Halaman

22 May 2014

UCAPAN MENTERI BESAR, DATO' HJ AHMAD RAZIF ABD RAHMAN DI MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2004


Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, dapat kita bersama-sama di dalam majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang negeri 2014.
Majlis ini adalah bagi meraikan kakitangan awam yang telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan di dalam perkhidmatan dan menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

 Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Ucapan tahniah saya kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2014 yang mana 50 orang kakitangan awam negeri telah di pilih berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang ditetapkan. Khidmat cemerlang yang ditunjukkan ini amatlah dihargai oleh kepimpinan negeri. Semoga segala amalan baik dan keikhlasan tuan puan mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT.

Saya percaya usaha murni Tuan Puan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan agar rakyat boleh menikmati kehidupan yang lebih sejahtera hasil segala perancangan kerajaan dan tindakan yang di ambil oleh Tuan puan selaku pelaksana dalam sistem penyampaian Kerajaan. 

Sabda Rasulullah yang bermaksud :
“BERIKAN KEMUDAHAN (KEPADA ORANG) DAN JANGAN MENYUSAHKAN MEREKA, BERIKAN KHABAR GEMBIRA DAN JANGANLAH MELAKUKAN SESUATU YANG MENYEBABKAN ORANG MENJAUHKAN DIRI DARI KAMU”
-       Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Kerajaan Negeri telah melaksanakan pembaharuan untuk meningkatkan kualiti pentadbiran, sama ada menerusi kursus dan latihan, pendedahan kepada skim dan sistem penyampaian yang terkini serta pergerakan dalaman yang bertujuan untuk memastikan seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu memiliki tenaga kerja berpengalaman dan minda berwawasan yang boleh mencorak kehidupan rakyat ke arah yang lebih cemerlang.

Kekuatan tenaga kerja yang boleh mengadaptasi kepada persekitaran yang berubah akan mencorakkan sebuah pentadbiran negeri yang semakin dinamik. Perubahan ini dapat dilihat sendiri oleh warga kerja dan dirasai oleh rakyat yang dahagakan peluang untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang di Hormati

Kita selaku penjawat awam perlu melihat skop tugas bukan hanya di pejabat semata-mata. Setiap penjawat awam perlu melihat diri sebagai orang yang akan menyelesaikan masalah dan memahami sedalam-dalamnya kehendak rakyat. Malah pegawai Kerajaan juga perlu turun padang berdamping dengan rakyat.

Keakraban tuan puan dengan rakyat serta keupayaan memperbaiki mutu perkhidmatan kepada rakyat merupakan KPI  atau “key performance Indicator”. Kepuasan hati rakyat adalah kayu pengukur yang sebenar dan bukannya kertas perancangan dan hasil yang di perolehi semata-mata.
  Tuan-tuan juga adalah pemimpin. Pegawai Daerah, ketua jabatan malah pegawai-pegawai rendah sekalipun perlu mendampingi rakyat. Segala maklumat dan tindakan di atas keluh kesah dan denyut nadi rakyat menjadi kunci kepada kepuasan hati rakyat.

Dalam usaha kita ke arah transformasi negara, para hadirin sekalian diingatkan sekali lagi bahawa perkhidmatan awam merupakan komponen penting dan penghubung dalam menterjemahkan wawasan Kerajaan kepada program-program yang boleh dilaksanakan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Setiap tugas yang diberikan merupakan satu amanah dan yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Selaku penjawat awam, kita mempunyai peranan yang sangat besar dalam memastikan setiap dasar dan agenda nasional direalisasikan. Perasaan tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap tugas masing-masing perlu wujud. Harapan ikhlas saya ialah supaya wujud kerjasama dan komitmen dari semua warga kerja Negeri Terengganu dalam perjalanan kita ke arah wawasan yang sama.

Kerajaan sentiasa menghargai pengorbanan dan usaha penjawat awam dalam meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan. Malah, insentif diwujudkan sebagai satu bentuk penghargaan kepada pegawai dan kakitangan untuk terus memberikan sepenuh perhatian dan daya usaha ke arah mempertingkatkan mutu kerja yang berkualiti tinggi.
Penganugerahan APC ini bukan hanya sebagai dorongan dan pengiktirafan kepada anggota yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan atau telah menghasilkan prestasi kerja cemerlang semata-mata. Bahkan dalam skop yang lebih luas, APC merupakan langkah ke arah membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan, khususnya di Terengganu ini.

Kesungguhan dan komitmen tinggi membawa kepada kecemerlangan perkhidmatan. Kecemerlangan ini juga kita jadikan sebagai pengukur bahawa perkhidmatan awam telah berjaya menunaikan amanah dan tanggungjawabnya secara pro-aktif dan berkesan dalam menjayakan proses transformasi negara.

Selaku penjawat awam, kita tidak boleh kekal selesa pada sesuatu tahap pencapaian. Kita perlu berhadapan dan menangani perubahan persekitaran. Kita perlu bersedia, berfikiran terbuka untuk melakukan anjakan paradigma yang selari dengan perubahan persekitaran yang terus berlaku. Ekspektasi pelanggan atau rakyat terhadap perkhidmatan awam semakin hari semakin tinggi dan ini sudah tentunya memerlukan kita membuat pembaharuan yang berterusan supaya kita sentiasa responsif, relevan, cekap, cepat dan berkesan dalam memenuhi permintaan dan harapan rakyat. 

Saya menyarankan agar para hadirin sekalian menggunakan dengan sebaik mungkin tempoh masa yang diberikan, sama ada di peringkat pengurusan mahupun di peringkat kumpulan pelaksana, untuk memberikan sepenuh komitmen terhadap tugas. Masa yang kita ada tidak panjang dan kadangkala terlalu singkat. Terlalu banyak yang perlu kita lakukan bagi memakmurkan Negeri Terengganu dan menjayakan Terengganu maju menjelang 2020.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Saya amat berharap sokongan dan kerjasama oleh seluruh penjawat awam Terengganu untuk berkerja bersama-sama  sebagai satu pasukan demi membangunkan Negeri ini dan untuk rakyat negeri ini.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014. Semoga segala kerja keras dan sumbangan Tuan Puan di berkati oleh Allah Subhanahua Taala.
Sekian, Wabillahitaufiq walhidayah
Wassallamualikum warahmatullahi wabarakatuh.









No comments: