Halaman

01 June 2010

PERKHIDMATAN AWAM TUNJANG KERAJAAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Perkhidmatan awam mempunyai kaitan yang begitu rapat dengan pembangunan dan kesejahteraan rakyat, boleh diibaratkan sebagai tunjang.

Mereka adalan agen pelaksana kepada dasar-dasar dan keputusan kerajaan. Penjawat awam adalah barisan hadapan yang akan menunaikan perkhidmatan dan janji kerajaan kepada rakyat.

Benarlah kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said penjawat awam atau mudahnya jentera pekerja kerajaan supaya peka dan mendalami masalah rakyat.

Mereka perlu memantau, memahami denyut nadi rakyat, menyiasat sesuatu perkara hingga ke akar umbi untuk memastikan sesuatu perlaksanaan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Kesan atau impak setiap perlaksanaan, perkhidmatan mahupun pembangunan oleh pihak kerajaan mestilah dapat dirasai oleh rakyat dan menyentuh hati-nurani rakyat atau dalam loghat Terengganu disebut ‘jelira’.

Ini bertepatan dengan konsep ‘Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang diperkenalkan di peringkat negeri Terengganu, khususnya.

Dato’ Ahmad ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman baru-baru ini mengingatkan penjawat awam terutama pegawai kanan supaya peka dan mendalami masalah rakyat.

Pegawai dan penjawat awam di Terengganu diingatkan agar tidak terlalu cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai kerana itu akan memberi kesan buruk kepada jabatan.

Beliau berkata amalan mudah berpuas hati dengan apa yang dibuat akan melahirkan pegawai-pegawai yang tidak komited terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Pegawai kanan atau ketua jabatan hendaklah sentiasa turun padang memantau sendiri sesuatu projek yang dijalankan dan tidak hanya bergantung laporan daripada pekerja di bawah.

Penjawat awam sudah tentu amat bersyukur mereka terpilih untuk berkhidmat dan diberikan gaji dari puluhan juta rakyat negara ini.

TEGANUKITA

31 May 2010

RM2 juta Hadiah Misteri Untuk Guru

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Haji Ahmad Mahmood gembira di samping keluarga selepas beliau diumumkan sebagai Tokoh Guru 2010 peringkat negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri memperuntukan RM2 juta untuk membeli ‘hadiah misteri’ untuk diagihkan kepada 21,735 guru seluruh negeri sebagai tanda terima kasih kerana berjaya memikul amanah mendidik anak bangsa tanpa rasa jemu.

“Saya akan pergi ke daerah-daerah untuk bersalam dengan setiap guru sambil menyampaikan cenderamata kenangan,” kata Menteri Besar Dato’ Ahmad Said yang enggan berterus terang bentuk pemberian yang dinyatakan..

Katanya, kerajaan juga telah menaja lawatan ke luar negara kepada 60 guru termasuk pegawai di Jabatan Pelajaran sebagai menghargai sumbangan menaikkan imej negeri dalam bidang pendidikan.

“InsyaAllah, jika tahun ini kita dapat mengekalkan keputusan terbaik kali ke -10 dalam peperiksaan awam, lebih ramai guru diberi peluang mengikuti program lawatan ke luar negara,” katanya di majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Gong Badak hari ini (30 Mei).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.


Menteri Besar merasmikan Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Negeri di UDM Gong Badak.

Sehubungan itu kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan dan perhatian dalam usaha memperkasakan pendidikan atas prinsip dan keyakinan, pendidikan sebagai agen dan instrument perubahan sikap dan minda rakyat.

“Pendidikan mampu membantu usaha membasmi kemiskinan,penyusunan semula masyarakat, mengukuhkan perpaduan, mencerna pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Menteri Besar meminta warga guru terus melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab secara dinamis dan progresif untuk membina keperibadian insan mulia di samping dapat menabur bakti kepada negara.

“Kita tidak mahu insan yang hebat pengetahuan serta tinggi keilmuannya tetapi rendah akal budi,” kata Dato’ Ahmad di hadapan lebih 2,000 wagra guru seluruh negeri yang hadir di majlis tersebut .

Katanya, telah banyak kejayaan dan kemajuan pendidikan dicipta namun sekarang bukan masa berpeluk tubuh kerana kita berhadapan dengan cabaran baru yang memerlukan kreativiti dan inovasi untuk bersaing dipersada antarabangsa.


Cikgu Alias Ismail (kanan) dipilih sebagai Tokoh Nilam Guru.

“Warga guru hendaklah berusaha meletakkan penanda aras baru pendidikan yang lebih berkualiti dan mempastikan kita memenuhi tuntutan global.disamping meningkatkan kualiti diri untuk melonjakkan kecemerlangan murid,” katanya.

Beliau seterusnya mengajak semua warga pendidik membulatkan tekad untuk melaksanakan tugas membangunkan pendidikan negeri yang merupakan amanah besar perlu digalas bersama bagi melonjakkan kecemerlangan negara di persada dunia.

Sementara itu, Haji Ahmad Mahmood, dari Kampung Binjai, Kemaman telah diumumkan sebagai Tokoh Guru 2010 yang membawa pulang wang tunai RM10,000, medal emas, sijil penghargaan, tafsir al-Quran dan sepersalinan pakaian kebangsaan.

TEGANUKITA

Jasa Dato’ Perba DiRaja dikenang

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad menyampaikan sumbangan dan terima kasih kerajaan kepada Abdul Rahin wakil kepada Allahyarham Dato' Wan A Rahman Long kerana menyerahkan 1,944 koleksi peribadi kepada PPAT sambil disaksikan Dato' Mazlan dan YB Ahmad Razif di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri telah menyumbangkan RM15,000 dan sijil penghargaan kepada Allahyarham, Dato’ Perba DiRaja, Dato’ Wan A. Rahman Long, seorang tokoh ulama yang memain peranan penting dalam Pentadbiran Agama negeri.

“Kerajaan negeri amat berterima kasih kepada keluarga Alahyarham yang telah menyerahkan 1,944 bahan koleksi peribadi Alahyarham kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) untuk kegunaan umum,” kata Menteri Besar Dato’ Ahmad Said di Wisma Darul Iman hari ini (26 Mei).


Sidang media selepas mesyuarat mingguan exco.

Katanya, antara bahan yang disumbangkan termasuklah Al-Quran, kitab, manuskrip, buku, majalah, diari dan fail-fail dan dengan adanya bahan-bahan ini orang ramai boleh melihat, menilai serta mengkaji bahan sejarah yang tidak ternilai ini.

Alahyarham Dato’ Perba DiRaja yang meninggal pada 1990 merupakan cicit kepada Tok Sheikh Duyong dan pernah menjadi Kadi Besar disamping beberapa jawatan lain seperti Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu suatu ketika dulu..

Koleksi peribadi alahyarham merupakan koleksi kelima yang diterima oleh PPAT dimana sebelum itu menerima koleksi daripada Prof. Dato’ Dr. Hashim Awang, Dato’ Nara Setia, Dato’ Wan Isa Long, Prof Dato’ Paduka Mohamad Abu bakar dan Prof Madya Dr Rohani Abdul Kadir.


Kerajaan negeri turut menyelesaikan masalah rakyat.

Dato’ Ahmad Said berharap dengan adanya koleksi ini memberi peluang kepada rakyat negeri ini membuat kajian tentang sejarah dan tulisan dalam manuskrip boleh dijadikan panduan kepada generasi hari ini.

Sehubungan itu dalam majlis ringkas, Dato’ Ahmad telah menyampaikan sumbangan dan terima kasih kerajaan kepada wakil cucu sepupu Allahyarham iaitu Encik Abdul Rahin Long disaksikan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah.

TEGANUKITA

Perlu selidik hingga akar umbi

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato' Ahmad mengucapkan tahniah kepada kakitangan awam yang menerima Anugerah Khidmat Cemerlang peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kakitangan awam terutama pegawai kanan perlu menyelidik sehingga ke akar umbi, sekiranya sesuatu tugas sama ada berkaitan penyediaan infrastruktur, pentadbiran atau urusan tanah yang dilaksanakan itu masih tidak sempurna di hati rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata langkah ini cukup penting bagi mengelak rakyat mencemuh apa yang dilaksanakan kerajaan di mana secara tidak langsung memberi impak negatif kepada pemimpin politik.


Menteri Besar turut melancarkan buku bertajuk, Gagasan Merakyatkan Pentadbiran, Pembangunan Negeri Terengganu(MPPT); Merakyatkan Pentadbiran dan Budaya Kerja Cakna Rakyat disaksikan SUK, Dato' Mazlan Ngah.

Katanya, kerajaan negeri tidak menolak masih terdapat segelintir kakitangan bersikap sentiasa berpuas hati dengan apa yang dilaksanakan tanpa perlu menyelidik secara terperinci dan turun padang untuk menyiasat.

“Sikap ambil mudah yang pasti menjejaskan imej kerajaan perlu dikikis dengan meningkatkan nilai intergriti, mengamalkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan secara bijak sana serta seadil mungkin.

“Tindakan itu perlu wujud dalam diri kerana penjawat awam merupakan aset penting kepada kecemerlangan pentadbiran dan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini (25 Mei).


Tiga puluh kakitangan awam bergambar bersama Menteri Besar dan SUK selepas majlis penyampaian anugerah berkenaan.

Seramai 30 kakitangan awam pelbagai jawatan menerima anugerah itu di mana setiap penjawat awam membawa pulang wang tunai RM7,500 dan pakej menunaikan haji atau umrah.

Pada majlis sama, Dato’ Ahmad turut melancarkan tiga buah buku bertajuk, Gagasan Merakyatkan Pentadbiran, Pembangunan Negeri Terengganu(MPPT); Merakyatkan Pentadbiran dan Budaya Kerja Cakna Rakyat.

Buku itu bakal diagihkan kepada semua penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan Terengganu sebagai langkah meningkatkan nilai intergriti dan membudayakan kreativiti dalam tugas.

TEGANUKITA

Pemangku Raja Kurnia Bintang Pengakap

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia 2010 di Istana Maziah, Kuala Terengganu hari ini (22 Mei).


DYMM Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Bintang Semangat Rimba Emas Kelas 1 kepada Tengku Sri Temengong Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Turut berangkat, kekanda baginda, Tengku Nadhirah Zahrah Sultan Mizan Zainal Abidin. Hadir sama, Yang DiPertua, Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman; Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Malaysia, Dato’ Aziz Jamaluddin Mohd Tahir.



Tengku Sri Temengong Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud mengetuai penerima Bintang Semangat Rimba Emas Kelas 1, diikuti Dato’ Mazlan Ngah dan Dato’ Aziz Jamaluddin Mohd Tahir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Parlimen Dungun, Haji Matulidi Jusoh dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Mohd Nor Othman adalah di antara 12 orang penerima Bintang Semangat Rimba Kelas 1.

Penerima Pingat Perkhidmatan Gemilang (4 orang), Pingat Perkhidmatan Setia (7), Pingat Perkhidmatan Baik (19) dan Pingat Perkhidmatan Lama (11), Sijil Kepujian Ketua Pengakap Negara (15) dan 67 orang menerima Sijil Pengakap Raja.

Tengku Muhammad Ismail kemudiannya berkenan mengurniakan bintang, pingat dan sijil kepada 132 orang penerima bermula 2007 hingga 2010.


Tengku Muhammad Ismail turut berkenan mengurniakan bintang, pingat dan sijil kepada 132 penerima yang lain.

TEGANUKITA

Perkara yang perlu menjayakan TNAI

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Dalam pendidikan Terengganu termasuklah peluang mendapatkan pendidikan yang sama rata.

Sehubungan dengan itu Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyenaraikan beberapa perkara yang perlu dipastikan dalam TNAI sebagaimana berikut:

• Semua murid dibangku sekolah mestilah menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira)
• Semua murid hendaklah pandai solat dan celik al-Quran
• Semua murid mesti celik komputer
• Semua murid dapat menguasai banyak bahasa, terutama Bahasa Inggeris
• Pelajar terbimbing dengan kehebatan minda untuk menjadi seorang yang kreatif dan inovatif
• Pelajar cemerlang dalam bidang ko-kurikulum dan menjadi generasi cergas serta sihat, sekaligus menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara

Beliau menghuraikan perkara ini ketika menyampaikan ucaptama di majlis Bicara Intelektual, Terengganu Negeri Anjung Ilmu baru-baru ini.

TEGANUKITA

TERENGGANU MELANGKAH GAGAH KE SUKMA KE TIGA BELAS DI MELAKA

Oleh: Nurul Faizah Abdullah

Kontinjen Sukma XIII Terengganu bersedia untuk mengulangi kejayaan cemerlang yang dicapai dua tahun lalu dan mengharumkan nama Terengganu di arena sukan pada kejohanan Sukma ke 13 yang bakal diadakan di Melaka bermula 10 hingga 19 Jun ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Encik Rosdi Awang memberitahu pihaknya berusaha untuk memberikan yang terbaik dan mengekalkan kejuaraan Terengganu sebagai juara Sukma XIII di temasya sukan Malaysia itu nanti.

“Setakat ini, para atlit dipersiapkan dengan latihan yang konsisten di sini, dan menyertai beberapa kejohanan peringkat kebangsaan sebagai persediaan untuk mewakili negeri ke Sukma XIII.

Malah, Terengganu turut menghantar atlit untuk beberapa acara yang berpotensi bagi merangkul emas seperti basikal, tinju, sepak takraw, ekuestrian dan silat ke luar negara melalui program attachment training,” katanya ketika ditemui di Gerbang Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.

Menurutnya, program tersebut melibatkan beberapa buah Negara seperti Thailand, Indonesia dan Australia.

“Malah, pihak Majlis Sukan Negeri juga turut mendapatkan khidmat jurulatih asing dari China untuk acara gimnastik dan lawan pedang, Thailand bagi acara sepak takraw dan tinju, dan Indonesia bagi acara lawan pedang.

Selain jurulatih yang dibawa dari luar negara, pihak kami juga menggunakan khidmat jurulatih tempatan,” katanya.

Selain sesi latihan yang berterusan, pihak MSN juga sentiasa mengadakan pertemuan dengan para atlit untuk meningkatkan semangat dan motivasi mereka.

“Beberapa siri kem motivasi diadakan untuk memperkuatkan mental dan emosi mereka seperti yang diadakan di Pusat ICT,Telok Kalong, Kemaman dan di Kem Rasa, Kerteh.

Terengganu mensasarkan 66 emas dan menjuarai sekurang-kurangnya lapan acara yang dipertandingkan pada kejohanan Sukma XIII kali ini dan berharap lebih banyak rekod baru bakal dicipta oleh atlit-atlit Terengganu di kejohanan sukan tersebut.

“Pihak kami berharap, seluruh rakyat Terengganu sama-sama berdoa akan kejayaan para atlit yang bakal berjuang untuk mengharumkan nama Terengganu di arena sukan dan sebaris dengan atlit-atlit profesional yang sedia ada, “ katanya.

TEGANUKITA

MISKIN TEGAR BERJAYA DIKURANGKAN DI TERENGGANU

Oleh: Nurul Faizah Abdullah

Terengganu berjaya mengurangkan peratusan miskin tegar di negeri ini iaitu sebanyak 2.5 %, dan menjelang akhir tahun 2010, sasaran sifar miskin tegar disasarkan dijangka dapat dicapai, “ kata Pengarah jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Encik Zuhaimi Omar.

Katanya, perkembangan itu amat positif dalam usaha membasmi kemiskinan, khususnya miskin tegar.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) akan terus membantu dalam bentuk kebajikan di samping memberi kesedaran kepada penerima bantuan kebajikan untuk menuju ke arah masa depan yang lebih baik.

Bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat terbahagi kepada dua, iaitu skim bantuan am Negeri dan skim bantuan Persekutuan.

Antara jenis-jenis bantuan yang diperuntukan di bawah bantuan am Negeri ialah, bantuan bulanan kepada warga tua, balu dan tanggungan, anak yatim miskin, tanggungan banduan, pusat tahanan dan pesakit.

Manakala bantuan sekaligus seperti bantuan sekolah, bantuan pemulihan bencana, dan bantuan segera bagi kes-kes seperti kes terdampar dan memerlukan bantuan segera.

Bantuan Persekutuan seperti bantuan Kanak-kanak, Orang Tua, Orang Kurang Upaya (OKU) yang bekerja dan tidak bekerja, pesakit terlantar dan lain-lain disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri setiap bulan.

Encik Zuhaimi berkata, gabungan di bawah bantuan am negeri dan persekutuan itu menjadikan rakyat Terengganu yang perlukan bantuan tidak menghadapi masalah dan sentiasa dapat diselesaikan.

“Walau bagaimananpun kita perlu mengurangkan usaha kebergantungan kepada bantuan, kecuali benar-benar memerlukan dan tidak mampu,” jelasnya.

TEGANUKITA

PENERIMA BANTUAN JKM TERENGGANU DAPAT KADAR TERTINGGI

Oleh: Nurul Faizah binti Abdullah

Terengganu adalah negeri yang paling tinggi memperuntukkan kadar bantuan kepada penerima bantuan yang layak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri iaitu antara RM200 hingga RM400 untuk setiap penerima.

Pengarahnya, Encik Zuhami Omar berkata berbanding dengan sesetengah negeri lain memperuntukan bantuan kurang dari RM 100 untuk setiap penerima yang layak.

“Keadaan ini membuktikan bahawa penerima bantuan di negeri ini memperolehi pendapatan yang lebih selesa,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu setiap tahun hampir RM60 juta dibelanjakan bagi tujuan tersebut .

Katanya pada tahun ini pihaknya juga berjaya mengurangkan jumlah wang peruntukan sebanyak RM2 juta dari peruntukan kerajaan negeri berbanding pada tahun 2009, meskipun jumlah penerima bantuan pada tahun 2010 menunjukkan peningkatan.

Pengurangan wang peruntukan dari kerajaan negeri pada tahun 2010 adalah kerana kerajaan pusat menambah jumlah wang peruntukan untuk diagihkan kepada penerima bantuan yang layak.

Beliau menjelaskan bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat terbahagi kepada dua, iaitu skim bantuan am Negeri dan skim bantuan Persekutuan.

Antara jenis-jenis bantuan yang diperuntukan di bawah bantuan am negeri ialah, bantuan bulanan kepada warga tua, balu dan tanggungan, anak yatim miskin, tanggungan banduan, pusat tahanan dan pesakit.

Manakala bantuan sekaligus seperti bantuan sekolah, bantuan pemulihan bencana, dan bantuan segera bagi kes-kes seperti kes terdampar dan memerlukan bantuan segera.

Bantuan Persekutuan seperti bantuan kanak-kanak, orang Tua, Orang Kurang Upaya (OKU) yang bekerja dan tidak bekerja, pesakit terlantar dan lain-lain disalurkan melalui JKM setiap bulan.

Menurutnya, pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk membebaskan penerima bantuan daripada belenggu kemiskinan.

“Namun, bantuan yang disalurkan ini bukan bersifat warisan, sekiranya si bapa mendapat bantuan daripada JKM tidak bermakna si anak dan generasi seterusnya layak untuk mendapat bantuan. Semuanya bergantung kepada pendapatan isi rumah, “ katanya.

Encik Zuhami turut menjelaskan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak sekadar menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan, malah JKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling, perintah khidmat masyarakat untuk pesalah juvana, pembangunan komuniti dan sebagainya.

TEGANUKITA

30 May 2010

RM2 JUTA HADIAH MISTERI UNTUK GURU

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri memperuntukan RM2 juta untuk membeli ‘hadiah misteri’ untuk diagihkan kepada 21,735 guru seluruh negeri sebagai tanda terima kasih kerana berjaya memikul amanah mendidik anak bangsa tanpa rasa jemu.

“Saya akan pergi ke daerah-daerah untuk bersalam dengan setiap guru sambil menyampaikan cenderamata kenangan,” kata Menteri Besar Dato’ Ahmad Said yang enggan berterus terang bentuk pemberian yang dinyatakan..

Katanya, kerajaan juga telah menaja lawatan ke luar negara kepada 60 guru termasuk pegawai di Jabatan Pelajaran sebagai menghargai sumbangan menaikkan imej negeri dalam bidang pendidikan.

“InsyaAllah, jika tahun ini kita dapat mengekalkan keputusan terbaik kali ke -10 dalam peperiksaan awam, lebih ramai guru diberi peluang mengikuti program lawatan ke luar negara,” katanya di majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Gong Badak hari ini (30 Mei).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.

Sehubungan itu kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan dan perhatian dalam usaha memperkasakan pendidikan atas prinsip dan keyakinan, pendidikan sebagai agen dan instrument perubahan sikap dan minda rakyat.

“Pendidikan mampu membantu usaha membasmi kemiskinan,penyusunan semula masyarakat, mengukuhkan perpaduan, mencerna pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Menteri Besar meminta warga guru terus melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab secara dinamis dan progresif untuk membina keperibadian insan mulia di samping dapat menabur bakti kepada negara.

“Kita tidak mahu insan yang hebat pengetahuan serta tinggi keilmuannya tetapi rendah akal budi,” kata Dato’ Ahmad di hadapan lebih 2,000 wagra guru seluruh negeri yang hadir di majlis tersebut .

Katanya, telah banyak kejayaan dan kemajuan pendidikan dicipta namun sekarang bukan masa berpeluk tubuh kerana kita berhadapan dengan cabaran baru yang memerlukan kreativiti dan inovasi untuk bersaing dipersada antarabangsa.

“Warga guru hendaklah berusaha meletakkan penanda aras baru pendidikan yang lebih berkualiti dan mempastikan kita memenuhi tuntutan global.disamping meningkatkan kualiti diri untuk melonjakkan kecemerlangan murid,” katanya.

Beliau seterusnya mengajak semua warga pendidik membulatkan tekad untuk melaksanakan tugas membangunkan pendidikan negeri yang merupakan amanah besar perlu digalas bersama bagi melonjakkan kecemerlangan negara di persada dunia.

Sementara itu, Haji Ahmad Mahmood, dari Kampung Binjai, Kemaman telah diumumkan sebagai Tokoh Guru 2010 yang membawa pulang wang tunai RM10,000, medal emas, sijil penghargaan, tafsir al-Quran dan sepersalinan pakaian kebangsaan.

TEGANUKITA