Halaman

09 November 2011

Duta Besar Singapura kunjung hormat MB


Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said (kanan) menerima kunjung hormat Duta Besar Singapura Ke Malaysia He Mr Ong Keng Yong di pejabatnya di Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Duta Besar Singapura Ke Malaysia He Mr Ong Keng Yong, mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, di pejabat Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Dua Setiausaha Pertama Kedutaan Singapura, iaitu Mr Harold dan Mr Ramanathan, turut serta dalam rombongan tersebut yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara negara itu dengan Kerajaan Terengganu.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, kedua-dua pemimpin berkenaan saling bertanya khabar dan meninjau kemungkinan mengadakan kerjasama dalam pelbagai bidang, yang boleh memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw menyertai pertemuan berkenaan.


08 November 2011

Masalah boleh selesai melalui rundingan

Oleh; Esah Abdullah

Masalah boleh diselesaikan melalui perundingan bukannya dengan membuat demonstrasi serta mengeluarkan kenyataan kepada umum.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kakitangan Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. (TADC) yang membuat demonstrasi bantahan kepada pihak pengurusan yang memberi notis berhenti kerja kepada mereka.

Katanya, jika pegawai berkenaan ikhlas untuk mencari jalan penyelesaian dia tidak patut terlibat dalam demonstrasi berkenaan tetapi boleh datang berbincang secara baik.

“Jika ingin menyelesaikan masalah bawa berbincang, tetapi apa yang berlaku mereka cipta masalah sebelum selesai masalah, ini tidak betul,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Terbilang/Sasaran SPM/STPM 2011 di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambahnya, pihak pengurusan TADC telah mengadakan perbincangan dan perjumpaan sebelum membuat keputusan berkenaan dan semua kakitangan telah maklum syarikat mengalami kerugian.

Katanya, kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak pengurusan syarikat untuk menyelesaikan perkara berkenaan.





Agenda pendidikan belum selesai

Oleh; Esah Abdullah


“Masih ada agenda yang belum selesai dan kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan sebagai kesinambungan untuk terus memperkasakan bidang pendidikan di negeri ini,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, kerajaan akan lakukan apa saja dalam usaha mengekalkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini yang memerlukan kerjasama guru, ibu bapa di samping pelajar sendiri perlu fokus untuk capai kejayaan.

“Oleh itu BN perlu dipertahan dan dikekalkan untuk memastikan pembangunan pendidikan terus diperkasa dan pelbagai kemudahan pembelajaran dapat disalurkan kepada anak-anak kita,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata demikian di majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Terbilang / Sasaran SPM dan STPM 2011 di Wisma Darul Iman hari ini.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud serta timbalannya, Encik Hashim Mohd Zin.

Tambahnya, pelajar cemerlang di negeri ini mendapat pengiktirafan kerajaan berupa wang tunai dan komputer riba sebagai dorongan untuk terus mencapai kejayaan lebih tinggi serta mengharumkan nama negeri.

Seramai 2,000 pelajar dari 153 buah Sekolah Menengah (SM) Kebangsaan, SM Sains, SM Agama dan SM Imtiaz seluruh negeri yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2011 hadir ke majlis berkenaan.

“Mereka merupakan pelajar yang mempunyai potensi untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM / STPM dan telah mendapat A semua mata pelajaran dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini,” katanya.



Tambahnya, tahun ini sasaran pelajar cemerlang begitu besar berbanding tahun lalu hanya 405 orang dan berharap sasaran tahun ini berjaya digapai.




UMNO Besut anjur kursus untuk peminat bloger

Oleh: Mohammad Ishak

Biro Penerangan Umno Bahagian Besut dengan kerjasama BestBesut Lo Ni Fan Club dalam usahanya memperkayakan penulisan media baru akan menganjurkan Kursus Bloger kepada peminat bloger di daerah Besut

Setiausaha Penganjur, Ghazali Che Noh berkata, kursus yang dijadualkan pada bulan Disember depan yang akan berlangsung di di Dewan Nurul Ehsan, Bangunan Umno Bahagian Besut bertujuan memberi pendedahan kepada peminat penulisan bloger tempatan.

Katanya, pihaknya hanya menghadkan 50 peserta sahaja untuk menyertai kursus sehari yang akan dikendalikan oleh beberapa bloger terkenal termasuk Papa Gomo, Nadi Rakyat dan beberapa bloger lain.

Beliau berkata, peserta kursus yang berjaya menamatkan kursus berkenaan akan diberikan sijil penyertaan oleh Umno Bahagian Besut dan Jabatan Penerangan.


Menurutnya, mereka yang berminat bolehlah memberikan butiran peribadi dengan mengirimkan emaikan kepada: matahari4455@yahoo.com

“Kursus yang julung kali diadakan di daerah ini akan diberikan secara percuma dan penyertaan berdasarkan kepada mereka yang mendaftar awal sahaja,” katanya.


Sedia RM3.2 juta untuk tambah 32 program kelas maya

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.2 juta bagi melaksanakan 32 lagi program kelas maya di setiap kawasan Dewan Undanga Negeri (DUN) di Terengganu bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program itu akan melibatkan satu sekolah bagi setiap kawasan DUN yang terbabit.

Menurutnya, ia sebagai lanjutan daripada perlaksanaan program tersebut di 35 buah sekolah rendah dan tiga buah sekolah rendah pada tahun ini.

"Pemilihan sekolah untuk program ini akan dilakukan oleh wakil rakyat bagi kawasan masing-masing mulai bulan depan dan dijangka boleh dilaksanakan secara beperingkat bermula awal tahun depan," katanya.

YB Haji Ahmad Razif turut memberitahua, sebanyak 23,000 lagi e-book dijangka diagihkan kepada murid-murid Tahun Empat bermula Januari tahun depan.

"Pada masa sama, kita akan pastikan e-book ini akan mula diagihkan kepada sekolah-sekolah menengah termasuk semua sekolah Imtiaz di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif memberitahu, pihaknya merancang untuk mewujudkan satu program baru yang berteraskan Negeri Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu mulai tahun depan.

Katanya, ia sebagai tempat rujukan untuk pelbagai pihak melihat serta berkongsi resepi kejayaan pendidikan di negeri ini.

"Bagaimanapun peruntukan untuk program ini masih dalam perbincangan dan kita akan bawa perkara ini kepada dewan untuk dibentangkan dalam sidang DUN bulan depan sama ada diluluskan atau tidak," katanya.





15 atlet pertama Terengganu ke Kejohanan Renang Piala Presiden

Oleh FAUZI MOHD

PERSATUAN Renang Amatur Terengganu akan menghantar 15 atlet untuk menyertai Kejohanan Renang Piala Presiden kali ke-30 di Shah Alam, Selangor 18 Nov ember ini.

Setiausaha persatuan itu, Yan Kong Lee berkata, penyertaan buat kali pertama itu terdiri daripada 10 atlet lelaki dan lima wanita.

“Sebagai pendatang baru dalam arena sukan renang, inilah peluang terbaik untuk perenang kami menguji bakat di peringkat yang lebih tinggi.

“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran kerana mahu melihat sejauh mana atlit Terengganu mampu beraksi dalam acara ini," katanya baru-baru ini.

Kong Lee berkata, kejohanan antara kelab-kelab di Malaysia itu terbahagi kepada beberapa kategori iaitu bawah umur 11, 13 dan 15 tahun.

Katanya, kontinjen Terengganu menyertai semua kategori yang dipertandingkan.

Dalam pada itu Kong Lee memberitahu, lapan perenang terdiri dari empat lelaki dan empat wanita dipilih untuk menyertai kem latihan atlet Sukma Terengganu di Melaka bermula 18 hingga 25 Disember depan.

100 peserta uji kekuatan dalam Terengganu Starhill Challenge

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 100 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menyertai kejohanan tahunan 4X4 Terengganu Starhill Challenge Tahunan kali ke-8 dari 11 hingga 13 November ini.

Pengarah kejohanan Ayob Jusoh berkata, acara berprestij anjuran bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelab Pengembaraan Geddut 4x4M itu turut melibatkan penyertaan dari Jerman, China dan Thailand.

Menurutnya, kejohanan yang akan diadakan di Bukit Keluang, Besut itu menawarkan hadiah berjumlah RM25,000.

"Kejohanan ini juga diadakan sebagai persiapan untuk peserta menghadapi Kejohanan Terengganu Rainforest Challenge yang akan diadakan di negeri ini pada pertengahan Disember ini," katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Ujar Ayob, penyertaan masih dibuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi beliau melalui talian 012-9652889 atau setiausaha kejohanan Wan Abdul Rahim di talian 019-6075628 sebelum 10 November ini.















Kursus kahwin percuma

Oleh: Suriati Ali

Keghairahan pihak tertentu menganjurkan program mempromosi seks bebas, Seksualiti Merdeka 2011 mendorong Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir mengambil inisiatif mengadakan kursus pra perkahwinan secara percuma kepada remaja.

Program yang disertai seramai 140 pemuda dan wanita berusia antara 19 hingga 47 tahun sekitar DUN berkenaan itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Menurut Penyelaras UMNO DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, program tersebut pertama kali diadakan di peringkat DUN untuk membantu meringankan beban peserta.

Beliau tidak menafikan pihaknya berasa terpanggil bagi menjayakan program itu berikutan tindakan pihak tertentu yang jelas cuba mencabar undang-undang negara dengan menganjurkan program Seksualiti Merdeka 2011 sehingga mengundang bantahan banyak pihak.

"Kita bimbang dengan masa depan anak-anak muda apatah lagi ketika ini wujud usaha pihak tidak bertanggungjawab cuba menyerapkan budaya songsang dengan mengiktiraf aktiviti seks bebas.

"Bagi tujuan itu, kita rasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan golongan muda dengan memberi galakan kepada mereka menyertai kursus pra perkahwinan secara percuma seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup kursus tersebut yang berlangsung selama dua hari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara, Manir dekat sini semalam.

Yusof berkata, pihaknya bercadang meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang jika mendapat sambutan orang ramai khususnya remaja.





07 November 2011

MB turun padang korban DUN Kijal

Oleh FAUZI MOHD
Gambar HARISH FADZILLAH


Biarpun Hari Raya Aidiladha disambut sederhana tetapi hari kedua perayaan itu tetap meriah dengan umat Islam di masjid, surau, kampung dan kawasan perumahan sibuk menjalankan penyembelihan lembu, kambing dan kerbau.

Walaupun cuaca sekali sekala hujan ditambah dengan padang yang becak, ibadah korban di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman masih rancak.



Di DUN berkenaan, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said menyumbangkan tujuh ekor lembu dan dua ekor kerbau untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar.

Di Kampung Teluk Kalong, Kijal, Dato' Seri Ahmad turun padang menyaksikan ibadah berkenaan di mana beliau menyumbangkan dua ekor kerbau.


Sejurus selepas itu, Menteri Besar yang ditemani isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud ke Masjid Pantai Penunjuk, Kijal untuk bersama penduduk dalam menyempurnakan ibadah korban itu.

Pada majlis itu, Dato' Seri dan To' Puan Seri turut mengagihkan daging korban kepada kira-kira 150 penerima yang terdiri daripada warga emas, golongan miskin, anak yatim dan penduduk sekitar.















YPU dan SME Bank tangani MoU

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan mengadakan kerjasama dengan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana malayssia Berhad (SME Bank) bagi menyalurkan pembiayaan SkimPembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji A. Razak Sulaiman berkata, pembiayaan SPED adalah di bawah dana keusahawanan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Program ini bertujuan merialisasikan Flagship Keusahawan Terengganu seperti T’Shoppe, T’Kafe, T’Kraf dan T’Lodge,” katanya kepada Teganukita.

Tambahnya bagi maksud kerjasama itu, satu perjanjian persefahaman (MoU) antara SME Bank dan YPU telah disediakan bagi pelaksanaan SPED.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka menjadi saksi pada majlis berkenaan yang diadakan pada Rabu ini jam 1.45 petang bertempat di tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.