Halaman

02 January 2014

Pemilihan cabaran Terengganu De'Everest

Selaras dengan hasrat untuk merealisasikan slogan Terengganu kuasa sukan negara, kerajaan negeri Terengganu melancarkan projek Terengganu D'Everest untuk menawan puncak gunung Everest pada April 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) telah dilantik sebagai urusetia projek tersebut.

"Terengganu nelang (berani) dan Terengganu boleh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa urusetia Terengganu De'Everest 2015, semalam.

YB Haji Rozi berkata projek tersebut mendapat kerjasama Persatuan Kembara Malaysia dan negeri. 

Katanya Mohd Rafi Qori, anak Terengganu pertama yang berjaya menawan gunung Everest pada 2007 telah dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu De'Everest.

 Beliau berkata satu sesi pemilihan pendaki di kalangan rakyat Terengganu akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak pada 9.30 pagi, 11 Januari  ini.

YB Haji Rozi berkata untuk saringan awal, seramai 40 orang akan dipilih dan daripada jumlah itu cuma lapan orang sahaja akan dipilih untuk membawa misi kerajaan negeri itu.

Menurutnya antara syarat untuk menyertai pemilihan itu lelaki dan perempuan berumur 18 tahun ke atas serta berpengalaman dalam pendakian.

Borang permohonan boleh didapati di pejabat MSNT dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu.


Belia Marang hulur bantuan


Oleh: Amirullah Othman

Kepimpinan Majlis Belia Daerah Marang dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Marang menziarahi mangsa-mangsa banjir di daerah Marang, kelmarin.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Encik zaidi Muda, berkata kepimpinan Majlis Belia Daerah Marang mengambil inisiatif  memberikan bantuan dalam bentuk barangan dapur kepada mangsa-mangsa banjir.

"Program ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang telah mengalami kerosakan harta benda yang teruk dalam bencana banjir yang lalu.

"Kesemua mangsa mengucapkan terima kasih kepada warga belia dan bersyukur kerana dalam keadaan mereka mengalami musibah dan kesusahan ini bantuan yang diperolehi tidak putus-putus," katanya kepada Teganukita.

Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Encik Shamsir Mohd dan 30 sukarelawan-sukarelawan Rakan Muda.

Sukarelawan berkenaan turut membantu dan meninjau sendiri kesan akibat musibah itu, baru-baru ini.

Terdapat empat pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Marang, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih yang melibatkan 13 keluarga (37 mangsa); SK Pengkalan Berangan, satu keluarga (empat orang); Dewan Orang Ramai Temala tiga keluarga (19 orang) dan di SK Jenang membabitkan dua keluarga (tujuh  orang).

 Seramai 67 mangsa dari 19 keluarga keseluruhan dipindahkan ke pusat perpindahan di daerah Marang.


01 January 2014

Pelajar Tatiuc bakal cipta kerusi roda



Oleh: Mastura Jamaldin

Terengganu akan menggunakan kepakaran sekumpulan pelajar Kolej Universiti Tati (Tatiuc) di Kemaman untuk mencipta kerusi roda pelbagai fungsi untuk memenuhi keperluan murid-murid istimewa di negeri ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata Tatiuc sememangnya mempunyai ramai pelajar berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi reka bentuk yang mampu menghasilkan kerusi roda khas untuk murid istimewa itu.

 Sebagai permulaan kumpulan penyelidik dariTatiuc itu akan datang ke Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong di sini untuk melihat pergerakan seorang murid istimewa, Nur Damia Irsalina yang mempunyai sebuah kerusi roda khas yang ditempah ibu bapanya bulan lalu.


"Kita mahu kumpulan itu melihat sendiri pergerakan Damia untuk memaksimumkan dan menambah pelbagai fungsi kerusi roda itu dan berharap hasil rekaan mereka kelak akan memberi manfaat kepada Damia agar dia lebih selesa sepanjang berada di sekolah," katanya kepada pemberita ketika tinajauan di SK Kuala Telemong

 Pada tahun ini, 426 pelajar yang juga pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat fizikal belajar di kelas aliran perdana di seluruh Terengganu. Murid pendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan dan keperluan khas pula seramai 2,293 di sekolah rendah dan 1,304 di sekolah menengah.

 Anak ketiga pasangan Dr Daeng Malis Ab Kahar dan Rosnaini Mohamad yang dilahirkan dengan kaki dan tangan yang tidak sempurna kelihatan ceria memasuki perkarangan sekolah pada pukul 7.30 pagi untuk memulakan sesi persekolahan Tahun Satu.

 Kehadiran Damia mencuri perhatian ramai kerana bersemangat kuat untuk memasuki kelas aliran perdana walaupun menghadapi kesukaran bergerak dan beliau mengakui begitu teruja hendak bersekolah dan bangun seawal 6 pagi kerana mahu berjumpa kawan-kawan lamanya, katanya kepada pemberita.

 Bagi Rosnaini pula, kesediaan pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu untuk menerima kemasukan anaknya ke Tahun Satu adalah berita paling gembira buatnya.

 "Pihak sekolah juga menyediakan laluan khas untuk kerusi roda Damia ke kelas dan membenarkan Damia memakai pakaian yang sesuai dengan keadaan fizikalnya.

 "Saya hanya mahu dia membesar di persekitaran normal bersama kawan-kawan untuk menikmati keindahan hidup seperti kanak-kanak yang lain," katanya yang membelanjakan RM10,000 untuk menempah kerusi roda khas itu dari Zull Design Autotronic di Rawang, Selangor.

 Guru Besar SK Kuala Telemong, Ismail Abdullah berkata ini adalah kali pertama sekolahnya menerima kemasukan seorang murid istimewa dan akan membantu memastikan keselesaan Damia

.

Nasib malang nenek mangsa kebakaran dapat perhatian Exco


YB Muhamad Pehimi mendengar ritihan mangsa kebakaran

Oleh: Mohammad Ishak 

Nasib malang yang menimpa usia emas,Siti Aminah Abdullah, 75, dari Kampung Gong Mak Som, dekat Jertih, yang kehilangan tempat tinggal apabila rumahnya musnah dalam kebakaran mendapat perhatian pemimpin kerajaan.

Siti Aminah yang tinggal bersama empat cucu berusi 3 dan 11 tahun bagaimanapun terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat, Muhamad Pehimi Yusof ketika kejadian tidak ada dalam kawasan kerana menunaikan umrah dan kembali ke tanah air malam tadi.

Bagaimanapun, sebaik dimaklumkan oleh pegawainya mengenai nasib yang menimpa warga emas itu, Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, pagi ini melawat mangsa terbabit.

Sempena lawatan kerja itu, Muhamad Pehimi turut menyampaikan bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Siti Aminah berkata, dalam kebakaran itu beliau tidak sempat menyelamatkan semua harta dalam rumah menyebabkan beliau mengalami kerugian kira-kira RM160,00.

 “Saya bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran itu walaupun semua barang penting musnah dalam kebakaran,” katanya.

Si cilik gembira hari pertama bersekolah

Oleh: Noraini Jusoh dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar

Pelbagai gelagat murid tahun satu dapat dilihat pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ladang, Kuala Terengganu, hari ini.
Kebanyakan mereka menunjukkan riak wajah ceria dan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baru. Hanya sebilangan kecil sahaja dilihat sentiasa ditemani ibu atau bapa.

Tinjauan Teganukita di sekolah itu mendapati sebahagian besar murid pandai berdikari dan sudah mula berkawan sesama mereka.

Walaupun ada yang menangis apabila ibu bapa beredar meninggalkan mereka kepada guru kelas masing-masing, tetapi keadaan itu tidak lama kerana sebaik sahaja kelas bermula, si cilik mula memberi tumpuan kepada guru yang mengajar.

Salah seorang murid, Nurul Nuha, 7, sangat teruja memulakan persekolahan dan kelihatan sungguh gembira dapat bersama rakan-rakan yang lain belajar di sekolah berkenaan.

“Saya sangat gembira dapat bersekolah dan hendak belajar bersungguh-sungguh dan jadi budak pandai," katanya.

Rakannya, Nor Azwatie, 7, pula berkata dia begitu bersemangat untuk bersekolah dan tidak berasa takut pada hari pertama sesi persekolahan bermula.

“Saya tidak sabar untuk bersekolah dan tidak menangis pun apabila tiba di sekolah kerana ada ramai kawan-kawan,” katanya.

Dalam pada itu Guru Besar sekolah berkenaan, Haji Ghazali Abd Rahman (gambar) berkata, kerjasama yang baik diberikan ibu bapa semasa menghantar anak-anak pada hari pertama persekolahan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan ibu bapa memberikan kerjasama apabila diminta beredar dan dilarang berada di kelas atau berdekatan kelas sewaktu sesi pembelajaran. Kita hanya benarkan ibu bapa berjumpa anak masing-masing pada waktu rehat,’ ujarnya.

Katanya, larangan tersebut bertujuan mempercepatkan lagi proses penyesuaian diri murid-murid terhadap persekitaran di sekolah.

