Halaman

18 April 2013

Iskandar insaf pikul amanah parti

Oleh; Esah Abdullah

“Saya insaf, kerana ini merupakan satu amanah sangat besar bila diumum sebagai calon bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri Jabi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei depan,” kata Mohd Iskandar Jaafar, 38.

Beliau merupakan calon termuda di negeri melahirkan rasa yakin dengan kerjasama semua jentera parti dan restu masyarakat tempatan Barisan Nasional (BN) mampu mendapat mandat rakyat dalam PRU13 nanti.

 Beliau yang memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Penerangan Negerti Terengganu dianggap sudah sinonim dengan tugas turun padang memberi penerangan kepada masyarakat diserata peluruk daerah dan negeri.

“Saya sudah lama menghidu sepak terajang dalam parti kerana jawatan lama itu telah mematangkan saya untuk berdepan dengan karenah masyarakat,” katanya.

Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Setiu dan Timbalan Pengerusi Belia 4B Terengganu melahirkan rasa terkejut bila mendapat panggilan daripada Menteri Besar jam 3 pagi 16 April lalu bagi memaklumkan namanya berada dalam senarai calon DUN Jabi, Setiu.

Anak jati Kampung Apal, Jabi itu kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memilih beliau sebagai calon pada PRU13 dan berazam akan memberi sepenuh komitmen bagi memenangkan partii.

Mohd Iskandar lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran di Universiti Malaya dan telah 10 tahun berkhidmat dengan Jabatan Penerangan negeri.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Dr. Nor Asmawati Wahab, 33, seorang doktor perubatan serta mempunyai tiga cahaya mata.

 





Rakyat perlu ingat zaman hitam Pas

Oleh: Gelombang biru

 Rakyat digesa agar mengingati dan menilai semula kerenah yang dilakukan oleh pemimpin Pas ketika parti itu memerintah Terengganu selama satu penggal antara tahun 1999 hingga 2004.

 Ketua Umno Bahagian Besut yang juga Calon BN Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh berkata, perkara itu dibangkitkan semata-mata untuk mengingatkan semula rakyat parti manakah yang benar-benar menjaga dan mengutamakan rakyat.

 Katanya, ketika itu, walaupun kalah dan gagal memerintah negeri, pemimpin Umno tetap meneruskan kerja mereka sebagaimana sebelumnya tetapi sebaliknya berlaku kepada pemimpin Pas.

"Pemimpin UMNO tetap menjenguk dan menjaga rakyat meskipun kalah tetapi lihatlah pemimpin Pas, mereka menghilangkan diri dan hanya muncul semula menemui rakyat menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

 "Jangan mudah tertipu dengan pemimpin pembangkang yang kini giat masuk kampung dan menabur pelbagai janji jika menang pilihan raya umum kali ini," katanya

 Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, perbezaan itulah yang perlu dinilai oleh rakyat dalam memilih parti yang mampu menjaga mereka sama ada susah atau senang dan bukannya memilih waktu.

 Katanya, kini banyak janji ditabur oleh pemimpin Pas tetapi rakyat perlu berani bertanya sama ada janji-janji yang pernah mereka buat jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu sudah ditunaikan atau sebaliknya.

"Rakyat juga perlu bertanya di manakah pemimpin Pas berada dan mengapa mereka tidak mengambil tahu penyokong dan pengikut mereka yang menghadapi masalah setelah kalah pada pilihan raya umum lalu.

 "Berbeza dengan pemimpin Umno walaupun kalah, boleh ditemui pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Mereka bersedia membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat tanpa mengira fahaman politik," ujarnya.

Sehubungan itu, Idris berharap apa yang berlaku selama tempoh Pas memerintah Terengganu itu dijadikan iktibar dan peringatan supaya tidak berulang lagi kerana banyak mendatangkan kesusahan kepada banyak pihak.

 

17 April 2013

PRU13: Ismail optimis bakal tawan Bukit Tunggal

 Oleh: Aida Abd Rahman

Satu-satunya muka baru di Parlimen Kuala Nerus, Haji Ismail Nik yang mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal optimis mampu menawan kembali kerusi itu dari tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan DUN sejak 2008 hingga kini, rakyat di kawasan Bukit Tunggal tidak asing bagi saya. Malah, saya mengenali mereka seorang demi seorang hasil kunjungan ke rumah mereka dan pertemuan di pelbagai majlis keraian.

“Saya mengenali hati budi mereka, saya juga tahu permasalahan yang sering dihadapi rakyat kawasan dan berusaha mengatasinya secara berperingkat-peringkat. Alhamdulillah mereka menerima baik kehadiran saya dan ini petanda baik untuk Barisan Nasional (BN) kembali menawan Bukit Tunggal,” katanya kepada Teganukita, semalam.

Haji Ismail yang juga calon tertua BN bagi PRU13, mahu memastikan perumahan yang menjadi isu dan keperluan utama penduduk di situ mampu ditangani dengan menambah 1,000 rumah mampu milik dalam tempoh empat tahun akan datang.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 1,200 unit rumah mampu milik di DUN itu melibatkan 500 unit rumah sudah siap dan lebih 700 sedang dibangunkan yang turut merangkumi kawasan DUN Seberang Takir.

Beliau berkata, pihaknya akan melancarkan kempen secara sederhana menerusi lawatan dan `sentuhan’ ke rumah setiap rakyat yang memerlukan perhatian dan pembelaan sewajarnya.

“Sejak dari dulu lagi dan pada masa akan datang kita akan meneruskan rutin lawatan dan kunjungan ke rumah penduduk sebagaimana pernah dilakukan sebelum ini.

 “Saya akan pastikan nasib dan kebajikan penduduk terbela di bawah pentadbiran Kerajaan BN walaupun mereka di kalangan penyokong pembangkang sekali pun,” katanya.

Menurutnya, kecenderungan dan perubahan penyokong pembangkang kepada BN semakin ketara apabila golongan itu mulai menerima dasar dan pelaksanaan kerajaan BN  menerusi respon positif dalam ceramah dan kunjungannya di kawasan itu.


PRU13- Masyarakat Setiu bakal terima sentuhan hakim

Oleh; Esah Abdullah

‘Saya akan menggunakan pengalaman sebagai pentadbir untuk mentadbir dalam kawasan jika diberi peluang untuk berkhidmat di Parlimen Setiu, “ kata Che Mohd Zulkifly Jusoh, 54, yang dinamakan sebagai calon BN bagi Parlimen Setiu pada pilihan raya ini.

Beliau yang tinggal di Felda Kampung Rahmat, Setiu dan merupakan ahli Umno di cawangan Kampung Rahmat itu telah diumum sebagai calon bagi Parlimen Setiu, petang semalam.

Beliau mengambil  keputusan menerima tawaran daripada pucuk pimpinan parti kerana meminati bidang politik secara diam dan selalu mengikuti perkembangan melalui media masa dan media elektronik serta rakan-rakan di kawasan.

“Saya mengambil masa sebulan untuk membuat keputusan menerima tawaran sebagai calon dalam PRU13 serta bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat dan berharap diterima baik oleh masyarakat,” katanya.

Che Mohd Zulkifly mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Ittifikiah Besut, kemudian, melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang kemudiannya ke Universiti Malaya (1978-1973) mengambil jurusan undang-undang .

Beliau yang berpengalaman selama 27 tahun dalam bidang guaman bermula 1983 sebagai peguam kemudian dilantik sebagai Majistret (1985-1989) seterusnya menjadi Penolong Kanan Pendaftar dan Timbalan Pendakwaraya serta akhir sekali dilantik sebagai Hakim Mahkamah Seksyen Jalan Duta Kuala Lumpur.

Katanya, dengan jawatan yang dipegang beliau tidak boleh terlibat secara langsung dalam bidang politik kerana terikat dengan etika penjawat awam tetapi secara tidak langsung segala perkembangan dalam parti berada dalam pengetahuannya.

Sepanjang bertugas di ibu kota beliau sering berulang alik ke kampung halamannya serta sentiasa dekat dengan masyarakat di situ.

"Saya terpanggil untuk bergerak secara aktif memandangkan senario politik sekarang sangat berbeza serta berdepan dengan cabaran getir setelah munculnya parti Pakatan Rakyat (PR) yang secara terangan menentang Islam seperti DAP.

“InsyaAllah jika diberi keizinan-Nya , serta terpilih untuk menjadi wakil rakyat saya akan berusaha keras membetulkan keadaan terutama masyarakat di kawasan yang saya wakili,” katanya.

Beliau j juga akan meneruskan hasrat pucuk pimpinan parti mentransformasikan bidang pelajaran dan ekonomi serta akan membuat sesuatu yang baru dalam di kawasan tersebut.

 


BN gempur Marang

Barisan Nasional (BN) akan menggempur kubu kuat Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Marang dengan strategi ‘lima lawan satu’ bagi menguasai kerusi parlimennya dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ.



Ketua Umno Bahagian Marang Dato’ Yahya Khatib Mohamad yang juga calon BN untuk kerusi parlimen itu, berkata menerusi strategi berkenaan, fokus utama ialah menyingkirkan sokongan terhadap Abdul Hadi di kerusi Parlimen Marang dan juga Dun Rhu Rendang.

“Kami semua akan bersatu menentang Abdul Hadi. Kami bukan sahaja mahu memastikan kemenangan di kerusi masing-masing tetapi juga berusaha mengetepikan pengaruh Abdul Hadi,” katanya kepada Bernama semalam.

Kerusi Parlimen Marang dan Dun Rhu Redang dianggap ‘kerusi keramat’ Abdul Hadi.

Beliau mula bertanding di kerusi parlimen itu pada 1978 namun kalah dan cubaan keduanya pada 1986 juga gagal. Nasib Abdul Hadi berubah pada 1990 dan beliau menguasai kerusi itu sehingga 2004 apabila dikalahkan Datuk Abdul Rahman Bakar sebelum menang semula pada 2008.

Kerusi Dun Rhu Rendang pula dikuasainya sejak pilihan raya umum 1986 sehingga sekarang. Selain Rhu Rendang, tiga lagi DUN di kawasan parlimen itu ialah Bukit Payung, Alur Limbat dan Pengkalan Berangan. Pada pilihan raya umum 2008, BN menang di Dun Pengkalan Berangan menerusi Yahya dan Alor Limbat (Alias Abdullah).

Kali ini BN mengekalkan Alias di Dun Alur Limbat dan meletakkan dua muka baharu iaitu Nik Dir Nik Wan Ku di Dun Rhu Rendang dan Abdul Latif Awang (Pengkalan Berangan), manakala Dun Bukit Payung akan ditandingi semula calon pada 2008, Zaidi Muda yang kalah dengan perbezaan 115 undi.

Mengulas lanjut, Yahya berkata pemilihan calon BN terbabit adalah berdasarkan kehendak masyarakat setempat yang mahukan pemimpin mesra rakyat, mudah didekati dan dihubungi selain bersungguh-sungguh mahu membawa pembangunan di Marang.

Sementara itu, calon BN di Bukit Payung, Zaidi berkata sokongan rakyat di kawasan Parlimen Marang sukar hendak dibaca dan sentiasa berubah mengikut keadaan.

“Kalau tengok keadaan sekarang, ceramah Pas di Bukit Payung kurang dapat sambutan dan kita yakin jika ini berterusan Bukit Payung kembali ke tangan BN,” katanya.

Jangan ada gunting dalam lipatan- Dato’ Seri Haji Ahmad

Oleh; Esah Abdullah

Rakyat diingatkan supaya jangan ikut emosi  sebaliknya bertindaklah atas dasar pertimbangan yang rasional supaya tidak menyesal dikemudian hari.

Pengerusi Barisan Nasional Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, semua calon bertanding telah diputuskan oleh presiden parti dan terimalah dengan hati terbuka.

“Calon boleh bertukar ganti tetapi parti tetap satu iaitu BN, ibarat sebuah kereta yang bagus hanya pemandu saja yang bertukar tapi kereta tetap sama,” katanya kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Kualiti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) 2013 di Stadium Negeri Kuala Terengganu hari ini.

 Hadir sama, Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang dan Setiausaha MBKT Haji Samiun Salleh serta 963 kakitangan MBKT.

Katanya, rakyat perlu faham calon hanya bertindak sebagai jentera parti untuk mengerak dan menjalankan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan memerintah untuk kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar itu juga berharap semua rakyat kembali kepada perjuangan asal untuk menangkan parti BN dan bukan untuk kemenangan individu tertentu.

 “Saya harap semua penjawat awam dan warga kerja MBKT menghormati kerajaan yang memerintah serta jaga peradaban sebagai seorang yang makan gaji dengan kerajaan.

“Moga tidak ada gunting dalam lipatan dan tidak wujud api dalam sekam. Jangan sekali-kali rosakkan imej jabatan semata-mata kerana sikap kita yang tidak profesional,” katanya.

Ketika diminta mengulas terdapatnya segelintir masyarakat yang memprotes calon dan bertindak menutup bilik gerakan dibeberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) malam semalam, beliau yakin perkara itu tidak akan berpanjangan dan akan diselesaikan secara baik.

 “Itu perkara biasa selepas nama calon diumumkan dan ia berlaku setiap musim pilihan raya, saya harap mereka yang sayangkan parti perlu bersatu dan kukuhkan barisan, undilah BN dalam PRU pada 5 Mei ini,” katanya.



Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya menyampaikan Anugerah Pekhidmatan Cemerlang (APC) MBKT 2012 kepada 84 orang kakitangan pelbagai peringkat, 27 orang kakitangan lama berkhidmat serta 10 kakitangan yang bersara.



Penerima APC menerima wang tunai RM1,000, jam tangan serta sijil penghargaan manakala kakitangan lama berkhidmat menerima pakej percutian ke Pulau Langkawi, jam tangan, sijil penghargaan dan pesara menerima sijil simpanan premium bernilai RM500, wang tunai RM200, jam tangan dan sijil.





Dato’ Yahya dijangka mampu lawan Hadi

Oleh: Suriati Ali

 Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad dijangka menentang Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

 Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Marang mampu memberi kejutan seperti dilakukan Dato’ Haji ’Abdul Rahman yang memenangi kerusi Parlimen itu sebanyak dua kali iaitu pada pilihan raya 2004 dan 1986.

 Berdasarkan sejarah politik kawasan itu, tidak mustahil Dato’ Haji Yahya akan mengulangi sejarah manis BN pada PRU13 dengan memperoleh kemenangan selesa.

Kepercayaan pucuk pimpinan BN Pusat dan negeri merupakan sokongan moral yang amat kuat kepada beliau untuk menentang Presiden Pas itu.

Melihat senario Pas di kawasan itu, ia diakui semakin lemah oleh ramai pihak kerana Presiden Pas sendiri terpalit dengan beberapa isu sensitif, termasuk berkaitan Amanat Haji Hadi, Isu Kalimah Allah serta tindakan Pas bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tidak ketinggalan, masalah moral ekoran pendedahan video yang dikatakan mirip Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustaffa Ali.

 Oleh itu, rakyat di peringkat akar umbi, penyokong BN diseru memberi sokongan penuh kepada calon Parlimen Marang. Pencalonan semula, Alias Abdullah di kerusi N17 Alor Limbat dan tiga muka baru iaitu Zaidi Muda di N18 Bukit Payong; Nik Dir Nik Wan Ku (N19 Rhu Rendang); A. dan Latif Awang (N20 Pengkalan Berangan) dilihat mampu memberi peluang cerah kepada BN Marang untuk menyapu bersih kelima-lima kerusi.

 


PRU13 : Zubir tekad terus legasi Dato' Razali

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagai individu yang rapat dengan Allahyarham Dato’ Razali Ismail, bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong, 49, bertekad untuk meneruskan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu.

“Insya-Allah, saya yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat menguasai semula Parlimen Kuala Terengganu memandangkan kita semua percaya sokongan akan beralih arah demi memastikan arus pendidikan semasa harus didukung oleh kepimpinan yang lebih mantap, sebagaimana kesinambungan yang pernah dilaksanakan oleh Allahyarham Dato’ Razali Ismail.

“Saya berhasrat untuk menyambung legasi yang ditinggalkan oleh tokoh pemimpin hebat itu dalam memacu bidang pendidikan negara dan negeri , khususnya di Kuala Terengganu,” kata calon BN yang akan bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini, kepada Teganukita, semalam.

Haji Mohd Zubir yang berkhidmat sebagai Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) juga akan memastikan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya yang sedang pesat membangun di sudut fizikal dan prasarana, tidak ketinggalan dalam melahirkan sumber manusia dan modal insan berkualiti yang digembleng dalam arus pendidikan semasa.

Beliau juga mahu merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin, sekaligus tidak menafikan peluang untuk anak muda lepasan sekolah menyambung pelajaran di universiti akibat kekangan sumber kewangan dan ekonomi.

Dalam pada itu, bakal calon lulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan Universiti Putra Malaysia itu akan memastikan tempoh berkempen dua minggu sebaik penamaan calon Sabtu ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi menemui seluruh rakyat di Kuala Terengganu dalam siri lawatan, ceramah dan juga aktiviti kemasyarakatan.

“Sepanjang kempen nanti sebagai calon mewakili parti yang memperjuangkan bangsa, agama dan negara akan menerangkan secara terperinci dan tepat mengenai apa jua dasar, perjuangan dan setiap langkah kerajaan kepada semua rakyat yang ditemui kelak.

“Pada masa yang sama, saya juga tidak mahu menyentuh atau menceritakan perihal pihak lawan, kerana apa yang lebih utama rakyat kenal dan faham siapa yang layak dipilih untuk kesinambungan pembangunan hari ini,” katanya.

Untuk rekod, Allahyarham Dato’ Razali meninggal dunia pada 28 November 2008 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland, Pahang ketika berumur 59 tahun. Allahyarham bertanding pada PRU11 dan menewaskan penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas).



SUK lancar buletin SUK Lening

Dato' Haji Mazlan Ngah bersama barisan kepimpinan melihat keluaran sulung buletin SUK Lening di majlis pelancaran di Wisma Darul Iman, pagi ini.
Oleh: Aida Abd Rahman

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) menerbitkan buletin SUK Lening bagi menyampaikan berita berkaitan aktiviti dan program jabatan itu sebagai medium perkongsian ilmu serta maklumat untuk manfaat semua lapisan masyarakat khususnya penjawat awam negeri.

Pelancaran buletin edisi pertama 2012 itu disempurnakan SUK Negeri, Dato’ Mazlan Ngah di majlis perhimpunan bulanan kakitangan Wisma Darul Iman, pagi ini.


Penerbitan buletin secara dwitahunan di mana Dato’ Mazlan selaku penaung dan dibantu Ketua Editor, Puan Afnida Alwi (Ketua Penolong SUK (Korporat) serta kakitangan Bahagian Korporat SUK termasuk dengan ketua editor, Puan Afnida Alwi.

Dato’ Mazlan berkata, selaras dengan slogan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang akan menjadikan pentadbiran awam negeri yang cemerlang berteraskan profesionalisme, integriti dan berteknologi terkini demi mencapai matlamat sebagai `Terengganu Maju 2020’.

“Buletin ini juga mampu menjadi satu medium pelaksana dasar kerajaan yang cekap, berpengetahuan selain mengamalkan budaya mesra pelanggan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta daya saing negara.

“Apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan, semua penjawat awam harus berdepan dengan ledakan teknologi maklumat sebelum melangkah ke alaf baru yang memerlukan masing-masing melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan dan kebolehan dalam pelbagai bidang ” katanya.


Barisan Nasional Besut pertaruh seorang calon Ketua Pemuda


Mohd Mahdi Musa calon BN (Kota Putera)

Oleh: Mohammad Ishak 

Barisan Nasional (BN) Besut mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno bahagian, Mohd Mahdi Musa, 44, sebagai calon baru selain mengekalkan empat calon lama pada Pilihan Raya Umum (PRU13) 5 Mei depan.

Mohd Mahdi,mewakili golongan muda dicalon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, mengambil alih tempat Muhammad Pehimi Yusof yang berpindah ke DUN Jertih.

Pemilihan Mohd Mahdi, yang juga seorang usahawan bagaimanapun, mengejutkan banyak pihak di bahagian berkenaan kerana beliau calon muda di bahagian itu.

Manakala empat yang dikekalkan termasuk Ketua UMNO bahagian Besut, Dato’ Seri Idris jusoh yang sebelum ini mewakili DUN Jertih yang berpindah ke Parlimen Besut. Pemimpin lain yang dikekalkan ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian, Nawi Mohamad (Hulu Besut), Naib Ketua Bahagian,Muhammad Pehimi Yusof (Jertih) dan Setiausaha Bahagian,Dr A Rahman Mokhtar kekal di Kuala Besut.

Mohd Mahdi berkata,beliau sebelum ini tidak menyangka disenaraikan sebagai calon BN kerana mempunyai ramai tokoh di daerah itu.

“Saya mengetahui sebagai calon kira-kira jam 8 pagi semalam selepas dihubungi sendiri Menteri Besar,Dato’ Seri Ahmad Said yang memaklumkan hadir ke majlis penerimaan watikah,” katanya.