Halaman

13 January 2013

Program 1JKKK 1Polis bantu kurang jenayah

Oleh; Esah Abdullah


Program Satu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (1JKKK) Satu Polis (1Polis) dan Satu Masjid (1Masjid) Satu Polis (1Polis) yang diperkenalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu telah membantu mengurangkan kadar jenayah kerana masyarakat terus berhubung dengan pihak keselamatan.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Jamshah Mustapa berkata, pelaksanaan program ini bersifat komuniti dan lebih dekat kepada masyarakat merupakan langkah alternatif dalam usaha untuk mengurangi kadar jenayah di negeri ini.

“Yang jelasnya, kadar jenayah menurun sejak kita mempergiatkan program komuniti kepolisan dengan turun bertemu masyarakat dan kita harap ia terus memberikan impak yang positif, sekaligus mewujudkan suasana yang harmoni serta bebas dari gejala jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Jom Kayuh Cegah Jenayah Komuniti Kepolisan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu di Kampung Gong Lingai, Batu Rakit semalam.

Hadir sama ke majlis berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Katanya, program komuniti kepolisan seperti Jom Kayuh Cegah Jenayah dan Hari Kesedaran Jenayah yang sedang giat dilaksanakan bertujuan untuk mendapatkan keyakinan masyarakat bahawa polis bukan sekadar mencegah jenayah semata-mata.

 “Tanpa sokongan dan kerjasama masyarakat adalah mustahil sesuatu jenayah itu dapat dikesan secara menyeluruh kerana komuniti berperanan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, seramai 160 peserta mengambil bahagian dalam program Jom Kayuh Basikal yang baru diperkenalkan itu membabitkan anggota polis, badan Ngo dan masyarakat tempatan.

 

Sokongan rakyat terhadap BN makin kuat

Oleh: Suriati Ali

 Sokongan rakyat terutama peringkat akar umbi di negeri ini dilihat semakin kuat kerana mereka menyedari keupayaan Barisan Nasional (BN) yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada Terengganu berbanding masa lalu.

 Tanggapan pihak tertentu kononnya rakyat di negeri ini semakin menolak UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) disifatkan satu kenyataan yang tidak berasas dan menyimpang dari fakta yang sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat, berkata pihaknya menyifatkan kenyataan seperti ini hanyalah cubaan pihak-pihak tertentu yang semakin gelisah dengan arus sokongan semasa BN yang terus bersemarak.

"Malah dengan keupayaan BN yang ditunjangi UMNO mentadbir negeri dan membela nasib rakyat secara menyeluruh membuatkan golongan yang tersepit ini tidak senang duduk sehingga memaksa mereka mencipta dakyah palsu sedemikian rupa.

 “Kita menafikan sekeras-kerasnya pelbagai dakwaan karut yang datang daripada pembangkang, mereka gemar menidakan apa yang dilaksanakan kerajaan kerana mahukan perhatin,” kata ketika berucap di satu majis baru-baru ini.

 Katanya, pembangkang bimbang bantuan dan kebajikan yang ditaburkan kepada rakyat akan memberi kesan negatif terhadap puak itu.

 “Kita percaya rakyat di negeri ini akan menilai rekod pentadbiran kerajaan yang ada sekarang berbanding fitnah yang dilemparkan.

 "Sebab itu kita tidak hairan dengan fitnah dan dakwaan tanpa asas yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

 YB Khazan yakin selagi BN berjaya mentadbir dengan baik dan peka terhadap tuntutan rakyat, segala tohmahan yang dilemparkan tidak akan meninggalkan kudis.

 

Yayasan Taqwa belanja RM21,500 untuk bantuan persekolahan

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Taqwa membelanjakan RM21,500 bagi program penyampaian sumbangan persekolahan kepada pelajar yang kurang berkemampuan dalam parlimen Kuala Terengganu yang diadakan di Dewan Seri Budi, semalam.

Majlis yang dianjurkan Yayasan Taqwa dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji tersebut melibatkan 100 pelajar sekolah rendah termasuk anak yatim piatu di parlimen itu.

Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji Terengganu, Tuan Haji Adnan Salleh berkata, sumbangan tersebut merupakan keprihatian Yayasan Taqwa yang merupakan agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam membantu pelajar yang kurang bernasib baik.

"Diharap pelajar yang mendapat sumbangan ini dapat menggunakannya sebaik mungkin,” ujarnya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Difahamkan, setiap pelajar yang terpilih menerima bantuan bernilai RM215 dalam bentuk pakaian sekolah, kasut serta alat tulis.

Sementara itu, Dato’ Wan Ahmad Farid berkata, peranan untuk membantu golongan yang memerlukan dan membuat kebajikan bukan setakat tanggungjawab kerajaan semata-mata.

"Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), agensi-agensi berkaitan hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha yang dilakukan Yayasan Taqwa dan Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji dalam menganjurkan program yang memberi makna yang besar kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan bagi menampung kos persekolahan anak-anak.

 

Kerugian hampir RM 1 Juta Kebakaran kedai di Kampung Alur Lintang,Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Sederet enam kedai di Kampung Alur Lintang, Besut,musnah dalam kebakaran awal pagi menyebabkan kerugian ditaksirkan hampir RM1 juta.

Kedai terbabit ialah kedai komputer, kedai menjual mesin jahit, bengkel membaiki motosikal dan rumah kediaman.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.10 malam tadi menyebabkan semua premis berkenaan musnah dalam kebakaran yang dianggap terbesar di Besut tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu,Nor Mahathir Mohamad ketika ditemui di tempat kejadian berkata pihak bomba menerima panggilan menerusi talian 999 daripada orang awam yan g memaklumkan kejadian itu.

Katanya, empat jentera bomba dari balai bomba Kampung Raja dan Permaisuri bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan bagi mengawal kebakaran berkenaan.

Bagaimanapun,katanya, kejadian itu tidak membabitkan kehilangan nyawa keranaa semua penghini dipercayai tinggal di rumah berasingan.

Nor Mahathir berkata, kejadian itu dipercayai litar pintas dari sebuah bengkel motosikal dan siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pasukan bomba.

Penduduk perlu rebut peluang, jika mahu tambah pendapatan keluarga

Oleh: Suriati Ali

 Penduduk setempat terutama suri rumah diminta lebih proaktif dan bijak merebut peluang yang ditawarkan kerajaan dengan mengikuti kursus tertentu supaya dapat menambah sumber pendapatan ketua keluarga.

 Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafie, berkata kerajaan menawarkan pelbagai pilihan, termasuk menawarkan kursus jahitan, masakan dan perniagaan di serata kawasan semata-mata mahu melihat rakyat menempuh kehidupan lebih selesa.

“Kita sewajarnya merebut peluang itu kerana jelas dapat menambah sumber pendapatan suami, selain mampu menjadi pendapatan utama bagi mereka bergelar ibu tunggal..

“Bagi mereka yang sudah mempunyai perniagaan kecil-kecilan pula, seperti menghasilkan karipap, pau atau pelbagai jenis kuih di rumah, kerajaan melalui jabatan tertentu ada menawarkan pinjaman untuk membesarkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kelas Bimbingan Agama, di Kampung Bukit Chempaka, Kuala Terengganu, kelmarin.

 Dato’ Haji Mohd Jidin turut mengingatkan penduduk kampung supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai isu yang dilontarkan pembangkang, termasuk berkaitan penggunaan kalimah Allah dan `Amanat Haji Hadi’ .

 Katanya, isu itu sangat sensitif, jangan mudah percaya dengan apa yang diperkatakan itu kerana percaya pemimpin pembangkang mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan parti.

 

Kalimah Allah eksklusif untuk umat Islam

Oleh: Aida Abd Rahman

Penggunaan kalimah Allah kepada penganut agama lain adalah tidak bertepatan dan selari dengan prinsip al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ kerana agama yang benar di sisi Allah s.w.t hanyalah agama Islam.

Firman Allah dalam surah Ali Imran yang bermaksud `sesungguhnya agama di sisi Allah adalah agama Islam’.

Sehubungan itu, pandangan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam atas tujuan maslahat dakwah islamiyah tidak dapat diterima umat Islam kerana banyak cara serta kaedah lain yang boleh digunakan bagi tujuan maslahat dakwah, selain daripada penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Malah, roh kalimah Allah bukan hanya sekadar sebutan atau seruan mahu pun panggilan bagi tuhan semata-mata tetapi ia melambangkan akidah atau agama bagi orang yang menggunakannya.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot berkata, penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam dan ia tidak boleh disamakan dengan agama lain.

Beliau berkata, perkara berkenaan jelas disebut di dalam al-Quran menerusi surah al-Ikhlas yang menyatakan bahawa Allah itu bersifat Maha Esa dan surah Taha yang bermaksud tiada Tuhan lain melainkan Allah.

"Sekiranya penggunaan kalimah ini dibenarkan, maknanya mereka menyamakannya dengan konsep triniti dan sekiranya dikatakan semua agama itu sama, maka boleh jatuh hukum kufur, syirik dan murtad.

"Jangan keliru dengan hukum kerana ia sudah ditetapkan di dalam al-Quran, hadis serta ijtimak ulama dan perkara ini tidak boleh dikompromi," katanya.

Menurut beliau lagi, sesiapa yang membenarkan penggunaan kalimah Allah di dalam Bible berbahasa Melayu boleh jatuh kufur dan murtad.

Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membangkitkan semula isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu dianggap sebagai cubaan untuk melemahkan masyarakat Islam dan jati diri orang Melayu di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berpendapat, tindakan tersebut seperti ada agenda tersirat kerana isu itu telah diselesaikan sebelum ini dan tidak sewajarnya dibangkitkan semula.

 "Isu penggunaan kalimah Allah telah diputuskan dengan jelas oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, sehubungan itu kenyataan Guan Eng perlu dipersoalkan kerana jelas cuba mencabar keputusan Majlis Fatwa.

"Tindakan biadab Guan Eng ini seperti cuba mencairkan identiti dan agama Islam secara terus. Tiada keperluan untuknya mencampuri urusan kesucian agama Islam," katanya.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi menyatakan Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa kerajaan membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah telah mencetuskan semula polemik yang telah lama reda.

Katanya, isu ini tidak seharusnya ditimbulkan semula dan menggesa pihak yang berkenaan merujuk kepada ahli ulama terlebih dahulu.

Sebalik polemik itu, dua pemimpin utama parti pakatan rakyat, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) dan juga Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepakat menyatakan kalimah Allah boleh digunakan penganut agama lain.

 Bayangkan, Abdul Hadi sendiri mewakili parti yang mendakwa memperjuangkan Islam menegaskan pendirian itu, di satu majlis ketika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang duduki di sisinya si satu majlis dan sidang media, baru-baru ini.

Tindakan itu jelas memperkecilkan pendirian dan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bahawa kalimah Allah eksklusif bagi umat Islam.

Ketua pembangkang itu meremehkan pendirian tersebut dengan memberi gambaran seolah-olah MAIS tiada kaitan dengan kerajaan Selangor pimpinan PKR.

Dalam situasi itu sudah tentu Khalid tersepit antara patuh titah Sultan atau akur pendirian parti berhubung isu itu. Bagaimanapun, Khalid pada sidang medianya selepas itu akur dengan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata penggunaan kalimah Allah itu mengikut kepada ketetapan yang telah difatwakan dan diwartakan oleh kerajaan negeri pada 18 Februari 2010.

"Mengikut warta kerajaan, lafaz kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama serta umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam yang lain. "Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat," katanya.

Bagaimanapun, dalam pada itu, Khalid seperti tidak ikhlas dengan perakuan itu apabila mengaitkan soal lagu negeri Selangor yang mengandungi kalimah Allah dan turut dinyanyikan golongan bukan Islam. Manakala Hadi pula lebih tersepit apabila isu itu mendapat tentangan bukan sahaja daripada Setiausaha Agung Pas, Dato' Mustafa Ali, Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malah Ketua Dewan Ulama Pas, Dato'  Harun Taib juga menegaskan parti itu tidak akan bersetuju dengan sebarang cubaan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Harun berkata, walaupun penggunaan kalimah Allah dibolehkan untuk bukan Islam namun kalimah suci itu tidak boleh menjadi sebahagian daripada Bible versi bahasa Melayu.

"Penggunaan kalimah Allah bukan tak boleh digunapakai (oleh penganut Kristian tetapi), saya rujuk kepada kenyataan Lim Guan Eng nak pakai dalam kitab Bible, nak tukar kalimah 'God' kepada kalimah Allah yang itu saya tak setuju,” katanya.

Dalam pada itu, Tindakan Dewan Pemuda Pas Terengganu yang mempersoalkan penggunaan kalimah Allah dan Nabi Muhammad s.a.w dalam lagu kebesaran negeri serta logo-logo pasukan keselamatan jelas menggambarkan tahap kedangkalan ilmu golongan itu.

 Ketua Program Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti pengajian dan pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menegaskan kenyataan itu semata-mata bermotifkan politik.

Katanya, isu lagu, logo dan lambang sebenarnya berbeza dengan isu tuntutan penggunaan kalimah Allah secara rasmi oleh bukan Islam khususnya penggunaan dalam Bible berbahasa Melayu. Malah beliau juga menegaskan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam itu merupakan niat jahat mereka semata-mata bertujuan mengelirukan umat Islam di negara ini.

“Penggunaan kalimah Allah pada lagu, logo dan lambang adalah kerana amalan itu ada nilai sejarahnya tersendiri yang menyentuh sensitiviti orang Melayu. Paling penting amalan itu menyentuh sensitiviti orang Melayu dan juga mendukung institusi raja-raja yang sudah terbentuk di negara ini sejak dulu lagi,” ulasnya.

 

MPP UniSZA dapat sentuhan NC baru

Oleh; Esah Abdullah


Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima kenderaan khas MPV Nazaria untuk melancarkan perjalanan aktiviti.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Yahya Ibrahim berkata, aktiviti yang dijalankan MPP merupakan cerminan universiti tempat mereka menimba ilmu.

“Setiap program yang diadakan hendaklah bersifat nasional dan international dalam usaha mentransformasikan UniSZA menjadi universiti ulung di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu.

Prof Dr Yahya yang berpengalaman lebih tiga tahun sebagai Timbalan NC bahagian HEPA Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memulakan tugas baru sebagai NC di UniSZA mulai awal Januari lalu.

Sementara itu Presiden MPP UniSZA, Encik Mohammad Marzuqi Zainal Adlan, 24, berkata dengan adanya kenderaan khas mereka akan lebih pro aktif selepas ini.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer itu melahirkan rasa gembira kerana sebelum ini pergerakan mereka agak terbatas, terpaksa berkongsi kenderaan dengan bahagian lain serta menggunakan kenderaan sendiri untuk ke destinasi program.

 “Saya dan barisan Ahli Jawatankuasa (24 orang) MPP mengucapkan terima kasih kepada NC yang baru Prof Dr Yahya yang memahami tugas dan cabaran MPP yang membawa imej universiti pada setiap program yang dijalankan.

Katanya, tugas dan tanggung jawab MPP begitu besar dalam menjaga kebajikan pelajar serta nama baik universiti di mata umum.

 

Buku “Kenali Loghat Terengganu” dilancar

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Buku kosa kata ‘Kenali Loghat Terengganu’ yang mengandungi himpunan longhat Terengganu dan produk yang diharapkan mampu membantu promosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, dilancarkan di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, malam tadi.

Datuk Abdul Rahin bersama penulis buku Kenali Loghat Terengganu merasmikan buku berkenaan di hotel Permai
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, yang menyempurnakan majlis tersebut berharap buku tersebut boleh dijadikan ‘ole-ole’ kepada pelancong yang datang ke negeri ini.

“Sebelum ini kita telah melakukan beberapa langkah untuk mengantarabangsakan loghat Terengganu. Duta TMT 2013, Zizan Raja Lawak juga banyak membantu kita untuk tujuan tersebut,” katanya.

Buku berkenaan ditulis Presiden Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita), Tuan Sharif Tuan Putera dan diterbitkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anak kelahiran Kampung Petai Bubus itu telah menghasilkan 117 cerpen, 120 buah puisi, 24 karya perseorangan dan bersama penulisan biografi dan antologi cerpen.

Datuk Abdul Rahin berkata, pihaknya berharap buku berkenaan dapat membantu masyarakat luar mengenali lebih dekat budaya berbahasa negeri ini yang terkenal dengan slogannya ‘Negeri Cantik Mudaya Menarik”.

“Rakyat Terengganu dikurniakan daya kreativiti yang tinggi apabila mencipta kraf songket dan batik berkualiti, seni anyaman daripada panda, buluh dan mengkuang, keunikan makanan tradisional dan lekuk-lekuk barangan tembaga.

“Pada masa yang sama, masyarakat Terengganu memilki sejumlah kosa kata atau loghat yang tidak dituturkan masyarakat luar,” katanya.





UMNO Besut arah bilik gerakan beroperasi


Idris keitka melawat peti undi Bandar Jertih malam tadi

Oleh: Mohammad Ishak 

Tanda-tanda hadirnya pilihan raya semakin dirasai dan petugas parti sudah tidak sabar lagi untuk menabur bakti dan khidmat bagi mempastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di negara ini.

Berikutan itu UMNO Bahagian Besut memulakan langkah awal semalam dengan mengarahkan semua bilik gerakan supaya beroperasi mulai semalam.

Ketua Umno Bahagian itu, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, semua bilik gerakan boleh dibuka dan ketua cawangan serta pengerusi peti undi juga perlu mengadakan perjumpaan atau mesyuarat lebih kerap bermula sekarang.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, malam tadi memulakan lawatan rasmi ke bilik gerakan Peti Undi Bandar Jertih dan menemui semua petugas parti sambil menyampaikan kata-kata semangat.

Bagi menjamin kekuatan parti di bahagian itu beliau juga meminta ketua cawangan mendapatkan lima ahli Pas di kawasan masing-masing yang mirip Umno supaya menarik mereka menyertai parti Umno.

Katanya, ini kerana semakin ramai ahli Pas kini dalam keadaan serba salah untuk menyokong parti itu berikutan banyak isu dan percangahan pendapat di kalangan pemimpin mereka sejak akhir-akhir ini.

Idris berkata, selepas proses mengajak ahli parti itu diperolehi oleh dari semua cawangan pihaknya akan menganjurkan majlis Selamat Tinggal Pas (STP) secara besar-besaran.

“Kita yakin cawangan terbabit mampu menarik penyertaan ahli Pas menyertai Umno berdasarkan perkembangan semasa dalam parti pembangkang itu,” katanya.

UMNO Hulu Besut gempur Kampung Lubuk Kawah


Nawi (dua dari kanan) menyampaikan kerusi roda kepada warga emas

Oleh: Mohammad Ishak 

UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, memulakan gerak kerja pilihan raya dengan mengempur perkampungan Lubuk Kawah dengan mengadakan program ziarah dari rumah ke rumah,

Diketuai ADUN Hulu Besut, YB Nawi Mohammad bersama 300 pendokong parti masuk kampung dan menemui penduduk terutama mereka yang uzur, warga emas dan golongan miskin.

Penyelaras Program,Zahari Mat berkata, sepanjang tempoh program turun padang itu pihaknya menziarah 122 rumah sambil mengagihkan bantuan makanan dan menyampaikan kerusi roda kepada pesakit.

Katanya, perjalanan dari rumah itu turut disertai pemuda dan puteri Umno, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan anggota sukarelawan.

Menurutnya, kehadiran mereka secara konvoi menggunakan motosikal dan kereta produa viva turut menerik perhatian penduduk setempat.

Beliau berkata, pemilihan peti undi Lubuk Kawah adalah sebagai permulaaan kepada program turun padang secara beramai-ramai yang diketuai pemimpin dalam usaha mendekati pengundi.

Zahari berkata, kejayaan program itu mendorong ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad yang merancang untuk mengadakan gerak kerja sama ke kawasan selain seluruh DUN berkenaan.