Halaman

22 December 2011

Dato’ Dr Mashitah rasmi konvensyen saudara muslim

Oleh; Esah Abdullah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim (gambar kiri) akan merasmikan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan bertempat di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu esok (Jumaat).

Konvensyen ini berlangsung selama dua hari dan diadakan dua tahun sekali, bakal menghimpunkan 800 orang saudara baru dari seluruh negara.

Program anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu diisi dengan ceramah, motivasi, wacana serta pembentangan kertas kerja oleh beberapa tokoh ilmuan dalam negara.

Terengganu menjadi negeri pertama menjadi tuan rumah bagi konvensyen berkenaan kerana sebelum ini ia diadakan di sekitar ibu negara dan pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur.





Marang jelapang padi kedua Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Daerah Marang bakal dijadikan jelapang padi kedua Terengganu kerana kawasan itu sesuai untuk diusahakan dengan tanaman itu namun pada masa yang sama dibiarkan oleh pemiliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri YB. Asha'ari Idris yakin bekalan padi untuk menampung keperluan di Terengganu akan mencukupi sekiranya kesemua kawasan itu diusahakan.

"Saya pergi melawat daerah Marang baru ini. Saya tengok masih ada tanah terbiar sedangkan kemudahan asas hampir semuanya ada," katanya tanpa menjelaskan keluasan tanah terbiar itu.

Asa'ari berkata Terengganu kini terpaksa mengimport hampir 40 peratus bekalan beras untuk menampung keperluan penduduk negeri ini.

Katanya kawasan pengeluaran padi yang paling luas setakat ini di Terengganu ialah di Jelapang, Setiu yang melibatkan kawasan lebih 100 hektar dan kos kemudahan asas hampir RM50 juta.

Beliau berkata mengikut perancangan, Terengganu memerlukan kawasan seluas 24,000 hektar pada tahun 2020 bagi tanaman padi untuk menampung keperluan dalam negeri.

"Yang menjadi kebimbangan kita sekarang ini tanah-tanah padi di negeri ini sudah banyak bertukar menjadi tanah perumahan kerana ditukar syarat," katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan mengambil tindakan mewartakan tanah padi seperti hutan kekal supaya tanah padi itu berkekalan pada masa akan datang.


Jawatankuasa bincang solat dua kariah hari ini

Oleh; Esah Abdullah

Isu solat Jumaat dua kariah yang berlaku di 11 masjid di negeri ini menjadi agenda khas di mesyuarat jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diadakan di bilik mesyuarat Pejabat Mufti Negeri pukul 9.30 pagi hari ini.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda Dato’ Mazlan Hasihim berkata, ahli jawatankuasa akan berbincang serta mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah berkenaan yang telah berlarutan sekian lama.

“Kita, akan mengambil satu keputusan hari ini hasil perbincangan ahli-ahli jawatankuasa,” katanya dalam sidang media di pejabat Maidam semalam.

Katanya, ahli jawatankuasa mesyuarat terdiri dari Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri , Ketua Polis, Pegawai Kewangan negeri, Mufti Terengganu, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam serta beberapa wakil pejabat firma guaman dan ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam.

“Kita berpendapat, isu ini boleh diselesaikan melalui tindakan secara pentadbiran dan akan dibincang secara teperinci serta mencari kaedah sesuai,” katanya,

Katanya, pihak Maidam sedar masalah yang berlarutan ini sukar diselesaikan apabila ada pihak yang berkeras dan tidak memberi kerjasama kerana lebih mementingkan agenda politik daripada memelihara kesucian agama Islam.

Sementara itu, Dato’ Senara Muda Dato’ Mazlan bagi pihak Maidam menerima penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM 42,718 daripada Agrobank Terengganu yang diwakili Pengurus Wilayah Terengganu/Kelantan, Haji Mohd Rahim Mohd Zain.




21 December 2011

Sultan Mizan berkenan berangkat merasmikan Karnival Hijrah

Oleh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Karnival Hijrah 2011 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, petang esok (22 Disember).

Program anjuran bersama kerajaan negeri, Jabatan Perdana Menteri dan TV Al-Hijrah itu akan berlangsung selama tiga hari dan berakhir 24 Disember ini.

Tinjauan Teganukita mendapati puluhan kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) giat menjalankan kerja-kerja terakhir, termasuk membersihkan kawasan karnival dan memasang karpet di pentas utama.

Peniaga dan kakitangan pelbagai agensi kerajaan serta swasta turut sibuk di gerai masing-masing sebagai persediaan menanti kehadiran ratusan ribu pengunjung.




Pelbagai aktiviti diadakan termasuk rakaman program 30 minit bersama ustaz Don, dialog harmoni, sesi perkenalan dengan penyampai-penyampai TV Al-Hijrah, Forum Perdana dan program Adik-Adikku terbitan RTM.

Paling menarik lampu masjid Mamlik, Replika Pedang Rasulullah, Astrolab, Sfera Bintang dan papan lapis bertulis Bismillahirrahmanirrahim akan turut dipamerkan


Dengan tema `Hijrah 1 Tranformasi’, karnival yang menggabungkan 44 agensi di bawah ini menjangkakan satu fenomena baru di dalam penglibatan agensi-agensi kerajaan Malaysia untuk membawa kepada rakyat pelbagai inovasi dan kemajuan yang telah diperkenalkan oleh agensi masing-masing.

Karnival bercorak Islam yang universal ini adalah pertama kali dianjurkan bertujuan menerangkan tentang kegemilangan Islam dan dakwah yang menepati kaedah masa dan zaman.

Peniaga kraftangan, Haji Ismail Abdulllah, berkata dia cukup bertuah kerana terpilih mempromosikan barangan kraf Terengganu sempena karnival yang diadakan tiga hari ini.

Katanya, penganjuran karnival seumpama ini wajar diteruskan kerana bukan saja memberi peluang kepada puluhan peniaga untuk mempromosikan produk masing-masing malah mampu menaikkan imej Terengganu yang nyata serius memartabatkan karnival bercorak Islam


TATiUC, UniMAP latih 500 belia Nigeria


Oleh FAUZI MOHD

Mengorak langkah seiring matlamatnya menjadi universiti kemahiran menjelang 2015, kepakaran Kolej Universiti Tati (TATiUC) diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila diberi kepercayaan melatih belia Nigeria bermula tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, melalui kerjasama dengan Petmal Oil Sdn. Bhd., seramai 500 belia negara Afrika itu akan mendapat latihan kemahiran berkaitan kejuruteraan di kampus TATiUC di Kemaman dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurutnya, Petmal yang merupakan sebuah syarikat yang dilantik Kerajaan Nigeria melalui sebuah badan, ‘Youth Development Programme’ bertanggungjawab mengurus kemasukan pelajar yang ditaja sepenuhnya kerajaan berkenaan.

“Kini, TATiUC sedang melatih kumpulan pertama seramai 50 orang dalam bidang Teknologi Kimpalan Arka selama 6 bulan dan di kampus UniMAP mereka bakal mengikuti latihan kemahiran pendawaian elektrik, pemesinan dan automotif,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara TATiUC, UniMAP dan Petmal di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Mewakili TATiUC, Rektornya, Dr. Mohd Rozailan Mamat; UniMAP diwakili Naib Canselornya, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin dan Pengerusi Petmal, Dato’ Paduka Long Mohd. Noor Affendi Long Ibrahim mewakili syarikat itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, pihak TATiUC melalui Petmal turut menghantar satu kertas cadangan kepada ‘Youth Development Programme’ untuk dilantik sebagai konsultan bagi cadangan penubuhan sebuah institusi kemahiran di Nigeria.

“Jika diterima, sebahagian pelajar Nigeria akan dilatih di negara mereka sendiri dengan seliaan dan kawalan mutu dilakukan TATiUC.


“Malah, beberapa orang pensyarah dan pengurusan TATiUC akan dihantar bertugas di negara itu untuk memastikan onstitusi tersebut beroperasi dengan baik mengikut piawaian yang ditetapkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan RM50 juta daripada Kerajaan Negeri kepada TATiUC bagi membina sebuah kompleks asrama yang boleh memuatkan sehingga 1,000 pelajar.

“Projek ini dijangka siap pada 2013 dan mampu menampung lebih 3,000 pelajar dalam satu-satu masa sekali gus menjadi penggerak kepada pembangunan Bandar Baru Kijal yang sedang rancak dalam pembinaan,” ujarnya.


Bantuan RM100 setiap pelajar diagih minggu depan

Oleh FAUZI MOHD

Bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negeri ini oleh Kerajaan Terengganu akan dmula diagihkan minggu depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said (gambar kanan) berkata, sejumlah RM12 juta diperuntukkan dengan melibatkan kira-kira 120,000 yang layak mendapat bantuan tersebut dengan maksimum dua pelajar bagi satu keluarga.

“Bantuan tersebut diberikan dalam bentuk wang tunai bertujuan membeli pakaian sekolah pelajar,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas menyaksikan majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Tati, Petmal Oil Sdn. Bhd. dan Universiti Malaysia Perlis di Wisma Darul Iman hari ini.

Kata Dato’ Seri Ahmad, ibu bapa berpendapatan RM1,500 ke bawah, layak menerima sumbangan tersebut.

“Kerajaan negeri menetapkan setiap keluarga akan mendapat bantuan maksimum hanya untuk dua orang atau RM200 bagi setiap keluarga,” ujarnya.


Maidam belanja RM2.5 juta zakat sinf mualaf

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) membelanjakan RM2.5 juta melalui zakat sinf mualaf sepanjang tahun ini berbanding RM1.85 juta (2009) dan RM1.63 juta (2010).

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, anggaran perbelanjaan berkenaan dijangka meningkat kepada RM5.4 juta tahun depan.

“Fokus perbelanjaan banyak tertumpu untuk program pembangunan insan saudara muslim termasuk bayaran elaun kepada 490 pelajar dan 25 orang guru bagi 19 kelas bimbingan saudara kita di setiap daerah seluruh negeri,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Menurut Haji Wan Harujan, kepelbagaian program diadakan termasuk lawatan dan kursus jati diri serta program integrasi sosial masyarakat Orang Asli di Perak, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Lain-lain aktiviti katanya, seperti agihan zakat hari raya, majlis berbuka puasa dan kem Ramadan serta ibadah korban di samping majlis tilawah, hafazan al-Quran, azan dan kuiz saudara kita.

Tambahnya, pihak Maidam juga turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan am seperti bantuan perkahwinan, persekolahan, pengurusan jenazah, sara hidup, bantuan modal berdikari, baikpulih rumah, perubatan dan berkhatan.




Hadiah istimewa menanti peserta pertandingan

Oleh: Suriati Ali

Lebih 100 kawah bubur asyura bakal dimasak sempena Pertandingan Memasak Bubur Asyura anjuran Parlimen Kuala Nerus di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Seberang Takir pada 25 Disember nanti.

Pertandingan yang bakal disertai lebih 100 pasukan itu akan dipecahkan kepada dua bahagian iaitu kategori cawangan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Juara bagi setiap pasukan bakal memperoleh wang tunai RM1,000, manakala tempat kedua RM900, ketiga (RM800), keempat (RM700) serta tempat kelima dan ke bawah layak menerima wang tunai sebanyak RM500.

Sumbangan RM400 akan diagihkan kepada setiap pasukan bagi membeli pelbagai bahan mentah, termasuk beras dan daging.

Pengerusi Jawatankuasa Perlaksana pertandingan itu, Encik Ashaari Khatib Hasan, berkata kira-kira RM50,000 diperuntukan bagi menjayakan program yang bertujuan memupuk semangat dan kerjasama antara pasukan bertanding serta meneruskan kesinambungan budaya memasak bubur asyura secara berkumpulan.

Katanya, lebih 1,000 penduduk di kawasan Parlimen Kuala Nerus di jangka menyertai program yang pertama kali dianjurkan itu dan bakal diteruskan sekiranya mendapat sambutan mengalakkan.

“Mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh menghubungi Pejabat Parlimen Kuala Nerus melalui talian 09-662 3007,” katanya.








Maidam anjur konvensyen saudara muslim

Oleh; Esah Abdullah

Konvensyen Saudara Muslim (KSM) Peringkat Negeri Terengganu mencatat sejarah perhimpunan terbesar membabitkan penyertaan 400 orang saudara baru termasuk 105 orang dari masyarakat Orang Asli.

Konvensyen yang berlangsung dua hari di Primula Beach Resort bermula esok itu membabitkan masyarakat Orang Asli dari Sungai Pergam, Kemaman, Sungai Berua, Hulu Terengganu dan Sungai Sayap, Besut.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, perhimpunan besar-besaran ini merupakan kali pertama diadakan dalam usaha menyimpul tali ukhuwwah sesama saudara muslim pelbagai ras keturunan, bangsa, bahasa pertuturan, darjat dan kedudukan.

Katanya, konvensyen tersebut akan disusuli KSM Peringkat Kebangsaan dan Terengganu menjadi negeri pertama menjadi tuan rumah pada konvensyen berkenaan yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur.

Menurut Haji Wan Harujan, konvensyen kebangsaan membabitkan penyertaan 800 orang saudara muslim dari seluruh negara diadakan pada 23 hingga 24 Disember pada tempat yang sama.

“Pelbagai pengisian termasuk ceramah, motivasi, wacana dan pembentangan kertas kerja untuk memupuk kesedaran dan kepentingan pemahaman ilmu agama serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian secara syumul,” katanya dalam sidang media di pejabat Maidam hari ini.

Katanya, Maidam sentiasa berusaha memberi panduan kepada saudara baru dengan memberi contoh akhlak dan perilaku Rasullullah s.a.w sebagai daya tarikan keindahan Islam terutamanya ahli keluarga yang belum Islam mahupun masyarakat non Muslim.





Ashaari, 7 pemimpin, 5 pertubuhan terima Anugerah Belia Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Penyerang skuad Penyu, Ashaari Shamsuddin merangkul Anugerah Belia Negara peringkat negeri bagi kategori Daya Juang Malaysia Boleh malam tadi.



Anak jati Bukit Payong, Marang itu yang membawa Skuad Penyu juara Piala FA, naib juara Liga Super dan Liga Malaysia memperolehi wang tunai RM3,000 dan piala iringan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat.

Ashaari ketika ditemui berkata, pengiktirafan itu memberi tiupan semangat kepadanya membawa nama ‘Belia Terengganu’ mengukir kejayaan bukan sahaja di peringkat negeri malah ke tahap yang lebih tinggi.

“Kejayaan ini bukan untuk saya seorang malah untuk dikongsi semua anak Terengganu yang berjuang dalam arena bola sepak negara kerana Bola Sepak telah menaikkan imej negeri,” katanya yang pernah dinobatkan Pemegang Kasut Emas tahun 2010.

Anugerah sejak tahun 1988 itu bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan di atas pencapaian belia dalam pelbagai bidang serta menggalakkan penyertaan golongan itu dalam kerja sukarela dan kemasyarakatan.

Turut hadir pada majlis di Primula Hotel, Kuala Terengganu Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Mat Yusof Mat Ali.



Kategori Tokoh Belia Lelaki dan Wanita masing-masing dianugerahkan kepada Mat Yusof dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok, Setiu, Che Dayang Che Sulaiman yang membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala iringan setiap seorang.



Sementara itu, Pembantu Unit Komunikasi, Amirullah Othman meraih Kategori Aktivis Sosial, Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Terengganu, Mohd Fauzi Mat Adam (Kategori Kepimpinan) dan wakil Malaysia ke Pertandingan World Skills ke-35 di Montreal, Suramzi Muda (Kategori Inovasi dan Kreativiti).

Turut mendapat pengiktirafan, pengusaha cendawan syarikat Fatisha Agro, Rusila Yusof (Kategori Usahawan Agro) dan pemilik Bie Beuty Salon, Robiah Mohamad (Kategori Usahawan).

Semua pemenang membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala iringan yang disampaikan Rozi.

Bagi Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Daerah, Persatuan Belia Fajar Meyinsing dipilih untuk Daerah Kuala Terengganu, Persatuan Belia Setia Pakat (Marang), Persatuan Belia Felda Kertih Satu (Dungun) dan Persatuan Belia Seri Kertih (Kemaman).

Empat persatuan itu menerima piala iringan dan wang tunai RM10,000.

Bagi peringkat negeri, Persatuan Belia MBFM Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu meraih Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Negeri dan layak menerima wang tunai RM10,000 serta piala iringan.



Pada majlis itu, Rozi turut melancarkan ‘Utusan Belia’ yang diterbitkan MBNT sebagai medium kominikasi antara pemimpin dan kira-kira 35,000 ahli serta lebih 540 persatuan belia di Terengganu.