Halaman

02 March 2010

Pasukan Anak Terengganu Sertai LTdL Tahun Depan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan Terengganu bercadang untuk mewujudkan satu pasukan sukan lumba basikal negeri bagi menyertai kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata bakat dan kebolehan yang ditunjukkan oleh pelumba tempatan begitu menyerlah dan mereka perlu diberi peluang untuk berada dalam satu pasukan yang mewakili negeri kelahiran mereka.

“Seperti perlumbaan tahun ini, lapan pelumba yang menyertai pasukan-pasukan profesional adalah anak Terengganu sendiri. Malah lima daripada enam pelumba dalam pasukan Malaysia adalah anak Terengganu,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pelepasan kepada pelumba-pelumba LTdL dari Kuala Terengganu ke Chukai, Kemaman di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu, hari ini (2 Mac).

“Saya bangga dengan pencapaian dan kemampuan yang ditunjukkan anak Terengganu, terutama Anuar Manan yang berjaya meraih gelaran berganda dalam perlumbaan dari Kota Baru ke Kuala Berang semalam,” katanya.

Sebelum perlumbaan bermula, Menteri Besar diberi penghormatan menyarung dua jersi utama selaku pelumba pecut dan pelumba Asia kepada Anuar Manan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Mohid Mohamed berkata, terdapat enam pelumbaan Terengganu yang mewakili Pasukan Azad, University Iran , Mesir, Australia dan Maroco di China.

“Pelumba-pelumba Terengganu begitu hebat dan mampu memberi saingan kepada pelumba dari luar Negara dan ianya dapat dilihat kejayaan mereka semalam yang sentiasa berada dalam kelompok 10 pasukan teratas dalam perlumbaan semalam,” katanya.

Dalam saingan semalam Anuar Manan, 24, yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia yang berpengkalan di Korea berjaya menyarung dua jersi utama – hijau (pelumba pecut) dan biru (pelumba Asia), selepas tamat peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang, Terengganu.

Anuar anak kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu berazam untuk meneruskan kecemerlangan bersama pasukannya pada baki enam perlawanan selepas ini.
Pelumbaan LTdL akan meneruskan cabaran hari ini yang bermula di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu ke Kijal, Kemaman sejauh 182 kilometer.

Sementara itu, Presiden Persatuan Lumba Basikal Malaysia, Haji Abu Samah Wahab, melahirkan rasa gembira dengan hasrat kerajaan negeri ini untuk menubuhkan pasukannya sendiri dan berharap ianya ditangani secara bersungguh-sungguh.

“Saya harap hasrat ini menjadi kenyataan dan Terengganu perlulah mencari jurulatih professional bagi membimbing pasukannya nanti kerana telah pun dibarisi pelumba hebat,” katanya.

TEGANUKITA

01 March 2010

Produk Tempatan Tembusi Pasaran Luar Negara

Oleh: Esah Abdullah

Beberapa produk keluaran tempatan berjaya menembusi pasaran luar negara dengan nilai pesanan bernilai RM6.62 juta di samping beberapa produk lagi masih di peringkat perbincangan.

“Antara produk berkenaan ialah keropok lekor, sardin dan roselle,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera pada majlis Pelancaran Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Paisley Consulting Sdn Bhd di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini (1 Mac).

Dato’ Mohamed berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras kerajaan negeri bersama YPU yang menyertai Pameran Gulfood di Dubai World Trade Centre yang disertai 3,521 syarikat dari 81 negara pada 21 hingga 24 Februari lalu.

“Kita membawa lima syarikat tempatan iaitu Syarikat Sinku Industri Sdn Bhd (produk keropok), Pertima Terengganu Sdn Bhd (sardin), Koperasi Tani Lembah Bidong (Kotani) (roselle), Madura Sdn Bhd (minuman karbonat – kopi Tongkat Ali) dan Cakna Sdn Bhd (TNypa- air nira),” katanya.

Katanya, Kotani yang mengeluarkan produk Roselle menerima paling banyak pertanyaan dan hasil 25 rundingan yang dibuat dengan syarikat luar negara yang berminat, tiga syarikat masing-masing satu dari Dubai, Jordan dan Sudan akan membuat urusniaga dengan nilai RM3.5 juta.

“Manakala Syarikat Pertima milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya menerima tempahan pelbagai produk berasaskan sardin bernilai RM2 juta,” katanya.

Katanya, Sinku Industries yang membawa produk keopok lekor juga berjaya menarik minat empat syarikat dua daripadanya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), satu syarikat Indonesia dan satu syarikat dari Malaysia yang beroperasi di luar negara dengan nilai tempahan RM1.12 juta.

“Dua syarikat lagi iaitu Madura dan Cakna yang mengusaha kopi Tongkat Ali dan air nira nipah sedang membuat rundingan dengan syarikat dari India dan UAE dan kita percaya mereka akan membuat tempahan minuman tersebut,” katanya.

Dato’ Mohamed melahirkan rasa gembira kerana sepanjang penyertai pameran tersebut produk dari Terengganu telah menerima 537 pertanyaan perniagaan dan sebahagiannya terus membuat tempahan untuk pasaran di negara masing-masing.

“Hasil lawatan itu juga, sebuah syarikat Tranding House yang berpejabat di Dubai iaitu Diamond Consoludated akan datang ke Terengganu pada 4 Mac depan bagi mengenal pasti produk keluaran kita untuk pasaran di Dubai,” katanya.

Dato’ Mohamed menambah, SUT merupakan satu platform terbaik kerana ia memberi laluan kepada usahawan berkomunikasi dan menjalinkan hubungan lebih akrab menerusi beberapa program keusahawanan.

“SUT akan terus diberi penekanan khusus dalam hala tuju keusahawanan menjelang 2013 menerusi YPU yang melaksanakan program 4P (pembiayaan, promosi, penyediaan infrastruktur dan peningkatan kemahiran),” katanya.

Katanya, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membangun sebagai salah satu destinasi perniagaan yang menarik dan para usahawan harus mengambil peluang menjalankan perniagaan.

Dato’ Mohamed kemudiannya menyaksikan MOU antara YPU bersama tiga agensi yang boleh dan mampu mengerak dan memberi sinar baru dalam dunia usahawan.

Antaranya ialah UMT untuk bekerjasama dalam pembangunan perniagaan serta melahirkan usahawan siswazah, PUNB untuk membangunkan industri peruncitan yang mampu meningkatkan perniagaan dan Paisley Consulting dalam pelaksanaan program latihan, pembungkusan dan penjanamaan produk serta sebagai agen perunding dan agen pemasaran.

Dato’ Mohamed seterusnya melancarkan produk baru Shirah B’Lux, syarikat Bumiputra pertama di negara ini yang menternak, memproses serta menjual produk kesihatan dan makanan segera berasaskan belut.

TEGANUKITA

28 February 2010

Pertima Hantar 285,000 Tin Daging Korban Ke Luar Negara

Oleh: Esah Abdullah

Pertima Terengganu Sdn Bhd menghantar 285,000 tin daging kambing korban yang dimuatkan dalam lapan kontena, ke luar negara iaitu Republik Chad di Afrika dan Lubanan, Timur Tengah, bertambah sebanyak 50 peratus daripada tahun sebelumnya.

Lebih membanggakan apabila Isamic Relief Worldwide (IRW) yang berpengkalan di Birmingham, England terus memberi kepercayaan kepada Pertima Terengganu Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri untuk melakukan kerja-kerja pengetinan daging korban bermula 2008.

“Kerajaan berhasrat untuk melihat Pertima menjadi pengeluar produk halal dalam tin pertama di negara ini dan di peringkat antarabangsa,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada majlis.perasmian Penghantaran Produk Daging Qurban di Pertima Terengganu Sdn Bhd di Chendering, Kuala Terengganu hari ini (28 Februari).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri,Encik Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Pertima, Dato’ Rosli Mat Hasan dan Pengarah Operasi Islamic Relief Birmingham, Dr Adel Sabir.

Dato’ Ahmad melahirkan keyakinan tahap kualiti produk yang dikeluarkan dengan memperolehi persijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil keselamatan dari Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) yang dikeluarkan Moody International.

“Yang penting adalah usaha yang bersungguh-sungguh perlulah digerakkan sepenuhnya bagi mencapai matlamat ini,” katanya.

Pertima mula melakukan kerja-kerja mengetin daging qurban sejak 2008 dan berjaya memproses 200 tan di mana kesemua produk berstatus halal itu telah Berjaya dihantar ke beberapa negara seperti Palestin, Nigeria, Mali, Iraq dan Afghanistan.

Selain kontrak dengan IRF, dua pertubuhan Islam luar negara turut mendapat keyakinan dari Muslim Aid Australia dan Human Appeal International Australia untuk pengetinan daging qurban.

“Selaku anak syarikat kerajaan negeri, saya harap Pertima menjadi contoh dan peneraju dalam pengeluaran produk halal di negeri ini,” katanya.

TEGANUKITA

27 February 2010

Nabi Muhammad Penyebar Agama Syumul

(Laporan Kamarudin Mat Akib dan Aida Abdul Rahman)















Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Stadium Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh : Zulkipli bin CW. Putera

Ajaran Islam yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW adalah agama yang syumul meliputi semua aspek kehidupan.

Tetapi apa yang berlaku hari ini, sebahagian umat Islam terhad kepada ibadat tertentu sahaja dan tidak menganggap Islam sebagai addin atau cara hidup.

"Kerana itulah terjadi pelbagai gejala sosial yang melanda masyarakat Islam. Sebagai contoh kes pembuangan bayi yang tinggi, penagihan dadah dan lumba haram yang banyak melibatkan muda-mudi Islam.

"Ini semua berpunca daripada tidak menghayati dan tidak mengamalkan ajaran Islam sebagaimana yang diperintah Allah SWT," kata Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini (26 Februari).

Sebanyak 109 kontinjen terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi, sekolah, swasta dan NGO mengambil bahagian dalam perarakan sempena sambutan itu.

Tengku Sri Panglima Raja mengetuai perarakan itu yang turut disertai hmpir 4,000 umat Islam yang bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hingga ke Stadium Negeri.













Peserta berkumpul di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebelum perarakan bermula.


Turut serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah, Exco Kerajaan Negeri dan pemimpin masyarakat.

Tema sambutan pada tahun ini iaitu "Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah" menuntut agar umat Islam mencontohi ukhuwah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan menjadikan intipati ajaran Islam sebagai asas membangun ummah.












Tengku Sri Panglima Raja disambut Dato' Mazlan sebaik tiba di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pada sebelah petangnya, Menteri Besar dan isteri, Exco Kerajaan Negeri serta Pegawai Kanan Kerajaan melawat bayi yang lahir sempena sambutan Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau meluangkan masa kira-kira satu jam memberi sumbangan wang tunai dan hamper.















Menteri Besar dan isteri menyampaikan cenderahati kepada bayi Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.



TEGANUKITA

Kerajaan Tuntut Sokongan Rakyat

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Segelintir rakyat negeri ini perlu sentiasa diingatkan setiap pembangunan dan kebajikan kerajaan kerana mereka mudah melupakan sumbangan kerajaan sehingga gagal menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya kepada parti Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya umum.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata kerajaan Terengganu yang ditunjangi parti BN dan UMNO telah melakukan pelbagai perancangan pembangunan dan menjaga kebajikan yang akhirnya bertujuan demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan BN juga mengagihkan bantuan tanpa meletakkan prasyarat tertentu dan menilai latar belakang politik khususnya dalam soal bantuan pendidikan dan pembangunan infrastruktur kerana mereka yang layak mendapat bantuan itu akan diberikan keadilan dan hak yang sepatutnya.

“Sepatutnya Yang Berhormat di setiap kawasan tidak perlu berkempen atau mengingatkan semua rakyat mengenai apa yang sudah kerajaan buat untuk mereka.Semua kebajikan dan bantuan kerajaan sudah beri tetapi masih ada lagi rakyat yang tidak memilih kita.

“Apa yang kita mahu, hanyalah mereka keluar mengundi pada setiap lima tahun sekali dan memilih BN, itu sahaja kemahuan kerajaan sebagai membalas segala bantuan dan pembangunan yang kita salurkan,” kata beliau ketika merasmikan Program Pelancaran Program Juara Rakyat Bulan kebajikan peringkat negeri Terengganu 2010, di Dataran Pekan Seri Langkap, Sungai Tong, Setiu, hari ini (27 Februari).

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajian, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Haji Ashaari Idris; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Yahya Khatib Mohamad; Adun Jabi, YB Ramlan Ali dan Adun Permaisuri, YB Halim Jusoh.

Menteri Besar berkata, ada segelintir rakyat yang menyokong parti Pas mendakwa tidak adil apabila dari satu sudut mereka tidak menerima bantuan Dana Khas yang diagihkan oleh kerajaan BN.

“Apa makna adil..adil pada saya adalah dalam soal memberi dan menerima. Kerana setiap apa jua pelaburan yang kita lakukan kita pasti mahu pulangannya.

“Oleh yang demikian, parti perlu mendahulukan segala kebajikan dan bantuan yang sepatutnya kepada pengikutnya,” kata beliau lagi.

Majlis berakhir dengan penyampaian bantuan kebajikan am dan kerusi roda, kunci rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin dan pengagihan buku akaun Tabung Haji kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok, SMK Pelong, SMK Langkap dan SMK Sungai Tong.

Seorang warga emas yang juga penerima bantuan kebajikan bulanan, Fatimah Idris, 72, dari Kampung Sungai Tong berkata bantuan am yang diperolehi sejak lima tahun lalu itu banyak membantunya menguruskan kehidupan bersama dua cucu yang masih bersekolah.

Katanya, kadangkala bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diterima itu membolehkannya membayar hutang yang terpaksa dibuat berikutan kekangan sumber kewangan terutama dalam menguruskan persekolahan cucunya itu.

Manakala seorang lagi penerima bantuan, Bidah Husin, 82, dari Pekan Sungai Tong, berkata bantuan RM200 sebulan dapat meringankan bebanannya yang tinggal bersama keluarga yang besar berikutan kesemua anaknya hanya bekerja kampung dan tidak memiliki pendapatan tinggi.

“Alhamdulilah dapat bantuan macam ini daripada kerajaan.Kalau tiada bantuan ini pasti payah saya yang sudah tua dan uzur hendak makan dan minum,”katanya.

Sementara Rosnani Sulong, 50, dari kampung Panchor Merah pula bersyukur kerana sejak kehilangan upaya dan terpaksa bertongkat untuk bergerak, bantuan bulanan itu dapat membantu meringankan bebanannya dan keluarga.


TEGANUKITA

Terengganu Catat Peningkatan STPM

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Ariffin Embong (tengah) bersama pelajar cemerlang STPM Sek Men. Agama Durian Guling. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Terengganu mencatat peningkatan dalam pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 (empat flat) dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan di Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu, hari ini (25 Fabruari).


Malah, pencapaian calon yang mendapat 5 Prinsipal meningkat kepada 8.44 peratus (2009) berbanding 6.34 peratus pada tahun sebelumnya atau peningkatan 2.78 peratus.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Ariffin Embong, berkata pelajar yang mencapai PNGK 3.00 hingga 4.00 juga meningkat daripada 647 pelajar atau 22.80 peratus pada 2008 kepada 721 pelajar atau calon 24.7 peratus (2009) iaitu pertambahan 1.9 peratus.



Hadawiyah Mohamad dari Sek Men. Lela Segara menunjukkan slip keputusan yang memperolehi keputusan 5A STPM.

Katanya, sebanyak 13 sekolah mencapai keputusan 100 peratus lulus penuh daripada
52 sekolah yang mengambil peperiksaan itu di Terengganu.

Sekolah berkenaan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang yang memperolehi 3.14 (PNGK), SMK Tengku Ibrahim Setiu (2.87); SMKA Nurul Ittifaq, Besut (2.85); SMK Putra, Besut (2.76); SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (2.70); SMK Bukit Payong, Besut (2.68); SMK Landas, Hulu Terengganu (2.56) dan SMK Chung Hwa Wei Sin.

Lain-lain sekolah adalah SMK Penarek, Setiu (2.50); SMK Seri Nering, Besut (2.46); SM Teknik Terengganu (2.30); SMK Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu (2.21) dan SMK Bukit Nenas, Setiu (1.63).

Seorang pelajar cemerlang STPM, Mohamad Hafiz Ahmad Zaidi, 20, dari Kampung Losong, Kuala Terengganu mencatat sejarah buat SMK Sultan Ahmad, Kuala Terengganu apabila muncul pelajar pertama yang mendapat PNGK 4.00 atau 4A sejak lebih 30 tahun sekolah itu ditubuhkan.


Pelajar Sek Men Lela Segara gembira selepas memperolehi keputusan cemerlang dalam STPM.

Mohamad Hafiz berasal dan bersekolah di Kuala Kangsar, Perak sebelum bertukar ke SMK Sultan Ahmad hampir dua tahun lalu memperolehi A untuk semua subjek diambil (Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Ekonomi) merupakan antara lapan pelajar seluruh Terengganu yang memperolehi PNGK 4.00.

“Saya memang menyasarkan untuk mendapat 4A dan Alhamdulillah tercapai hasil usaha dan disiplin yang saya amalkan sejak berada di tingkatan enam.

“Saya dapati teknik belajar sendiri yang diamalkan ketika Sijil Pelajaran Malaysia dulu kurang berhasil dan saya mengubah dengan mengikut cara guru mengikut subjek masing-masing ketika STPM ,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik pasangan, Ahmad Zaidi Mokhtar, 45 dan Nur Sofiah Abdul Kadir, 45, yang berperanan sebagai ketua kelas, pengawas dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung peringkat sekolah itu berhasrat menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam bidang ekonomi.

TEGANUKITA

Terengganu prihatin rakyat.

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menolak tohmahan segelintir masyarakat yang menyatakan Terengganu sebagai `negeri kebajikan’ di mana gemar menghulurkan bantuan kepada rakyat sehingga golongan itu menjadi malas bekerja dan manja.

Dato’ Ahmad berkata, setiap bantuan yang diberi, pihaknya terlebih dahulu menyiasat latarbelakang keluarga penerima dan bukan secara sewenang-wenangnya menghulurkan mana-mana bantuan.

Katanya, dalam perkara ini tidak timbul soal negeri kebajikan kerana apa yang ingin ditonjolkan adalah keprihatian kerajaan dan pemimpin kepada rakyat.

“Kita tidak serik membantu rakyat dan tetap memberi perkhidmatan terbaik dalam apa jua kaedah sekali pun. Sehingga hari ini, kira-kira 25 ribu termasuk 16 ribu penerima bulanan memperoleh bantuan masing-masing di bawah Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM). Jumlah itu melibatkan kos RM48 juta setahun.

“Walaupun kos yang dikeluarkan itu nampak agak besar, ia tidak menjadi beban kepada kerajaan kerana mengetahui rakyat memerlukannya untuk keperluan harian,” katanya kepada sidang media sempena Program Juara Rakyat bertemakan kebajikan di Dewan Sekolah Menegah Imtiaz (Kospint), Serada, Kuala Terengganu, hari ini (27 Februari).

Kira-kira 6,000 termasuk 2,500 penerima bantuan JKM bagi Adun Alor Limbat dan Adun Bukit Payong hadir di majlis yang turut diselitkan pameran agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Selepas itu, Dato’ Ahmad bergegas ke Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Balai Raya dan Tabika Kemas di Beladau, Kepong, Marang yang dihadiri hampir 5,000 penduduk setempat.

Hadir sama kedua-dua majlis, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri , YB Yahya Khatib Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Alor Limbar, YB Alias Abdullah.

Tetamu lain, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Marang, Razali Idris dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, To’ Puan Zaitun Mat Amin dan Ketua Puteri Umno Marang, Marina Endut.

Masyarakat Alor Limbat yang hadir pada kedua-dua majlis itu menyatakan rasa bangga dan terharu kerana pemimpin utama negeri sanggup turun padang bagi mengetahui masalah dan apa kehendak rakyat.

TEGANUKITA

26 February 2010

MB Lawat Kanak-kanak Permata Maulidur Rasul

Oleh : Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar Dato’ Ahmad Said bersama-sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pegawai Kanan Kerajaan melawat kanak-kanak yang dilahirkan sempena Sambutan Maulidur Rasul, di Hospital Nur Zahirah, petang ini (26 Februari 2010).

Kira-kira 30 kanak-kanak dilahirkan di hospital berkenaan mulai waktu Maghrib semalam sehingga petang ini dan kesemua bayi berada di dalam keadaan baik.

Menteri Besar berkata, Kerajaan ini memperkenalkan Program Permata Maulidur Rasul mulai tahun ini dimana butir-butir terperinci bayi yang dlahirkan pada tanggal Maulidur Rasul akan disimpan sebagai rekod.

