakan yang pertama selepas penstrukturan semula pentadbiran institusi Islam di Terengganu yang diketuai beliau sejak 2012.

“Saya dan seluruh pegawai dan kakitangan Maidam amat bersyukur kerana tuanku sudi berangkat ke majlis kami, malah kelihatan baginda terhibur dan gembira dengan permainan yang diadakan tadi.

“Itulah hadiah untuk kita dan saya sendiri, di mana acara sukan ini (Hari keluarga) adalah kali pertama selepas penggabungan dan penyusuanan semula institusi agama negeri yang terdiri daripada empat jabatan, iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Maidam, Mahkamah Syariah (pentadbiran) dan Mufti (pentadbiran) berada bawah satu bumbung,” katanya.

 Mohd Rozali yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maidam berkata, penggabungan itu menyebabkan pertambahan kakitangan kepada 700 pegawai dan kakitangan berbanding sebelum ini hanya 260 orang.