Halaman

03 July 2014

'Bikers' Besut berbakti di rumah PPRT.

'Bikers' bergambar kenangan bersama penduduk.
Oleh: Mohammad Ishak.

RAMADAN memberi banyak keinsafan kepada umat Islam untuk meningkatkan amalan harian selain menjalankan aktiviti yang dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Selain beribadah di masjid dan surau ada pihak yang melakukan kerja kebajikan dengan membantu golongan miskin dan mereka yang menghadapi kesulitan hidup.

Kelab Bikers Besut (KBB) tidak ketinggalan menawarkan khidmat sukarela kepada penduduk setempat dengan berkunjung ke Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, kelmarin.

Penduduk pilih pakaian
Mereka mengadakan kerja gotong royong membaiki rumah yang uzur serta membersih kawasan persekitaran yang didapati kotor dan tidak terurus.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lay Out Tok Saboh, Rasid Jusoh berkata, pihaknya bangga menerima kunjungan sekumpulan 30 ahli kelab berkenaan untuk mengadakan khidmat sukarela sempena Ramadan.

Katanya, sempena kehadiran ahli kelab berkenaan ke PPRT terbabit mereka juga turut membawa bersama bekalan makanan dan pakaian terpakai untuk diagihkan kepada penghuni di perumahan terbabit.

Beliau berkata, penduduk amat gembira dan mengambil sendiri pakaian terpakai yang dibawa oleh ahli kelab untuk dijadikan pakaian oleh keluarga masing-masing.

Malah,katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Besut turut memberi sokongan dengan menghantar beberapa pegawai untuk mengadakan kaunseling bersama penduduk yang menghadapi masalah.
Rashid berharap, lebih banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain mencontohi kelab berkenaan mengadakan aktiviti kemasyarakatan sepanjang Ramadan tahun ini dengan tumpuan ke rumah orang miskin dan OKU.