Halaman

28 June 2014

Pencarian Hidayah bersama kumpulan Rabbani di Besut meriah.

Kumpulan Rabbani.
Oleh: Mohammad Ishak. 

MENJELANG Ramadan esok masyarakat Islam di daerah Besut berpeluang mendekati kumpulan nasyid tersohor Rabbani yang mengadakan persembahan berbentuk pencarian hidayah dengan menyanyikan lagu-lagu dakwah sambil menyampaikan motivasi.

Program anjuran Empower ECER Besut dengan kerjasama Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM) berlangsung sepetang di perkarangan pejabat ECER Daerah Besut, Kampung Raja.

Mohd Mahdi dan orang ramai bergambar bersama Rabbani.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa merasmikan program yang diadakan bertujuan menyampaikan mesej keagamaan menerusi nasyid dan motivasi bersesuaian dengan kehadiran Ramadan esok.

Kira-kira 200 peserta di bawah seliaan Empower ECER Besut turut hadir memeriahkan program yang julung kali diadakan bagi menyambut Ramadan. 

Program berbentuk keagamaan dan kerohanian itu juga bagi memberi peluang peserta Empower ECER daerah itu untuk berkenalan dengan kumpulan nasyid berkenaan selain mendengar motivasi yang disampaikan oleh ketua kumpulan Rabbani.

Mohd Mahdi, ketika merasmikan program itu memuji usaha yang dilakukan pihak penganjur yang berjaya mengadakan program keagamaan bersama kumpulan nasyid terkenal itu.

“Menerusi lagu-lagu nasyid pendengar tidak lalai sebaliknya senikata yang banyak memuji kebesaran Allah membuatkan pendengar berasa syahdu dan ada kalanya sedih,” katanya.
Antara hadirin yang hadir.