Halaman

Showing posts with label e-book. Show all posts
Showing posts with label e-book. Show all posts

04 October 2011

Rakyat jangan terkejut pemimpin PAS bercakap soal kebajikan

Oleh FAUZI MOHD



PAS dicabar supaya membuktikan bahawa UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri ini telah gagal melaksanakan usaha kebajikan kepada rakyat selama ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sekiranya PAS mempunyai asas kukuh, beliau 'mengalu-alukan' parti pembangkang itu untuk membuktikannya.

Beliau bagaimanapun berkata, hakikatnya PAS adalah parti yang tiada pendirian kukuh dan hipokrit kerana selalu mencari salah UMNO serta BN demi meraih sokongan rakyat.

Dato’ Seri Ahmad yakin dasar parti itu yang berubah daripada negara memperjuangkan Islam kepada negara berkebajikan ternyata tidak mampu memperdayakan rakyat kerana kerajaan BN telah lama melaksanakan perkara itu.

Sebagai bukti jelas beliau, kerajaan sentiasa memberi tumpuan terhadap pelbagai bidang terutama pendidikan untuk dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Walaupun yang bercakap siang dan malam soal kebajikan adalah pemimpin PAS, tetapi yang sentiasa ikhlas menjaga kebajikan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan adalah kerajaan BN.

“Rakyat tidak perlu rasa terkejut, jika akhir-akhir ini pemimpin PAS sering bercakap soal kebajikan dalam ceramah mereka, kerana itu hanya soal ceramah bukan perkara yang mereka akan lakukan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembahagian e-Book kepada 550 murid darjah empat dari 23 buah sekolah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap di Dewan Sivik Sungai Tong, Setiu petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap.

Dato’ Seri Ahmad menjelaskan, usaha murni kerajaan negeri menyediakan kemudahan e-Book secara percuma di negeri ini adalah satu bentuk kebajikan untuk rakyat.

"Kerajaan beri bantuan e-Book kepada pelajar sehingga mampu meletakkan Terengganu negeri terbaik dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) 10 tahun berturut-turut. Ini semua usaha kebajikan yang telah kerajaan BN laksanakan," tambahnya

27 May 2009

Pelajar Dan Guru Terima E-Book

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Seramai 23,191 pelajar tahun lima dari 347 sekolah seluruh negeri akan mula mendapat bekalan e-Book yang akan diagih ke sekolah-sekolah mulai minggu depan.

“Seramai 3,831 guru kelas Tahun Lima turut dibekalkan buku digital ini,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada majlis Pelancaran e-Book di sekolah-sekolah negeri Terengganu di Dewan Tengku Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (26 Mei).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazan Che Mat; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.



Menteri Besar berkata, dengan kerjasama Syarikat Top IT yang memasang program interaktif, guru Tahun Lima boleh mengawal secara talian terus dengan pelajar-pelajarnya dan boleh menutup serta membuka e-Book ketika sesi pembelajaran sedang berjalan.

“Sesungguhnya negara maju hari ini bukan lagi yang mempunyai hasil bumi yang banyak ataupun berdasarkan keluasan yang besar, tetapi mempunyai masyarakat yang inovatif, kreatif serta bermaklumat melalui penguasaan dalam bidang IT,” katanya.



Oleh itu, katanya, kerajaan mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dengan mencorakkannya mengikut arus perubahan dunia iaitu pendidikan awal penguasaan IT kepada anak-anak negeri ini.

“Kita yakin bahawa prasarana yang kondusif adalah penting bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik tetapi turut membangun minda serta sahsiah sebagai persediaan menghadapi cabaran global,” katanya.

Katanya, kejayaan mengeluar dan mengagihkan e-Book kepada pelajar Tahun Lima begitu bermakna hasil kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Intel, buku digital ini berjaya dilancarkan.

Beliau berharap pencapaian anak-anak negeri ini terus meningkat pada masa akan datang di mana proses inovasi dan kreatif dalam pelajaran akan membantu mereka lebih berminat untuk mengulangkaji pelajaran.

“Di samping memberi keselesaan dan keyakinan sebagai seorang pelajar tujuan kerajaan juga membantu meringankan beban mereka yang perlu membawa beg yang berat ke sekolah,” katanya..

Kata Dato’ Ahmad sebagai permulaan 25,000 unit e-Book yang dilengkapi dengan pelbagai perisian buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan seperti al-Quran, doa-doa dan amalan solat.

‘Kerajaan membelanjakan RM15 juta untuk program ini dan menganggapnya sebagai satu pelaburan jangka panjang di mana hasilnya nanti akan melahirkan anak-anak Terengganu yang celik komputer dari seawal bangku sekolah rendah,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu