Halaman

24 June 2014

Hadiah Ramadan: Mangsa kebakaran dapat rumah baru.

Shukri dan ahli keluarga gembira ketika menerima replika kunci rumah mereka daripada Mahadi bersama Mohd Hamdan dan Md Salleh.
Oleh: Mohammad Ishak.

 “Syukur Alhamdulilah, selepas hampir setahun tinggal di rumah sewa akhirnya hari ini saya mendapat sebuah rumah baru untuk didiami sekeluarga,” kata Mohd Shukri Mohamad, 37, dari Kampung Kubang Depu, dekat Jertih.

Mohd Shukri bekas pengawal keselamatan hilang tempat tinggal lima hari sebelum menyambut Aidilfitri tahun lalu apabila rumah kediamannya musnah dalam kebakaran .

Beliau gembira kerana Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi memberi peluang keluarganya tinggal di rumah sendiri selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu berjaya menyiapkan rumah baru.

Shukri...bersyukur.
Majlis penyerahan kunci rumah berkenaan dilakukan oleh Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN Hulu Besut, Mahadi Hassan yang mewakili Ahli Exco Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut.

Hadir sama Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Salleh Sarbini. Rumah berharga RM37,000 dibina oleh anggota bomba dan mengambil masa dua bulan untuk disiapkan sebelum diserahkan kepada mangsa kebakaran berkenaan.

Mohamad Hamdan berkata, rumah itu ialah yang pertama dibina di negeri Terengganu menerusi Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ke 7 (NBOS7) bagi membantu mangsa kebakaran yang menghadapi masalah untuk membina rumah sendiri akibat kemiskinan.

Pada tahun ini,katanya, 30 projek rumah seumpama itu akan dibina di seluruh Negara membabitkan kos RM1.26 juta yang dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Shukri dan keluarga bergambar kenangan di dalam rumah mereka.