Halaman

27 June 2014

Usaha bangunkan Air Terjun Cemerong akan diteruskan- Mohd Jidin.

Mohd Jidin di Setiu, semalam.
Oleh: Aminudin Ismail. 

KERAJAAN negeri akan meneruskan usaha membangunkan kawasan Air Terjun Cemerong , di Bukit Besi menjadi satu destinasi pelancongan terkemuka di negara ini dengan membina beberapa infrastruktur baru bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan peranginan terbabit.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata melalui lawatan Exco dan Menteri Besar ke Bukit Besi termasuklah kawasan air terjun itu, tiga hari lalu, bersetuju untuk membina beberapa kemudahan baru di situ.

“Kita akan meneruskan usaha membangunkan kawasan air terjun iaitu dengan pelbagai kemudahan termasuklah wakaf rehat, pembinaan jalan yang lebih selesa ke tempat itu, kawasan reakrasi, tandas dan jambatan gantung.

“Kita juga akan menyediakan satu kawasan pendaratan helikopter. Kita juga akan mempastikan kawasan hijau di situ dikekalkan,” katanya.

Mohd Jidin berkata, air terjun Cemerong adalah sebuah tempat yang begitu menarik untuk dikunjungi kerana ia mempunyai air terjun yang tinggi iaitu yang tertinggi di Asia Tenggara dan anak sungainya mempunyai air yang jernih dan pasir yang menarik.

“Selain itu, kawasan itu juga mempunyai batu-batu yang besar dan kecil. Kemudian kita akan mewujudkan aktiviti ‘rock climbing’ di tempat itu. Kita akan menguji batu itu terlebih dahulu samada sesuai atau tidak.

“Jika ini dapat dilakukan tentunya ia akan menjadi satu daya tarikan baru pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi air terjun itu,” katanya kepada media di Bandar Permaisuri, semalam.

Menurutnya, pembinaan infrastruktur baru itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat melalui peruntukan kerajaan negeri dan pusat dan beliau juga mengharapkan dengan siap sepenuhnya projek itu, Air Terjun Cemerong akan menjadi antara satu destinasi pelancong terkenal di Malaysia.