Halaman

07 May 2014

Terengganu tuan rumah SOM 2014

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu bakal menjadi tuan rumah Special Olympics Malaysia (SOM) Ke-3 bermula 24 hingga 28 Mei ini.

Kejohanan yang bakal menghimpunkan kira-kira 1,200 atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran dari seluruh Malaysia.


Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Encik Zuhami Omar, berkata Terengganu bersedia menjadi tuan rumah kejohanan selepas temasya yang sepatutnya diadakan di Pahang tahun lalu ditangguhkan berikutan masalah jerebu.

 “Kita bersedia menerima kehadiran atlet OKU dari seluruh negeri berkampung di Terengganu pada kejohanan lima hari itu nanti dengan memperincikan persiapan teknikal dan kemudahan yang sepatutnya menerusi pembentukan 13 jawatankuasa khas kejohanan.

“Selain menyertai kejohanan, kita berharap atlet dan pegawai dapat memanfaatkan tempoh masa menikmati keindahan negeri Terengganu termasuk melawat lokasi menarik sekitar negeri,” katanya ketika menyampaikan taklimat kejohanan di mesyuarat pelaksanaan SOM di Wisma Darul Iman, semalam.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Haji Zulkiply Ramli.

Dalam pada itu, majlis perasmian kejohanan berkenaan dijangka akan disempurnakan Menteri Kesihatan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, di Stadium Negeri, pada 25 Mei (Ahad) jam 8 malam. 

Majlis makan malam dan penutup kejohanan dijangka akan dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 27 Mei (Selasa) jam 8 malam.

Kejohanan akan mempertandingkan enam acara, iaitu bola sepak, bocce, olahraga, boling, renang, ekuestrian serta menawarkan 820 pingat melibatkan 284 pingat emas, 268 perak dan 268 gangsa.


No comments: