Halaman

25 November 2013

JPNT pantau hutan melalui T-ifms

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainudin (pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

T-ifms merupakan sebuah sistem berpusat yang ditambah baik menggunakan sepenuhnya perisian
HAJI AZMI
sumber terbuka menggantikan sistem yang beroperasi secara ‘stand-alone’.

Pengarah JPNT, Haji Azmi Nordin, berkata melalui sistem itu, pemantau boleh mengetahui pelbagai aspek, termasuk perbandingan pokok, jumlah di tanam, pengeluaran hasil, pembesaran, kekerapan memantau hutan dan sebagainya.

Katanya, sistem T-Ifms, dibangun bagi membantu pengguna mempercepatkan proses kemasukan, semakan, pengawalan, pengurangan, pertindihan berkaitan data dan penghasilan `output’ yang diperlukan dengan cepat serta tepat.

“Output daripada sistem ini akan digunakan oleh pihak pengurusan jabatan dalam membuat keputusan bagi memastikan pengeluaran hasil yang optimum terhadap hutan,” katanya

 Haji Azmi turut memberitahu, seiring dengan pembangunan alaf baru itu, JPNT menwujudkan kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), sebagai langkah menguruskan sumber hutan secara lebih berkesan.

“Pendekatan itu mampu meneruskan kecemerlangan JPNT dalam melaksanakan tanggungjawab membangunkan khazanah sumber hutan negeri.

“Pada masa ini, jumlah keluasan kawasan berhutan di Terengganu berjumlah 624,625 hektar, dan 544,118 hektar daripadanya telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.

 “Apa yang diwartakan itu kita perlu jaga mengunakan T-ifms, yang juga pasti mampu mengelak daripada pelbagai kemungkinan berlaku, termasuk penerbangan tidak terkawal dan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

.

1168 berjaya hafaz muqaddam

Oleh: Noraini Jusoh



Seramai 1168 anak-anak Taska Permata Keluarga (TPK) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya menghafaz muqaddam (23 surah lazim) dan dianugerahkan sijil pada Majlis Hafaz Muqaddam Kanak-Kanak Taska Permata Keluarga yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, baru-baru ini.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, seramai 302 orang atau 36 peratus terdiri daripada kanak-kanak seawal usia tiga tahun dan 866 atau 77 peratus berusia empat tahun.

“Kanak-kanak sebenarnya sangat hebat dan memang berpotensi jika dididik dengan betul seawal usia mereka.

“Berkonsepkan sistem bermain sambil belajar, sistem pendidikan kanak-kanak TPK bukan bermatlamat mendewasakan kanak-kanak tetapi untuk memastikan mereka membesar mengikut perkembangan usia dan dapat menikmati alam kanak-kanak sepenuhnya,” ujarnya.



Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada majlis berkenaan yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Zuber Embong serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.



Mohd Shafaruddin berkata, bagi penambahbaikan program untuk tahun depan, YPKT akan mendedahkan pengunaan Bahasa Inggeris di semua TPK.

“Kanak-kanak di TPK juga akan diajar menghafaz 16 siri doa harian dan diberi pendedahan awal berkaitan asas solat,” jelasnya.

Tambah beliau, rakyat negeri ini amat bertuah kerana Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang kerajaannya menyediakan Pusat Perkembangan Awal Kanak-Kanak.

“Sehingga kini terdapat 65 buah TPK diseluruh negeri ini hasil daripada kebijaksanaan Menteri Besar yang berpandangan jauh dan sanggup melabur besar dalam bidang pendidikan demi kecemerlangan anak-anak Terengganu,'' ujarnya.

 









Azmi Nazir 'Pengerak' UMNO Setiu.

Mohd Azmi...S/u UMNO Setiu.
Oleh: Aminudin Ismail.

KESUNGGUHAN dan keikhlasanya terbabit dalam politik UMNO bermula sejak menjadi ahli pertubuhan itu pada 1989 lagi tetapi beliau mula aktif di peringkat Bahagian selepas 1999 di mana ketika itu Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihanraya umum di Terengganu juga di kawasanya di Setiu kerana beliau mahu mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap UMNO.

Bagi Mohd Azmi Nazir, Setiausaha UMNO Bahagian Setiu yang baru dilantik baru-baru ini menganggap kesungguhan beliau aktif dalam UMNO ketika itu dengan memegang jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian pada tahun 2000 ternyata tidak sia-sia kerana empat tahun selepas itu BN kembali mentadbir daerah Setiu.

Azmi bersama Dato' Sabri.
"Apa yang lebih penting bagi saya ialah perjuangan supaya orang Melayu sentiasa menerima UMNO. Saya mula aktif dalam UMNO Bahagian Setiu ini ketika UMNO kalah iaitu pada pilihanraya 1999, saya perlu ke depan dan memberi keyakinan kepada orang ramai supaya kembali kepada UMNO ketika itu

"Selepas itu, pada tahun 2000 saya menang jawatan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiu, sejak itu saya semakin aktif dan bekerja lebih keras untuk mempastikan UMNO kembali mentadbir daerah Setiu dan Alhamdulillah, pada pilihanraya 2004, Setiu dan Terengganu kembali kepada BN," katanya yang juga Setiausaha Penaja UMNO Cawangan Desa Jaya, Sungai Tong itu.

Azmi yang berlulusan Ijazah dalam bidang sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu, kini boleh dianggap sebagai antara tenaga pengerak utama UMNO Setiu selepas wakil rakyat dan beliau mengharapkan orang Melayu terus bersatu dan berada di landasan yang baik.

"Saya tiada cita-cita besar dalam UMNO, cuma harap dengan kapasiti saya yang ada pendidikan sedikit, saya boleh memberi pandangan dan buah fikiran kepada masyarakat. Harapan besar saya ialah supaya orang-orang Melayu ini terus bersatu, maju dan tidak ketinggalan serta mampu bersaing dengan bangsa-bangsa maju lain," katanya.

Biodata:

Nama: Mohd Azmi Nazir.
Asal  : Kampung Tasik Tok Lebai, Jabi.
Pendidikan: SK Tempinis, Jabi, SMA Itifakiah, Besut. SMK Kamil Pasir Putih, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Diploma Pendidikan UKM.
Kerjaya: Guru SMK Sungai Tong, (1988-1998), SMK Renek (1996-2003), SMK Saujana (2003-2005), SMK Guntung (2005-2006) dan Tahun 2006 bertugas di PPD Setiu kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Setiu.




24 November 2013

Terengganu catat peningkatan 111 peratus kes diabetes

Oleh: Noraini Jusoh

Kes diabetes di Terengganu menunjukkan peningkatan yang agak mendadak dalam tempoh lima tahun dengan 2519 kes atau 111 peratus direkodkan tahun lepas berbanding 2264 tahun 2008.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Mohd Jusoh berkata, berdasarkan Pendaftaran Kes Baru Diabetes bagi tahun 2008 hingga 2012 mendapati, saban tahun berlakunya peningkatan kes baru diabetes.

‘Ia melibatkan semua daerah iaitu 2264 kes baru bagi tahun 2008, 2010 (3448 kes) dan 2012 (4783 kes).

“Manakala bagi tahun ini pula, sehingga September terdapat 3603 kes baru diabetes telah dilaporkan dan ini tidak termasuk kes yang direkodkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah,” ujarnya.



Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2013 yang disempurnakan YDP Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong di Perpustakaan Awam Negeri, hari ini.

Katanya, kurang kesedaran untuk melakukan saringan kesihatan adalah antara punca kes-kes penyakit sebegini meningkat.

Mengulas mengenai program yang dianjurkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu, beliau berkata sambutan seumpama ini adalah salah satu usaha JKNT dalam mencegah dan mengawal diabetes yang begitu membimbangkan agar tidak terus menjadi lebih serius.



“Sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Terengganu kali ini, pelbagai acara diadakan bagi memastikan objektif memberi kesedaran kepada masyarakat berjaya dicapai antaranya seperti bengkel interaktif dan forum (diabetes dan anda), pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan, demostrasi masakan sihat serta kuiz kesihatan,” ujarnya.



 

Terengganu urus hutan guna ICT

 Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam usaha mendalami dan menguna pakai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkaitan pengurusan hutan secara bersepadu apabila menjalinkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM), hari ini.

Pertukaran MoU antara Kerajaan Negeri Terengganu yang diwakili Dato' Haji Mazlan Ngah (kiri) dan UTem diwakili Prof Dato' Ahmad Yusoff Hassan sambil disaksikan Haji Mohd Zubir Embong dan Haji Azmi Nordin.
MoU ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Naib Canselor UTeM, Prof Dato’ Ahmad Yusoff Hassan sambil disaksikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Haji Azmi Nordin.

Dato’ Haji Mazlan berkata, skop penggunaan ICT cukup luas, termasuk berkaitan memulihara hutan daripada terus diteroka selain memastikan kira-kira 544,000 Hutan Simpanan Kekal di negeri ini tidak terusik.

 “ Terengganu menguna pakai kaedah ICT dalam mengurus hutan bermula awal tahun lalu membabitkan lima fasa dan kos perisiannya pula hampir RM350,000,” katanya

 Sementara itu, Prof Dato’ Ahmad Yusoff, berkata Terengganu dilihat sebagai negeri berpotensi dan mempunyai banyak peluang yang masih perlu diterokai khususnya melibatkan penggunaan ICT dalam sistem pengurusan organisasi.

 Katanya, gabungan kerjasama antara kerajaan negeri dengan universiti bukan sesuatu yang asing.

“Negara maju khususnya Amerika Syarikat, Jepun dan Australia banyak kerjasama secara dua hala dilakukan melalui proek perundingan dan penyelidikan antara kedua-dua pihak.

 “Langkah itu dilaksanakan dengan semangat `win-win’ di mana hasil yang dibelanjakan kerajaan negeri dapat dimafaatkan dengan lebih bermakna dan efisen,” katanya.

 



Sekitar majlis berkhatan dan bertindik Dun Langkap.

Sembur...Sabri (baju kuning) mandikan kanak-kanak berkhatan.
Basah..kanak-kanak kesejukan disembur air bomba.
Tek dan gambar Aminudin Ismail.

SUNGAI TONG: Kira-kira 100 kanak-kanak di Dun Langkap gembira kerana mereka tidak dikhatankan walaupun selepas makan pulut kuning dan dimandikan dengan air Bomba oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor dengan bantuan anggota Bomba, di sini, hari ini.

Bagaimanapun kegembiraan itu hanya untuk seketika apabila kesemua kanak-kanak itu sebenarnya akan diuruskan khatan oleh anggota keluarga masing-masing apabila pulang ke rumah kerana kedatangan mereka adalah untuk menerima sumbangan pembiayaan khatan oleh Adun Langkap itu.

Terima..seorang kanak-kanak terima cenderahati daripada Sabri sambil diperhati isteri (dua dari kiri)
Sabri berkata, pada hari ini pihaknya hanya mengadakan majlis pemberian bantuan kewangan untuk berkhatan dan acara makan pulut kuning serta gimik semburan air oleh anggota Bomba.

"Selepas ini ibubapa akan menguruskan sendiri khatan anak-anak mereka di beberapa klinik di Setiu dan Kuala Terengganu. Saya juga mendoakan supaya mereka semua selamat dan dapat sembuh dengan cepat supaya kanak-kanak ini dapat bercuti sebagaimana kanak-kanak lain," katanya.

Dalam majlis yang diadakan di Dewan Sivik, Sungai Tong itu, seramai kira-kira 300 orang hadir termasuk kanak-kanak yang berkhatan memeriahkan majlis. Selain itu, 26 kanak-kanak perempuan turut bertindik percuma.

Turut hadir ialah Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Azmi Nazir dan beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Langkap yang menguruskan kanak-kanak kawasan masing-masing.
Ramai..sebahagian kanak-kanak dan ibubapa yang hadir.
Minta Selamat...Bacaan doa oleh Mohd Nazri Yusof, AJK UMNO Bahagian Setiu.

Gembira..dua kanak-kanak gembira terima sumbangan.
Jemputan...Sabri(baju kuning) bersama Azmi Nazir dan jemputan.
Daftar..seorang bapa mendaftar anaknya.

 

Dato' Jailani janji bawa transformasi kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Badan Perhubungan Umno Terengganu menerima timbalan pengerusi baharu, Dato’ Jailani Johari apabila pelantikannya diumum oleh Presiden parti Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara, Khamis lalu.

Dato’ Jailani yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berterima kasih kepada semua pihak khususnya pucuk pimpinan parti yang memilih beliau untuk menggalas jawatan baharu itu.

“Terima kasih kepada kepimpinan tertinggi Umno atas kepercayaan yang diberikan. Tidak lupa juga terima kasih kepada semua yang terus menyokong dan sentiasa mendoakan kesihatan saya.

 “Insya-Allah saya akan laksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin dalam membawa transformasi yang dihasratkan oleh kerajaan demi perjuangan parti dan kesejahteraan bangsa, agama dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook rasmi beliau, Jumaat lalu.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu turut berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Pengerusi Umno Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta bersama-sama dengan barisan kepimpinan negeri untuk memantapkan lagi Umno Terengganu.

Sebelum ini jawatan itu disandang oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan Kedua.

 

Bekas ADUN Bukit Kenak (sekarang Jabi) meninggal dunia.


Allahyarham Haji Hassan Said bekas ADUN..

Oleh:Mohammad Ishak 

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bukit Kenak (sekarang Jabi), Setiu, Hassan Said,75, meninggal dunia kira-kira jam 8 pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Allahyarham dimasukkan ke HSNZ Ahad lalu akibat cedera parah dan patah tulang rusok selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Balik Bukit, dekat sini.

Menurut anak perempuanya, Bahiyah Hassan,47,yang juga Ketua Wanita Umno Cawangan Rumah Awam Seberang Jertih, bapanya juga disahkan doktor mengalami paru-paru berair dan dijangka membuat pembedahan hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu ,Aisah Ahmad,70, serta lapan anak empat perempuan dan empat lelaki. Katanya, arwah bapanya menjadi wakil rakayt di DUN Bukit Kenak (sekarang ditukar kepada DUN Jabi), selama dua penggal bermula 1982 hingga 1990 ketika Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Menurutnya, arwah tidak pernah bersara dari politik, sebaliknya pada pemilihan parti Julai lalu arwah menang sebagai Ketua Umno Cawangan, Kampung Pulau Panjang,Jertih, selepas menewaskan pencabarnya Rozi Daud. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Jertih selepas solat zohor hari ini.

Wujudkan perpaduan UMNO-PAS- Iskandar.

Iskandar...Islam itu perpaduan.
Oleh Aminudin Ismail. 

JABI: PAS dilihat takut kehilangan pengaruh jika menjalinkan hubungan dengan UMNO sedangkan hubungan politiknya (tahaluf siyasi) dengan Pakatan Rakyat tidak banyak menguntungkan parti itu, kata Ketua Pemuda UMNO Setiu, Mohd Iskandar Jaafar.

Mohd Iskandar yang juga EXCO Pemuda UMNO Malaysia itu, berkata sekiranya PAS menjalinkan kerjasama dengan UMNO, parti itu boleh pergi lebih jauh kerana tiada banyak perbezaan antara kedua-dua parti itu.

“Jika kita tengok kerjasama mereka bertahaluf siyasi dengan PKR dan juga DAP agak merugikan tapi sebenarnya kalau dengan UMNO, mereka sebenarnya boleh pergi lebih jauh kerana tiada banyak beza antara UMNO dengan PAS.

“Terutama dari segi bentuk kepimpinan, dari segi dasar perjuangan dan sebagainya. Jadi kita merasakan sepatutnya untuk membentuk kerajaan perpaduan UMNO kena bergabung dengan PAS,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan seorang pemimpin PAS mengenai hubungan PAS/UMNO, ketika ditemui di Kampung Tempinis, dekat sini, semalam.

Iskandar berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, PAS sepatutnya berusaha kearah perpaduan dan bukan menghalangnya.

“Sebagai seorang Islam yang memperjuangkan dasar perjuangan Islam, sepatutnya perpaduan ini mereka kena usahakan supaya mereka dapat perpaduan dan bukanya menghalang orang lain bergabung untuk perpaduan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi itu.

Menurutnya, Agama Islam sememangnya menitikberatkan soal perpaduan apabila penghijrahan nabi dari Kota Mekah ke Madinah dan menyatukan dua puak yang berbalah.

“Islam menganjurkan perpaduan, bahkan yang dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w itu menyatukan dua kumpulan yang berbalah iaitu Aus dan khazraj.

"Jika ada orang Islam yang menghalang perpaduan, saya rasa itu sangat bertentangan dengan sunnah nabi s.a.w,” katanya.

Iskandar berkata, semua pihak perlu berpegang kepada perpaduan dan langkah UMNO yang mahukan perpaduan itu adalah satu langkah yang baik dan harus di teruskan.

 

Pasukan hoki Terengganu sasar kejuaraan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan hoki lelaki dan wanita Terengganu yakin akan mara ke pentas final untuk menjuarai kejohanan hoki bawah 14 tahun peringkat kebangsaan yang berlangsung sejak 18 November lalu.

Kedua-dua pasukan yang diundi dalam kumpulan B, dilihat berada pada momentum terbaik setakat ini selepas berjaya menduduki tangga teratas dalam persaingan peringkat kumpulan masing-masing.

Pengurus pasukan hoki lelaki, Encik Mohd Fikri Harun berkata pihaknya yakin pasukannya mampu mara ke separuh akhir sebelum melangkah ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada pada hari .

Pasukan hoki lelaki mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan masing-masing ketika menentang Kelantan (6-2), Melaka ( 6-4) dan Negeri Sembilan ( 3-1).

"Kita mememang meletakkan sasaran untuk muncul johan dalam kejohanan ini. Malah, kita melihat prestasi pemain semakin meningkat dengan baik dan mampu memberi tentangan hebat untuk memenangi dua lagi baki perlawanan sbelum mara ke separuh akhir.

“Jika tahun lalu, kita sekadar melangkah ke final dan mampu muncul naib johan, kali ini kita mahu menebus kehampaan tahun lalu di Kuala Lumpur dan membawa pulang kejuaraan pula,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Makan Malam Sempena Kejohanan Hoki Bawah 14 Tahun Kebangsaan 2013, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, kelebihan kepada pasukan lelaki apabila sembilan pemain merupakan atlet dari Sekolah Sukan Bukit Nenas dan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang mempunyai pengalaman dan pendedahan terbaik dalam sukan itu, sebelum berlatih bersama dua minggu menjelang kejohanan itu.

Sementara itu ketua jurulatih hoki wanita, Encik Mohd Ramlan Muruddin berkata pasukannya berjaya mencatat dua kemenangan besar ketika menentang Sarawak (6-2) dan Pahang (8-1).

 “Selepas melepasi dua cabaran itu, kita bakal menerima tentangan sengit dari Kuala Lumpur yang berkongsi enam mata bersama kita.

“Bagaimanapun, saya yakin semua pemain akan menggalas cabaran dengan baik untuk mempamerkan penguasaan di laman sendiri untuk memenangi dua lagi perlawanan menentang pasukan Kuala Lumpur dan Melaka esok,” katanya.

Menurutnya, pasukan wanita akan bekerja-keras untuk mencatat kemenangan dari dua baki perlawanan bagi mengelakkan pertembungan bersama juara kumpulan pasukan lawan. Sebanyak 14 pasukan dari Sekolah-sekolah seluruh Malaysia merebut kejuaraan kali ini.