Halaman

Showing posts with label setiu. Show all posts
Showing posts with label setiu. Show all posts

10 June 2009

RTB Banggol Atasi Masalah Tapak Kediaman

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad bermesra dengan OKU selepas majlis Jamuan Rakyat di Saujana, Setiu, sambil ditemani Datuk Mohd Jidin (kanan). - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Masalah mendapatkan tanah tapak kediaman yang dihadapi 170 penduduk di Permasuri, Setiu bakal diatasi apabila kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membangunkan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Banggol, Permasuri selewat-lewatnya Oktober ini.


Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata kawasan seluas 60 hektar sedang dibersihkan bagi tujuan membina infrastruktur seperti jalan dan sistem perparitan sebelum 170 peserta layak menduduki RTB berkenaan.

“Kerajaan akan sediakan serba-serbi kemudahan, kemudian barulah peserta akan masuk dan boleh memohon mana-mana bantuan pinjaman atau bantuan kerajaan ataupun buat sendiri, bagi membolehkan pembinaan rumah yang cepat.

“Kita tidak mahu lagi bertangguh dan tidak mahu lagi perumahan ini menjadi satu masalah dan tumpuan RTB Banggol ini kepada golongan muda yang lebih ramai dan sebahagian lagi kita akan bahagi-bahagiakan mengikut keperluan,” katanya kepada media di majlis Jamuan Rakyat sempena Perasmian Berkelompok UMNO Cawangan Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, di Sekolah Menengah Saujana, Bandar Permaisuri, Setiu, hari ini (8 Jun).


Hadirin yang menghadiri Perasmian Berkelompok UMNO DUN Permaisuri di Sekolah Menengah Saujana, Setiu.

Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Ahmad Said dan barisan kepimpinan UMNO dan sayap UMNO Bahagian serta DUN Permaisuri. Menteri Besar merasmikan majlis berkenaan.

RTB Banggol merupakan RTB kedua yang dibangunkan dalam tempoh dua tahun selepas 412 lot tapak rumah dibangunkan di RTB Penarik pada tahun lalu.

Dato’ Mohd Jidin berkata, kerajaan sudah mengenalpasti setiap peserta yang layak memperolehi tapak tanah rumah seluas 0.1 hektar. Semua peserta berkenaan adalah mereka yang belum memiliki tanah pemberian kerajaan.

“Proses menyelesaikan hak milik dalam masa sebulan kepada mereka yang belum memiliki tanah pemberian kerajaan.

“Kalau dulu kita beri tempoh dua tahun, sekarang kerajaan tidak menunggu, apabila lulus pada bila-bila masa, selepas bayar Jadual 5, kita akan keluarkan hak milik bagi tempoh 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan ini membuktikan kerajaan negeri serius dalam menyelesaikan masalah penduduk dan tidak sekadar bercakap tetapi menyempurnakan janji-janji bagi kepentingan rakyat.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu