Halaman

30 January 2012

Pengunjung PPAT meningkat.

Oleh: Suriati Ali

Masyarakat Terengganu terutama golongan belia kini `celik ilmu’ dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap pentingnya pendidikan dan membaca.

Berdasarkan perangkaan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima peningkatan jumlah pengunjung yang memberangsangkan pada setiap tahun.

Dalam tempoh lima tahun iaitu 2007, PPAT menerima seramai 609,247 bilangan pengunjung, 2008 (805,278), 2009 (1,037,934), 20010 (1,155,205) dan 2011 pula kira-kira 1,200,049 pengunjung pelbagai peringkat umur.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung dan terbukti promosi dan program yang dianjurkan PPAT setiap tahun mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Apa yang membanggakan, golongan belia paling ramai mengunjungi PPAT dengan pelbagai tujuan antaranya membaca dan menghadiri program,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Menurut Puan Hajah Nor Akmal, sebanyak 107 perpustakaan diwujudkan di negeri ini sebagai langkah menarik minat orang ramai supaya celik ilmu dan mendalami betapa pentingnya pendidikan, selain memudahkan masyarakat mendapat maklumat terkini.

“Daripada jumlah itu, perpustakaan desa paling banyak ditubuhkan iaitu 88 buah, perpustakaan daerah (6), perpustakaan bergerak (11) dan perpustakaan pekan serta pusat masing-masing sebuah,” katanya.



9 pasukan sertai Kejohanan Bola Sepak Vateran DUN Kijal

Oleh FAUZI MOHD

Terbuka kepada lelaki berusia 45 tahun ke atas, sebanyak sembilan pasukan tampil mempertaruhkan bakat dalam Kejohanan Bola Sepak Vateran Tertutup DUN Kijal yang bermula petang semalam.



Kejohanan yang berlangsung di Kampung Penunjuk, Kijal itu memulakan perlawanan pembukaan antara pasukan Teluk Kalong dan Beris Meraga sambil disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad yang juga ADUN Kijal turut menyampaikan jersi perlawanan dan bola sepak kepada setiap pasukan yang bertanding.

Turut memberi saingan, pasukan Seri Bandi, Darat Kijal, Payoh, Padang Kubu, Pekan Kijal, Ibok dan Bukit Kuang.

Hadir sama memberi sokongan, Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Roshali Taha yang juga Setiausaha Penyelaras UMNO DUN Kijal.






MBKT kutip 300 tan sampah sehari

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) berjaya mengutip 300 tan sampah sehari dalam operasi pembersihan di bandar ini dan dibawa ke tapak pelupusan sampah di Sungai Ikan yang terletak 25 kilometer dari pusat bandar raya.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, kerja-kerja pembersihan dan kutipan sampah dilaksanakan secara kontrak dan juga melalui jabatan.

“Kita membelanjakan RM7.75 juta setahun untuk urusan pembersihan kawasan dan kutipan sampah dalam disekitar bandar membabitkan kawasan seluas 4,291.31 hektar,” katanya.

Menurutnya untuk penyelarasan kerja, 14 zon diwujudkan iaitu Kuala Terengganu Selatan (10 zon) dan Kuala Terengganu Utara (4 zon).

Manakala urusan pembersihan dan kutipan sampah di Pulau Redang menelan belanja RM557,280 setahun termasuk urusan pengangkutan sampah dari chalet-chalet ke tanah besar.




29 January 2012

Ukom hargai sumbangan penulis blog

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Unit Komunikasi Negeri (Ukom) menghargai sumbangan penulis blog di negara ini dalam membantu menangkis serangan pihak pembangkang terhadap kerajaan negeri yang berniat jahat dan mahu menjatuhkan imej pemimpin kerajaan.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, berkata penulis blog yang melemparkan pelbagai fitnah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri tidak sepatutnya berbuat demikian kerana ia bertentangan dengan etika kewartawanan.

“Sepatutnya penulis blog menulis berdasarkan fakta dan maklumat sebenar berhubung sesuatu isu,” katanya pada majlis perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu dengan penulis blog di Kediaman Seri Iman, malam tadi.



Kira-kira 80 penulis blog dari negeri Terengganu dan luar negeri ini berkumpul atas jemputan khas Menteri Besar bagi bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin kerajaan negeri ini.

Haji Shamsuddin berkata, jika penulis blog menyerang Kerajaan Negeri Terengganu dengan niat jahat bagi menjatuhkan pemimpin BN, mereka mengkhianati rakyat negeri ini yang selama ini banyak bergantung kepada kerajaan.

“Ukom sebagai saluran medium kerajaan negeri sedia membekalkan fakta yang tepat kepada penulis blog bagi memberikan gambaran sebenar berhubung projek dan program kerajaan negeri dari semasa ke semasa,” katanya.


Pembangkang gelisah, tidak tidur lena kerana rakyat gembira dapat BR1M


Oleh FAUZI MOHD

Penyaluran dana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah agenda nasional bagi menghargai sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).



BR1M membantu golongan berpendapatan rendah memperoleh wang tunai bagi tujuan perbelanjaan harian serta simpanan persekolahan anak-anak.

Namun, gelagat murahan sebahagian pemimpin parti pembangkang yang dilihat begitu gelisah dan cemburu dengan kerajaan BN membuatkan rakyat muak.

Bagi petani, Mamat Ismail, 76, yang menerima BR1M, pemimpin pembangkang akan 'sibuk dan bising' apabila ada program kerajaan membuatkan rakyat senang dan gembira.

Katanya, rakyat menjadi hairan dan pelik tatkala pihak kerajaan begitu rancak mengagihkan BR1M, pemimpin pembangkang pula tidak senang duduk dengan menuduh kerajaan zalim dan menipu rakyat.

“Dulu mereka (pemimpin pembangkang) pernah tuduh kerajaan tidak ada duit untuk bagi RM500 seorang, lepas itu jaja cerita bantuan ini untuk ahli dan penyokong Barisan Nasional sahaja.


“Tapi sekarang, bila rakyat dapat duit termasuk penyokong PAS sendiri, mereka tidak senang duduk dan mula naikkan bulan purnama (Bendera PAS) di merata tempat, ceramah siang malam,” katanya kepada Teganukita di sini hari ini.

Mamat merupakan salah seorang penerima BR1M daripada 780 orang yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said di Dewan Sivik Kampung Kijal Darat, Kemaman sebentar tadi.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Sementara itu, pesara tentera, Junaidi Mokhtar Sarip, 63, memberitahu, kemakmuran negara yang dikecapi rakyat menjadi satu beban yang sangat menyusahkan kepada parti pembangkang.

“Rakyat dapat senang, pembangkang pula yang susah. Jika rakyat suka kepada kerajaan peluang untuk mereka (pemimpin pembangkang) menjadi wakil rakyat mungkin terjejas.

“Kalau sebelah siang kerajaan buat majlis agih bantuan, malam esok atau lusa pembangkang buat ceramah untuk tutup kebaikan kerajaan dengan pembohongan yang tiada kena mengena dengan rakyat di sini,” ujarnya.


Video Rakyat Gembira Terima BR1M



Imtiaz Kemaman siap 2013 tampung 1,000 pelajar

Oleh FAUZI MOHD

Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Kemaman yang mula dibina dengan kos RM60 juta awal bulan lalu di Kijal, dekat sini bakal siap hujung tahun 2013 untuk menampung 1,000 orang pelajar.

Pengarah Yayasan Terengganu, Zakaria Yusof berkata, penubuhan kompleks cawangan kelima sekolah berasrama penuh itu bagi menampung permohonan kemasukan yang meningkat saban tahun termasuk dari luar Terengganu seperti Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, tahun ini SMI menerima hampir 2,000 permohonan termasuk 600 dari luar Terengganu bagi mengisi 480 tempat tingkatan satu di lima cawangan iaitu SMI Besut, SMI Kuala Terengganu, SMI Dungun dan SMI Kuala Berang di Hulu Terengganu.

“Satu lagi cawangan iaitu Imtiaz Kemaman telah beroperasi selama dua tahun di bangunan sementara di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun dengan 200 orang pelajar tingkatan satu dan dua.

“Apabila ianya siap, dua lagi sekolah yang sama akan dibina di Setiu dan Marang bagi menjadikan setiap daerah mempunyai sekolah elit berkenaan,” katanya kepada pemberita di Pusat Latihan Antarabangsa, Kolej Universiti Tati, Teluk Kalong, di sini hari ini.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian Anugerah Emas Pelajar Cemerlang UPSR kepada 63 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

Tambah Zakaria, Yayasan Terengganu dalam perancangan untuk menaik taraf cawangan pertama sekolah itu di Kampung Raja, Besut menjadi Sekolah Menengah Imtiaz Antarabangsa selaras dengan hasrat Kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai 'Negeri Anjung Ilmu'.

“Imtiaz Besut yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi tahun lalu oleh Kementerian Pelajaran akan menjadi penanda aras kepada semua cawangan Imtiaz serta sekolah-sekolah lain untuk meningkatkan kecemerlangan mereka.

"Setakat ini, Imtiaz membuka kuota 10 peratus untuk pelajar luar Terengganu bagi menggalakkan integrasi antara pelajar dan kita tidak mahu mereka bergaul antara mereka sahaja," jelasnya.

Dalam majlis yang sama, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan bantuan kebajikan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM172,000 kepada 700 penerima yang melibatkan orang kurang upaya, kanak-kanak cacat, warga emas dan golongan miskin.

Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri, Zuhaimi Omar yang turut hadir pada majlis itu memberitahu, tahun ini JKM memperuntukkan RM45 juta untuk diagihkan kepada golongan berkenaan setiap bulan.



Rangka program untuk tarik pengunjung

Oleh: Suriati Ali

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah merangka beberapa program tahunan semata-mata ingin menarik minat orang ramai mengunjungi muzium sepanjang tahun ini.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata, pendekatan sama yang dilaksanakan sebelum ini berjaya menarik ratusan ribu pengunjung.

Katanya, antara program yang dirancang, termasuk Rampai Budaya ; Pertandingan Mewarna Warisan Kita; Syarahan & Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu; Pameran Khazanah Islam Dari China; Seminar & Pameran Nostalgia Kg. China; Pameran Kehebatan Terengganu dan Seminar Satu Abad Undang-Undang.

“Program lain, Pertandingan Lukisan Citra Terengganu; Lumba Jelajah Muzium Pameran Khazanah Pantai Timur dan Himpunan Alunan Muzik Tradisional,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Menurutnya, pendekatan pihaknya menganjurkan pelbagai program tahunan nyata memberi impak positif apabila mendapat peningkatan bilangan pengunjung pada setiap tahun.

“Pada tahun lalu, LMNT mencatatkan seramai 169,370 pelawat yang sudi datang melihat pelbagai khazanah dan artifak berharga yang diadakan di tempat kami,” katanya.



Peniaga wanita diminta sertai Persatuan Usahanita

Oleh: Mohammad Ishak


Persatuan Usahanita Daerah Besut mempelawa golongan wanita yang menjalankan perniagaan supaya menyertai persatuan itu bagi memudahkan pihak terbabit menyalurkan pelbagai jenis bantuan terutama dalam bidang perniagaan.


Pengerusinya,Kamariah Mohamad berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyertaan golongan wanita yang menjalankan perniagaan untuk menyertai persatuan kerana banyak faedah boleh diperolehi daripadanya.


Katanya, sehingga ini persatuan itu mempunyai 50 ahli yeng mewakili peniaga wanita sekitar daerah Besut dan Setiu .


Menurutnya, persatuan juga banyak menjalankan aktiviti untuk faedah ahli terutama dalam bimbingan perniagaan dan keusahawanan wanita setempat.

Beliau berkata, bagi tahun 2012 sebanyak 17 aktiviti dirancang termasuk kursus, seminar, konvensyen, bengkel dan hari keluarga.

Kamariah berkata, pihaknya juga turut mengadakan sesi pertemuan dan sembang-sembang antara ahli dengan pemimpin Usahanita peringkat negeri sebagai usaha mendekatkan mereka dengan pemimpin selain mengetahui isu semasa.

Ahli Jawatankuasa Usahanita Daerah Besut

Beliau berkata, wanita yang berminat boleh menghubunginya untuk mendapatkan maklumat dan syarat keahlian menerusi telefon 019-9852256.




Perpaduan asas kesejahteraan masyarakat

Oleh; Esah Abdullah

Semangat perpaduan dan persefahaman yang wujud antara kaum di negara ini perlu dipertahankan bagi mengekalkan kesejahteraan hidup bermasyarakat terutama di peringkat komuniti.

“Setiap program yang dilaksanakan di peringkat kampung dan daerah perlu memberi manfaat bersama kepada masyarakat pelbagai keturunan dan agama,” kata Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee.

Katanya, sebagai contoh di daerah Setiu, majoriti Melayu dan selebihnya Siam dan Cina merupakan satu kelebihan bagi daerah kecil itu menonjolkan kesepakatan dalam semua aktiviti yang diadakan.

“Saya tidak mahu wujudnya jurang perbezaan sehingga menyebabkan kumpulan minoriti sedia ada di sini tersisih walaupun telah lama menetap di perkampungan Melayu,” katanya di majlis sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Aktiviti MCA, Setiu.

Majlis yang turut dihadiri pelbagai kaum Melayu, Cina dan Siam itu meriah dengan aktiviti dan persembahan kebudayaan termasuk gendang panjang Siam.

Katanya, dalam dunia tanpa sempadan ini penuh dengan cabaran dan generasi muda perlu bersedia dari aspek fizikal dan mental agar tidak mudah terpedaya dengan permainan dunia siber.

Tambahnya, golongan muda merupakan aset negara dan mereka perlu mempunyai daya saing yang tinggi serta mempunyai wawasan dan idea demi masa depan pembangunan negara yang gemilang.





Usah amal budaya fitnah – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Penulis blog di negara ini diingatkan supaya menghindari budaya fitnah kerana ia bukan saja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi merugikan negara dan penduduk tempatan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masyarakat tempatan memang mudah terpengaruh dengan berita-berita berunsur fitnah yang dimuatkan dalam pelbagai blog.

Sehubungan itu, beliau meminta penulis blog lebih bertanggungjawab dengan menyiasat terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita bagi menentukan kebenarannya, sebelum dimuatkan dalam blog mereka.

“Bagi pihak kerajaan, saya sedia bekerjasama dengan penulis blog dan memberi sumber-sumber dan fakta yang tepat mengenai pembangunan negeri Terengganu untuk bahan blog saudara-saudari,” katanya pada majlis perjumpaan Menteri Besar Terengganu dengan penulis blog di Kediaman Seri Iman, malam tadi.

Kira-kira 80 penulis blog dari negeri Terengganu dan luar negeri ini berkumpul atas jemputan khas Menteri Besar bagi bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin kerajaan negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Kazan Che Mat dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

Menteri Besar berkata, pemimpin politik sering menjadi mangsa fitnah dan kerajaan sesebuah negeri boleh jatuh kerana penyebaran berita yang tidak benar berkaitan kerajaan yang memerintah.

“Jika keadaan ini berlaku rakyat yang akan menanggung kerugian kerana apa yang ingin dilakukan oleh pemimpin kerajaan sekarang ini tidak dapat diteruskan di masa depan kerana mereka tidak lagi menjadi pemimpin,” katanya.



Sementara itu, dalam sesi dialog selepas majlis makan malam dengan penulis blog berkenaan, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu merancakkan pembangunan di Terengganu.

Katanya, terdapat hampir 1,000 NGO di negeri ini di mana lebih 300 pertubuhan amat aktif dan banyak membantu kerajaan, teramsuk menyebarkan maklumat mengenai pembangunan negeri ini kepada rakyat.

“Pada tahun ini kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM2 juta untuk diagihkan kepada semua NGO bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan masing-masing,” ujarnya.