Halaman

09 March 2011

Menteri Besar bersama rombongan akan ke Cuba

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said menerima kunjung hormat Duta Cuba Ke Malaysia H.E Carlos A.Amores di pejabatnya di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said bersama rombongan akan mengadakan lawatan kerja ke Cuba dalam usaha menjalinkan kerjasama dan meninjau peluang pelaburan di negara itu.

Beberapa Proffesor berkaitan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniZA) dan Universiti Malaysia Terengganu akan turut serta dalam lawatan itu yang dijangka bertolak pada Mei atau Jun nanti.

Dato’ Ahmad berkata, bio-teknologi dan nano-teknologi adalah antara bidang utama yang menjadi tumpuan dalam kerjasama dua hala itu.

“Kerjasama dua hala dalam bidang berkenaan dibuat memandangkan Cuba adalah antara negara yang telah maju dalam kedua-dua bidang itu dan kita berharap ia dapat melonjakkan industri itu di Terengganu,” katanya.



Beliau berkata demikian selepas menerima Kunjungan Hormat Duta Cuba Ke Malaysia H.E Carlos A.Amores di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (9 Mac).

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak bersama isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dijangka hadir dalam Program Sehari di Terengganu pada 30 April ini.

Program Sehari itu adalah dalam siri lawatannya ke negeri-negeri seluruh negara dalam usaha mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.



Duta Cuba puji Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Duta Cuba ke Malaysia, H.E Carlos A Amores memuji keindahan Terengganu terutama berkaitan Taman Tamadun Islam (TTI).

Beliau datang ke negeri ini untuk mempelawa kerajaan Terengganu melawat Cuba bagi meninjau peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

"Malaysia dan Cuba telah menjalin hubungan dua hala yang baik di pelbagai peringkat. Walaupun begitu, kita masih lagi perlu mempertingkatkan kerjasama," katanya.

“Pelbagai peluang pelaburan di Cuba terutama di bidang pelancongan, perubatan dan kesihatan selain teknologi nano dan bio-teknologi,” katanya.

Katanya, Cuba masih memerlukan lebih banyak hotel dan kemudahan dalam bidang pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke negara itu. Cuba dikunjungi pelancong asing kira-kira 2.5 juta setahun.

“Cuba telah banyak mencapai kejayaan dalam bidang bio-teknologi terutamanya yang melibatkan farmasiutikal.

“Ketika ini terdapat lebih 30,000 pelajar dari 70 buah negara yang sedang belajar dalam pelbagai bidang di negara itu,” katanya.



MB tinjau pembangunan pulau di Tasik Kenyir

Oleh: Raja Faisal dan Mohamad Shahrir

Menteri Besar, Dato’ SeriHaji Ahmad Said meluangkan masa selama lima jam mengunjungi pulau-pulau di Tasik Kenyir dalam rangka lawatan kerja beliau ke Tasik Kenyir petang semalam (8 Mac 2011).

Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim, meninjau pembangunan di Taman Orkid, Taman Burung, Taman Tropika, dan penebangan balak dalam air di sekitar Pulau Bayas.

Taman Burung yang terhasil daripada cetusan idea Dato’ Seri Ahmad kini menempatkan 120 spesies burung tanah terdiri daripada Merak, Puyuh, Kuang dan lain-lain. Di samping itu, Menteri Besar berpeluang memberi makan kepada beberapa spesies itik yang kelihatan galak berkeliaran di kawasan air taman tersebut.

Pulau Bayas bakal menjadi servis jeti iaitu menaikkan kargo yang boleh memuatkan satu kargo pada satu masa, pulau yang berkeluasan 700 hektar ni bakal menjadi “Kenyir Trade Centre” dilengkapi dengan pusat membeli belah bebas cukai.

Lawatan singkat Menteri Besar itu turut menampakkan kerja-kerja pembangunan sedang giat dijalankan dalam usaha menjadikan Tasik Kenyir destinasi pelancongan utama di Terengganu.

Pada masa yang sama, beliau Dato’ Seri Ahmad telah menanam beberapa anak pokok di Pulau Jeram Kelabu serta meninjau antara penempatan pelancong terbesar dan terbaik di Tasik Kenyir iaitu Petang Island Resort, Pulau Petang.

Pulau Petang menerima peruntukan besar daripada kerajaan negeri untuk membangunkan dewan serbaguna serta memperbanyakkan chalet di pulau tersebut bagi menampung kebanjiran pelancong dalam dan luar negara pada masa hadapan.

Lawatan yang bermula 2.30 petang telah berakhir pada jam 7.00 malam apabila Kenyir Sanctuary Resort, Pulau Pos menjadi destinasi terakhir.







http://webtv.terengganu.gov.my/?p=2142

Nasib dua anak yatim piatu dibela

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Haji Abdul Razif Abd Rahman, turut menyambut ketibaan kedua-dua beradik tersebut, di perkarangan Sekolah Menengah Kompleks Gong Badak, hari ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Impian dua beradik yatim piatu dari Kampung Gong Kuin 2, dekat Gong Badak, untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat sekolah menengah tercapai hari ini apabila pelbagai agensi kerajaan membantu mereka dengan menempatkan di Sekolah Menengah Kompleks Gong Badak, hari ini.

Dua beradik berkenaan, Norsuhana Abd Razak, 15, dan adiknya Nor Suriati, 13, masing-masing dimasukkan ke tingkatan tiga dan tingkatan satu sekolah menengah berkenaan, mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, Haji Abdul Razif Abd Rahman, turut menyambut ketibaan kedua-dua beradik tersebut, di perkarangan sekolah berkenaan.

Wakil daripada pelbagai agensi yang terlibat dengan pengurusan penempatan pelajar berkenaan, termasuk Jabatan Pelajaran Negeri, Yayasan Terengganu dan pengetua serta guru-guru sekolah berkenaan turut menyambut kedatangan pelajar itu.



Dua beradik itu yang kini yatim piatu setelah kematian ayah mereka, Abdul Razak Hussin, dua minggu lalu, tercicir daripada meneruskan pengajian keraan kemiskinan keluarga. Emak mereka meninggal dunia lebih dua tahun lalu.

Keadaan dua beradik dari keluarga besar itu bertambah parah selepas kematian ayah mereka kerana tidak ada orang yang menguruskan keluarga, termasuk menyediakan keperluan harian dan makan minum.

Haji Ahmad Razif berkata, YT membeli pakaian seragam dan pelbagai keperluan persekolahan dua beradik tersebut serta wang saku untuk ke sekolah.

“Pihak kami akan memantau perkembangan mereka dan jika pelajar berkenaan menunjukkan prestasi pembelajaran yang memberangsangkan, YT akan memberi biasiswa kepada mereka,” katanya.



Beliau berkata, pelbagai agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memantau keperluan keluarga berkenaan dan akan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Beliau berharap mereka dapat meneruskan pengajian dengan baik dan mampu meraih keyaan cemerlang dalam pelajaran, bagi membantu ahli-ahli keluarga yang lain.



08 March 2011

GERAK GEMPUR PENERANGAN DIPERHEBATKAN



Ketua Penerangan Umno Terengganu YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman menyampaikan amanatnya kepada jentera penerangan baru-baru ini.


Penerangan Umno negeri membuat penerangan berterusan untuk meneruskan penyampaian maklumat kepada rakyat di setiap peringkat Dewan Undangan Negeri di Terengganu, sebagai persiapan awal untuk pilihanraya umum ke 13.

Apabila maklumat sampai kepada rakyat, membolehkan mereka tahu apa sebenarnya yang sedang, telah dan akan dilakukan oleh pihak kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk masa depan mereka.

Pada masa yang sama penerangan juga perlu diberikan kepada rakyat tentang kepalsuan pembangkang yang berjuang semata-mata untuk mendapat kuasa, tetapi gagal membela rakyat dan mentadbir negeri bila diberikan kuasa.




Forum Bicara Penerangan

Ini sebagaimana yang telah berlaku di Terengganu (Dis 1999- Mac 2004) dan kini bila mereka berkuasa di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, mereka sebenarnya gagal.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman telah berjaya menghimpunkan hampir 350 orang jentera penerangan untuk menggempur penerangan ke seluruh pelusuk negeri ini.

Katanya, dalam apa jua usaha yang dijalankan ia perlu diurus dengan bijaksana dan beliau lebih menumpukan kepada perancangan dan usaha agar gerakan penerangan berjalan dengan lancar dalam pelbagai kaedah.


Dalam satu forum penerangan yang diadakan baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen dan bekas Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Haji Awang Jabar menyifatkan perjuangan memberi penerangan kepada rakyat adalah tugas yang berterusan yang perlu dilakukan.

Pengerusi Veteran Umno, Dato’ Yahya Hashim pula mengingatkan supaya ahli-ahli Umno perlu tahan uji dalam perjuangan dan setia kepada parti dalam keadaan apa jua sekalipun.

Beliau mengingatkan jangan sekali-kali ‘peteh keting’ atau sumbat gol sendiri dalam pilihanraya kerana pembangkang akan mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan kita sesama kita.

Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar, Ustaz Kamaruddin Omar pula meminta seluruh jentera penerangan berusaha untuk menjelaskan isu kepada rakyat.

“Pas adalah sebuah parti yang banyak merosakkan kedudukan orang Melayu dan Islam, mereka tidak lebih sebagai pengkhianat untuk menjatuhkan Umno dan apabila Umno jatuh mereka bersorak, tetapi mereka sendiri tidak mampu membina kerajaan kerana bertanding tidak cukup kerusi dan kalau berpakat dalam pakatan pembangkang pun Pas hanya berada di pinggiran sahaja,” katanya.

(Peserta turut mengambil bahagian memberi pandangan)
Pengarah Unit Komunikasi (Ukom) Negeri Terengganu, Haji Shamsuddin Sulong pula menyifatkan Pas adalah sebuah parti yang angkuh, tidak mahu langsung mengakui kebaikan Umno dan BN walaupun pemimpin dan ahli parti mereka turut mendapat nikmat hasil perjuangan Umno dan BN selama ini.

Forum Penerangan selama dua jam bersama empat ahli panel itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Ukom, Ruslan Abdul Rahman membabitkan seramai 350 peserta jentera penerangan negeri. Peserta juga turut mengambil bahagian mengemukakan pandangan masing-masing berkaitan tugas penerangan.









Pelajar sekolah agama raih keputusan cemerlang

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sekolah-sekolah agama di negeri ini menunjukkan peningkatan pencapaian yang cemerlang sejak kebelakangan ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat.

Beliau berkata, ini amat membanggakan kerana kebanyakan pelajar sekolah agama, terutama mereka yang perlu menghafaz al-Quran, mampu menananggung beban yang begitu tinggi yang terletak di atas bahu mereka.

Sebagai contoh, katanya, Sekolah Menengah Imtiaz Besut mencatatkan keputusan paling tinggi dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan akhir tahun lalu.

“Begitu juga keputusan peperiksaan awam di sekolah-sekolah agama lain, termasuk Institut al-Quran, telah mencatatkan keputusan yang cemerlang dan amat membanggakan ibu bapa,” katanya ketika majlis pelancaran program tadarus al-Quran di Masjid Kristal, semalam.

Justeru itu, beliau meminta para pelajar yang sedang menuntut di sekolah-sekolah agama supaya mempertahankan momentum ini dan mencatatkan kejayaan lebih cemerlang di masa depan.

Beliau berkata, pelajar aliran agama perlu bersyukur kerana mempunyai kelebihan berbanding pelajar aliran biasa kerana pengajian mereka termasuk ilmu yang boleh disebar kepada umum sebagai bekalan ke akhirat.



KTB naik taraf universiti akhir tahun

Oleh: Esah Abdullah

Kolej Teknologi Bestari (KTB) yang terletak di Putrajaya, Bandar Permaisuri, Setiu akan dinaik taraf kepada sebuah universiti selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Segala prosedur dan persiapan ke arah menaiktaraf sudah lengkap dan pegawai dari KPT juga telah datang membuat lawatan, kita sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ,” kata Pengerusi Eksekutif KTB, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor.

Katanya, setakat ini KTB menawarkan sembilan program pengajian termasuklah Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Pengajian Teknologi Maklumat, Diploma Keusahawanan, Sijil Sains Komputer dan Sijil Pengurusan Perniagaan.

Selain itu katanya, turut ditawarkan Bacelor Pentadbiran Perniagaan (BBA), Diploma Kejururawatan, Ijazah Sarjana Muda Multimedia, Ijazah Sarjana Muda Kewangan, Diploma Kewangan dan Perbankan.

“Pemgambilan pelajar juga akan bertambah daripada 1,500 kepada 5,000 orang mulai sesi akan datang dan akan menawarkan lebih banyak kursus-kursus berdasarkan pasaran kerja semasa, katanya.

Menurut Dato’ Dr. Tengku Mahmud, KTB telah mengadakan program kerjasama dengan beberapa university seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Keutamaan diberi kepada pelajar anak yatim berdasarkan kelayakan yang ditetapkan selain dibuka kepada pelajar tempatan dan luar negara,” kata Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), merangkap YDP Pertubuhan Kebangsaan Anak Yatim Malaysia (Peyatim.

Katanya, anak yatim diberi potongan bayaran yuran pengajian dan asrama, di samping peluang belajar percuma sementara menunggu kelulusan pinjaman daripada mana-mana agensi.



MFNT teliti bahan pameran

Oleh: Suriati Ali

Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) akan memanggil penganjur pameran mistik bagi membincangkan mengenai bahan-bahan pameran yang bakal dipamer kepada pengunjung di Taman Shahbandar, Kuala Terengganu, April nanti.

Ahli Jawatankuasa MFNT, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Mufti negeri Terengganu untuk mengadakan perbincangan bersama penganjur Dynasty Event Sdn Bhd pada Isnin ini.

"Berdasarkan maklumat awal yang telah diberikan oleh pihak penganjur, MFNT mendapati sebahagian besar pengisian pameran itu tidak bercanggah dengan agama Islam.

“Pameran mistik yang dijadual akan diadakan selama sebulan akan mempamerkan lebih 130 artifak seperti jenglot, jin dan anak kerak selain pengunjung turut disajikan dengan penerangan, forum dan perbincangan dengan pakar-pakar agama,” katanya.

Bagaimanapun jika ada perkara atau benda yang dipamerkan itu bercanggah dengan agama Islam dan mendatangkan keburukan kepada masyarakat, MFNT tidak akan membenarkannya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata setakat ini JHEAT belum memberi kata putus untuk memberi kerjasama kepada Dynasty Event Sdn Bhd untuk mengadakan pameran itu.

"Dia (penganjur) baru berhasrat untuk mendapatkan kerjasama daripada kita. Sama ada kita setuju atau tidak, kita belum putuskan," katanya.

Sebelum ini blog Teganukita pernah melaporkan bahawa kerajaan negeri akan melihat secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pameran alam mistik yang bakal dianjurkan syarikat Dynasty Event Sdn Bhd selama tiga bulan bermula April depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihak akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sebelum meluluskan pameran itu.

“Kerajaan negeri akan menarik permit pameran sekiranya tidak mendapat kebenaran Majlis Fatwa walaupun Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah mengeluarkan lesen,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan syarikat berkenaan mengadakan pameran alam mistik di Dataran Shahbandar.

Dato’ Seri Ahmad menegaskan sehingga ini, kerajaan negeri tidak boleh memberi keputusan muktamad sama ada syarikat tersebut boleh meneruskan pameran itu atau sebaliknya.



SMS Ugutan Bunuh:Perbicaraan berkisar hal teknikal



Dalam pembicaraan kes “ugutan bunuh melalui SMS” yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu (Dato’ Seri Idris Jusoh), iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd.Zubir, yang bersambung hari kedua hari ini, Pengurus Syarikat Telekom (Special Affair), Encik Yusof Hashim, memberitahu mahkamah Sesyen Kuala Terengganu bahawa dia kurang pasti Malaysia berada dalam zon mana kerana perkara itu adalah di luar bidangnya.

Menjawab soalan peguambela, Yusof kurang bersetuju dengan fakta yang menyatakan Malaysia berada dalam Zon GMT + atau GMT -. Kebiasaannya setiap permohonan IP Address mengandungi tarikh, masa dan adakalanya tidak diserta masa dunia (time world).

Peguambela : Ada awak terima permohonan berkaitan nombor talian GMT-0800?.
Yusof: Ya, saya ada terima permohanan itu daripada ASP Hazwan

Peguambela: Siapa yang membuat carian?.
Yusof: Carian dibuat pembantu Marzita berdasarkan surat.

Peguambela: Berdasarkan surat ini adakah ia sama (sambil menunjukkan surat)?.
Yusof: Ya, sah ianya benar.

Dalam perbicaraan di hadapan Hakim M. Bakri Abd.Majid itu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu dua tahun lalu.

Tertuduh turut didakwa memfitnah Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan kepada tiga Adun itu iaitu Adun Paka Mohd Ariffin Abdullah, Adun Ajil Datuk Rosol Wahid dan Adun Permasuri Abdul Halim Jusoh dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Wan Ahamad ketika itu ialah Setiausaha Sulit Kanan Kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Sekarang beliau menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan).

Mahkamah memangil saksi seterusnya, Penolong Juruanalisis, Inspektor, Suzana Zainal Abidin, 31, bertugas di bahagian Seksyen Jenayah Komputer Makmal Forensik, PDRM memberitahu mahkamah, dia mula berkhidmat sebagai pegawai polis dan memegang jawatan Penolong Juruanalisis PDRM bermula September 2006.

Beliau ada menyatakan berjumpa dengan ASP Hazwan pada 22 April jam 2.30 petang berhubung barang kes.

Pendakwa Raya: Dalam pertemuan itu, adakah ASP Hazwan membawa barang kes?.
Suzana: Ada


Pendakwa Raya: Berapa banyak barang kes?
Suzana: ASP Hazwan membawa sebanyak 11 bungkusan barang kes berkaitan di Kuala Terengganu?

Pendakwa Raya: Selain barang kes, ada beliau membawa borang?.
Suzana: Ada, borang bernombor NN01.

Pendakwa Raya: Apa kaitan barang kes itu dengan Inspektor Suzana?
Suzana: ASP Hazwan meminta saya membuat analisa terhadap barang kes itu.

Pendakwa Raya: Ketika terima, adakah kamu semak barang itu?.
Suzana: Ada, terdapat 11 bungkusan dan semuanya berada dalam keadaan baik dan sempurna.

Pendakwa Raya: Apakah penandaan pada barang kes itu?.
Suzana: 11 bungkusan itu ditanda sebagai A1, C1, D1, A3, D3, D2, P1, p2,p3, p4 dan bungkusan terakhir ditanda sebagai D.

Pendakwa Raya: Adakah awak buka kesemua barang kes?.
Suzana: Ada dan tandakan nombor laporan 3285/09 IP bernombor 17/09 Pegawai Penyiasat ASP Hazwan.

Pendakwa Raya: Ada berapa barang kes?.
Suzana: Kesemua ada 18 perkara. Tandatangan penyerahan ASP Hazwan dan tandatangan penerimaan saya sendiri.

Pendakwa Raya: Selepas buka dan semak, apa kamu buat?
Suzana: Selepas selesai kerja menyemak, saya terus meletakkan kembali barang kes itu ke dalam bungkusan asal. Komputer saya mengikatnya dengan tali dan pen drive pula, bungkus menggunakan pita pelekat, selepas itu memasukkannya ke dalam kabinet berkunci yang berada dalam stor milik unit forensik, PDRM.

Pendakwa Raya: Pada 23 April 2009 jam 5 petang, adakah pada hari itu kamu bertugas?.
Suzana: Ya, saya bertugas pada hari itu,

Pendakwa Raya: Tugas yang kamu buat?
Suzana: Saya mengeluarkan semula barang kes daripada kabinet berkunci dan serahkan kesemuanya kepada ASP Mohd Zukifli Mohd Isa.

Pendakwa Raya: Apakah tujuan serahan itu?.
Suzana: Serahan barangan kes untuk dianalisis.

Pendakwa Raya: Pada 27 April 2009 jam 9 pagi, ada terima arahan?
Suzana: Saya ada menerima arahan daripada ASP Zulkifli supaya menyerahkan kembali barang kes kepada ASP Hazwan.

Pendakwa Raya: Semasa serahan, bagaimana keadaan barang kes?
Suzana: Semasa serahan, kesemua barang kes berada dalam keadaan baik dan dibungkus menggunakan pita pelekat forensik dan bercop PDRM 609.

Pendakwa Raya: Ada terima borang permohonan?.
Suzana: Ada, borang permohonan bernombor NF 03.

Pendakwa Raya: Selepas itu, ada terima apa-apa lagi barang kes?
Suzana: Ada, saya terima lima bungkusan barang kes yang ditandakan sebagai T1, E5, F1, F3 dan X1.

Pendakwa Raya: Ada buat semakan?
Suzana: Ada.

Pendakwa Raya: Selepas itu, apa kamu buat?
Suzana: Pada 30 April 2009 jam 11.58 pagi, saya serah semua barang kes kepada ASP Mohd Zulkifli untuk tujuan analisa.

(Ketika ini mahkamah meminta Inspektor Suzana membuat pengecaman barang kes dan beliau mengesahkan semuanya benar).

Apabila selesai, mahkamah memangil saksi seterusnya iaitu Juruanalisis bahagian Jenayah Komputer, PDRM, ASP Zulkifli Mohd Isa.

ASP Mohd Zulkifli memberitahu, dia ada menerima dua barang kes iaitu komputer dan telefon bimbit.

Ketika kerja menganalisis dijalankan, dia menggunakan peralatan canggih yang dipanggil Encase untuk analisa komputer. Peralatan itu diimport dari Amerika Syarikat.

Manakala untuk menganalisa pen drive pula, mengunakan pengisian XRY dan ia diimport dari Sweden. Semua peralatan itu diiktiraf jabatan FBI dan forensik dunia.

Pendakwa Raya: Berapa kali, barang kes dianalisa?
Suzana: Setiap barang kes, dianalisa sekurang-kurangnya dua kali.

Hakim kemudianya menetapkan perbicaraan bersambung hari esok (9 Mac)



Bukti Rakyat Terima Kepimpinan Perdana Menteri- MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau membuktikan rakyat sudah menerima kewibawaan dan konsep 1Malaysia yang diserapkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian sebagai mengulas kemenangan BN dalam dalam kedua-dua PRK itu, ketika sidang media sejurus mengagihkan e-Book di DUN Batu Buruk, di Dewan Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam (7 Mac).
“PRK di Kerdau dan Merlimau sudahpun membuktikan BN memperolehi majoriti yang lebih tinggi berbanding dengan majoriti (Pilihan Raya Umum) 2004.

"Ini menggambarkan bahawa rakyat menerima kepimpinan Perdana Menteri dalam memimpin negara, khususnya dalam menangani masalah ekonomi dan pembangunan yang berterusan dilaksanakan oleh Umno dan BN,” katanya.

Selain itu, katanya kemenangan itu juga disebabkan kesedaran rakyat untuk keluar mengundi juga meningkat, selain jentera BN yang terdiri daripada pelbagai komponen parti itu yang bekerja kuat dan mengerah tenaga untuk memastikan peratusan keluar mengundi bertambah.

Beliau berkata, tohmahan yang dilakukan pembangkang juga tidak menjejaskan BN meraih undi terutama di kawasan pedalaman apatah lagi di kawasan Felda, kerana masyarakat Felda masih terhutang budi kepada kerajaan BN dan Umno yang bertanggungjawab membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan untuk menikmati hidup selesa kini.

Katanya, hari ini peneroka Felda menikmati pendapatan lumayan hasil usaha kerajaan membangunkan tanah untuk ladang getah dan kelapa sawit .

“Isu kenaikan barang juga tidak memberi kesan, kerana rakyat sedar dan menerima hakikat bahawa kenaikan harga barang berpunca daripada kenaikan harga minyak dan barang keluaran akibat permintaan semakin meningkat berbanding pengeluaran makanan yang semakin berkurangan,”katanya.

Pada masa yang sama, faktor penawaran dan permintaan itu turut memberi kesan kepada peningkatan harga barang komoditi terutama getah yang memberi keuntungan berganda kepada peneroka dan pengusaha tanaman itu.