Halaman

14 September 2012

Pakatan pembangkang tidak berupaya wujud keharmonian dalam negara

Oleh; Esah Abdullah

Sebagai ahli masyarakat yang sayang dan cintakan negara wajar mempertahankan keamanan negara dari digugat oleh anasir yang cuba merosakkan kestabilan dan perpaduan demi masa depan generasi akan datang.

Pengerusi Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Terengganu, Dato’ Haji Muhatar Abdullah berkata, pakatan pembangkang (PAS,PKR,DAP) mempunyai dasar dan agenda yang jauh berbeza.

“Kita sangat yakin sekiranya mereka berkuasa, tidak akan berupaya mewujudkan keharmonian dan kestabilan di negara ini,” katanya di majlis sambutan Hari Raya Pesara Kanan Kerajaan Malaysia Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Noorbahari Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar dan Ahli Jawatankuasa Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, ini berdasarkan pengalaman lalu ketika berada di bawah pentadbiran kerajaan Pas, pihak pentadbiran terpaksa berdepan dengan kegelisahan dan rasa tidak puas hati rakyat akibat dasar yang tidak cekap dan tidak jelas serta tidak disukai oleh sebilangan besar rakyat.

“Kita ingin melihat pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti akan wujud sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih kuat dan berpengalaman,” katanya yang juga mantan Setiausaha Kerajaan Terengganu.


Katanya, hanya BN sahaja di negara ini yang berpengalaman dan mempunyai perancangan masa depan yang jelas dan jitu serta berupaya memajukan nasib masa depan bangsa, agama dan negara.

“Saya harap tidak ada yang tergoda dan termakan dakyah parti pembangkang sebaliknya berilah kepercayaan kepada perjuangan BN untuk meneruskan kesinambungan memerintah negara dan negeri,” katanya yang secara terang mengaku baru boleh membuka mulut setelah bergelar pesara daripada penjawat awam.

Katanya, bilangan pesara berjumlah 25,000 orang diseluruh negeri dan jumlah ini tidak termasuk suami atau isteri serta anak-anak mereka yang layak mengundi.

“Dengan jumlah yang ramai, tidak mustahil golongan pesara boleh menjadi penentu kepada kemenangan BN dalam PRU nanti,” katanya disambut tepukan gemuruh para hadirin termasuk Menteri Besar.





Kerajaan guna Manis FM salur maklumat kepada rakyat


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Terengganu akan menggunakan Radio Manis FM sebagai medium utama bagi menyalurkan pelbagai maklumat mengenai dasar dan polisi kerajaan kepada rakyat di seluruh negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata langkah itu penting bagi memastikan rakyat mendapat penerangan yang jelas mengenai dasar kerajaan dan tidak diseleweng oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, selain penyaluran informasi Manis FM juga bertindak sebagai medium hiburan yang tidak melampau bagi menghiburkan penduduk tempatan dan negeri-negeri berdekatan yang menerima siaran tersebut.

“Selain Terengganu, Manis FM boleh didengar penduduk di Kelantan, Pahang, Johor Timur dan Selatan Thailand,” katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu Radio Manis FM, pagi semalam.

Beliau yang turut diringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, bersiaran secara langsung dari konti Manis FM selama kira-kira setengah jam mulai jam 8.30 pagi semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.

Menteri Besar berkata, pihaknya sedang berusaha memperkemaskan lagi siaran radio berkenaan dengan mempelbagaikan segmen bagi menambat hati pendengar.

“Pada masa yang sama kita juga akan berusaha memperluaskan kawasan penyiaran agar ia dapat didengar di lebih banyak kawasan di seluruh negara,” tambahnya.




13 September 2012

Senarai hitam kontraktor gagal siap projek-MB

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bertegas untuk tidak menyerahkan sebarang projek kepada kontraktor yang ‘di senarai hitam’ berikutan kegagalan projek masa lalu.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berucap dimajlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan mempunyai perancangan pembangunan yang berjadual dan tidak akan menyerahkan projek kepada mereka yang telah terbukti gagal menyiapkan kerja yang diberikan sebelum ini.



“Kalau mereka gagal menyiapkan projek hingga menimbulkan kerugian kepada kerajaan kita terpaksa ‘blacklist’ , biarpun kepada kontraktor Bumiputera, “ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-36 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Terengganu di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden PKMM Dato’ Mohd Rosdi Abdul Aziz dan Pengerusi PKMM Terengganu, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Menteri Besar berkata, beliau amat maklum semua kontraktor ingin membuat keuntungan ke atas projek yang dilaksanakan tetapi perlu diingat kerajaan juga memerlukan kontraktor yang berwibawa dan bertanggung jawab ke atas kerja yang dilakukan.



“Kita memang nak tolong orang Melayu, tetapi kalau mereka buat kerja sambil lewa termasuk projek yang mesti siap dua tahun, empat tahun pun tak siap lagi macam mana nak beri projek baru,” katanya.

Menteri Besar berkata, untuk projek kerajaan akan datang, pihaknya bercadang untuk menentukan siapa berjaya melalui cara undian agar perkara pembahagian projek itu adil.

Beliau juga mengharapkan setiap projek perlu dipantau sepanjang masa oleh pihak kerajaan agar tidak berlaku penipuan dari segi penggunaan bahan dan sebagainya.




MB hadir majlis Aidilfitri PDRM

Di sebalik kesibukan tugas harian, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri sempat meluangkan masa bagi menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Terengganu.


Menteri Besar disambut oleh Ketua Polis Negeri Terengganu dan kakitangan ketika menghadiri majlis aidilfitri di IPK

Kehadiran pemimpin nombor satu negeri bersama isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, ternyata menggembirakan anggota pasukan keselamatan yang memberi sambutan meriah kepada mereka.

Ketibaan Menteri Besar dan isteri pada tengahari tadi disambut Ketua Polis Negeri, SAC Dato’ Jamshah Mustafa dan pegawai-pegawai kanan polis.


Kanak-kanak gembira menerima duit raya daripada Menteri Besar dan Toh Puan

Pada kesempatan itu, Menteri Besar turut meluangkan masa bagi memberi ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yang turut hadir pada majlis berkenaan.

Menteri Besar dan tetamu kehormat dihidangkan dengan pelbagai juadah pada majlis berkenaan.

Sementara itu, SAC Dato’ Jamshah menyampaikan hadiah kepada pemenang gerai cantik sempena sambutan majlis Aidilfitri berkenaan.






Kerteh muncul taman bioteknologi terbesar Asia Tenggara

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerteh bakal muncul taman bioteknologi terbesar Asia Tenggara menjelang 2015 dengan pelaburan kira-kira RM7 bilion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sehingga ini dua pelabur besar dari luar negara bersetuju melabur kira-kira RM3.65 bilion di kawasan tersebut.

Katanya, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan merasmikan majlis pecah tanah tapak pembinaan Kompleks Bioteknologi Arkema di Kerteh, Kemaman pada 6 Oktober depan.

Projek Bioteknologi Arkema di Kerteh, Kemaman, kerjasama antara Kerajaan Terengganu dengan ECERDC.

Kompleks bernilai RM2 bilion itu dibangunkan dengan kerjasama syarikat dari Perancis dan Korea, melibatkan pembangunan kilang bioteknologi menghasilkan L-methionine melalui farmentasi.

Kilang pertama seumpamanya di dunia itu bagi penghasilan asid amino (untuk makanan haiwan ternakan) melalui bioteknologi bakal membolehkan Arkema anak syarikat Total untuk kimia, mengukuhkan kehadirannya di Malaysia (di mana ia telah mempunyai sebuah kilang, Cray Valley, yang menghasilkan resin di Johor Bahru) dan Asia (pusat-pusat pengeluaran di Singapura, Vietnam, China dan Jepun).

“Sebuah syarikat dari Boston, Amerika Syarikat Pula bersetuju untuk melabur di bidang yang sama di Kerteh melibatkan pelaburan sebanyak RM1.65 bilion,” katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu Radio Manis FM, pagi ini.

Bagi menampung keperluan industri berkenaan, kerajaan negeri merancang untuk menanam pokok Petai Belalang atau nama saintifiknya Leucaena leucocephala dan Acacia Mangium bermula bulan depan bagi menampung keperluan Kompleks Biopenapisan di Taman Polimer, Kertih.

Sejumlah 30,000 hektar tanah di kawasan berkenaan disediakan di mana ia mampu menghasilkan 10.5 juta tan metrik cip kayu dari pokok itu pada setiap tahun.

projek berkenaan dilakukan melalui kerjasama antara Kerajaan Terengganu dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).





Kerajaan yakin PPP lonjakkan negara

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika hadir pada majlis sambutan Hari Raya Pesara Kerajaan di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

Kerajaan negeri menyokong penuh Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) yang di lancarkan oleh Perdana Menteri untuk menghasilkan sistem pendidikan berteraskan aspirasi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan yang mampu lonjakkan ekonomi negara.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, generasi hari ini dilihat cepat matang dan semakin cerdik dan memang perlu kerajaan melakukan sesuatu untuk masa depan negara yang gemilang.


“Pelan pendidikan baru ini mungkin akan memendekkan masa pelajar di sekolah rendah kepada lima tahun sahaja begitu juga tempoh belajar di sekolah menengah,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Hari Raya Pesara Kerajaan di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Noorbahari Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar; Ahli Jawatankuasa Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengerusi KUPKKM Terengganu Dato’ Haji Muhatar Abdullah.

Katanya, dalam erti kata lain ketika usia 21 tahun mereka dah tamat belajar di universiti dan ia lebih menguntungkan dari segi tenaga kerja dan memberi kesan kepada pembangunan negara.

“Usaha lahirkan generasi yang berilmu bukan saja bergantung kepada pembacaan semata-mata tetapi juga kriativiti dan kepantasan mereka berfikir serta bertindak ketika berdepan apa saja,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 yang antara lain bertujuan menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.


Perdana Menteri berkata, pendidikan bukan hanya satu elemen yang sangat penting dalam pembangunan peribadi seseorang insan, malah ia merupakan penyumbang utama kepada pembangunan modal sosial dan ekonomi sesebuah negara.

Jelasnya, ini menggalakkan kreativiti dan memupuk inovasi, menyediakan para belia dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran dan merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Sasaran yang ditetapkan adalah tinggi namun ia boleh dicapai termasuk meningkatkan standard negara daripada tergolong dalam kumpulan terbawah kepada paling atas bagi penilaian antarabangsa seperti Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun.

Sasaran lain, katanya, membina satu sistem pendidikan yang mendidik anak bangsa menghargai identiti unik negara sebagai rakyat Malaysia.

"Transformasi sistem pendidikan bukan satu usaha yang mudah dan kemungkinan besar kita akan menghadapi beberapa cabaran. Namun, yakinlah bahawa bukan sahaja kerajaan dan Kementerian Pelajaran yang komited untuk mencapai matlamat ini, malah saya juga secara peribadi memegang teguh komitmen ini.

"Daripada ibu bapa kepada masyarakat tempatan dan sektor swasta, kita semua mempunyai peranan dan kepentingan peribadi dalam memastikan sistem pendidikan kita diperbaiki," tegasnya.





Terengganu selesai banyak kes pemilikan tanah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Terengganu mampu menyelesaikan banyak kes berhubung tanah di negeri ini, termasuk pemberian hak milik kepada penduduk yang layak disebabkan penggunaan teknologi maklumat secara meluas dalam sistem pentadbiran tanah.


Menteri Besar ketika ditemuramah oleh penyampai radio secara langsung di konti Manis FM

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dalam tempoh empat tahun lalu 11,000 lot tapak rumah di seluruh negeri diberi hak milik manakala 7,000 kes pemilikan tanah pertanian juga dapat diselesaikan.

“Pencapaian ini amat membanggakan kerana kerajaan negeri memberi fokus kepada usaha menyelesaikan hak milik tanah di seluruh negeri,” katanya ketika menjadi tetamu Radio Manis FM, pagi ini.

Beliau yang turut diringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, bersiaran secara langsung dari konti Manis FM selama kira-kira setengah jam mulai jam 8.30 pagi tadi.


Kakitangan Manis FM tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan pemimpin kesayangan mereka ketika majlis Aidilfitri yang dianjurkan oleh di pejabat mereka

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.

Menteri Besar berkata, pada masa ini Pejabat Tanah dan Galian negeris serta semua pejabat tanah daerah menggunakan sistem talian terus e-Tanah, e-Mohon dan e-Consnet, bagi mempercepatkan pelbagai urusan berkaitan tanah, termasuk pemilikan, tukar nama pemilikan dan penggadaian.

“PTG Terengganu telah menfapat pelbagai pengiktirafan dan hadiah kecemerlangan kerana mampu menyelesaikan masalah tanah dalam masa yang singkat berbanding negeri lain,” tambahnya.




12 September 2012

PM dijangka rasmi kompleks bioteknologi di Kerteh

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka akan merasmikan majlis pecah tanah tapak pembinaan Kompleks Bioteknologi Arkema di Kerteh, Kemaman pada 6 Oktober depan.

“Kompleks yang bernilai RM2 bilion itu dibangunkan dengan kerjasama syarikat dari Perancis dan Korea,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said kepada pemberita di majlis sambutan Hari Raya Pesara-pesara Kerajaan di Wisma Darul Iman hari ini (12 September).

Menteri Besar bermesra dengan pesara kerajaan.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Noorbahari Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar; Ahli Jawatankuasa Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengerusi KUPKKM Terengganu Dato’ Haji Muhatar Abdullah.

Sebelum ini Perdana Menteri telah membuat pengumuman tentang pelaburan penting Perancis-Korea ini untuk pembangunan kilang bioteknologi yang menghasilkan L-methionine melalui fermentasi.


Kilang pertama seumpamanya di dunia itu penghasilan asid amino (untuk makanan haiwan ternakan) melalui bioteknologi bakal membolehkan Arkema anak syarikat Total untuk kimia, mengukuhkan kehadirannya di Malaysia (di mana ia telah mempunyai sebuah kilang, Cray Valley, yang menghasilkan resin di Johor Bahru) dan Asia (pusat-pusat pengeluaran di Singapura, Vietnam, China dan Jepun).

Pemilihan Malaysia (Terengganu) berbanding Thailand atau negara-negara lain di rantau ini adalah kerana insentif yang kompetitif yang ditawarkan oleh negara dan pengkhususan Pembangunan Koridor Wilayah Timur untuk petrokimia dan bahan kimia tulen.

Arkema merancang untuk membangunkan platform baru Asia untuk thio (kimia sebatian sulfur) pada masa akan datang.






Rakan media, kakitangan awam memeriahkan Majlis Raya Ukom

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 1,000 kakitangan awam dan rakan media daripada pelbagai agensi seluruh Terengganu memeriahkan sambutan Majlis Hari Raya Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) 2012, di perkarangan pejabat itu, di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman ketika menghadiri majlis aidilfitri di pejabat Ukom

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Haji Alias Abdullah.


Antara rakan media yang hadir pada majlis aidilfitri pejabat Ukom

Majlis bermula jam 10 pagi berakhir kira-kira empat jam kemudian menyediakan pelbagai juadah menyelerakan seperti nasi dagang, nasi minyak, sate, nasi himpit, mee goreng, tapai pulut, asam gumpal dan cendol.

Tuan rumah yang juga Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, mengucapkan terima kasih dengan kehadiran tetamu yang memeriahkan majlis tahunan anjuran Ukom itu.

“Program seumpama ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Syawal walaupun sudah hampir ke penghujungnya, malah dapat merapatkan hubungan silaturahim sesama kita.

"Pada masa yang sama, majlis ini juga menjadi medan untuk kita menjernihkan kekeruhan sebelum ini sambil beramah-mesra dan bertanya khabar antara kita tanpa mengira latar belakang," katanya.




TNB yakin dapat atasi gangguan




Oleh: Suriati Ali

Tenaga Nasional Berhad (TNB) optimis tempoh purata gangguan bekalan elektrik dapat dikurangkan kepada 50 minit pada tahun 2015 berbanding 70 minit ketika ini dengan pembinaan beberapa loji janakuasa baharu, di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azman Mohd berkata purata masa gangguan kini jauh lebih baik berbanding tempoh antara 300 minit dan 400 minit, lima tahun lepas.

"Sistem Indeks Tempoh Purata Masa Gangguan (SAIDI) yang merekod durasi masa serta frekuensi gangguan adalah penunjuk aras yang diguna pakai oleh TNB dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kami.

"Apabila kesemua projek itu siap tiga tahun lagi, TNB yakin masalah gangguan bekalan elektrik dapat dikurangkan dengan tahap SAIDI yang semakin pendek," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan Aidilfitri TNB di Jalan Cherong Lanjut, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata antara loji kuasa hidroelektrik berskala besar yang sedang dalam pembinaan ialah di Hulu Terengganu di sini dan Ulu Jelai di Pahang, manakala loji jana kuasa arang batu, di Manjung, Perak.