Halaman

18 October 2012

Terengganu tawar produk baru pelancongan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Terengganu menawarkan produk baru untuk bidang pelancongan bagi memberi peluang orang ramai menikmati pengalaman menyeronokkan sambil menjamu selesa dengan pelbagai hidang yang lazat.

Orang ramai boleh menikmati hidangan lazat yang disediakan di atas bot pelancong.
Produk tersebut memberi peluang kepada pelancong untuk menyusuri Sungai Terengganu bersama keluarga atau sahabat handai sambil menikmati keenakan makanan tradisional dan barat di atas bot, dengan harga berpatutan.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Wan Supian Dato’ Wan Ishak, berkata pihaknya menyediakan dua bot yang menyediakan perkhidmatan tersebut di mana pelancong dan orang yang berminat boleh menghubungi pihaknya untuk tempahan.


Melalui pakej terbaru itu pelancong boleh melihat keindahan panorama sepanjang ‘pengembaraan’ mereka, termasuk bangunan sekitar Bandaraya Warisan Pesisir Air, Kampung Cina, Payang Walk dan Taman Tamadun Islam, sama ada waktu siang atau malam.

 “Pada masa ini pihak kami mengadakan promosi dengan kadar harga RM60 seorang bagi program menyusuri Sungai Terengganu beserta hidangan makan malam atau RM15 seorang, tanpa makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membawa rombongan media massa tempatan, pengusaha hotal dan agen pelancongan menikmati sendiri perkhidmatan tersebut, malam tadi.


Wan Supian berkata, pihaknya berharap dengan adanya produk baru itu lebih ramai pelancong datang ke negeri ini untuk bercuti bersama keluarga dan sahabat handai mereka.

“Pakej ini disediakan untuk merangsang kedatangan pelancong ke Terengganu, khususnya bagi menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2013,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang memberi sokongan kepada pihaknya bagi menjayakan program tersebut, termasuk menyediakan bot bagi perkhidmatan itu.

 

Terengganu anjur Sultan Mizan Cup 2012

Kerajaan negeri dengan kerjasama Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) akan menganjurkan Sultan Mizan Cup 2012 selama tiga hari mulai 19 Oktober, di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong.

Sempena majlis tersebut diadakan Majlis Makan Malam kira-kira jam 8.15 malam di lokasi yang sama.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan melakukan ‘flag-off’ (pelepasan) pada jam 5 petang, pada 20 Oktober (Sabtu).

Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan pada jam 9 pagi, 21 Oktober, di mana Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dijadualkan berangkat ke majlis tersebut.


17 October 2012

Utamakan rakyat, modal BN diterima

Oleh: Aida Abd Rahman

Prinsip dan pendekatan kepimpinan Terengganu yang mengutamakan kebajikan rakyat menjadi modal utama kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

 Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan berkata, tiada pihak yang boleh mempertikaikan kelebihan pucuk pimpinan negeri yang diketuai Dato’ Seri Haji Ahmad Said kerana beliau sudah terbukti membela nasib rakyat dan sentiasa turun padang menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Pertama kepimpinan beliau selaku ketua kerajaan negeri yang mengetuai pentadbiran kerajaan. Yang kedua, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri. Walaupun kedua-duanya berlainan, tetapi tetap berkait rapat antara satu sama lain. Dia perlu ada saling perkaitan dan melengkapi. Kalau bagus di kerajaan, tak bagus di Umno pun, tak boleh juga. Bagus kat Umno, tak bagus di kerajaan, tak boleh juga, sebaliknya kedua-duanya perlu bagus dan saling membantu,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Sura berkata selaku pemimpin yang mengepalai dua struktur penting negeri itu, beliau berupaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan saling melengkapi antara satu sama lain yang tiada lain menjurus kepada menjaga kebajikan rakyat.

Dato’ Rosli berkata sebagaimana umum sedia maklum bahawa Dato’ Seri Haji Ahmad mengambil alih tampuk kepimpinan negeri dalam keadaan yang tidak bersedia serta menimbulkan kontroversi terutama sekali dalam sokongan padu daripada Adun-Adun.

 “Jadi, setakat ini saya melihat berlaku transformasi dan proses perubahan positif dalam iklim pentadbiran dan politik negeri. Walaupun tidak secara keseluruhan tapi, lebih daripada tiga suku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ada memberi sokongan kepada beliau. Saya kira, masalah sebelum ini sudah pulih .

“Kemudiannya, langkah pertama yang dibuat beliau mengamalkan konsep `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ . Jadi sebab itu kita tahu dari awal lagi penekanan kepentingan yang memberi sepenuh tumpuan kepada rakyat, rakyat didahulukan dalam setiap aspek,” katanya.

Beliau berkata, penekanan jelas diberikan kepada usaha menyediakan bantuan dan kemudahan terutama bidang kesihatan dan pendidikan. Malah, sektor juga diteruskan dan diberi nilai tambah yang akhirnya memberi manfaat secara optimum kepada rakyat yang memberi cukai.

 Selain itu, kata beliau projek mega tidak banyak wujud kebelakangan ini melainkan Dato’ Seri Haji Ahmad membuat penambahbaikan dengan memberi kekuatan kepada sesetengah projek dan program pembangunan.

.

Kerajaan sedia segala kemudahan rakyat-MB

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengajak semua rakyat sentiasa bermuhasabah diri, insaf dan bekerja keras menentang usaha sesetengah pihak yang suka mempermainkan hukum Allah dengan mengeluarkan fatwa mengikut naluri sendiri.

 “Bulatkan tekad dan ikhlas dalam perjuangan menegakkan kebenaran serta redha dengan qada’ dan qadar-Nya,” katanya ketika berucap di majlis Perjumpaan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu bersama Menteri Besar di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, contoh terdekat apabila tidak membenarkan wanita menyertai pertandingan tilawah al-Quran untuk memelihara aurat seorang wanita Islam tetapi membenarkan wanita bersuara lantang di pentas ceramah.

“Saya harap kita sama-sama berperanan memberi penjelasan dan membuka minda masyarakat agar bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah berhenti merancang dan menghulur bantuan,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada sebab lagi rakyat marahkan Kerajaan BN kerana telah berikan segala keperluan yang rakyat perlukan sama ada rumah, tanah, bantuan bulanan, bantuan pelajaran, e-book, dana raya, dana remaja dan banyak lagi.

“Setiap perjumpaan bersama rakyat saya sering bertanya apa lagi yang mereka mahu dan hari ini saya nak tanya sekali lagi apa lagi yang kerajaan boleh bantu,” ujarnya dihadapan kira-kira 1,000 anggota APMT seluruh negeri.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat dan mempunyai empat sumber utama untuk membiayai pembangunan rakyat pada masa hadapan.

“Sumber utama adalah minyak dan gas diikuti kilang besi waja yang akan bertambah satu lagi bulan depan menjadi tiga kilang dan dua sumber baru iaitu industri berasaskan biojisim dan sektor pelancongan di Tasik Kenyir yang membuka peluang ribuan pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.

Malah katanya, dalam tempoh empat tahun kerajaan berjaya mengagihkan 19,000 lot tapak perumahan dan kawasan pertanian kepada rakyat yang memerlukan.

 “Kita negeri pertama perkenalkan dana raya dan dana remaja dan kini diikuti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang juga diagihkan kepada remaja berusia 21 tahun ke atas oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

Katanya, kerajaan BN adalah yang terbaik sentiasa menjaga kebajikan rakyat bermula dari buaian hingga ke liang lahat.

“Marilah sama-sama kita bergerak sederap, berjalan seiring dan jangan sekali-kali mempertikai calon yang ditentukan oleh pucuk kepimpinan tertinggi parti pada pilihan raya akan datang sebaliknya berilah sokongan agar BN terus berkuasa di negara ini,” katanya.

 

Pemuda Kuala Terengganu lancar “BN Youth Volunteer”

Oleh: Noraini Jusoh

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu melancarkan sukarelawan yang dinamakan ‘BN Youth Volunteer’ (BNYV) sejak dua bulan yang lalu, sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Program berkenaan terbuka keanggotaannya kepada semua golongan muda yang belum layak mengundi dan berusia dalam lingkungan 18 hingga 21 tahun.

Ketua pergerakan itu, Encik Badrul Hisham Zaki berkata sejak dilancarkan keahliannya sukarelawan itu telah mencecah 1,250 orang.
“Kita menubuhkan BNYV untuk orang muda yang berada di luar parti tetapi mereka ingin membantu dan pro-Barisan Nasional (BN),” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Menurut beliau, dengan adanya pasukan anak muda itu pihaknya berharap jentera pilihan raya BN semakin kuat bagi memastikan Terengganu kekal di bawah pemerintahan kerajaan sedia ada.

Katanya, pergerakan itu masih mengharapkan lebih ramai anak-anak muda menganggotai sukarelawan itu bagi membolehkan mereka menyumbangkan tenaga kepada kerajaan BN.

Golongan muda yang berminat untuk menyertai BNYV boleh mendaftarkan keahlian dengan memberi nama kepada Pergerakan Pemuda Cawangan masing-masing.

 

170 anggota Askar Wataniah tamat latihan



Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 170 anggota dan 15 pegawai Askar Wataniah (AW) Batalion Kedua Rejmen 512 menamatkan sesi latihan ketenteraan yang berlangsung di Kem Seri Tembila, dekat Besut semalam.

Anggota dan pegawai terbabit sebahagian anggota sukarelawan yang menyertai Latihan Khemah Tahunan bagi Siri 1/202. Komander Rej 512. Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Buktafi Bilah Shah melakukan upacara penutup dan pemereksaan perbarisan berkenaan.

Latihan selama dua minggu itu bertujuan meningkatkan kemahiran anggota dan pegawai pasukan itu dalam usaha memantapkan lagi pasukan berkenaan.

Berucap pada majlis itu, Tengku Baharuddin kagum dengan anggota sukarela kerana mempamerkan kesungguhan menjayakan latihan lasak sepanjang dua minggu.

Katanya,penyertaan masyarakat dalam AW sekarang masih tidak mencapai tahap yang disasarkan dan AW akan melaksankan pelbagai program bagi menarik lebih ramai menyertai AW Pada majlis itu ,

Tengku Baharuddin juga turut memakaikan pangkat kepada anggota tetap dan sukarela. Antara latihan yang dijalankan sepanjang program itu termasuklah ilmu medan perang, pertandingan kawad dan menembak , sukan dan pelbagai lagi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof, ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh dan Timb Komander Rej 512 AW, Lef Kolonel Nazli Alias,

Pas tidak tepati ajaran Islam

Sudah jadi kebiasaan bagi penyokong dan pemimpin PAS setiap kali berbalah pendapat sesama Islam, mereka akan mengambil pendirian mendahulukan kepentingan politik kepartian, walaupun ia tidak menepati anjuran Islam yang mahu umatnya berlapang dada dalam menerima perbezaan pandangan.

Sikap bongkak dan perilaku taksub pada parti yang ditonjolkan penyokong dan pemimpin PAS dalam banyak hal membabitkan kepentingan ummah seakan sudah satu lumrah berkemungkinan berkait rapat dengan asal usul penubuhan PAS itu sendiri yang lahir dari perasaan dendam dan irihati.

Penyokong PAS mahupun pemimpin mereka sentiasa mencari alasan untuk memperlihatkan pendirian mereka dalam sesuatu isu adalah betul dan tidak pernah silap manakala apa sahaja yang diusahakan UMNO dipropagandakan sebagai salah dan tidak pernah betul di mata mereka.

Bila saja UMNO tampil dengan pelbagai program pembangunan Islam seperti penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Tabung Haji, membina masjid dan surau, tidak bertangguh lagi PAS segera menggerakkan jenteranya bertujuan memperlekehkan segala usaha tersebut kononnya tiada nilai di sisi Allah s.w.t.

Di awal penubuhan Tabung Haji, Bank Islam dan UIA, tidak sedikit kata nista dan tuduhan jahat dilemparkan kononnya itu semua sekadar wayang Kerajaan Pusat pimpinan BN untuk menarik sokongan umat Islam yang di dakwa semakin telah beralih arah kepada PAS.

Tidak cukup dengan itu, ada pula yang lancang mulutnya menghukum sesiapa sahaja yang mengerjakan haji dengan menggunakan khidmat Tabung Haji maka ibadah hajinya tidak sah dan perlu dilaksanakan sekali lagi.

Sedangkan sejak Tabung Haji beroperasi secara rasmi pada 1963, badan itu yang paling banyak berjasa membantu umat Islam merencanakan wang tabungan mereka, membantu menguruskan perjalanan dan penginapan sehinggalah selesai terlaksana ibadah haji di Kota Suci Mekah.

Jika benar penubuhan Tabung Haji itu hanyalah wayang atau haram berurusan dengannya, apa perlu penyokong PAS menumpang rezeki di sana?

Atau sebenarnya segala tuduhan sebelum ini hanyalah omong kosong politik kepartian dek kerana benci dan iri hati dengan kebijaksanaan pemimpin UMNO dalam menguruskan hal ehwal kemaslahatan umat.

Demikian juga bila Bank Islam dan UIA ditubuhkan, bukan sedikit propaganda dimainkan pemimpin PAS yang menghasut umat Islam supaya meyakini kedua-duanya itu hanyalah 'senjata politik baru' UMNO untuk melemahkan pengaruh PAS.

Inilah tabiat buruk pemimpin PAS sejak sekian lama, malu untuk mengakui jasa bakti UMNO dalam membangunkan umat Islam dan meningkatkan imej agama.

Begitu juga bila UIA mula beroperasi, ramai pemimpin PAS mendakwa penubuhannya semata-mata untuk meningkatkan imej Islamik UMNO.

Beberapa tahun berlalu selepas itu, UIA banyak menghasilkan produk anak muda yang pro PAS malah ada kalangan pemimpin PAS sekarang pun datangnya dari universiti itu.

Semua yang saya ceritakan ini membuktikan PAS bukanlah sebuah parti Islam sebagaimana kerap dipropagandakan oleh pemimpin mereka.

PAS hanyalah sebuah parti politik yang memperalatkan Islam demi manfaat peribadi, puak dan parti.

Sikap taksub kepada parti menyebabkan pengikut dan penyokong PAS dibutakan mata hati hingga mereka gagal melihat kenyataan yang sejak lebih 60 tahun usia PAS, hanya air liur dan kecelaruan fikiran sahaja yang dapat disumbangkan olehnya kepada umat dan negara.

 

Jabatan Penerangan anjur ‘luncheon talk’

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu akan menganjurkan program ‘luncheon talk’ di Hotel YT Midyown, Kuala Terengganu jam 11 pagi, 23 Oktober ini.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Ismail, akan menyampaikan ucaputama pada majlis tersebut yang bertujuan membuka minda orang ramai megenai isu-isu semasa.

Penolong Pengarah jabatan itu, Encik Iskandar Jaafar berkata, sesi dialog dan perbincangan turut diadakab selepas Haji Wan Nawawi menyampaikan ucaputamanya.

T-Best adakan promosi Kejohanan Monsoon Cup 2012

Pelbagai acara diadakan di semua daerah di negeri ini bermula 5 Oktober lalu hingga 24 November, bagi mempromosikan Kejohanan Lumba Perahu Layar Monsoon Cup 2012.

Kejohanan Monsson Cup 2012 bakal diadakan di Pulau Duyong dari 3 Disember hingga 8 Disember 2012.

Karnival sempena Piala Monsson 2012 itu dianjurkan oleh T-Best Events Sdn Bhd dengan kerjasama kerajaan negeri.

Antara acara yang diadakan ialah ialah:

1) PERTANDINGAN CONGKAK TERBUKA

2) PERTANDINGAN ISI AIR DALAM BOTOL

3) BAWA BOLA PING PONG DALAM SUDU

4) TIUP BELON KANAK-KANAK

5) PUZZLE GAME

6) BALING GELONG BERWARNA

7) PERTANDINGAN MAKAN TERPANTAS

8) MUSICAL CHAIR - ACI-ACI BUKA PINTU

9) MUZIKAL ROBOT

10) PERTANDINGAN MINUM AIR BERGAS

11) CABUTAN BERTUAH

ORANG RAMAI DIJEMPUT DATANG BERAMAI-RAMAI.

BERIKUT ADALAH TARIKH TERSEBUT :-

5/10/2012 (Jumaat); HARI PERTAMA 2.00 petang hingga 7.00 petang : Karnival Monsoon Cup 2012 di Tujuh Daerah sempena Monsoon Cup 2012 di Tapak Pantai Teluk Lipat, Dungun.

6/10/2012 (Sabtu) ; HARI KEDUA 10.00 pagi hingga 7.00 petang : Karnival Monsoon Cup 2012 di Tujuh Daerah sempena Monsoon Cup 2012 di Tapak Pantai Teluk Lipat, Dungun.

12/10/2012 (Jumaat); HARI PERTAMA 2.00 petang hingga 7.00 petang : Karnival Monsoon Cup 2012 di Tujuh Daerah sempena Monsoon Cup 2012 di Tapak Pantai Kelulut, Marang. 13/10/2012 (Sabtu);

HARI KEDUA 10.00 pagi hingga 7.00 petang : Karnival Monsoon Cup 2012 di Tujuh Daerah sempena Monsoon Cup 2012 di Tapak Pantai Kelulut, Marang.

2/11/2012 (Jumaat); HARI PERTAMA 2.00 petang hingga 7.00 petang : Karnival Monsoon Cup 2012 di Tujuh Daerah sempena Monsoon Cup 2012 di Tapak Pantai Air Tawar, Besut. 3/11/2012 (Sabtu);

HARI KEDUA 10.00 pagi hingga 7.00 petang : Karnival Monsoon Cup 2012 di Tujuh Daerah sempena Monsoon Cup 2012 di Tapak Pantai Air Tawar, Besut. 16/11/2012 (Jumaat);

HARI PERTAMA 2.00 petang hingga 7.00 petang : Karnival Monsoon Cup 2012 di Tujuh Daerah sempena Monsoon Cup 2012 di Tapak Parking Kereta, Hadapan Perhentian Bas, Permaisuri, Setiu.  17/11/2012 (Sabtu);

HARI KEDUA 10.00 pagi hingga 7.00 petang : Karnival Monsoon Cup 2012 di Tujuh Daerah sempena Monsoon Cup 2012 di Tapak Parking Kereta, Hadapan Perhentian Bas, Permaisuri, Setiu. 23/11/2012 (Jumaat);

HARI PERTAMA 2.00 petang hingga 7.00 petang : Karnival Monsoon Cup 2012 di Tujuh Daerah sempena Monsoon Cup 2012 di Tapak Parking Kereta, Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu. 24/11/2012 (Sabtu);

HARI KEDUA 10.00 pagi hingga 7.00 petang : Karnival Monsoon Cup 2012 di Tujuh Daerah sempena Monsoon Cup 2012 di Tapak Parking Kereta, Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

 

BN perlu kekal memerintah-Dato' Yahya

Oleh; Esah Abdullah

Dato' Yahya Khatib
Pemimpin boleh bertukar ganti, namun parti Barisan Nasional (BN) perlu kekal sebagai pemerintah di negara ini bagi meneruskan kesinambungan tradisi membela kebajikan rakyat.

 Ketua UMNO Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad menegaskan bahawa jentera BN berjalan lancar serta siap siaga untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada bila-bila masa sahaja.

“Apabila jentera berada dalam keadaan baik dan teratur ia menggambarkan pemimpinnya seorang yang bagus dan berwibawa,” katanya kepada Teganukita.

Beliau berkata, kepimpinan negeri berjaya memikul amanat presiden parti menjaga kebajikan rakyat dan menggerakkan pembangunan negeri dengan jayanya.

Kerajaan BN sentiasa telus dan fokus membantu golongan masyarakat yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik dan warna kulit.

“Pendekatan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang di bawa Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyerlahkan lagi ketrampilan sikap seorang pemimpin yang komited untuk mendekati golongan rakyat pelbagai peringkat.

“Menteri Besar dan saf kepimpinan negeri sentiasa turun padang, amat mudah didekati rakyat dan banyak masalah penduduk tempatan dapat diselesaikan dengan cepat.

 “Rakyat menilai keadaan ini dan mereka tidak akan sewenang-wenangnya mengalih sokongan kepada pembangkang yang hanya pandai menabur janji,” katanya.

Dato’ Yahya Khatib berkata, kini rasa tidak puas hati berkait dengan bantuan dan tidak cakna pemimpin sudah jarang kedengaran kecuali isu yang dipolitikkan oleh pembangkang.

Katanya, ini memberi gambaran baik bahawa BN kini berada di hati rakyat Terengganu dan mereka akan menyokong calon-calon BN pada pilihan raya akan datang.