Halaman

12 June 2014

Kerajaan Negeri akan pertingkatkan ekonomi nelayan.

Oleh: Aminudin Ismail.

KERAJAAN negeri akan membantu mempertingkatkan ekonomi nelayan dengan membuka sebuah organisasi berkonsepkan Felda dengan memberi pelbagai kemudahan termasuklah rumah dan projek berasaskan akuakultur.


Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, dengan adanya program sedemikian secara tidak langsung akan mempertingkat taraf hidup golongan nelayan.

“Kita akan fikirkan, kita akan buat kajian apa yang kita akan laksanakan kepada nelayan kerana nelayan ini mereka tidak boleh, kehidupan mereka jauh daripada laut.

“Kalau perlu kita akan adakan konsep Felda, untuk kita laksanakan kepada nelayan dan kita akan lihat balik dan saya harap YB Nawi (Exco Pertanian) dapat memikirkan juga untuk nelayan-nelayan Terengganu terutamanya sebagai ‘rule model’ dengan memilih mana-mana tempat untuk kita laksanakan sebagaimana Felda laksanakan.



“Jika felda buat ‘Land Felda’, apa salahnya kita akan buat ‘Sea Felda’. ‘Sea felda’ ini kita tak payah bagi tanah dan kalau bagi tanahpun hanyalah tempat tinggal sahaja.

Ahmad Razif berkata, beliau berharap supaya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat membantu bagi menjayakan progam itu.

“Yang pasti apa yang kita akan laksanakan ini adalah untuk kebaikan rakyat,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran “Jom Bertani Peringkat Kebangsaan” di Kampung Nyiur Tujuh, Besut , hari ini.

Sementara itu, Abdul Razif berkata, pihak kerajaan negeri sedia memberi kerjasama untuk menjayakan program ‘Jom Bertani’ yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

“Sebelum ini memang, kerajaan negeri Terengganu sudah banyak menjalankan program berkaitan dengan pertanian kerana yang pasti pertanian ini adalah warisan generasi kita yang terdahulu.

“Jadi kerajaan negeri tidak ada masalah untuk membantu menjayakan program ini samada dalam bentuk kewangan dan apa jua bentuk bantuan bagi menjayakan program Jom Bertani ini,” katanya.

 

No comments: