Halaman

10 October 2011

UCAPAN ALUAN Y.B. DATO’ HAJI MAZLAN BIN NGAH SETIAUSAHA KERAJAAN TERENGGANU

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP KURSUS KHAS BAGI BAKAL-BAKAL HAJI DI BAWAH ANUGERAH KHAS KECEMERLANGAN PERKHIDMATAN AWAM NEGERI TERENGGANU MUSIM 1432H/2011M PADA 9 OKTOBER 2011 (AHAD), MASA 12.30 TENGAHARI, DI SUMAI HOTEL APARTMENT, KUALA TERENGGANU

Bersyukur kita ke hadrat ilahi kerana limpah kurniaNya dapat kita berkumpul pada hari ini bersempena Kursus Khas Bagi Bakal-Bakal Haji Di Bawah Program Anugerah Khas Kecemerlangan Perkhidmatan Negeri Terengganu Musim 1432H/2011M.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan tahniah dan syabas kepada tuan-tuan dan puan-puan bakal-bakal haji seramai 100 orang bersama pengiring dengan jumlah 58 jemaah lelaki dan 42 jemaah wanita ke tanah suci kerana telah mendapat anugerah Kerajaan Negeri dalam program kecemerlangan bagi Musim Haji 1432 Hijrah ini.

Jemaah haji yang dimuliakan ALLAH sekalian

Sebagai tetamu Allah, seharusnya tuan-tuan dan puan-puan bersyukur kerana telah terpilih di kalangan Penjawat Awam Negeri Terengganu, JKKK, Imam dan Bilal dan Anugerah Khas Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) serta jutaan umat Islam yang berhasrat menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

Sebagai jemaah haji, saya amat yakin tuan-tuan dan puan-puan telah bersedia untuk memulakan musafir menuju ke tanah suci nanti disamping kursus khas anjuran kerajaan negeri sebagai pemantap pengetahuan yang telah dipelajari. Justeru itu, jadikanlah segala ilmu yang diperolehi selama ini sebagai panduan dan rujukan semasa menunaikan ibadat haji nanti.

Akan tiba masa nanti, para jemaah haji perlu melupakan seketika segala tugas dan kerja di tanah air, keluarga dan rakan-rakan yang ditinggalkan. Di hadapan tuan-tuan dan puan-puan ada satu urusan yang perlu diberi keutamaan, iaitu memastikan segala syarat-syarat sah haji dan umrah dapat dilaksanakan dengan sempurna, seterusnya memperolehi haji yang mabrur.

Namun dalam keghairahan melaksanakan ibadat haji janganlah pula lupa untuk menjaga tatasusila semasa di tanah suci. Seorang bakal haji perlu mempunyai sifat sabar yang tinggi. Keadaan cuaca yang berbeza, kesesakan yang luar biasa dan budaya yang agak asing dengan kita, memungkinkan kita terdedah kepada sifat tidak sabar dan marah.

Oleh itu sentiasalah memelihara diri dari sifat marah, suka bertengkar dan bertelagah. Makkah dan Madinah adalah bumi suci, bumi yang penuh dengan keberkatan. Allah tidak akan mensia-siakan orang yang sentiasa bersabar.

Selain itu, jemaah haji Malaysia juga sangat dikenali sebagai jemaah haji yang tertib dan bersopan. Sebagai rakyat Negara Malaysia yang sering menjadi contoh kepada umat Islam lain di dunia ini, perlulah kita menjaga pekerti kita sepanjang tempoh masa kita berada di kedua-dua tanah suci iaitu Makkah Al-Mukaramah dan Madinah Al-Munawarah.

Janganlah jemu untuk memperbanyakkan doa di waktu-waktu yang terluang. Jadikan setiap masa dihabiskan dengan aktiviti yang berkualiti, yang boleh menambahkan pahala. Jauhilah perkara-perkara yang tidak memberi manfaat dan sia-sia. Bercakaplah tentang perkara yang berfaedah dan berusahalah untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita.

Jemaah haji yang dimuliakan ALLAH sekalian

Saya yakin dan percaya bahawa Lembaga Tabung Haji telah membuat persediaan yang rapi untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada semua jemaah haji pada setiap tahun serta mempunyai komitmen yang tinggi untuk mempertingkatkan tahap perkhidmatan semasa di tanah suci berdasarkan pengalaman dan kemampuan serta bersandarkan kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Tabung Haji juga sentiasa memelihara hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi secara bijaksana kerana ia menyumbang kepada kelicinan dan kelancaran Operasi Haji secara keseluruhannya. Suka saya mengingatkan kepada tuan-tuan dan puan-puan, sentiasalah mengikut segala peraturan, sama ada peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi atau peraturan oleh Tabung Haji.

Patuhilah arahan kerana ia boleh memudahkan petugas Tabung Haji mengurus ribuan jemaah haji ketika di sana nanti.

Akhir sekali, saya mengiringi pemergian tuan-tuan dan puan-puan ke tanah suci nanti dengan doa dan harapan agar perjalanan tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa diberkati dan dipermudahkan, serta sentiasa bersemangat untuk memulakan perjalanan suci ini. Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan dapat kembali ke tanah air dengan memperolehi haji yang mabrur, InsyAllah.

Sekian, Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

09 October 2011

46,000 tunggu giliran tunai haji

Oleh; Esah Abdullah


Seramai 46,000 umat Islam di seluruh negeri ini berada dalam senarai menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima di Mekah.

Pengarah Lembaga Tabung Haji Terengganu, Haji Muhammad Mokhzani Mokhtar berkata, dengan jumlah berkenaan mereka yang baru membuat pendaftaran pada bulan Jun 2011 terpaksa menunggu sehingga 2029 untuk menunaikan fardu haji.

“Oleh itu gunakan sebaik mungkin peluang yang datang ini untuk meningkatkan amalan dan lakukan yang terbaik sepanjang berada di Tanah Suci nanti,” katanya pada majlis penutup kursus khas bakal haji di bawah Anugerah Khas Kecemerlangan Perkhidmatan Awam Terengganu (AKKPAT) 2011, di Sumai Hotel Aparment Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, bukan mudah bagi umat Islam di negara ini untuk pergi haji kali kedua kerana setiap mereka hanya dibenarkan membuat pendaftaran baru selepas lima tahun kembali dari mengerjakan haji kali pertama.

Menurut Haji Muhammad Mokhzani, 2,480 orang umat Islam di negeri ini dipilih mengerjakan haji tahun ini.

“Setakat ini sudah 30 peratus jemaah telah berlepas ke Madinah melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) manakala selebihnya akan berlepas minggu depan,” katanya.

Masih terdapat tiga penerbangan iaitu pada 16, 17 dan 18 Oktober ini di mana penerbangan kali ini menuju terus ke Jeddah, Arab Saudi dan semua jemaah diingat memakai pakaian ihram sebelum menaiki kapal terbang.

Haji Muhammad Mokhzani turut mengingatkan jemaah supaya menyemak dengan teliti segala dokumen penting perjalanan sebelum bertolak dari rumah serta tidak membawa barangan yang tidak dibenarkan.




Kerajaan taja 115 orang tunai haji tahun ini


Oleh; Esah Abdullah

Jemaah haji di negeri ini diingat sentiasa menjaga tata susila serta mengikut segala peraturan yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (LTH) dan kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, hubungan baik yang terjalin antara dua negara telah menyumbang kepada kelicinan dan kelancaran operasi haji secara keseluruhannya.

“Saya yakin LTH sentiasa membuat persiapan rapi serta mempertingkatkan tahap perkhidmatan setiap tahun bagi menjamin keselesaan semua jemaah,” katanya di majlis penutup kursus khas bakal haji di bawah Anugerah Khas Kecemerlangan Perkhidmatan Awam Terengganu (AKKPAT) 2011, di Sumai Hotel Aparment Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Khidmat Pengurusan), Encik Rozali Salleh dan Pengarah LTH Terengganu, Haji Muhammad Mokhzani Mokhtar.

Dato’ Haji Mazlan mengingatkan para jemaah jangan jemu untuk perbanyakkan doa dan tawaf sunat pada waktu terluang sepanjang berada di Mekah dan Madinah.

“Jadikan setiap masa dihabiskan dengan aktiviti yang berkualiti yang boleh menambah pahala serta berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan masing-masing,” katanya.

Seramai 115 orang terpilih di bawah program AKKPAT tahun ini terdiri daripada penjawat awam negeri, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), imam, bilal dan anugerah khas Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Menurut Dato’ Haji Mazlan mereka dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) terus ke Jedah Arab Saudi minggu depan dan tarikh sebenar akan dikeluarkan oleh pihak LTH dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, Dato’ Haji Mazlan telah menyampaikan kain ihram lengkap bagi jemaah lelaki dan sepasang telekung kepada wanita.






Penunggang Thailand juara Sultan Mizan Cup 2011


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Penunggang dari Thailand, Wipawan Pawitayalarp, muncul johan Sultan Mizan Cup 2011, sekaligus membawa pulang wang tunai RM63,000 dan sebuah jam tangan AmaSwiss bernilai RM54,000.

Beliau menamatkan trek sejauh 120 kilometer yang berakhir pagi ini dengan mencatat masa 6:17:43 dengan purata kelajuan 19.06 kilomter sejam.

Penunggang Terengganu, Mohammad Fuad Hashim, muncul naib johan dengan catatan masa 6:29:17 atau purata kelajuan 18.5 kilometer sejam manakala tempat ketiga dimenangi Zelma Lotter (7:02:30).

Mohammad Fuad menggondol hadiah wang tunai RM44,000 manakala Zelma membawa pulang wang tunai RM32,000.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka BagindaYang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut berangkat ke majlis penyampaian hadiah di Terengganu International Equestrian Park, Lembah Bidong, berkenan menyampaikan hadiah kepada juara kejohanan tersebut.

Manakala Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang turut hadir pada majlis itu, menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat kedua hingga kelima.

Tuanku Mizan yang menunggang kuda 'RTES Smith' mewakili pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) turut bersaing bersama dengan 69 peserta lain yang menyertai acara tahunan itu.

Pelepasan kejohanan itu dilakukan Menteri Besar petang semalam.

Seorang lagi penunggang Thailand, Warit Khuntarporn yang mencatatkan masa 7:02:35 memenangi tempat keempat manakala Mohd Sulaiman Muda (8:15:15) mendapat tempat kelima.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah turut berangkat pada majlis penyampaian hadiah. Hadir sama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat dan kenamaan negeri serta ketua-ketua jabatan.


Dua beradik talesemia dapat Diploma Psikologi

Oleh FAUZI MOHD

BIARPUN sukar namun akhirnya dua beradik yang juga pesakit talesemia berjaya menamatkan pengajian mereka sehingga membolehkan mereka menerima Diploma Psikologi, semalam.

Kedua-dua graduan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang berasal dari Temerloh, Pahang memperoleh diploma masing-masing sempena majlis konvokesyen ke-4 kolej yang diadakan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam dekat sini.

Bagaimanapun ibu bapa Siti Rafidah Ali, 26 dan adiknya Kasimah Ali, 21 merupakan orang paling gembira kerana kedua-dua anaknya itu tidak akan dipandang rendah lagi kerana sudah mempunyai kelulusan.

Menurut Noraidah Dai, 47 kedua-dua anaknya itu yang disahkan menghidap penyakit tersebut sejak berusia tiga bulan dan sejak itu mereka terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan rawatan pemindahan darah.

“Saya tahu dalam keadaan mereka sakit adalah sukar untuk mereka menumpukan sepenuh masa untuk belajar tetapi saya bersyukur kerana akhirnya mereka berjaya menamatkan pengajian bersama-sama,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian diploma dan sijil kepada 1,054 graduan daripada 12 program oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Dr. Abdul Latif Ahmad semalam.

Turut hadir, Pengerusi KIST, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Pada majlis sama, seorang lagi graduan Diploma Psikologi, Aisyah Ahmad Khusairi, 24 muncul sebagai graduan terbaik dan mendapat Anugerah Dato’ Razali sempena majlis itu.

Sementara itu, bapa graduan berkenaan, Ali Mat Noor, 57 memberitahu, tanggungjawabnya untuk memberi pendidikan kepada anak sulung dan ketiganya itu sudah terlaksana apabila mereka sudah memperoleh diploma masing-masing.

“Jika selepas ini mereka kerja sebagai penjual goreng pisang sekalipun saya tidak kisah sebab mereka akan jadi penjual goreng pisang yang ada kelulusan,” katanya.

Majlis pelepasan tuntung diadakan buat pertama kalinya di Kemaman

Oleh FAUZI MOHD

SEBANYAK 84 ekor anak tuntung yang berumur tiga bulan akan dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman pada hari Jumaat, 7hb Oktober 2011.

Kesemua anak tuntung yang bakal dilepaskan telahpun dimasukkan mikrocip yang berfungsi sebagai tanda pengenalan, ditimbang dan diukur.

Pada bulan Februari 2011, Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu telah memulakan satu program pemuliharaan tuntung sungai di Sungai Kemaman, dengan kerjasama masyarakat tempatan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara buat kali pertamanya.

Antara masyarakat tempatan yang terlibat dalam program pemuliharaan tersebut adalah JKKK Kg. Pasir Gajah.

Pada musim persarangan dari bulan Januari ke bulan Mac tahun ini, sebanyak 420 butir telur telah dieramkan di Kg. Pasir Gajah, dan sebanyak 198 ekor anak tuntung telah berjaya ditetaskan.

Kadar penetasan adalah direkodkan sebanyak 47 peratus.

Daripada 198 anak tuntung yang telah menetas, lebih daripada separuh telah dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman serta-merta pada 21hb Mei 2011.

Anak-anak tuntung yang selebihnya telah dipelihara oleh penduduk setempat Kg. Pasir Gajah dan sekarang telah tiba masanya untuk anak-anak tuntung sungai tersebut dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman.

Chen Pelf Nyok, selaku Pengurus Projek Pemuliharaan Tuntung berkata bahawa beliau amat bangga dan berterima kasih kepada Pengerusi dan ahli-ahli JKKK Kg. Pasir Gajah, kerana bersetuju menjalankan projek pemuliharaan tuntung sungai ini.

Beliau juga berharap agar projek tersebut akan dilanjutkan pada tahun-tahun akan datang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Majlis Pelepasan Tuntung di Kg. Pasir Gajah, Kemaman, sila hubungi Chen Pelf Nyok di talian 012 – 696 8238.

Tarikh tutup Sayembara Deklamasi Puisi 15 Oktober ini.

Oleh FAUZI MOHD

SAYEMBARA Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri akan diadakan di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu pada 22 Oktober ini.

Penganjur program, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dalam satu kenyataan berkata, pertandingan yang dibuka kepada rakyat Terengganu itu bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang deklamasi puisi.

Kata kenyataan itu, tiga kategori pertandingan dibuka iaitu kategori A yang terbuka kepada rakyat Terengganu berumur 18 tahun ke atas, kategori B untuk pelajar sekolah menengah dan kategori C bagi pelajar sekolah rendah.

Selain piala dan sijil, johan bagi kategori A bakal membawa pulang wang tunai RM1,000. Naib johan (RM700), tempat ketiga (RM500) dan tiga hadiah saguhati RM150.

Bagi kategori B, johan mendapat RM500, naib johan (RM300), tempat ketiga (RM200) dan tiga hadiah saguhati RM100.

Manakala bagi kategori C, johan memperolehi RM250, naib johan (RM150), tempat ketiga (RM100) dan tiga hadiah saguhati bernilai RM70 setiap satu.

“Setiap peserta hanya boleh menyertai satu kategori sahaja dan tarikh tutup penyertaan pada 15 Oktober 2011,” katanya kenyataan itu kepada Teganukita hari ini.

Program itu anjuran bersama Jabatan Pelajaran negeri, Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.

Borang penyertaan dan senarai puisi pilihan boleh didapati di kaunter Perpustakaan Awam Negeri Terengganu atau melalui urusetia berikut; Tuan Shariff Putera (109-9152155), Abdul Mubin Ismail (019-9532200) dan Mahani Sulung (013-9149430).

Wan Ahmad Nizam bergelar Datuk

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid telah dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran ‘Datuk’, Sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang Di Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob ke 73, semalam.

Datuk Wan Ahmad Nizam adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Air Putih, Kemaman.

Beliau yang kini merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Terengganu.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan turut menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk Wira.

Aktiviti Sultan Mizan Cup tarik perhatian ribuan pengunjung

Oleh: Suriati Ali

Ribuan pengunjung yang hadir pada kejohanan kuda lasak, Sultan Mizan Cup 2011 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, nyata berpuas hati dengan puluhan aktiviti yang diadakan penganjur kejohanan.

Antara acara menarik yang diadakan sepanjang tiga hari kejohanan dan berakhir hari ini, termasuk pertandingan mewarna model kuda bertemakan karangan laut khusus bagi pelajar secara berkumpulan yang mewakili sekolah masing-masing.



Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian antarabya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, SMK Padang Midin, SMK Manir, SMK Belara, SMK Ibrahim Fikri dan SMK (C) Chong Hwa Wei Sin.



Turut menarik perhatian ialah acara kerusi muzik berkuda yang jarang-jarang disaksikan.

Acara yang disertai oleh penunggang-penunggang cilik itu memerlukan kemahiran menunggang kuda kerana pada masa yang sama, penunggang perlu melompat turun dari kuda sebaik mendengar muzik dihentikan.

Tarikan lain yang terdapat di situ ialah acara bola sepak jalanan untuk peserta bawah 18 tahun, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pameran berkaitan kuda dan kehidupan marin serta gerai-gerai makanan.


Sultan Mizan sertai cabaran kuda lasak 120 km

Oleh: Suriati Ali

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin mengetuai cabaran perlumbaan kuda lasak sejauh 120 kilometer pada Sultan Mizan Cup 2011 yang bermula jam 5.30 petang semalam (8 Oktober).



Tuanku Mizan yang menunggang kuda 'RTES Smith' mewakili pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dan bersaing bersama dengan 69 peserta lain.



Pelepasan kejohanan itu dilakukan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu .

Turut berangkat menyaksikan pelepasan itu, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perlumbaan sejauh 120km yang mempunyai had masa di bawah 12 jam itu dibahagikan kepada lima fasa iaitu fasa pertama sejauh 30km, fasa kedua (25km), fasa ketiga (20km), fasa keempat (25km) serta fasa terakhir sejauh 20km.

Karnival yang berlansung selama tiga hari dan berakhir hari ini mendapat sambutan ribuan pengunjung yang datang untuk melihat secara dekat kejohanan yang diadakan.