“Rekod ini akan dikemaskini pada setiap tahun di mana setiap bayi yang dilahirkan akan disimpan data mereka “ katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.

Antara yang hadir di hospital itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Dato’ Ahmad berkata, kanak-kanak yang didaftarkan di bawah program berkenaan akan dilibatkan dengan program Sambutan Maulidur Rasul pada masa depan.

Beliau juga turut menyumbangkan wang tunai dan hamper kepada ibu-ibu yang baru melahirkan bayi sempena lawatan tersebut.

TEGANUKITA


Bot Sampah Bersih Sungai

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan mengadakan perkhidmatan bot sampah bagi membersih dan mengutip sampah yang terdapat di dalam sungai di negeri ini.
Pengerusi Jawataankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw berkata, kertas kerja cadangan membeli bot beserta peralatan telah disiapkan.

“Sebagai permulaan, kita mencadangkan untuk membeli dua buah bot dengan kos lebih RM300,000 sebuah,” katanya kepada pemberita pada majlis Penyerahan Peralatan dan Pengawasan Kualiti Air di bawah program satu sungai satu DUN (Dewan Undangan Negeri) di Wisma Darul Iman hari ini (23 Februari).

Katanya, cara pengurusan akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan atau pun diswastakan namun setakat ini belum diputuskan apa-apa.

Sementara itu kata YB Toh, kerajaan menyediakan peruntukkan RM1 juta untuk mengurus dan membersih sungai-sungai seluruh negeri.

“Sebanyak RM200,000 pula dibelanjakan untuk program hari ini yang membabitkan 17 buah sekolah bagi membeli peralatan perawatan dan pengawasan kebersihan sungai,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Encik Rosli Che Harun dan Prof Madya Ir Dr Ahmad Yusof dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) beserta 300 pelajar dan guru dari 17 sekolah kebangsaan dan menengah seluruh negeri.

YB Toh kemudiannya berharap orang ramai sama-sama mengambil tanggung jawab menjaga kebersihan sungai dengan tidak sewenang-wenangnya membuang sisa atau sampah sarap ke dalam sungai.

Katanya, tahun lalu 16 batang sungai dikenal pasti manakala tahun ini 17 lagi dipilih untuk tujuan pemulihan dan pemantauan pihak JAS.

YB Toh kemudiannya telah menyampaikan barangan berupa peralatan untuk pengawasan dan perawatan air sungai kepada 17 buah sekolah yang diwakili guru dan pelajar.

TEGANUKITA

Belia Dipantau

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri mensasarkan empat golongan yang akan mendapat perhatian dan dipantau di bawah Program Memperkasakan Remaja (PMR) dalam usaha merintis arah tuju yang baik bagi mengekang gejala tidak sihat generasi akan datang.

“Golongan belia bekerja, belia bermasalah, remaja di sekolah emnengah dan remaja di Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan golongan yang perlu dibantu dan diberi perhatian,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said pada majlis Seminar Memperkasakan Program Belia Negeri Terengganu di Terengganu Endurance Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu hari ini (21 Februari).

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Encik Ahmed Daud; Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman (UDM) Dr. Ramle Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Encik Saiful Dato’ Baharuddin.

Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan besar khusus untuk memperkasakan program belia di negeri ini dengan meletakkan harapan golongan ini menjadi pelapis negeri dan negara pada masa akan datang.

Katanya, Menteri Besar mengumumkan bajet RM30 juta untuk melaksanakan pelbagai program bagi memperkasakan golongan beliau kerana menyedari maju mundurnya sesebuah negara itu terletak di tangan belia.

Beberapa program yang dilaksanakan seperti rakan muda, rakan rekreasi, rakan waja diri dan rakan masyarakat telah memberi kesan terhadap pembangunan golongan remaja dan ianya akan diteruskan tahun ini.

“Disamping usaha kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan perlu bersama tampil memberi kerjasma bagi merialisasikan hasrat membina kekuatan serta pembangunan golongan muda,” katanya.

Dalam seminar yang berlangsung, dua tokoh diundang untuk membentang kertas kerja masing-masing iaitu Ketua Polis Terengganu, SAC 1, Dato’ Mohd Shukri Dahlan dan Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UDM kampus Kusza, Dr. Ramle Abdullah.

TEGANUKITA