Halaman

02 July 2014

PERPADUAN ADALAH PERKARA YANG PALING PENTING, PERLU DAN UTAMA- KATA AHMAD RAZIF

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

“Dalam apa jua kajian dan perbincangan para pemikir, akhirnya perkara yang paling penting ditemui ialah perpaduan, maka perpaduan adalah perkara yang perlu diutamakan,” kata Menteri Besar, Dato’ Hj Ahmad Razif Abd Rahman.

Oleh itu katanya, beliau memulakan amanah sebagai Menteri Besar Terengganu dengan mengutamakankan perpaduan dan akan terus berusaha mewujudkan suasana itu di dalam kerajaan dan di setiap bahagian atau Parlimen di negeri ini.

“Biarlah segala masalah sebelum ini dapat diselesaikan sebab kita tidak boleh meminggirkan sesiapa bagi mewujudkan perpaduan dan ketua-ketua Umno Bahagian adalah tunggak  utama parti,” katanya.

Manakala kerajaan yang terbentuk kehadiran beliau bersama barisan pimpinan dalam kerajaan sebenarnya adalah disebabkan oleh kejayaan dan kemenangan parti dalam pilihan raya, tegasnya.

“Oleh itu tidak dapat tidak, kita mesti memperkukuh dan memperkuatkan parti kita, sekaligus memperkuatkan kerajaan kita yang terbentuk dari kejayaan parti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama pemimpin-pemimpin masyarakat di seluruh Bahagian Negeri Terengganu di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman Kuala Teregganu semalam.

Katanya, sebagai Menteri Besar ke 14 beliau selepas ini akan berdepan dengan Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 amat mengharapkan kerjasama dan sokongan semua bagi memastikan Barisan Nasional (BN) Terengganu menang dengan lebih selesa dan bukannya dengan kedudukan kerusi  sekarang 17-15.

Di samping mengucapkan penghargaan dan terima kasih kesemua pimpinan bahagian dan petugas parti, Dato’ Hj Ahmad Razif mahu melihat ‘perpaduan’ terus diutamakan di bahagian-bahagian dan Dewan Undangan Negeri (DUN)  bagi menjamin kemenangan lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang itu.







No comments: