Halaman

06 June 2014

Anggota trafik patah bahu dirempuh penunggang motosikal.

Mohamad Radhi (kiri) dikunjungi OCPD Setiu dan anggota trafik di rumahnya di kuarters Polis IPD, malam tadi.
SEORANG anggota Polis Trafik berpangkat lans koperal nyaris maut apabila dia dirempuh seorang penunggang motosikal yang melakukan aksi ‘spider’ (meniarap) di atas motosikal yang ditonggangnya ketika membuat satu sekatan jalan raya di Kampung Nyatoh, Permaisuri, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, L/K Mohamad Radhi Somiran , bersama dua lagi anggota trafik dari IPD Setiu menjalankan satu operasi dengan membuat sekatan jalan raya di Kampung Nyatoh, tiba-tiba sebuah motosikal dari arah Kuala Terengganu ke Kampung Raja melalui jalan pantai meluru ke arahnya dan terus merempuh anggota itu.

Radhi...patah tangan dan bahu.
"Semasa saya cuba menahan dengan mengibar bendera supaya dia memberhentikan motosikalnya, dia sedang meniarap di atas motosikal bersama dua lagi motosikal.

"Sebuah daripada motosikal itu memecut laju dan langgar kearah saya, ” kata Radhi yang sudah empat tahun bertugas di IPD Setiu itu.

Akibat kemalangan itu, anggota trafik yang berasal dari Johor itu, mengalami patah tangan kiri, pergelangan tangan kiri, bahu kiri serta mengalami beberapa luka pada bahagian muka dan badan.

Beliau segera di bawa ke Hospital Setiu oleh rakan setugasnya untuk mendapat rawatan dan dibenarkan pulang malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abdul Rahman Raja Mohamed ketika ditemui di rumah mangsa selepas mendapat rawatan di HS malam tadi, mengesahkan kejadian dan beliau berkata, mangsa dilanggar oleh seorang pemuda berusia lingkungan awal 20-an.

“Motosikal yang merempuh mangsa itu dalam perjalanan dari Kuantan ke kampungnya di Besut bersama dua lagi rakanya yang menunggang motosikal.

"Anggota terbabit telah menjalankan tugas mengikut peraturan yang betul dan penunggang yang kini mendapat rawatan di Hospital Setiu akan ditahan untuk siasatan lanjut” katanya.
Seorang wartawan TV (kiri) sedang menemuramah Mohd. Radhi.

  

No comments: