Halaman

17 June 2014

Zawawie, anak Terengganu berjaya di Bandar Kajang.

VISI A milik Zawawie yang terletak di tengah bandar Kajang.
Oleh: Aminudin Ismail.

BERMULA dengan hanya 10 pelajar pada 1994, Zawawie Jaafar bersama isterinya, Muntaz Bee Abdul Aziz gigih mengusahakan sebuah kelas tuisyen di rumah selama beberapa tahun sebelum mempunyai sebuah pusat tuisyen sendiri di tengah-tengah bandar Kajang yang kini mempunyai kira-kira seramai 400 pelajar.

Zawawi yang berasal dari Kampung Mak Cili, Kemaman mula berhijrah ke Kajang pada 1987 dengan bekerja sebagai Pegawai Penjara Kajang dan pada masa sama beliau membantu isterinya mengusahakan kelas tuisyen apabila habis waktu bekerja.

Zawawie...gigih usaha pusat tuisyen.
“Isteri saya seorang guru, dia memang berminat untuk membuka kelas tuisyen ketika dia masih menuntut lagi. Pada mulanya, saya hanya membantu mentadbir kelas tuisyen apabila habis waktu bekerja dan apabila pelajar semakin ramai saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuh masa pada pusat tuisyen,” kata Zawawie.

 Dia yang berhenti kerja pada 2008 itu, berkata, pada awalnya agak sukar untuk beliau bersaing dengan pusat tuisyen yang banyak di sekitar Bandar Kajang tetapi berkat keazamannya yang tinggi akhirnya Zawawi berjaya dalam bidang yang diceburinya itu.

Pusat tuisyennya yang diberi nama VISI A semakin dikenali ramai di Bandar Kajang dan mampu bersaing dengan beberapa pusat tuisyen ternama di Bandar itu.

“Bandar Kajang ini tidak ramai pelajar Melayu dan kebanyakannya Cina dan India tetapi selepas beberapa lama beroperasi, pusat tuisyen saya diberi nama Visi A, akhirnya mendapat tempat di kalangan bangsa Cina dan India di samping beberapa pelajar Melayu.

“Kini saya mempunyai kira-kira 400 pelajar yang terdiri daripada pelajar dari empat buah sekolah menengah sekitar Kajang ini. Manakala guru pula seramai 32 orang yang bertugas mengikut jadual,” katanya yang bersaing dengan 13 pusat tuisyen lain.

Sebagai seorang yang meminati bidang pendidikan, Zawawie yang mempunyai tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan itu berhasrat mahu membantu pelajar-pelajar di negeri kelahirannya suatu hari ini.

“Buat masa ini saya mahu menumpukan pusat tuisyen ini kerana kami sekeluarga menetap di sini tetapi jika mempunyai modal saya juga berhasrat mahu membuka cawangan pusat tuisyen di Chukai, Kemaman atau di Kuala Terengganu suatu hari ini nanti bagi membantu pelajar untuk lebih berjaya dalam peperiksaan terutamanya UPSR dan SPM,” katanya yang banyak membantu kempen jentera UMNO Terengganu dalam pilihanraya Kajang tidak lama dulu.

 

No comments: