Halaman

11 June 2014

10,000 dijangka hadir majlis pelancaran Jom Bertani Peringkat Kebangsaan, esok


Bersedia...persiapan tempat majlis perasmian Jom Bertani Peringkat Kebangsaan berjalan lancar. 
Oleh: Mohammad Ishak.  

KIRA-KIRA 10,000 penduduk daerah Besut dijangka menghadiri Majlis Pelancaran “Jom Bertani Peringkat Kebangsaan” yang akan berlangsung di Tapak Pasar Tani Harian,Kampung Nyior Tujuh dekat Jertih, esok.

Majlis yang akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin itu, akan memberi peluang kepada penduduk daerah itu khususnya golongan petani mengetahui pelbagai aktiviti pertanian Negara.

Antara pemimpin yang akan hadir pada pelancaran itu ialah YAB Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaacob dan Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut.

Persiapan terakhir menjelang program esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani,Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Nawi Mohamad berkata sempena pelancaran program itu pelbagai acara menarik diadakan di tapak perasmian. 

Katanya,pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai pameran di gerai yang disediakan oleh pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

Menurutnya, Timbalan Menteri dalam rangka lawatan ke daerah Besut, sebelum itu akan melawat perkampungan nelayan Kuala Besut dan mengadakan sarapan pagi bersama pemimpin dan nelayan tempatan.

Tinjauan ke tapak pelancaran hari ini mendapati, kerja-kerja akhir rancak dijalankan oleh pihak terbabit bagi menjadikan penganjuran program berkenaan esok dapat berjalan dengan baik dan lancar.


No comments: