Halaman

27 January 2011

Penjawat Awam diminta Turun Padang

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini terus mengulangi peringatan kepada semua ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan agar lebih kerap mendampingi anggota masyarakat bagi menyelesaikan masalah mereka.

“Ini bukan seruan kali pertama saya, bahawa pegawai mesti turun padang. Jika wakil rakyat ramai yang duduk bersama rakyat di kawasan mendengar masalah rakyat, pegawai juga perlu duduk bersama wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat,”.

Beliau berkata demikian di majlis Bicara Eksekutif bersama Menteri Besar dengan pegawai dan anggota penjawat awam kerajaan negeri dan Pusat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat, di Wisma Darul Iman, hari ini (27 januari).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan dan pemimpin masyarakat.

Menteri Besar berkata, sebagai pegawai, mereka lebih berkemampuan menyelesaikan masalah kerana ada sistem yang memiliki kemampuan tersebut, sebab itulah umum menggelarnya sebagai jentera kerajaan yang mampu merubah keadaan dalam memperkasakan pentadbiran atau mensejahterakan rakyat.

“Sebagai jentera pelaksana, pentadbiran kerajaan negeri mesti kemas, kukuh dan tegas, tetapi ketegasan kita janganlah sampai menghakis kemesraan kepada rakyat kerana ramai yang bergantung kepada perkhidmatan yang diberikan,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad berkata, sekiranya kita sendiri tidak boleh membantu rakyat, sekurang-kurangnya boleh memberi petunjuk kepada mereka untuk pergi ke jabatan yang berkaitan dengan urusan yang mereka perlukan.

“Itulah sebabnya, penjawat awam tidak kira kedudukan dalam hiraki pentadbiran, perlu tahu skop tanggungjawab jabatan-jabatan lain supaya mereka dapat membantu rakyat, terutama masyarakat luar bandar yang kabur mengenai fungsi sesuatu jabatan dan pendekatan mesra pelanggan perlu wujud serta menjadi amalan setiap penjawat awam ,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad menambah, nilai murni ini bukan rekaan atau sekadar slogan tapi adalah nilai universal yang telah diterima pakai, bukannya diolah dengan logik semata-mata tetapi disadur dengan nilai-nilai Islamik.

“Kita boleh menerima nilai-nilai ini kerana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam, tetapi menerima tanpa menghalusi dan menjadikan satu budaya, usaha ini akan menemui kegagalan,” katanya.

Katanya, tugas penjawat awam adalah untuk mencelikkan mata hati rakyat supaya mereka tahu betapa besarnya usaha kerajaan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negeri ini sudah melalui beberapa fasa pembangunan yang terancang sejak 35 tahun lalu dan setiap fasa dilalui dengan cabaran tersendiri untuk mencorak kehidupan rakyat ke arah yang lebih selesa dan terjamin.

“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, perkhidmatan awam Terengganu telah mendapat pengiktirafan demi pengiktirafan dan saya mahu melihat kecemerlangan ini berterusan,” katanya.

Katanya, apa saja boleh dicapai dengan amanah, komitmen dan disiplin yang tinggi dan ketua-ketua jabatan perlu pandai menilai antara kakitangan di bawah jagaan mereka yang benar-benar mempamerkan kebolehan ‘multi-tasking’ dan bekerja bukan untuk memenuhi waktu yang ditetapkan dari lapan hingga lima petang sahaja.

TEGANUKITA

Exxonmobil Sedia 10.5 Peratus Kerja Untuk Anak Terengganu

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Syarikat korporat terulung di Malaysia, Exxonmobil Exploration and Production Malaysia Inc (Exxonmobil) menawarkan peluang pekerjaan kepada 97 peratus rakyat Malaysia dengan 225 daripadanya atau 10.5 peratus adalah anak Terengganu.

Tenaga kerja berkenaan menjalankan tugas dengan positif, berkemahiran tinggi dan sentiasa mahu belajar selain menyumbang kepada kejayaan Exonmobil dan juga kejayaan negara.

Pengerusi Subsidiari Exxonmobil (Malaysia), Mr Hugh W Thompson, berkata syarikat itu sudah 30 tahun berada di Terengganu dalam industri petroleum dan gas yang menjadi nadi utama perindustrian Malaysia.

“Kami juga bangga kerana dapat bersama-sama-sama menjadi rakan pembangunan ke arah pencapaian Wawasan 2020. Kami juga sentiasa berusha menjadi warga korporat yang cakna dan prihatin dengan menjayakan program untuk komuniti di Terengganu.

“Saya gembira kerana program ini berjalan lancar dan memberi faedah secara terus kepada rakyat Terengganu,” kata beliau sempena majlis meraikan Anugerah Guru Unggul 2010, di Ri-Yaz Heritage marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam semalam (27 Januari).

Seramai 25 guru terdiri daripada 12 sekolah rendah dan selebihnya sekolah menengah menerima pengiktirafan daripada Exxonmobil berupapa wang tunai RM1,500 berserta plak dan sijil penghargaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman menyampaikan hadiah berkenaan.

Haji Ahmad Razif dalam ucapannya turut berterima kasih dengan Exxonmobil kerana banyak membantu kepada kejayaan dan kecemerlangan sektor pendidikan di Terengganu yang terbukti apabila Terengganu terus unggul sebagai negeri terbaik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah selama sepuluh tahun berturut-turut, selain peperiksaan Penilaian Menengah Rendah selama tiga tahun berturut-turut.

“ Insya-Allah dalam Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia kita juga akan menggunggulinya nanti.

“Saya amat berharap supaya hubungan baik dan kerjasama erat ini akan terus terjalin dalam usaha mrealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai `negeri anjung ilmu’” katanya.

TEGANUKITA

Kecekapan Perkhidmatan Agensi Kerajaan Ditingkatkan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Esah Abdullah

Kerajaan Terengganu akan memperluaskan usaha memendekkan tempoh pemprosesan pelbagai urusan di agensi-agensi kerajaan, bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan lebih cekap.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pendaftaran pindah milik dalam masa satu hari yang telah diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Produk Satu Malaysia, perlu diperluaskan kepada produk-produk lain di agensi kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri akan melakukan proses ini secara berperingkat-peringkat di jabatan lain agar rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang lebih efisien dan menjimatkan tempoh menungggu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Bicara Eksekutif Bersama YAB Menteri Besar di Wisma Darul Iman, hari ini (27 Januari 2011).

Sebelum ini pentadbir tanah negeri berjaya mempamerkan kecemerlangan dalam urusan tanah di mana Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menggunakan sistem secara ‘online’ bagi mempercepatkan urusan tanah.

Satu lagi penambahbaikan yang dilakukan pentadbiran tanah di negeri Terengganu ialah Sistem Pendaftaran Satu Hari di mana semua pejabat tanah dan PTG memulakan usaha mendaftarkan urusan tanah dalam masa sehari mulai Oktober 2010.

Sebelum ini, pendaftaran urusan tanah seperti pindahmilik, gadaian, kaveat, tarekah dan lain-lain didaftarkan dalam tenpoh lima hingga lapan hari.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Besar mengucapkan syabas dan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu kerana telah melaksanakan segala usaha bagi mengurangkan kadar jenayah seperti yang digariskan oleh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 4,037 kes jenayah telah dilaporkan berbanding 5,319 kes pada tahun sebelumnya. Penurunan sebanyak 1,282 kes ini bersamaan dengan 24.10 peratus dan mencapai kadar yang ditetapkan oleh NKRA iaitu 20 peratus,” tambahnya.

TEGANUKITA

Usah Jadi ‘gunting dalam lipatan’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kakitangan awam di seluruh Terengganu dingatkan supaya tidak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dengan cara membocorkan rahsia kerajaan kepada parti pembangkang dan pihak tertentu yang berniat jahat menjatuhkan kerajaan negeri.


Tindakan segelintir kakitangan awam yang mendedahkan maklumat sulit kerajaan kepada pihak tidak bertanggungjawab, amat tidak wajar dan bertentangan dengan Perintah Am yang melarang mereka berbuat demikian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sepatutnya kakitangan awam menghargai dan taat setia kepada kerajaan semasa yang mengurus tadbir negeri ini.

“Jika ada kakitangan yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan semasa dan tidak boleh bekerja untuk kerajaan, mereka perlu meletak jawatan,” katanya di sidang media selepas program Bicara Eksekutif Bersama YAB Menteri Besar Terengganu d i Wisma Darul Iman, hari ini (27 Januari 2011).

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlah Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO), ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dan kakitangan awam.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan seumpama itu bagi memastikan kerajaan yang ada sekarang ini tidak tergugat.

Beliau turut berharap pembocoran maklumat suilt tidak lagi berlaku, sebaliknya kakitangan awam perlu menumpukan tugas masing-masing dengan bekerja dengen lebih gigih bagi membantu melaksanakan program kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

TEGANUKITA

26 January 2011

MB bangga TSG harumkan Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Kerajaaan negeri bangga dengan kejayaan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) menduduki tempat kedua peringkat ketiga Le Tour De Langkawi (LTdL) 2011, walaupun julung kali menyertai kejohanan tersebut.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad yang melahirkan rasa kagum dan terharu dengan kejayaan itu turut menaruh harapan agar Raja Pecut, Anuar Manan dan rakan sepasukan, Mohd Harif Salleh terus mengungguli serta sentiasa berada di kedudukan teratas dalam kejohanan itu.

“Dalam perlumbaan hari ini iaitu zon pendakian ketiga, kerajaan negeri tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana zon itu bukan menjadi kegemaran pelumba TSG tetapi masih mengharapkan keajaiban.

“Sebenarnya, anak kelahiran Terengganu ramai yang berbakat dalam bidang sukan, bukan sahaja dalam perlumbaan basikal malah dalam acara-acara lain dan pernah dibuktikan dalam Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Ahli-Ahli Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman (WDI), Kuala Terengganu, hari ini (26 Januari).

Dato’ Seri Ahmad turut memberitahu kira-kira 106,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di negeri ini bakal menerima agihan pakaian sekolah pertengahan Februari depan.

“Kos yang dikeluarkan melalui bajet pendidikan membabitkan RM12 juta dan kelengkapan itu akan diagihkan secara berperingkat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dua pelajar dalam setiap keluarga berpendapatan kurang RM1,200 sebulan layak menerima sumbangan itu bagi meringankan beban terutama mereka yang mempunyai anak yang ramai,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri mengharapkan ibu bapa, benar-benar membeli pakaian sekolah dan bukannya menggunakan wang sumbangan itu untuk tujuan lain.

“Setiap pelajar pasti gembira apabila mendapat pakaian sekolah baru dan lebih bersemangat untuk menuntut ilmu bersama rakan sebaya lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Ahmad berkata, pihaknya gembira dengan pengiktirafan pihak luar negara, termasuk Singupura dan Sudan terhadap pengagihan e-Book yang sedang dilaksanakan.

“Perkembangan terbaru, Menteri Pendidikan Sudan menyatakan persetujuan untuk meninjau sistem pendidikan yang diusahakan kerajaan, pada 7 Febuari ini .

“Untuk tujuan itu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) memilih Sekolah Kebangsaan Paya Bunga (SKPB), Kuala Terengganu, sebagai langkah memperkenalnya,” katanya.

Menurutnya, sekolah itu nanti akan menggunakan pendekatan teknologi maklumat, kelas maya dan peperiksaan melalui talian (secara online) sebagai asas pembelajaran.

TEGANUKITA

YB RAZIF DAN YB DATO’ ZA’ABAR SEBAGAI KETUA PENERANGAN DAN BENDAHARI

Laporan terkini oleh: Ruslan Abdul Rahman

Segala teka teki terjawab, apabila malam ini YB Tengku Putera Awang diumumkan kekal sebagai Setiausaha Umno Negeri Terengganu, manakala Exco Kanan Kerajaan Negeri YB Haji Ahmad Razif Abul Rahman (Ketua Penerangan) dan YB Dato’ Za’abar Mohd Adib (Exco Kerajaan Negeri) sebagai Bendahari.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu UMNO Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said membuat pengumuman ini kepada media sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Umno Negeri kali pertama 2011 malam ini (25 Januari), selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi BPUNT berkuatkuasa 1 Januari baru-baru ini.

Semua Ketua-Ketua Bahagian dari lapan bahagian di Terengganu hadir.



YB Haji Ahmad Razif, 46 tahun merupakan Ahlijawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus dan Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) Kawasan Seberang Takir yang baru bertanding dan menang dalam PRU yang lalu. YB Haji Ahmad Razif merupakan Exco kerajaan Negeri bagi portfolio Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri.



Manakala Dato’ Za’abar Mohd Adib adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Dungun dan ADUN Rantau Abang serta Exco Kerajaan Negeri bagi portfolio Pembangunan Infra dan Kemudahan Awam Negeri.

Dato’ Seri Ahmad juga memaklumkan bahawa satu jawatan baru diwujudkan iaitu Pengarah Strategik Umno Terengganu, disandang oleh Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan, sekaligus menduduki jawatankuasa Pengurusan Umno Negeri yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi BPUNT, YB Haji Yahya Khatib Mohamad (Ketua Bahagian Marang).

Menjawab soalan wartawan,Dato’ Seri Ahmad yakin bahawa Umno Terengganu cukup mantap untuk menghadapi Piliharaya Umum ke 13 dengan penyusunan baru dan perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh ketua-ketua bahagian yang hadir.

“Saya mengucap terima kasih kepada semua ketua-ketua bahagian yang hadir dan tahniah kepada semua yang dilantik, termasuk Timbalan, YB Haji Yahya Khatib Mohamad”.

Sementara itu, Tengku Putera Awang ketika diminta oleh Teganukita mengulas mengenai pengekalannya sebagai Setiausaha BPUNT berkata, kini Umno Terengganu begitu jelas berada dalam penyatuan di semua peringkat.

“Segala kemelut yang digembar-gemburkan selama ini telah pun berakhir dan kita sudah bersedia untuk menghadapi PRU 13 dan Pengerusi sendiri memberi jaminan akan mengambilkira semua peringkat parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Besut Dato’ Seri Idris Jusoh ketika mengulas pelantikan dan penyusunan semula BPUNT berkata; “Insya Allah akan menyerlahkan lagi semangat baru untuk mempastikan kemenangan cemerlang dalam pilihanraya umum akan datang”.

TEGANUKITA

25 January 2011

Kelas Maya Di Sekolah Perintis

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bersedia menaiktaraf sistem pelajaran Sekolah Kebangsaan Paya Bunga (SKPB), Kuala Terengganu sebagai langkah menarik minat lebih ramai murid menimba ilmu di sekolah itu.

Ketua Sektor JPNT, Haji Zubir Embong berkata, mewujudkan kelas maya dan peperiksaan melalui talian antara pendekatan yang bakal dilaksanakan di SKPB dan dua lagi sekolah rendah di negeri ini
.
“Tiga sekolah rendah itu termasuk Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan Sekolah Rendah Teluk Kalong, Kemaman adalah sekolah perintis sebelum dilaksanakan sepenuhnya di sekolah lain.

“ JPNT yakin melalui pendekatan itu, tiga sekolah rendah itu terutama SKPB akan menerima kemasukan lebih ramai murid di mana sebelum ini, SKPB hanya menempatkan 50 hingga 70 bilangan murid sahaja dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan e-Book bagi sekolah rendah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini (25 Januari).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, YB Toh Chin Yaw dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Seramai 781 termasuk 18 murid Tahun Lima Sekolah Pendidikan Khas, Kuala Terengganu hadir ditemani ibu atau bapa bagi menerima e-Book percuma.

Haji Zubir berkata, bagi sesi persekolahan 2011, SKPB menerima seramai 101 murid berbanding 71 murid tahun lalu.

“ Pihaknya bangga dengan maklum balas positif itu kerana ibu bapa sudah mula mempercayai pendekatan yang dilaksanakan,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad ketika sidang akhbar berkata, kerajaan negeri akan berkerjasama dengan Top IT Sdn. Bhd bagi melaksanakan penggunaan kelas maya dan peperiksaa melalui talian di tiga sekolah rendah terpilih itu.

Katanya, bagi menjayakan kaedah pembelajaran ini,semua pihak terutama keluarga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan pembelajaran anak dalam semua subjek tidak ketinggalan.

“Ibu bapa perlu peka dengan memastikan anak yang memperoleh e-Book terlebih dahulu mengecas bateri peralatan itu di rumah sebelum hadir ke sekolah,” katanya.

TEGANUKITA

Jersi Putih LTdL Milik Anuar

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketua Pasukan Terengganu ProAsia Cycling Team (TSG), Anuar Manan yang berjaya merampas jersi putih dari pelumba pasukan kebangsaan Korea Selatan, Park Sungbaek untuk dinobatkan sebagai juara semasa Asia, di peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, semalam (24 januari).

Jika kelmarin, rakan sepasukan Mohd Harrif Salleh berjaya mencuri tumpuan untuk berada di kedudukan ketiga sejurus tamat perlumbaan peringkat pertama, Anuar pula mengambil tempat di kedudukan yang sama dan menjejakkan kaki di podium, semalam.

"Sasaran saya ialah cuba mengumpul mata bagi jersi biru tetapi saya fikir memenangi gelaran Asia adalah bonus. Saya juga bernasib baik dan bertuah kerana tidak terbabit dalam kemalangan," kata Anuar.

Anuar berkata, jika tidak kerana kehilangan tenaga akibat mengejar pelumba lain di hadapan selepas tergaanggu kerana perlanggaran melibatkan beberapa pelumba pasukan lain, dia mungkin mampu menamatkan perlumbaan selaku juara.

“Saya akan cuba memungut seberapa banyak mata esok (hari ini) kerana sasaran saya kini adalah memenangi jersi biru,” kata anak kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu.

Oleh kerana tidak akan wujud zon bukit pada perlumbaan itu, gelaran Raja Bukit (jersi merah) dikekalkan oleh pelumba pasukan Skil Shimano Cycyling Team, Koen De Kort dengan mengumpul enam mata.

Sementara itu, pasukan benua Malaysia, Terengganu Pro Asia Cycling (TSG) mendahului 23 pasukan lain dalam kategori Asia selepas mengumpul catatan masa 16 jam 29 minit 42 saat.

Hari ini akan berlangsung perlumbaan peringkat ketiga dan menyaksikan kayuhan sejauh 144.9 kilometer dari Taiping ke Sitiawan dengan satu zon bukit di Bukit Gantang dan tiga zon pecutan di Kuala Kangsar, Beruas dan Pantai Remis.

TEGANUKITA

23 January 2011

ROMBONGAN TERENGGANU TERUS BANTU KEMPEN

Laporan: Ruslan Abdul Rahman,Rahim Daud (jurukamera), Syed Abdul Rahman (Jurufoto) dan Wahab Awang (logistik).

Suasana kempen pilihanraya di Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) Tenang terus rancak sebaik sahaja proses penamaan calon selesai.



Rombongan Terengganu yang diketuai Dato’ Seri Ahmad Said (Pengerusi Perhubungan Umno merangkap Menteri Besar Terengganu) terus menjalankan gerak kerja secara turun terus ke rumah pengundi, khususnya melawat pengundi yang uzur.



Kira-kira jam 3.00 petang semalam (22 Januari) Dato’ Seri Ahmad dan rombongan megunjungi beberapa buah rumah di sekitar Perumahan Awam Labis.

Bagi beliau, sentuhan terus kepada jiwa dan perasaan pengundi melalui program ziarah itu adalah amat berkesan, lebih-lebih lagi kepada pengundi yang sakit atau uzur di rumah mereka.

Perumahan Awam Labis yang terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Labis kebanyakannya didiami oleh golongan berpendapatan rendah.

Selepas itu, rombongan beredar menemui golongan muda yang bereakreasi di sebuah kawasan berha mpiran padang awam di kawasan perumahan itu dan mengajak semua yang ada minum bersama-samnya di sebuah warong berhampiran.

Pada sebelah malam Dato’ Seri Ahmad menemui jentera pilihanraya BN Perumahan Awam tersebut serta memberikan taklimat mengenai pengalaman beliau menghadapi Pas di Terengganu.

Dato’ Seri Ahmad meminta orang-orang Johor menolak Pas kerana golongan ini hanya pandai berkata-kata semata-mata tetapi tidak melaksanakan apa yang diperkatakannya itu, malah rakyat menderita sepanjang pemerintahan mereka.

“Saya berdepan secara berdepan dengan Haji Hadi sendiri pun mengenai Pas yang saya anggap sebagai Parti Ajaran Sesat yang banyak merosakkan aqidah umat Islam,” ujarnya kepada jentera pilihanraya di kawasan itu.

Bayangkalah berlaku sembahyang dua imam, nikah dua kali kerana pemimpin Pas menfatwa jurunikah Umno tidah sah, sembelihan orang Umno diharamkan dan sebagainya yang amat merosakkan aqidah kerana tindakan pemimpin PAS mengkafirkan sesama Islam.

Hadir sama Dato’ Tengku Putera Awang (Speaker DUN Terengganu), YB Toh Chin Yaw (ADUN Bandar Kuala Terengganu), Ketua Wanita Umno, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Umno Terengganu.

Sementara itu dalam ceramahnya di Felda Cempelak Barat selepas itu beliau menyifatkan orang Johor bertuah kerana Umno dilahirkan di negeri Johor, yakni di Istana Sultan Johor.

Pas dilahirkan dari rasa tidak puas hati seorang pemimpin yang asalnya berada dalam Biro Agama Umno tetapi tewas dalam pemilihan parti kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman, kemudian keluar dengan penuh rasa keciwa dan menubuhkan Pas.

Turut berceramah bersama beliau ialah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohd.Fairus Khairuddin yang keluar dari Parti Keadilan (PKR).

TEGANUKITA

Perlu Kekalkan Adat Bertindik

Oleh: Suriati Ali dan Razlan Mamat


To' Puan Seri Norliza Mahmud merenjis air mawar kepada kanan-kanak yang menyertai Titian Sayang (bertindik beramai-ramai) di Dewan Sivik Bukit Kuang, Kemaman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Teriakan dan tangisan hampir 30 kanak-kanak yang `gerun’ untuk bertindik menggamatkan Majlis Titian Sayang anjuran Puteri Umno Dewan Undangan Negeri (DUN), Kijal, Kemaman di Dewan Sivik, Bukit Kuang, Kemaman, semalam (21 Januari).

Kebanyakan kanak-kanak berusia antara enam hingga sepuluh tahun, mempamerkan mimik muka sedih, mungkin disebabkan perasaan gerun apabila melihat alat bertindik.

Program yang dirasmikan isteri Menteri Besar, To’ Seri Puan Norliza Mahmud itu julung kali diadakan, bertujuan mengekalkan adat budaya masyarakat Melayu yang diamalkan sejak dahulu lagi, selain meringankan beban ibu bapa.



Sebelum bertindik, kanak-kanak dihiburkan dengan alunan selawat serta marbahan dan rejisan air mawar oleh To’ Puan Seri Norliza.

To’ Seri Puan Norliza, berkata beliau yakin kanak-kanak yang terpilih mengikuti program ini cukup gembira dan akan mengingatinya apabila besar kelak.

“Mereka bertuah kerana diraikan secara besar-besaran begini, kebiasaannya rakan sebaya lain hanya bertindik di kedai emas atau salun kecantikan tanpa mengadakan sebarang majlis kesyukuran.



“Adat bertindik sewajarnya dikekalkan, supaya apabila meningkat dewasa nanti, mereka secara sendirinya pandai berhias dan menguruskan diri,” katanya ketika berucap sempena majlis itu.

Menurutnya, adat bertindik jauh berbeza jika dibandingkan 50 tahun dahulu dimana ketika itu tiada lagi alat khas untuk menebuk teliga, kebiasaan orang terdahulu mengunakan pin baju sebelum dipakaikan tali tangsi.


TEGANUKITA