Halaman

21 February 2011

Usaha Cari Gali Artifak Di Gua Bewah Diteruskan

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Usaha mencari gali bahan-bahan sejarah di kawasan Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Lebih banyak artifak berharga dijangka bakal ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir, apabila usaha mencari gali bahan-bahan sejarah di kawasan tersebut diteruskan tidak lama lagi.

Usaha mencari gali artifak di kawasan tersebut yang diuruskan pakar pengkaji bahan-bahan sejarah, merupakan kesinambungan kerja-kerja mencari gali yang dilakukan pada tahun 2009.

Pegawai Perhubungan Awam dan Pemasaran Perbadanan Muzium Negeri Terengganu, Mohd Saberi Muda, berkata pihaknya yakin Gua Bewah menyimpan banyak khazanah berharga berdasarkan hasil penemuan usaha cari gali di kawasan itu yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, pada pencarian yang dilakukan dua tahun lalu muzium itu berjaya menemui pelbagai bahan sejarah, termasuk satu rangka manusia yang dipercayai berusia 11,000 tahun.



Penemuan itu berjaya menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahamd Said, yang turut melawat kawasan berkenaan bersama-sama pegawai kanan kerajaan dan Pengarah Muzium negeri, Haji Mohd Yusof Abdullah.

Mohd Saberi berkata, Gua Bewah merupakan batu kapur yang menjadi penempatan terawal manusia zaman pra-sejarah di negara ini.

Sebanyak 613 artifak ditemuki hasil kerja mencari gali di kawasan tersebut yang dimulakan pada 2009 hingga tahun lepas.

Kerajaan negeri mahu mengekalkan artifak manusia kuno itu di Gua Bewah sebagai daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir, khususnya di kalangan pencinta sejarah.

TEGANUKITA

MSSDHT Juara Merentas Desa Peringkat Negeri

Oleh : Esah Abdullah

Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Terengganu (MSSDHT) muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Merentas Desa Peringkat Negeri, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Terengganu (MSST) 2011.

MSSDHT mengungguli tiga kategori melalui Fatin Nadia Mohammad (P-18 tahun ke bawah), Basyaruddin Adilah Zaki (L-18 tahun ke bawah) dan Mohd Amiruddin Bazli (L-15 tahun ke bawah) manakala Anles Zarryna Amdan dari Kuala Terengganu Utara, juara 15 tahun ke bawah.

“Dengan kejayaan tersebut, tujuh peserta dari MSSDHT layak mewaliki negeri menyertai kejohanan peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan di Serawak awal bulan depan,” kata Penyelia MSSDHT, Abdul Halim Osman.

MSS Terengganu Utara terpilih menjadi tuan rumah kejohanan kali ke lapan ini dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Terengganu menjadi lpkasi pelepasan dan penamat 512 peserta dari lapan daerah seluruh negeri.

Setiap daerah menghantar 62 peserta antaranya, MSSD Kemaman, Dungun, Marang, Setiu, Besut, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu Utara dan Kuala Terengganu Selatan.

Para peserta melalui trek sejauh lapan kilometer (lelaki) dan lima kilometer (perempuan) melewati tiga kampung iaitu Kampung Gelong Gajah, Padang Kemunting dan Bukit Cempaka

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang telah dilakukan oleh Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Encik Jaafar Ismail.

TEGANUKITA

Taman Ilmu akan mula beroperasi pada bulan Mei.

Oleh : Raja Faisal Raja Haron dan Suriati Ali

Kerajaan negeri yang mensasarkan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu akan menjadi kenyataan apabila Taman Ilmu di besut di jangka siap sepenuhnya pada mei tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Taman Ilmu yang mampu menampung 50,000 pelajar mendapat sambutan yang mengalakkan dari pelbagai universiti termasuk luar Negara iaitu untuk membuka cawangan baru.

Pelbagai infrastruktur telah dibina berkonsepkan ‘sharing facilities’ (kongsi kemudahan), bertujuan memberi kemudahan asas untuk pelajar berkongsi kemudahan yang ada bagi menjalinkan hubungan antara pelajar-pelajar di lain-lain universiti.

Menurut YB Haji Razif juga, Universiti institut Teknologi Mara (UiTM) sudah bersedia untuk menghantar 1,200 pelajar bagi pengambilan sesi pertama di jangka September ini, keputusan masih belum muktamad bagi menilai kursus yang wajar ditawarkan supaya dapat memberi hasil dan juga menjamin permintaan tinggi pada masa akan datang.

“Kerajaan negeri mengutamakan kursus berkualiti tinggi seperti bidang yang menjurus kepada minyak, petroleum dan gas, teknikal, kejuruteraan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media dalam program Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di Tanjong Vista, Kuala Terengganu.

Kira-kira 30 wartawan media massa dan elektronik hadir pada majlis minum petang yang diadakan secara berkala.


TEGANUKITA

20 February 2011

YB RAZIF LAWAT TAMAN ILMU DAN IMTIAZ SELASA INI




Usaha Kerajaan Negeri mencalonkan Sekolah Imtiaz (menengah) dan beberapa buah sekolah lagi untuk mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) mencapai kejayaan apabila sekolah berkenaan dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (rendah) telah diiikriaf bersama 23 sekolah seluruh negara sebagai SBT.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, untuk tahun hadapan beberapa sekolah dicalonkan lagi oleh Terengganu termasuk SMK Lembah Bidong, SM Mak Lagam, SK Paya Bunga, Kompleks Seberang Takir dan Telok Kalong.
Sekolah-sekolah yang dicalonkan itu mempunyai kelebihan tersendiri termasuk mengadakan pembelajaran secara ‘kelas maya”.

Beliau akan mengadakan lawatanke Sekolah Menengah Imtiaz Terengganu di Besut Selasa ini bagi meraikan kejayaan sekolah itu mendapat pengiktirafan sebagai SBT.
Katanya, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said telah mengumumkan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz akan diwujudkan di setiap daerah seluruh Terengganu dijangka dapat memenuhi permintaan ramai ibu bapa dan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dan sekolah berasaskan pendidikan agama.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis mengumumkan nama 23 sekolah lagi yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas ia didapati memenuhi kriteria yang diperlukan, termasuk kedua-dua sekolah itu yang masing-masing terletak di Besut (Imtiaz)dan Kemaman (SK Sultan Ismail).

Tan Sri Muhyiddin membuat pengumuman nama-nama sekolah itu semasa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, kira-kira 55 kilometer dari Limbang, Sarawak yang merupakan salah satu daripada sekolah yang tersenarai di bawah pengiktirafan itu.

Dalam pada itu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman juga akan melawat Taman Ilmu Selasa ini bagi mengetahui status taman itu sekarang.
Menurut beliau, Taman Ilmu itu dijangka siap sepenuhnya Mei depan dan dijangka beberapa buah univeristi akan beroperasi secara bersama di situ.
Taman Ilmu itu mempunyai kapasiti 50,000 orang dengan jangkaan tujuh buah university boleh beroperasi secara sekaligus. Oleh: Langtelipot.






TEGANUKITA

Hafaz surah lazim jadi rutin harian anak-anak YPK

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pengarah YPK Encik Mohd Safaruddin Mustaffa.

Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai untuk melihat kanak-kanak seawal usia tiga dan empat tahun yang berada di taska kelolaannya mampu hafaz Muqadam tahun ini.

“Untuk capai target berkenaan, setiap permulaan aktiviti mereka dimulakan dengan sebutan ayat-ayat suci al-Quran agar setiap patah perkataan itu melekat di hati mereka,” kata Pengarah YPK Encik Mohd Safaruddin Mustaffa.

Tahun lalu katanya, 735 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun boleh hafaz 23 surah lazim dan tahun ini jumlah itu akan lebih meningkat lagi.

Mulai tahun ini katanya, Taska Keluarga dan Taska Permata digabung menjadi Taska Permata Keluarga (TPK) dan setiap kanak-kanak yang boleh bercakap walaupun tidak begitu lancar akan diasuh menyebut kalimah Allah serta doa pendek setiap memulakan sesuatu aktiviti.



“Terdapat 2,932 kanak-kanak berusia dua bulan hingga empat tahun di 65 buah TPK seluruh negeri yang menampung antara 60 hingga 110 bayi dan kanak-kanak disetiap TPK mengikut saiz bangunan,” katanya.

Selain itu katanya, setiap penjaga dan guru yang diambil bertugas dengan YPK disyaratkan dapat membaca 23 surah lazim dengan baik dan lancar dan jabatan ada mengambil khidmat guru al-Quran untuk memantau penjaga dan guru YPK terutama untuk perbetulkan bacaan mereka.

“Kanak-kanak mudah ingat dan apa yang dia dengar itulah yang akan disebutnya, jadi kita amat jaga perkara ini agar mereka membesar seiring dengan perkembangan minda yang cintakan al-Quran,” katanya.

Encik Mohd Safaruddin berkata, pihaknya sedaya upaya memberi perkhidmatan terbaik dan masyarakat mengetahui taska merupakan ‘ibu kedua’ bagi keluarga yang bekerja dan amanah ini digalas bersama membentuk keperibadian generasi kecil dengan baik dan sempurna.

TEGANUKITA

Sepuluh destinasi jadi ikon pelancongan

Oleh: Suriati Ali

Sepuluh destinasi menarik dan terbaik di negeri ini digelar sebagai ikon pelancongan sebagai usaha meningkatkan jumlah kedatangan pelancongan tempatan dan luar negara.

Ikon pelancongan itu termasuk Taman Taman Islam; Taman Reakresi dan Mini Zoo; Muzium Negeri; Pulau Redang; Bazar Warisan; Pulau Warisan; Tasik Kenyir; Pantai Batu Buruk; Pasar Besar Kedai Payang dan Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, destinasi itu wajar digelar sebagai ikon kerana menjadi faktor penyumbang peningkatan jumlah pelancongan pada setiap tahun.

“Peningkatan jumlah pelancong bukan saja mampu memberangsangkan ekonomi negeri dan menarik minat pelabur malah meningkatkan taraf hidup penduduk terutama yang membabitkan diri dalam perniagaan.

“Apa yang membanggakan apabila tiba musim cuti sekolah atau umum, peniaga keropok lekor, pengusaha kain batik dan songket bagaikan tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, dia menyarankan kepada semua peniaga terutama pengusaha makanan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kedatangan pelancong dengan mengenakan harga yang tidak munasabah.

“Sikap ingin untung sekejap ini, bukan saja merugikan diri sendiri malah membabitkan imej Terengganu. Apabila pelancong mengeluh mengenai harga makanan mahal, mereka bukan saja tidak mengunjungi restoran itu lagi malah akan menjaja topik kepada rakan atau saudara lain.

“Pelancong juag akan naik bosan untuk mengunjungi Terengganu, sekaligus membantutkan usaha kerajaan negeri yang tidak jemu-jemu menghebahkan tentang keindahan negeri ini ,” katanya.

Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program tahunan peringkat antarabangsa di pelbagai lokasi menarik di negeri ini sebagai langkah menambat hati pelawat terutama pelancong luar negara.

TEGANUKITA

Program LMNT dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali


Haji Mohd Yusof Abdullah

Pendekatan pihak pengurusan Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) menganjurkan pelbagai program tahunan nyata memberi impak positif apabila mendapat peningkatan bilangan pengunjung pada setiap tahun.

Pada tahun 2009, seramai 119,796 pelawat dicatatkan, jumlah itu meningkat sebanyak 69 peratus di tahun seterusnya dengan menjadikan jumlah 202,593 pengunjung.

Pengarah (LMNT), Haji Mohd Yusof Abdullah, berkata pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung, ini membuktikan program yang dirancang mendapat sambutan pelbagai golongan dan usia.

Katanya, pameran haiwan berbisa yang dianjurkan selama dua bulan dan berakhir 31 Disember tahun lalu, mencatatkan bilangan pengunjung paling tinggi berbanding program lain iaitu seramai 89,785 pelawat.

“Di atas pemintaan pengunjung terutama peminat haiwan, program seumpama itu akan terus dianjurkan.

“Setiap program yang dianjurkan tidak semestinya di muzium, malah dianjurkan di serata tempat, termasuk di Kampung Petai Bubus dengan aktiviti perahu panjang dan Kampung Padang Hangus, Kuala Terengganu pula membabitkan program pelita raya,” katanya.

Menurutnya, pendekatan ini nyata menaikkan imej muzium yang sinonim dengan adat, budaya, khazanah, bahan sejarah dan alatan tradisional.

TEGANUKITA

Vanila Tumbuh Meliar Tanaman Berpotensi Tinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan menjalankan kajian terperinci mengenai pokok vanila yang tumbuh meliar di beberapa kawasan di negeri ini yang dikenalpasti sebagai tanaman yang berpotensi tinggi dan mampu memberi pulangan lumayan kepada petani.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pasaran tanaman itu yang mahal dan mencecah sehingga beratus ringgit per kilo selain terdapat permintaan daripada pelabur yang mendorong kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Terengganu bagi melihat perkara itu dengan lebih mendalam.

Katanya, selepas kajian dijalankan dan terbukti ia mampu memberi pulangan lumayan, kerajaan negeri akan menimbang untuk mengkomersialkan tanaman itu sebagai sumber pertanian yang baru di negeri ini.

“Saya arahkan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani supaya melihat (pokok vanila) dan kita ada vanila yang hidup meliar di Terengganu serta sudah banyak ditebang oleh orang ramai kerana mereka tidak mengenali pokok berkenaan. Jika pokok itu ada potensi kita akan tanam,” katanya ketika sidang media, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, tanaman kenaf yang pernah dikomersialkan kerajaan negeri dan memiliki potensi besar di pasaran sebelum ini didapati hanya menguntungkan pengilang kerana mereka boleh menghasilkan pelbagai produk dengan meletakkan harga mengikut pasaran semasa.

Menteri Besar berkata, pengusaha kenaf tidak mendapat untung berikutan pokoknya yang terlalu ringan dan menunggu tempoh masa yang lama sehingga tujuh bulan baru mendapat hasil. Malah, 0.4 hektar ladang hanya menghasilkan dua tan pokok kenaf.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, vanila yang merupakan tanaman baru di negara kita dilihat jauh berpotensi daripada kenaf khususnya kenaf yang sama spesies seperti di Mexico.

“Ada pelabur berminat dan kita minta buat ujian terlebih dahulu di kawasan seluas 20 hektar. Mereka (pelabur) mahu kawasan yang luas, tetapi Terengganu tidak mempunyai kawasan yang luas, kecuali dengan menjalankan secara berasingan yang mana 40 hektar di sana, 40 hektar di sini,” katanya.



TEGANUKITA

Tapak Rumah Kini Milik Generasi Kedua

Oleh: Shahrir Hamid

Peneroka generasi kedua Felda Belara boleh menarik nafas lega apabila, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri memberitahu isu pemilikan tanah tapak rumah di Bukit Perah dan Batu 20, Tepoh yang tergendala hampir 20 tahun kini dalam proses pindah milik.

“ Kita menyedari generasi kedua Felda Belara menunggu lama bagi mendapatkan hak milik tanah di Bukit Perah dan Batu 20 yang diteroka oleh generasi pertama Felda Belara. Perkara ini telah dipersetujui oleh pejabat daerah dan kita hanya menunggu masa sesuai untuk mengusulkan kepada mesyuarat exco dalam masa terdekat”, jelas Dato’ Nasir ketika memberitahu wartawan unit komunikasi negeri.

Pemindahan milik tanah rentitan perlu melalui banyak proses dalam memastikan pembahagian tanah berlaku dengan adil. Menurut Dato’ Haji Nasir, keadaan ini akan terjejas sekiranya pertindihan nama pada dua kawasan berbeza dan mengakibatkan pemilikan berganda.

“Sekiranya nama generasi kedua terdapat dalam senarai nama kawasan Bukit Perah, secara automatik tapak rumah di Batu 20 akan diberikan kepada ahli keluarga yang lain dan Insya Allah isu ini akan cuba diselesaikan dalam masa dua tahun”, ulas Dato’ Haji Nasir lagi.

Kini terdapat 165 nama di Bukit Perah dan 65 nama di Batu 20 dalam kawasan Felda Belara yang merupakan salah satu Felda Bandaraya di Malaysia. Penama hanya perlu membayar 10% harga premium daripada harga nilaian tanah bagi mendapatkan tapak rumah itu.

Dato’ Haji Nasir menjelaskan perkara tersebut dalam Majlis Perhimpunan Rapat dan Mesra Peneroka dan Generasi Kedua Komuniti Peringkat Felda Belara Bersama YB di Dewan Sivik Felda Belara pada Khamis (17 Februari) lepas.

Hadir sama memeriahkan majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Haji Nuh.

Pada masa yang sama, YB Ramli menegaskan perjuangan bagi membuka kawasan penempatan baru di kawasan berhampiran Felda Belara akan tetap diteruskan dalam usaha melahirkan lebih ramai peneroka di samping meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat Melayu.

TEGANUKITA

TCNG Cungkil Pelapis Sukan di Daerah-daerah

Oleh: Aida Abd Rahman


Di antara aktiviti Terengganu City Night Games. (Gambar hiasan)

Terengganu City Night Games (TCNG) akan menjelajah ke setiap daerah mulai bulan depan bagi mencungkil bakat baru dan pelapis sukan khususnya sukan yang berprestasi tinggi seperti basikal serta kanu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, berkata TCNG yang dijalankan di lokasi yang sama berhampiran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu setiap bulan sejak tiga tahun lalu akan diadakan di setiap daerah pula mengikut giliran dan bergantung kepada persediaan daerah yang mahu menjadi tuan rumah.

Katanya, TCNG di Gong Badak yang merangkumi sukan berprestasi tinggi, sukan lasak dan sukan massa, acara hiburan, persembahan, pameran, jualan dan demonstrasi bukan hanya membuka peluang kepada masyarakat setempat tanpa mengira peringkat umur untuk menyertainya, malahan turut menarik penyertaan peminat sukan dari negeri lain seperti Kelantan, Pahang dan Kedah.



Haji Rozi berkata, pelbagai acara sukan yang dipertandingkan di TCNG (Gong Badak) termasuk hoki, bola jaring, boling padang, memanah, kanu, lumba basikal, `drift car’, lumba kereta kawal dan `motorcross’ yang lazimnya dijalankan pada minggu ketiga setiap bulan.

“Bagaimanapun, sukan TCNG di daerah adalah mengikut kesesuaian dan sukan teras yang lazimnya popular di kawasan itu, selain persiapan tuan rumah untuk menganjurkan sukan tertentu.

“Sebagai contoh, pada Februari katakan Hulu Terengganu akan menjadi tuan rumah, diikuti Mac di Kemaman dan Besut pada bulan berikutnya,”katanya selepas merasmikan TCNG di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, petang semalam (18 Februari.

Beliau berkata, TCNG menjadi landasan mempelbagaikan aktiviti di persekitaran kompleks sukan (Gong Badak), mempelbagaikan aktiviti malam minggu, membantu menghindarkan remaja dari gejalan kurang sihat dan menjadi produk yang menarik pelancong ke Terengganu.

TEGANUKITA