Halaman

21 June 2014

Kesihatan Besut lancar Kempen Bulan Kesedaran Denggi



Orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan.
Oleh: Mohammad Ishak.

JUMLAH kes denggi yang dilaporkan berlaku di daerah Besut yang semakin meningkat memerlukan kerjasama orang ramai untuk memerangi wabak berkenaan daripada terus merebak dikalangan orang awam.

Kempen Bulan Kesedaran Denggi Peringkat Daerah Besut yang dilancarkan hari ini sebahagian daripada usaha Pejabat Kesihatan Daerah itu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya demam denggi.

Pelancaran yang dilakukan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh yang berlangsung di Tapak Medan Selera Bandar Jertih, memberi impak besar kepada penyertaan penduduk dan komuniti setempat terhadap kempen berkenaan.

Katanya, daerah itu menduduki carta tempat kedua jumlah kes demam denggi tertinggi yang dilaporkan selepas Kemaman, memerlukan perhatian semua pihak untuk berusaha membasminya.

Sempena pelancaran itu pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuklah senamrobik, gotong royong,pertandingan mewarna, ceramah denggi, kuiz, pamerah, dan pemeriksaan kesihatan percuma. 

Menurutnya, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini 22 kes demam denggi dilaporkan di seluruh daerah itu, tetapi sehingga ini tiada kes kematian dicatatkan.

“Oleh itu orang ramai perlu meningkatkan tahap kesedaran dengan menjaga kebersihan di persekitaran kediaman masing-masing bagi mengelak nyamuk membiak,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan bukan terserah kepada pihak berkuasa tempatan sahaja, sebaliknya orang ramai juga patut menyedari ia satu tanggungjawab bersama.