Halaman

14 March 2012

RM18 juta diagih kepada 6,000 bekas anggota Kemas seluruh negara

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan memperuntukan RM18 juta sebagai sumbangan ‘one off’ kepada 6,000 orang
bekas anggota Kemas seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Dato Haji Hassan Malek berkata, pemberian ini merupakan pengiktirafan tinggi kerajaan kepada bekas-bekas anggota Kemas yang setia memerah tenaga membantu meningkatkan pembangunan rakyat khususnya di luar bandar.
“Pemberian ini membabitkan mereka yang berkhidmat lima tahun dan bersih daripada tindakan tatatertib,” katanya dalam sidang media sempena majlis Penyampaian Sumbangan Khas kepada Bekas Anggota Kemas Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera; Pengarah Kemas Terengganu, Puan Nor Hazelina Hashim; Presiden Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia, Dato’ Melati Ali dan Pengerusi Persatuan Bekas Anggota Kemas negeri Haji Adam Sulong.



Katanya, daripada jumlah berkenaan, 407 orang adalah dari Terengganu membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta.

“Setakat in I tiga buah negeri termasuk negeri ini telah menerima sumbangan berkenaan iaitu Kelantan seramai 700 orang (RM2.1 juta) dan Sarawak 216 orang (RM648,000),” katanya.

Tambahnya, pengiktirafan ini diberi berdasarkan khidmat anggota Kemas yang bertaraf kontrak dan mereka tidak menikmati wang pencen selepas bersara.

Dato’ Haji Hassan kemudiannya telah menyerahkan sumbangan kerusi roda (10 buah), alat pandang dengar (10 set) lampin pakai buang dan hamper berupa keperluan harian kepada bekas anggota Kemas yang uzur.


Seminar fatwa dan falak-kupas isu semasa

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelbagai topik hangat yang menjadi bualan orang ramai termasuk `mengenai kedudukan anak tidak sah taraf’ dan `kepentingan pendidikan ilmu falak’ antara isu yang akan dibentangkan dalam Seminar Fatwa dan Falak Negeri Terengganu, di Balai Orang Ramai (Balora), Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, esok (Khamis).

Selain itu, topik `kiblat dan isu-isu semasa’ juga akan dikupas dalam program yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu.

Seminar anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Terengganu akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB haji Khazan Che Mat.

Pengurus Informasi, Komunikasi dan Khidmat pelanggan Ketengah, Encik Rosli Ngah, berkata program akan dimulakan dengan ucapan aluan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Mat Daud dan diikuti ucapan oleh Mufti Negeri Terengganu, Dato’ Dr Alias Abdullah.

Katanya, pembentangan kertas kerja oleh tiga panel jemputan khas bermula sebaik sahaja selesai ucapan perasmian oleh YB Haji Khazan.

“Hadirin juga berpeluang menyertai sesi soal jawab mengenai isu agama yang akan dikupas oleh ahli panel dan pakar di bidang masing-masing khususnya melibatkan fatwa serta falak,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Antara ahli panel adalah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, Dato’ Ambak Ismail; Pegawai Jabatan Mufti Kedah, Haji Mohd Isa Abdul Rahman dan Pensyarah di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Zainal Abidin, Encik Ahmad Taufan Abdul Rasid.



Yakin rakyat pilih calon BN

Oleh: Suriati Ali

Pergerakan Pemuda UMNO Perhubungan Terengganu, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin yakin bahawa rakyat Terengganu akan memilih calon pemimpin Barisan Nasional (BN) yang berkaliber dan berwibawa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Katanya, rakyat di negeri ini sudah cukup serik dengan pengalaman selama empat tahun di bawah pemerintahan Pas dan tidak mungkin mengulangi kesilapan yang serupa pada pilihanraya umum akan datang.

“Tiada apa yang boleh dibanggakan Pas ketika memerintah negeri ini melainkan sejarah pemerintahan yang penuh dendam termasuk tindakan zalim menghalau kanak-kanak tadika keluar dari bangunan tempat mereka belajar.

"Apa yang mereka mampu tawarkan untuk rakyat Terengganu yang ketika ini telah menikmati pelbagai perubahan dan kemakmuran di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Teganukita.

Katanya, semua jentera parti di 32 Dewan Undangan Negeri sudah lama menyusun gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, dalam bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Pemuda Umno kini sedang giat menggempur di seluruh kawasan bagi mengesan setiap masalah rakyat, selain menyakinkan bahawa Umno dan BN adalah parti yang mampu membela nasib rakyat.

“Kita atur gerak kerja mengikut peti undi. Dengan bantuan Ketua-ketua Bahagian setiap kawasan, kita berjumpa dengan rakyat hingga ke akar umbi. Kita mahu mendengar keluhan mereka dan cuba menghulurkan bantuan apa yang termampu.

“Selain itu, kita juga sentiasa mengutamakan daftar pengundi bagi memastikan bilangan pengundi baru pro BN sentiasa bertambah dan ianya sudah pasti membantu kita untuk kekal mentadbir Terengganu,” ujarnya kepada Teganukita.

Katanya, pembangkang sering menabur fitnah terhadap Umno dan ini membuatkan rakyat keliru. Tugas kita adalah menerangkan kepada rakyat kedudukan sebenar.

“Kita tidak mahu rakyat terus tertipu dengan pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat berkuasa. Selepas itu, nasib rakyat tidak akan dibela. Sejak BN mentadbir negeri Terengganu, dapat dilihat hidup rakyat semakin selesa.

“Selaku sayap, kita akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan Umno dan BN sentiasa menjadi pilihan rakyat. Walau apapun yang pembangkang fitnah, kita akan terus menyakinkan rakyat Terengganu bahawa kita adalah yang terbaik,” katanya.




Cabutan bertuah menanti ahli Puspanita

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 800 ahli Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Negeri (Puspanita) di negeri ini dijangka hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-28.

Mesyuarat yang akan dirasmikan Isteri Menteri Besar yang juga penaung Puspanita, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud itu akan diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 18 Mac ini.

Setiausaha Puspanita, Puan Norliza Ismail, berkata dia mengalukan- alukan semua ahli supaya hadir memeriahkan dan menjayakan mesyuarat yang akan diadakan buat kali ke 28.

Katanya, pelbagai perkara akan dibincangkan, termasuk melantik lapan wakil ke Mesyuarat Agung Perwakilan kali ke- 30 bagi 2012 dan membincangkan usul-usul yang dikemukakan secara bertulis.

“Tidak dilupakan pemberian insentif Kecemerlangan Akademik 2011 kepada anak ahli-ahli Puspanita dan cabutan bertuah,” katanya kepada Teganukita,” katanya.



RM20 juta bina empat masjid baru

FAUZI MOHD

Lebih RM20 juta diperuntukkan oleh Kerajaan negeri bagi tujuan pembinaan empat buah masjid baru di Terengganu pada tahun ini, kata Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd. Rozali Saleh.



Menurut beliau, setiap masjid yang mampu menampung seramai 1,000 hingga 2,000 jemaah itu melibatkan kos pembinaan antara RM4juta dan RM6 juta.

Katanya, tiga masjid akan dibina di Kuala Terengganu iaitu Kampung Darat Batu Rakit, Kampung Kebor Air, Kampung Gong Tok Nasek dan sebuah lagi di Dungun iaitu masjid Kampung Paya Pelandang.

“Tiga masjid berkenaan akan ditender tidak lama lagi, manakala di Gong Tok Nasek dalam proses kajian pembinaan.

“Kos pembinaan setiap masjid tidak sama kerana ia bergantung kepada proses ambil balik tanah, keluasan masjid yang bergantung kepada kapasiti kariah serta binaan tambahan termasuklah kelas al-Quran, perpustakaan dan ruang parkir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pembangunan Pejabat Agama Daerah Dungun di Dungun kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Mengiringi keberangkatan baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Khazan Che Mat.



Sebelum itu, Sultan Mizan turut berangkat ke Pejabat Daerah untuk mendengar taklimat pembangunan daerah itu yang disampaikan oleh Pegawai Daerah, Dato’ Mustofa Abd. Rahman.

Tambah Mohd. Rozali, sejak tahun 2004, Kerajaan negeri telah membina 63 buah masjid baru di seluruh negeri bagi memberi keselesaan kepada para jemaah semasa beribadat serta menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Sementara itu katanya, semua tujuh daerah di negeri ini sudah mempunyai Pejabat Agama Daerah masing-masing termasuk di Marang yang baru disiapkan, manakala Setiu masih dalam pembinaan.

“Kompleks yang bernilai antara RM3.5 juta hingga RM5.5 juta itu bagi memberi keselesaan kepada pegawai dan kakitangan Pejabat Agama setiap daerah dalam member perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Bagi Pejabat Agama Daerah Dungun, bangunan baru ini dibina dengan kos RM3.5 juta dan mula diduduki pada November 2007 dengan 65 orang pegawai dan kakitangan,” ujarnya.


Sultan Mizan rasmi Masjid Al-Huda

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi berangkat merasmikan Masjid Al-Huda Kampung Rantau Abang, Dungun selepas bersama penduduk setempat menunaikan solat Maghrib.



Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Khazan Che Mat.

Semasa bertitah, baginda menyeru seluruh rakyat terutamanya ketua keluarga supaya mengimarahkan masjid dengan mengajak ahli keluarga masing-masing datang berjemaah serta melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan di masjid.

Baginda juga mengharapkan masyarakat Islam sentiasa menjaga kebersihan terutamanya kebersihan masjid dan surau dengan menjadikannya amalan hidup harian.

“Hari ini, masjid-masjid menjadi tempat persinggahan para musafir terutamanya masjid yang berada di tepi laluan jalan raya utama.

“Oleh itu, amatlah wajar sekali qariah masjid menjaga kebersihan agar dapat memberi keselesaan kepada pengunjung masjid,” titah baginda.



Masjid Al-Huda yang dibina dengan kos RM3.2 juta itu mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.



Pada majlis yang sama, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan tauliah kepada Ketua Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Pendaftar Bahagian Nikah, Cerai dan Rujuk serta imam dan jurunikah daerah itu.

Selepas menunaikan solat Isyak yang diimamkan Mufti negeri, Dato’ Dr. Alias Abdullah, baginda menyertai jamuan rakyat bersama kariah yang hadir di perkarangan masjid itu.


Bot baru tambah rezeki

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan sentiasa mengambil cakna setiap pemasalahan yang dihadapi golongan petani, penternak dan nelayan yang menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan mereka akibat dilanda sesuatu musibah.

“Nasib mereka sentiasa dalam perhatian pihak kerajaan dan berharap setiap sumbangan yang dihulurkan memberi manfaat kepada mereka dan ahli keluarga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.
Katanya, melalui peruntukan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebuah bot baru disumbangkan kepada seorang nelayan, Encik Abdul Halim Ismail, 60, dari Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit.

Beliau yang bergantung hidup sebagai nelayan sejak 30 tahun lalu, mengalami kerugian hampir RM 7,000 akibat kerosakan bot setelah dipukul ombak besar pada November tahun lalu.

“Akibat kejadian itu, saya hilang punca pencarian hampir tiga bulan dan hanya melakukan kerja menjahit pukat untuk menyara keluarga selain sedikit bantuan dari anak-anak.

“Setelah memikirkan masa depan saya bertekad untuk membuat permohonan melalui Pejabat Penyelaras Dun dan alhamdulillah akhirnya diluluskan dalam jangka waktu yang cepat,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian bantuan bot oleh YB Haji Khazan di Kampung Pengkalan Atap baru-baru ini.

Menurutnya, keprihatinan pihak Maidam dan wakil rakyat memberi kelegaan serta semangat baru serta berharap mendapat rezeki lebih menerusi rutin harian sebagai nelayan selepas ini.



13 March 2012

JPP peruntuk sehingga RM300 ribu baiki prasarana sekolah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Pusat memperuntukkan antara RM100,000 hingga RM300,000 bagi melaksanakan projek baru pembangunan sekolah yang melibatkan kerja membaiki padang, makmal dan tandas di seluruh Terengganu pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Terengganu, Haji Ahmad Sharom Yasin, berkata pembiayaan khusus menerusi JPP itu bagi memastikan prasarana di sekolah sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan memberi keselesaan kepada tenaga pengajar serta pelajarnya.
“Projek baru di bawah penyeliaan JPP terbahagi kepada tiga kategori iaitu membaiki padang sekolah yang memperuntukkan (kira-kira) RM300,000, membaiki makmal dan juga tandas masing-masing memerlukan kos antara RM100,000 hingga RM200,000,”katanya ketika sidang media sempena Program Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu,semalam (12 Mac).



Hadir sama, Pengarah Ukom, Tuan Haji Shamsuddin Sulong dan Penolong Pengarah JPP Terengganu, Mohammad Zaidad Abdul Samat.

Selain itu, katanya sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi membaiki dewan gimnasium Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu.

Dalam pada itu, JPP turut bertindak mengkoordinasikan peruntukan dengan Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan setiap kali Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melakukan program lawatan `turun padang’ ke setiap daerah terutama melibatkan kelulusan bagi projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS).

Katanya, JPP memperuntukkan RM16 juta bagi PIA dan PIAS fasa satu dengan setiap Parlimen bakal mendapat peruntukan kira-kira RM2 juta untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Projek di bawah PIA dan PIAS termasuk membaiki dan menaik taraf jalan rosak, membina jalan baru serta jalan di kawasan pertanian,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, pihaknya semalam menjalankan undian berkomputer bagi menjalankan projek PIA dan PIAS di Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan peruntukan keseluruhan RM3.8 juta yang melibatkan 83 projek.













BN iktiraf wanita

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menghargai peranan dan pengorbanan wanita terhadap pembangunan negeri dan kelancaran perjalanan program parti dengan cara memberi pengiktirafan serta menyalurkan peruntukan tujuan mengerakkan organisasi.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, keberkesanan jentera wanita menjalankan gerak kerja yang ditunjukkan begitu mantap dan meyakinkan.

“Oleh itu jawatan Ahli Dewan Negara Negeri Terengganu diperuntukkan khusus kepada golongan wanita sahaja,” katanya di majlis Program Pemantapan Jentera Pilihanraya Wanita (JR) Bahagian Kuala Nerus, di Stadium Tertutup Gong Badak.

Setakat ini, jawatan berkenaan dipegang oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Dungun, Senator Hajah Zainun Abu Bakar dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rahmani @ Rohani Abdullah.

“Jawatan berkenaan berkuatkuasa tiga tahun dari tarikh pelantikan dan akan diserahkan kepada setiap pemimpin tertinggi wanita secara bergilir,” katanya.

Katanya, peruntukan RM50,000 setahun turut diagihkan kepada Pergerakan Wanita di setiap Parlimen untuk program turun padang dengan berkunjung ke rumah ibu bersalin, orang uzur serta keluarga ibu tunggal yang mempunyai ramai tanggungan.




Konmat himpun 400 penuntut IPTA seluruh negara

Oleh; Esah Abdullah





Seramai 400 penuntut daripada 12 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) di seluruh negara menyertai Konvensyen Matematik Malaysia 2012 (Konmat’ 12) bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selama dua hari baru-baru ini.

Konvensyen yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir kesemua IPTA menghantar wakil.

Antaranya, termasuklah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis,Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA).



Konmat diadakan khusus kepada pelajar matematik peringkat sarjana muda dan mahasiswa serta pelajar bagi membincangkan hala tuju mahasiswa matematik selepas menamatkan pengajian.

“Matematik adalah sumber aspirasi utama dalam bidang kewangan, sains dan teknologi serta merangkumi keseluruhan aspek kehidupan,” kata Timbalan Naib Censelor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Dr Noor Azhar Mohamed Shazili.

Katanya, penguasaan matematik mampu memberikan kepakaran dalam bidang berkaitan yang sekaligus meningkatkan kualiti profesionalisme seseorang.

Tambahnya, bidang matematik juga adalah nadi pengerak utama kepada sektor ekonomi dan kewangan.