Halaman

12 June 2014

Saman Malaysiakini: Tindakan PM Wajar- Muhyiddin.

Muhyiddin...hak PM.
TINDAKAN Perdana Menteri memfailkan saman terhadap portal berita MalaysiaKini adalah wajar dan tidak bertentangan dengan hak sesiapa untuk mencari kebenaran, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, langkah itu adalah hak Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menuntut keadilan di mahkamah sekiranya satu pihak merasakan seseorang itu telah dianiaya dan menyifatkan agak luar biasa apabila Majlis Peguam melihat tindakan tersebut sebagai melanggar hak asasi manusia.

"Kita sedia maklum di negara ini media ada kebebasan tetapi dalam masa sama wujud batas undang-undang, kuasa-kuasa tertentu yang tidak boleh dilanggar, lagi-lagi jika ia membabitkan soal fitnah atau perkara yang boleh memalukan.

"Apatah lagi dalam hal ini, ia melibatkan Perdana Menteri khususnya kerajaan maka itu merupakan hak beliau untuk bertindak bagi membetulkan keadaan menerusi proses perundangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Bertani peringkat Kebangsaan di Kampung Nyiur Tujuh, Jerteh, Besut.

Pada 30 Mei lalu, Najib dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman terhadap Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel yang berunsur fitnah pada Mei lalu. Najib selaku plaintif kedua mengemukakan saman tersebut di Mahkamah Tinggi di sini atas kapasiti peribadi beliau manakala Ab Rauf sebagai plaintif pertama bertindak bagi pihak UMNO.

Muhyiddin berkata, Majlis Peguam dan portal berita tersebut harus berlaku adil dalam usaha mengeluarkan kenyataan serta memberikan contoh melalui kes saman pemimpin tertinggi Singapura.

"Kalau berlaku di negara lain macam Singapura, Perdana Menteri Singapura mengambil tindakan (saman), tiada pula pihak Majlis Peguam Singapura dari segi menyatakan itu melanggar hak asasi manusia dan kebebasan media.

"Kenapa kalau di Malaysia, dia (Majlis Peguam) beri nasihat suruh Perdana Menteri (menggesa batalkan saman). Kalau dah melampaui batas, itu adalah hak kita untuk bertindak untuk mendapat suatu keadilan," tegasnya.

 

No comments: