Halaman

03 September 2013

Satu sedia kaunter bergerak

Oleh: Suriati Ali 

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) akan menyediakan perkhidmatan kaunter kutipan bergerak bagi memudahkan penduduk, terutama yang tinggal di kawasan pendalaman membuat bayaran bil.

 Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan secara terperinci dan menyusun jadual berkaitan perkhidmatan itu secara berperingkat-peringkat.

 Katanya, pendekatan itu mampu mengurangkan bebanan pengguna yang kini terpaksa membayar kadar komisen RM0.70 dikenakan bank-bank komersial .

“Pada setiap tahun, pihak kami telah berbelanja lebih dari RM 500,000.00 bagi tujuan ini dan jumlah ini semakin besar mengikut bilangan bil yang dibayar oleh pengguna di agensi-agensi berkaitan.

 “Pihak kami tidak mampu lagi menanggung caj perkhidmatan ini kerana melibatkan kos yang tinggi dan semakin meningkat dari masa ke semasa,” katanya.

Menurut Haji Husain, hasil perbincangan, bermula 1 Jun lalu, pihaknya telah bersetuju memindahkan caj komisen ini kepada pengguna.

 “Caj komisen ini dikenakan dan dikutip terus oleh agensi kutipan berkenaan di atas perkhidmatan yang mereka diberikan dan SATU tidak mengambil satu sen pun daripada caj ini.

 “ Bayaran yang diterima oleh Satu adalah mengikut jumlah penggunaan air sebagaimana yang dibilkan kepada pengguna.

Katanya, pihak kami jauh sekali bertujuan membuat keuntungan mudah dalam hal ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

 “Bagaimanapun, pengguna masih mempunyai pilihan sama ada membuat bayaran di agensi kutipan luar yang dikenakan caj atau membuat bayaran di kaunter Satu, TNB atau TM dan tidak dikenakan caj komisen,” katanya.

 

YT berhasrat bentuk organisasi mantap, kerja berpasukan

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Yayasan Terengganu (YT) berhasrat untuk membentuk pegawai dan kakitangannya yang mampu bekerja sepasukan  bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta meneruskan kesinambungan menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu.

Pengarahnya, Haji Azmi Razik, berkata YT yang mempunyai 385 kakitangan termasuk 42 pegawai seluruh Terengganu akan terus diperkasakan dengan menyatukan pemikiran, sikap dan cara bekerja supaya membentuk organisasi yang dipandang tinggi, cemerlang dan mantap.

 “Apabila kita cemerlang, pastinya kita mampu melimpahkan kecemerlangan itu dengan memberikan servis terbaik kepada rakyat.

“Kesedaran dan taklimat bagi memupuk sikap itu dijangka akan didedahkan kepada pegawai YT dalam program `retreat’ di Tasik Kenyir , pada hujung bulan ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013 Yayasan Terengganu, di perkarangan jabatan itu, hari ini.

Haji Azmi berkata, pihaknya juga mahu supaya program itu berupaya memupuk budaya kerja berpasukan, semangat kecintaan pada tugas serta sentiasa menjaga profesionalisme.

Beliau berkata, organisasi yang mantap dan sistematik akan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik serta memenuhi kehendak pelanggan khususnya menyediakan penajaan, bantuan dan pelbagai kemudahan pembelajaran berkualiti.

“Kita harus memulakan kecemerlangan dan memperkemaskannya dari rumah (organisasi) barulah kita mampu memberikan servis yang baik kepada pelanggan dan orang ramai yang berurusan dengan kita.

 “Saya tidak menafikan bahawa pegawai di YT sudah memainkan peranan masing-masing, bagaimanapun ia masih boleh dipertingkatkan supaya semakin cekap dan efektif, sekaligus mampu menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan organisasi,” katanya.

Haji Azmi bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, baru memikul tugas baru itu sejak 1 September lalu berhasrat untuk memastikan organisasi yang baru dipertanggungjawabkan kepada beliau semakin mantap dalam menyediakan peluang membangun modal insan yang cemerlang di Terengganu, negara dan juga peringkat global.


Kompleks Haji dan TH Hotel mampu meningkatkan ekonomi negeri

Oleh; Esah Abdullah

Kompleks Haji dan TH Hotel yang terletak di Gong Badak akan menjadi altenatif penginapan terbaik bagi para pelancong yang berkunjung ke Terengganu.

Pengarah Kumpulan Utusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Paduka Ismee Ismail berkata, kompleks ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada bakal jemaah haji tetapi juga dibuka kepada orang ramai sepanjang tahun.

“Yang pasti kompeks dan hotel ini akan turut membantu menjana ekonomi umat Islam di negeri ini,” katanya di Majlis perasmian Kompleks Haji dan TH Hotel di Gong Badak Kuala Nerus, Kuala Terengganu semalam.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Kompleks Haji dan TH Hotel yang keempat di negara ini. Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke majlis berkenaan.

Katanya, TH Hotel dilengkapi dengan bilik-bilik mesyuarat pelbagai fungsi bagi program latihan dan seminar di samping pusat konvensyen yang mampu menampung kapasiti 1,000 orang dan boleh ditempat oleh syarikat dan orang persaorangan.

Kemudahan lain katanya, ialah restoran, dua buah kolam renang termasuk kolam renang tertutup untuk kaum wanita dan taman air kanak-kanak.

Katanya, selain daripada kompleks dan hotel di negeri ini TH juga telah membina kompleks yang seumpamanya di Sabah, Pulau Pinang dan Kedah manakala Kompleks Haji yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2016.

Sehubungan itu katanya, Kompleks Haji yang baharu ini bakal mengendalikan lima penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Tanah Suci melibatkan 1,400 bakal jemaah haji pada musim ini.

Dato’ Paduka Ismee kemudiannya merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah memberi kerjasama padu dalam pembangunan kompleks dan hotel ini termasuk menyediakan tanah seluas 3.08 hektar bagi tapak kompleks.
 

UMNO, CABARAN DAN PEMILIHAN PEMIMPIN

Oleh: Ruslan Rahman- 

Bahagian 1. 

Pemimpin datang dan pergi berslih ganti. Namun parti tetap terus-menerus hidup untuk menerangi orang-orang Melayu dan tanah air tercinta.
 Meskipun kian hari, cabaran semakin sengit, tetapi Umno dan Barisan Nasional (BN) masih tetap bertahan. Sama ada bersetuju atau tidak, sama ada benci atau sayang, tidak ada parti yang boleh melindungi kita semua melainkan Umno dan BN.
Kedudukan 17- 15 di Terengganu adalah memberi makna yang besar, bagaimana walaupun dilanda tsunami yang kuat kerana ada kalangan kita bersikap ‘mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan’ tetapi masih ramai yang tidak mahu mencurahkan air yang sedia ada di tempayan.
 Mereka masih percaya guruh itu adalah bahaya bagi masa depan mereka dan bukannya sebuah janji untuk kebaikan, malah kemusnahan. Rakyat Terengganu yang dewasa masih ingat dan tidak lupa pengkhianatan, penyelewengan, salah guna kuasa, penindasan dan bersifat ‘bagai tikus membaiki labu’ semasa Pas berkuasa di Terengganu Nov 1999- Mac 2004.
 Sebab itu, walau bagaimanapun mereka tetap memilih BN, walaupun bukanlah sempurna segalanya, tetapi tiada piliihan lain untuk masa depan mereka.
 Walaupun dengan kerusi sebanyak 17, tetapi dalam sistem demokrasi lebih satu kerusi pun parti itu tetap menjadi kerajaan yang sah untuk mengurustadbir negeri.
 Sebaik sahaja selamat dari tsunami yang hampir memusnahkan, Umno kini sedang berdepan dengan satu lagi cabaran iaitu cabaran dalam pemilihan pimpinan di semua peringkat, cawangan, bahagian dan majlis tertinggi. Beberapa mesyuarat agung di peringkat cawangan telah pun selesai, ada pemimpin yang kekal dan ada pemimpin atau ketua cawangan yang bertukar.
 Apa pun segala prosesnya berjalan secara demokkratik, yakni dipilih secara undian atau mengikut suara terbanyak oleh ahli yang sah . Kali ini setiap kehadiran dan keahlian disahkan melalui sistem berkomputer imbas kad pengenalan masing-masing. (bersambung)

Kenaikan harga minyak langkah kukuhkan kewangan negara

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib 

Hari ini di mana-mana saja orang ramai heboh memperkatakan mengenai kenaikan harga minyak RON 95 dan diesel yang berkuatkusa mulai tengah malam tadi.

Apa pun hujah dan pandangan yang diberikan mereka (tentunya ramai yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan menaikkan harga bahan api tersebut), ia dibuat demi kepentingan negara.

Langkah menaikkan harga minyak RON 95 serta diesel sebanyak 20 sen seliter itu merupakan sebahagian daripada langkah penyusunan semula subsidi yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat secara berperingkat.

Mengikut kadar baru yang diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) semalam, harga baru RON 95 ialah RM2.10 seliter manakala diesel RM2 seliter.

Berhubung isu ini, rakyat perlu menerima kenaikan kecil itu secara positif kerana di sebalik kenaikan harga bahan api tersebut, kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON 95 dan 80 sen seliter bagi diesel.

Kerajaan Pusat memperuntukkan RM24.8 bilion bagi memberi subsidi bahan api pada tahun ini.


Fakta yang rakyat perlu tahu, dengan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen bagi dua bahan api itu, kerajaan akan menjimatkan RM3.3 bilion pada tahun ini.

Dengan sumber kewangan yang agak besar itu, kerajaan boleh menggunakannya bagi membiayai pelbagai program dan projek untuk kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Pihak pembangkang tentunya akan menggunakan isu kenaikan harga minyak ini bagi membangkitkan kemarahan rakyat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin.

Pemimpin pembangkang akan membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan, termasuk mahu menyusahkan rakyat dengan kenaikan harga bahan api berkenaan.

Sebaliknya rakyat perlu berfikiran rasional dan tidak ‘menelan’ bulat-bulat segala tohmahan dan tuduhan yang dibuat oleh pembangkang terhadap kerajaan.

Rakyat perlu sedar sudah berapa lama kerajaan terpaksa membendung kenaikan harga minyak di negara ini walaupun banyak negara lain menjual harga minyak dengan kadar harga yang jauh lebih mahal berbanding negara kita.

Kerajaan Pusat terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar pada setiap tahun bagi membiayai subsidi harga minyak dan pelbagai barangan lain seperti tepung dan gula bagi meringankan beban rakyat.

 Itu fakta yang rakyat perlu perhalusi dan faham mengapa kenaikan kecil ini perlu dilakukan kerajaan, demi mengukuhkan kedudukan kewangan negara yang berdepan dengan persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.



 

Haiwan peliharaan perlu ada kad pengenalan

Oleh; Esah Abdullah 

Semua pemilik haiwan di negeri ini diminta mendapatkan kad pengenalan haiwan Malaysia (Pet Pasport) untuk haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, kuda dan juga anjing bagi memudahkan proses penyimpanan maklumat serta rekod oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, YB Nawi Mohamad berkata, dokumen pengenalan berwarna biru yang dikeluarkan oleh JPV itu satu dokumen rasmi melalui Projek Malaysian Animal Traceability System (MATS).

“Kita menggalakkan supaya semua pemilik haiwan peliharaan di negeri ini mendaftar dan juga mempunyai kad pengenalan (pet passport). Apabila mempunyai passport, memudahkan haiwan-haiwan tersebut untuk dibawa ke luar negara dan juga memudahkan rekod kesihatan dikenalpasti dan juga kawalan penyakit.

“Bersempena dengan ulangtahun kemerdekaan negara dan juga Hari Malaysia, promosi percuma terhad kepada dua ekor haiwan sahaja bagi setiap pemilik haiwan untuk mendaftarkan dan memperolehi kad pengenalan sehingga 16 September,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Klinik Veterinar Kuala Terengganu dan juga Promosi Pendaftaran Kad Pengenalan Haiwan Kesayangan, di Jalan Bukit Kecil Kuala Terengganu. Hadir sama, Pengarah JPV negeri, Dr Marzuki Zakaria.

Menurutnya, pasport haiwan ini adalah penting kerana ia mengumpul maklumat penting haiwan kesayangan dalam satu dokumen, yang akan memudahkan pihak berkuasa di sempadan negara untuk mengesahkan rekod kesihatan dan imunisasi haiwan peliharaan menerusi mikrochip ditanam di bawah kulit haiwan peliharaan tersebut.

Selain itu katanya, pada hari biasa pemilik haiwan perlu membayar RM30 bagi mendapatkan kad pengenalan yang sah dalam tempoh setahun, manakala RM10 bagi pendaftaran mendapatkan rawatan dan RM5 untuk rawatan asas seterusnya.

Katanya, kad pengenalan tersebut akan mengandungi gambar haiwan peliharaan, maklumat mengenai haiwan dan pemilik serta rekod perubatan dan pergerakan.

Menurutnya, sekiraya sasaran 1,000 mendaftar di JPV, pihak jabatan bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dengan menyediakan perkhidmatan kawalan berpusat di negeri ini atau GPS/GIS.

Katanya, jabatan akan mengadakan promosi susulan tidak lama lagi di daerah-daerah lain bagi mengalakkan lebih ramai pemilik mendaftarkan haiwan mereka.
 

JPNT anjur Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Aidilfitri 2013 sempena sambutan kemerdekaan ke-56 dan Hari Malaysia ke-50 selama tiga hari bermula esok (4 September).

Program KMJG Aidilfitri 2013 disertai konvoi kenderaan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dan pertubuhan bukan kerajaan yang dihiasi dengan Jalur Gemilang akan menjelajah ke seluruh negeri sambil mengagihkan Jalur Gemilang dan mengadakan majlis sambutan Aidilfitri kepada orang ramai di tempat yang ditetapkan.

Ketua Penyelaras KMJG Aidilftri 2013, Rosmawati Mat Nor berkata, lokasi pertama yang akan disinggah oleh konvoi itu ialah di Padang Bola Kampung Pasir Akar, Besut dan seterusnya melalui pekan Jertih sebelum singgah di Kampung Guntong Luar, Setiu.

Katanya, konvoi meneruskan perjalanan ke Kampung Kepah, Hulu Terengganu melalui pekan Sungai Tong, Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu, Ajil, Kuala Berang dan seterusnya ke lokasi di Kampung Kepah untuk pengagihan Jalur Gemilang.

Pada 5 September, konvoi akan meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya pantai Timur Ajil-Bukit Besi serta Paka, Kertih dan seterusnya ke Perhentian Teksi Bandar Cukai, Kemaman.

Selepas program di Bandar Cukai, konvoi bertolak ke Dungun bagi meneruskan program pengagihan Jalur Gemilang dan sambutan Aidilfitri di Kampung Tanjung Pagar, Dungun sebelum ke Taman Medan Jaya, Rusila, Marang untuk bersama penduduk di situ meraikan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Rosmawati berkata, lokasi terakhir ialah di Pasar Pagi Kampung Teluk Ketapang iaitu pada 6 September.

Beliau berkata, orang ramai dijemput ke lokasi yang ditetapkan bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia selain mewujudkan semangat cinta kepada negara.

 

Wan Harun "hero" renang Terengganu.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Wan Harun  di rumahnya di Pulau Duyong
WAN HARUN WAN AHMAD 46, dari Kampung Pulau Duyong, Kuala Terengganu adalah seorang yang mengalami cacat fizikal sejak dilahirkan namun dia aktif menyertai sukan renang paralimpik ketika berusia 20-an, di mana dia mewakili Terengganu dan negara dalam kejohanan sukan OKU.

“Bermula dari sukan anjuran JKM itulah saya dipanggil untuk mewakili negara dan negara pertama yang saya pergi ialah Korea, dia mana ketika itu saya menyertai Asia Paralimpik Games dengan menyertai tiga acara renang iaitu gaya bebas, kuak kupu-kupu dan kuak lentang,” katanya yang kini masih lagi mewakili negara itu.

Harun yang mahir dalam acara renang itu, pernah beberapa kali memenangi pingat di peringkat antarabangsa, antaranya ialah mendapat tiga pingat gangsa di Korea, pingat perak ketika menyertai kejohanan di German dan pingat emas pada sukan paralimpik Asia Pasifik 2006 di Kuala Lumpur.

“Ketika mula-mula menyertai peringkat antabangsa dulu, saya rasa agak gementar juga, maklumlah terpaksa bersaing dengan peserta dari luar negara yang jauh lebih berpengalaman, tetapi selepas menang di Korea, saya menjadi bertambah yakin dan tidak lagi rasa gementar atau takut untuk berlawan di peringkat antarabangsa,” katanya anak ke enam dari tujuh beradik itu.

Dia yang kematian ibu ketika berusia lima tahun dan bapa beberapa tahun lalu itu, berkata, dia akan terus mewakili negara selagi masih bertenaga dan diperlukan kerana pada usia 46 tahun ini, Harun masih lagi mampu untuk berenang dengan baik.

“Buat masa ini boleh lah lagi kalau nak masuk pertandingan itu, tetapi pada masa hadapan saya tidak tahulah kerana usia sayapun sudah 46 tahun sekarang.

Saya yakin jika menjalani latihan saya bolehlah lagi bersaing dengan peserta lain,” katanya yang boleh berenang ketika usinya 5 tahun. Harun berkata, buat masa sekarang dia menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan jika menyertai kejohanan renang dia akan mendapat elaun latihan dan elaun jika bertanding di luar negara tetapi, katanya itu bukanlah sepanjang masa, kerana itulah dia menternak pelbagai jenis ikan untuk menambah pendapatanya.

“Menternak ikan segala peralatanya dibiayai oleh Jabatan Tenaga Kerja manakala modal membeli benih dan makanan ikan saya gunakan duit sendiri. Buat masa ini projek saya ini sudah mendatangkan hasil tetapi tidaklah banyak kerana ia hanya di pasarkan kepada penduduk setempat sahaja.

“Sekarang saya tinggal sendirian di rumah ini, emak dan ayah sudah tiada, manakala adik beradik lain sudah berkeluarga dan mempunyai rumah sendiri. Terasa juga mempunyai keluarga sendiri pada usia yang sudah lanjut ini tetapi mungkin saya belum bertemu jodoh dengan wanita yang akan menjadi isteri saya itu,” katanya.

Harun yang boleh menonggang motosikal dan memandu kereta itu, mempunyai sebuah basikal , motosikal dan kereta sendiri yang diubahsuai bagi memudahkan ia bergerak ke mana-mana termasuklah untuk ke kuala lumpur menjalani latihan ketika terbabit dengan kejohanan sukan dahulu.

 

Chalok semakin maju di bawah BN

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Pekan Chalok berubah wajah sejak setahun lalu.
KERANCAKAN pembangunan pekan-pekan kecil di daerah Setiu membuktikan kerajaan Barisan Nasional sentiasa berusaha untuk memajukan masyakat dengan membina pelbagai kemudahan antaranya ialah perkedaian dan menaiktaraf jalan raya.

Antaranya ialah pekan Chalok yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Bandar Permaisuri. Pekan ini mula dinaiktaraf jalan dan siap kira-kira setahun lalu dimana terdapat sederet kedai makan dan sebuah pam minyak sekaligus merubah wajah pekan Chalok yang dahulunya sebuah pekan lama.

Berhampiran pekan Chalok, beberapa buah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan rumah mesra rakyat di wujudkan untuk mereka yang layak menerimanya. Kewujudan perkampungan baru itu akan “memeriahkan” lagi pekan Chalok menjadi sebuah pekan yang besar suatu hari nanti.
Kewujudan rumah PPRT dan mesra rakyat memajukan pekan Chalok.

Seorang penduduk kampung berhampiran, Nordin Dollah, 49, berkata, kewujudan sebuah pam minyak dan perkedaian baru di pekan Chalok menjadi pekan ini sering menjadi tumpuan penguna jalan raya Kuala Terengganu-Kota Bharu untuk berhenti rehat dan mengisi minyak kenderaan. “

Sejak adanya banyak kedai makan dan sebuah pam minyak di sini, suasana banyak berubah daripada sebuah pekan yang agak sunyi menjadi sebuah pekan yang agak sibuk terutamanya ketika musim raya atau cuti persekolahan,” katanya.

Menurutnya, masjid pekan Chalok juga sering menjadi tumpuan musafir yang berhenti samada untuk menunaikan solat atau berehat selepas penat memandu antaranya ialah penumpang bas ekspres dan dan pemandu lori. “Ruang letak kereta yang luas di hadapan masjid memudahkan orang ramai untuk berhenti di masjid ini untuk menunaikan solat atau berehat,” katannya.

 

02 September 2013

Kerajaan akan terus merayu untuk tambah kuota haji

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan akan terus merayu kepada kerajaan Arab Saudi untuk membolehkan lebih ramai jemaah dari negara ini mengerjakan haji di Tanah Suci tahun ini.

Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahimi berkata, kerajaan telah menghantar surat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi melalui pelbagai sudut, merayu untuk menambah kuota yang ditetapkan.

"Namun dalam keadaan sekarang kita terpaksa akur dengan keputusan daripada kerajaan Arab Saudi dan meminta rakyat di negara ini menerima keputusan itu dengan sabar," katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Kompleks Haji dan TH Hotel di Kuala Nerus, Kuala Terengganu hari ini.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan kompleks berkenaan. Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Pihak tabung haji juga katanya, sedang meneliti permohonan 631 isteri untuk mengikut suami mengerjakan haji tahun ini.

“Kita telah teliti permohonan yang diterima dan kebanyakannya merupakan permohonan saat akhir setelah urusan pemergian suami selesai enam bulan sebelum itu,” katanya.

 Namun begitu katanya, pihak TH tidak akan sewenangnya menolak setiap permohonan yang diterima tetapi akan mengkaji secara mendalam sebelum membuat keputusan termasuk berusaha membuat rayuan bagi penambahan kuota jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi.

Menurut Dato’ Abdul Azeez, penerbangan pertama jemaah haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan bermula pada 7 September ini dan diikuti penerbangan seterusnya.

“Sehingga ini terdapat 22,300 orang jemaah haji seluruh negara akan menunaikan ibadah haji tahun ini dan sudah pun mendapat kelulusan visa dari kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapat kelonggaran kelulusan visa bagi bakal jemaah haji dan umrah wanita yang berusia 45 tahun ke bawah.