Halaman

12 June 2014

RM5 juta jayakan "Jom Bertani" peringkat kebangsaan.

Oleh: Aminudin Ismail.

KERAJAAN memperuntukan sebanyak RM5 juta untuk menjayakan program "Jom Bertani" peringkat kebangsaan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Nyiur Tujuh, Besut, hari ini.



Muhyiddin dalam ucapanya berkata, beliau mahu penduduk memanfaatkan setiap tanah yang ada dengan mengusahakan tanaman ataupun ternakan kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari luar.

"Kita mahu membangkitkan kesedaran bahawa tanah yang kerajaan sediakan atau tanah yang kita miliki itu, kalau kita gunakan, masalah tidak cukup bekalan tidak akan berbangkit.

"Apa lagi dengan bantuan daripada kerajaan untuk membuat program ini, lima juta kerajaan beri kepada seluruh negara dan sebab itu kita boleh bantu bagi benih, anak ikan, bagi anak ayam dan lain-lain. Kita bagi 'free', tak ada kerajaan yang buat macam ini.

"Oleh itu penting program 'Jom Tani" ini mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dengan memberi tanah (milik sementara) manakala swasta juga perlu membantu (usaha kerajaan ini)," katanya.

Muhyiddin juga berkata, sekiranya hasil tanaman itu melebihi daripada keperluan, peserta program boleh menjual terus di pasar tani tanpa dikenakan sebarang bayaran sewa tempat.

Dalam ucapannya itu juga, Muhyiddin mengistiharkan bahawa tapak pelancaran "Jom Bertani" di Kampung Nyiur Tujuh itu akan dijadikan Tapak Pasar Tani Kekal yang pertama dengan peruntukan sebanyak RM2 juta disediakan.

Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pendidikan II, Dato' Seri Idris Jusoh.

Sementara itu, seramai kira-kira 5,000 hadir pada majlis pelancaran "Jom Bertani" itu. Lebih 20 gerai pamiran dan jualan disediakan kepada orang ramai.






No comments: