Halaman

03 October 2013

Stage 11: LANCHANG - KARAK











MB terharu dengan pemergian Mohd Asmui

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengucapkan takziah kepada keluarga atlet pelumba basikal Terengganu, Mohd Asmui Ali, 19, yang maut selepas terbabit kemalangan awal 11.30 pagi kelmarin.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika melawat keluarga atlet pelumba basikal yang maut  di rumah mereka di Kuala Ibai. Allahyarham Mohd Asmui (gambar kecil) terkorban ketika menjalani latihan.
Katanya, kerajaan negeri turut bersimpati dengan nasib yang menimpa remaja itu dan berharap keluarganya dapat menerimanya dengan hati yang tenang.

 "Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada sukan berbasikal negara kerana Asmui adalah seorang pelatih yang sangat berbakat.

 "Saya juga difahamkan beliau bakal mewakili Terengganu dalam sukan berbasikal pada Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun hadapan," katanya yang ditemui ketika melawat keluarga mangsa di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada kunjungan itu juga, beliau turut memberi sedikit sumbangan berupa wang tunai bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Beliau berharap persatuan berbasikal dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan atlet ketika menjalani latihan pada masa hadapan supaya insiden sebegitu tidak berulang lagi.

Mohd Asmui maut selepas terjatuh dari basikal sebelum dilanggar oleh sebuah van pengiring ketika menjalani latihan di Kilometer 71 dekat Kampung Pulau Serai Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Kolam awal pagi semalam. Sementara itu, Ali @ Awang Sulong, 68, bapa Mohd Asmui menyifatkan anaknya seorang yang gigih berusaha dalam apa jua yang dilakukan.

"Arwah memang minat dengan sukan ini sejak kecil lagi. Setiap pagi sebelum menjalani latihan, beliau akan bersalaman dan meminta maaf dengan saya.

 Namun, saya tidak sangka pada pagi kejadian, itulah maafnya yang terakhir," katanya. Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dan sanggup turun padang untuk mengunjungi keluarganya
 

70 pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail berkampung di Kampung Kayu Kelat


Zahari menyampaikan hamper kepada pelajar yang terpilih menjadi anak angkat

Oleh: Mohammad Ishak 

Kegembiraan jelas terbayang pada raut wajah pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail,Kuala Terengganu sebaik sahaja menjejak kaki di perkampungan tradisional Kayu Kelat, dekat Jertih, petang ini.

Ini kerana mereka berpeluang menjadi keluarga angkat kepada penduduk kampung itu yang mempunyai kawasan pemandangan menarik berlatar belakangkan sawah padi dan bukit.

Kehadiran 70 pelajar pelbagai kaum dalam program khidmat bakti pelajar itu dikendalikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kayu Kelat dengan kerjasama IPG berkenaan.

Timbalan Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu, Zahari Mat, merasmikan program selama tiga hari bermula hari ini dan berakhir Ahad ini.

Timbalan Pengerusi JKKK Kampung Kayu Kelat, Mohamad Yusof Bidi berkata, program itu bertujuan mendedahkan penduduk setempat dengan pelajar menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan sepanjang tempoh program diadakan.

Katanya, sepanjang tahun ini JKKK terbabit sudah menerima tiga program anak angkat membabitkan institusi pendidikan dan ia sebahagian usaha JKKK meningkatkan lagi program berasaskan komuniti dan pendidikan.

Sementara itu, Zahari ketika berucap merasmikan program itu mahu pelajar yang bakal menjadi penddidik dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya kehidupan msayarakat kampung berkenaan.

Bangunan RM140 juta milik MBKT mula dibina

Oleh; Esah Abdullah 

Hasrat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memiliki bangunan sendiri akan menjadi kenyataan bila kerja-kerja pembinaan bangunan 31 tingkat akan dimulakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, bangunan yang menelan kos RM140 juta itu akan memulakan kerja-kerja pembinaannya bulan depan.

“MBKT satu-satunya majlis bandaraya yang masih tidak mempunyai bangunan sendiri, tapi InsyaAllah ia akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi,” katanya. di majlis perjumpaan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Katanya, Majlis Perbandaran Dungun (MPD) juga bakal mendapat bangunan sendiri dan kini berada pada peringkat menyiapkan reka bentuk bangunan.

“Bila semua selesai ia akan dilaksanakan secepat mungkin sesuai dengan statusnya sebagai sebuah majlis perbandaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, PBT di Terengganu adalah di antara yang paling banyak mempunyai tanah lapang yang boleh dibangunkan untuk pembangunan dan sudah tentu ia sangat berpotensi untuk dijadikan aset bagi mengumpul dana PBT.

Setakat ini katanya, pembinaan bangunan dan premis perkedaian dilaksanakan secara pembiayaan bersama antara kerajaan negeri, PBT dan juga pihak kementerian.

“Melalui cara ini kita boleh membangunkan kawasan kecil bagi tujuan komersial tanpa memberi bebanan kos kepada satu pihak sahaja di samping boleh  mendatangkan pulangan kepada PBT untuk berdikari pada masa-masa akan datang," katanya.

 

Kursus komputer percuma di 47 Bescomm

Kerajaan negeri menyediakan kursus komputer secara percuma di 47 Pusat Komuniti Bestari (Bescomm) di seluruh Terengganu.

Pegawai Teknologi Maklumat, Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN), Encik Zulkifli Abdul Kadir berkata, peserta kursus juga akan diberikan sijil yang diiktiraf oleh kerajaan negeri.

“Pusat (Bescomm) ini terbuka kepada semua peringkat usia dan begitu juga kepada peserta kursus asalkan minimum untuk tiga orang satu kumpulan.

“Sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari kursus asas komputer, mereka boleh menghubungi Bescomm berhampiran dan haruslah mencari rakan tidak kurang daripada tiga orang,” katanya kepada pemberita ketika mengendalikan Kursus Celik Teknologi Maklumat (IT), Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Terengganu Siri I/2013, baru-baru ini.

Encik Zulkifli berkata, tenaga pengajar ialah pegawai terlatih yang arif berhubung komputer dan mereka berada di situ (Bescomm) sepanjang masa.

 “Bescomm dibuka pada hari dan waktu bekerja kecuali Jumaat dan Sabtu sahaja. Setiap pusat Bescomm menyediakan 13 buah komputer dan orang ramai dapat menggunakannya bagi tujuan kebaikan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan perkhidmatan percuma itu sejak 2003, namun mungkin ada sesetengah pihak masih tidak mengetahui secara langsung peranan Bescomm yang dikendalikan kerajaan khusus kepada rakyat.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya menggunakan kemudahan yang ada kerana ia percuma selain dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk sama-sama mendalami bidang IT,” katanya.

 

Persiapan Sultan Mizan Endurance Cup 2013 lancar

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Pekerja bahagian elektrik JKR giat menjalankan kerja.
LEMBAH BIDONG: Persiapan untuk Pertandingan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2013 (Sultan Mizan Endurance Cup 2013) yang bermula 5hb (Lusa) dan 6hb Oktober ini, yang akan berlangsung di sini, berjalan lancar dan hampir siap sepenuhnya.

Tinjauan Teganukita di kawasan terbabit, hari ini mendapati beberapa kakitangan Majlis Daerah Setiu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa syarikat swasta sedang giat menjalankan kerja masing-masing bagi persiapan untuk kejohanan endurance dunia itu.

Seorang pekerja bahagian elektrik JKR, ketika ditemui berkata, kerja-kerja pendawaian sedang dijalankan dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang petang ini jika tiada tempat baru untuk pendawaian.

“Semuanya berjalan lancar, beberapa pekerja sedang bertukus lumus menyiapkan pendawaian di beberapa kawasan di sini termasuklah di dewan makan VIP ini,” katanya.

Dua pekerja swasta memasang alas kerusi meja VIP.
Sementara itu, seorang pekerja sebuah syarikat kontraktor yang mengendali tempat makan VIP berkata, dia mula menyiapkan kerja-kerja pemasangan kain alas meja dan kerusi sejak pagi tadi bersama seorang rakannya dan dijangka siap tidak lama lagi.

“Kami datang dari Kuala Lumpur sejak semalam dan mula melakukan kerja menyiapkan tempat makan VIP ini sejak pagi tadi. Semuanya berjalan dengan baik dan mungkin ia dapat disiap sepenuhnya pada petang nanti,” katanya.

Tinjauan juga mendapat beberapa pekerja Majlis Daerah Setiu (MDS) sibuk memasang beberapa kanopi di beberapa tempat di kawasan itu. Kerja-kerja menyiapkan ‘sound system’ di sebuah 'stage' yang dibina khas juga hampir siap untuk persembahan malam.


Kerajaan belanja RM60 setahun untuk kebersihan.

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan membelanjakan hampir RM60 juta setahun untuk kerja-kerja pembersihan di kawasan bandar di negeri ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan jentera barisan hadapan yang memberi khidmat dan mendidik rakyat  dalam menjaga kebersihan.

Katanya, kerajaan mengharapkan rakyat turut sama menjaga kebersihan bandar kita, kerana ia membabitkan imej negeri di mana setiap pelancong yang datang ke negeri ini perkara utama dilihat adalah persekitaran sama bersih atau sebaliknya.

“Saya yakin jika rakyat bersama mengambil tanggug jawab serta menjaga kebersihan, kerajaan dapat menjimatkan kos yang dibelanjakan untuk bersih kawasan dan boleh digunakan untuk bina pembangunan,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian di majlis perjumpaan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Katanya, 60 peratus bajet tahunan kerajaan dibelanjakan untuk kerja-kerja pembersihan longkang, memotong rumput dan sebagainya.

“Kerajaan sentiasa dan akan terus memberi perhatian serius terhadap penjagaan kebersihan sekitar malah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis perniagaan atau orang ramai yang mengabaikan kebersihan,” katanya.
 

YPKT sedia RM100,000 rai 50 ibu bapa tunggal berkahwin

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada 50 ibu dan bapa tunggal yang melangsungkan perkahwinan di dewan bangunan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Marang, baru-baru ini.

Pengarahnya, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa berkata setiap ibu atau bapa tunggal menerima RM2,000.

 "Daripada 29 pasangan yang berkahwin di daerah Marang ini, 21 adalah pasangan ibu tunggal dengan bapa tunggal, lima pasangan ibu tunggal dengan teruna dan tiga pasangan bapa tunggal dengan anak dara.

"Insentif ini diharap dapat meringankan beban kewangan golongan itu untuk meneruskan kehidupan baharu bersama pasangan masing-masing, seterusnya memastikan institusi keluarga di negeri ini terus kukuh untuk pembinaan generasi cemerlang pada masa depan," katanya.

 Majlis perkahwinan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri Terengganu YB A Latiff Awang.

YPKT membelanjakan kira-kira RM380,000 sebagai insentif kepada 191 pasangan ibu dan bapa tunggal bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Kemaman mencatat jumlah perkahwinan tertinggi iaitu 47 pasangan, Marang (29), Hulu Terengganu dan Dungun (masing-masing 25), Kuala Terengganu (23), Besut (18) manakala Setiu serta Kuala Nerus (12).

Encik Mohd Safarudin berkata kerajaan negeri melalui YPKT memperuntuk kira-kira RM600,000 bagi membiayai 300 ibu dan bapa tunggal yang dijangka berkahwin tahun ini.

"Sehingga kini, sebanyak 262 ibu dan bapa tunggal layak menerima insentif itu daripada 287 permohonan yang diterima pada tahun ini.

 "Mereka yang ingin berkahwin boleh mengisi borang yang disediakan, dan mestilah rakyat negeri ini sahaja," katanya.


23,025 calon duduki PMR, bermula semalam

Oeh: Suriati Ali 

Seramai 23,025 pelajar Tingkatan Tiga termasuk 158 daripada mereka adalah calon berkeperluan khas (CBK) seperti buta, pekak, bisu, rabun, spastik dan lembam mula menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula, semalam.

 Kesemua calon berkenaan menduduki peperiksaan di 197 pusat peperiksaan melibatkan 135 sekolah bantuan penuh kerajaan; tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); masing-masing dua dan empat swasta dan persendirian.

 Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Zakaria Hussin berkata seramai 21,520 adalah calon sekolah bantuan penuh kerajaan; 566 calon MRSM; 218 calon swasta dan 183 calon persendirian.

"Alhamdulillah, permulaan peperiksaan PMR kali ini berjalan dengan baik dan kita harap ia berterusan sehingga tempoh peperiksaan tamat pada Selasa ini," katanya.

 Katanya, cuaca baik pada peperiksaan kali ini juga memberi kelebihan dan keselesaan kepada pelajar untuk menduduki peperiksaan dengan lancar.

Beliau juga berharap kesemua calon dapat menempuhi peperiksaan tanpa sebarang masalah, selain memberi tumpuan sepenuhnya kepada semua subjek diambil agar mendapat keputusan cemerlang sekali gus memastikan Terengganu mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan awam itu nanti.

 

Malaysia menang kerusi ICAO

Oleh: Noraini Jusoh

Malaysia berjaya memenangi kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk penggal 2013-2016, kategori Bahagian III pada 1 Oktober 2013 lalu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, kejayaan itu diumumkan dalam satu majlis pengundian Ahli Majlis ICAO di Montreal, Kanada yang turut dihadiri wakil dari 191 negara seluruh dunia.

"Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada industri penerbangan awam negara dan merupakan satu kebanggaan bagi Kementerian Pengangkutan sendiri kerana persaingan begitu hebat tetapi kita berjaya untuk mendapatkan kerusi.

"Saya mendapat ucapan tahniah dari semua yang terlibat dalam industri penerbangan dan saya percaya bahawa kejayaan ini dapat melonjakkan lagi kedudukan kementerian kepada tahap yang lebih tinggi lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Pelanggan di TH Hotel & Convention Centre Terengganu, semalam.

Menurut beliau, antara faktor yang membolehkan Malaysia mendapat pengiktirafan tersebut adalah disebabkan kestabilan, keamanan dan tumpuan negara kepada agenda yang lebih luas bukan sahaja di negara ini tetapi serantau dan di peringkat antarabangsa.

 "Rantaian-rantaian inilah dan penghormatan negara-negara lain terhadap Malaysia memberikan sedikit kelebihan kepada kita,” ujarnya.

Katanya, usaha merebut kerusi Majlis ICAO kali ini melihatkan persaingan yang paling sengit di mana 13 buah kerusi dipertandingkan di kalangan 191 negara ahli ICAO.

ICAO adalah sebuah badan khusus di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan pada 1944 untuk mempromosikan pembangunan dan keselamatan awam di seluruh dunia.

ICAO yang berpangkalan di Montreal, Kanada mempunyai tujuh pejabat serantau di seluruh dunia yang bertanggungjawab menetapkan piawaian dan perundangan berkaitan keselamatan udara, keberkesanan dan perlindungan alam sekitar dalam sektor penerbangan komersial.