Haji Ghazali berkata, sehingga hari pertama sesi persekolahan bermula, seramai 39 orang murid mendaftar untuk memasuki Darjah Satu di Sekolah berkenaan yang mempunyai 321 murid keseluruhannya.

Sementara itu, seramai 17, 481 murid memasuki Darjah Satu di 351 buah sekolah rendah di Terengganu pada hari ini.

 

CUEPACS TIDAK AKAN MEMBELA JIKA ADA ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BELOT- TERLIBAT DENGAN HIMPUNAN 'TURUN' GULING KERAJAAN

Eksklusif oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.

 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS, tidak sekali-kali akan membela jika terdapat mana-mana anggota perkhidmatan awam yang terlibat dengan himpunan atau demonstrasi haram atas nama apa sekali pun, kata Presidennya, Azih Muda.
  “Mereka sebagai penjawat awam sepatutnya tidak terlibat dengan aktiviti di luar kerangka tugas selaku penjawat awam,” katanya kepada Pengarang Teganukita sewaktu mengadakan pertemuan khas di Pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu. Mereka tentu tahu tentang peraturan dan perintah am perkhidmatan awam di bawah Bab D berkaitan kesalahan dan tatatertib, kata beliau yang begitu tegas dalam hal ini menyokong agar pihak kerajaan menguatkuasakan peraturan jika terbukti ada anggota perkhidmatan awam yang terlibat dengan salah laku.
  Azih mengulas kejadian himpunan atau demonstrasi haram oleh perusuh yang kononnya hendak mengguling atau menjatuhkan kerajaan malam tadi 31 Ogos di beberapa tempat awam termasuk di ibu kota Kuala Lumpur.
  Sambutan Ambang Tahun Baharu 2014 Kuala Lumpur anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dataran Merdeka terpaksa dihentikan pukul 11.30 malam ini, 30 minit sebelum kemuncaknya berikutan tindakan liar penyokong himpunan guling kerajaan merusuh dan menceroboh kawasan pentas utama.
  Malam tadi pengacara majlis terpaksa mengumumkan pembatalan sambutan tahun baru termasuk pertunjukan bunga api, hanya 30 minit sebelum detik 12 tengah malam menandakan bermulanya 1 Januari 2014, berikutan perusuh membaling objek ke arah pentas utama.
  Ketika itu, Orkestra DBKL sedang mengadakan persembahan apabila tiba-tiba perusuh berbaju hitam menyerbu pentas utama. Selain itu, beberapa kenamaan termasuk Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dilihat telah meninggalkan tempat duduk masing-masing.
  Orang awam yang hadir semata-mata ingin menyaksikan persembahan dan pertunjukan bunga api juga terpaksa memilih untuk pulang awal untuk mengelakkan sebarang kemungkinan. -
  Para perusuh berbaju hitam masih meluru ke arah pentas utama, membaling objek dan menjerit-jerit menghina kerajaan.
 Azih menegaskan, “ kita telah berikrar dan buat akuan sumpah untuk menjalankan tugas sebagai anggota perkhidmatan awam dan kita perlu amanah dan bertanggungjawab kepada kerajaan yang telah melantik dan menggajikan kita”.
  “CUEPACS tidak akan sekali kali membela anggota perkhidmatan awam yang sekiranya didapati bersalah, terutama yang boleh memusnahkan negara,” katanya.
 “Oleh itu saya nasihatkan agar semua anggota perkhidmatan awam tidak membabitkan diri dalam sebarang perhimpunan haram dan kegiatan-kegiatan yang boleh memusnahkan negara kerana sebagai anggota perkhidmatan awam kita sebenarnya telah banyak mendapat faedah hasil dari keamanan dan kemajuan negara,” kata Azih.

Sekitar hari pertama tahun satu di Setiu.

Murid Tahun 1 SKPJ sudah mula belajar melukis.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Seramai kira-kira 1090 murid memulakan persekolahan mereka di tahun satu di kira-kira 14 buah sekolah rendah di daerah Setiu pada tahun ini.

Tinjauan Teganukita di beberapa buah sekolah pagi tadi mendapati, kebanyakan murid begitu gembira dan teruja untuk memulakan persekolahan mereka malah tidak ramai ibubapa yang menemani anak-anak mereka sehingga ke bilik darjah.

Dengar..murid SKF asyik mendengar ucapan guru, Ros Azimah Sulong.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Fikri (SKF), Ibrahim Awang berkata, sekolahnya mencatat sejarah pada tahun ini kerana jumlah murid yang belajar di darjah satu adalah paling ramai.

"Biasanya, paling ramai belajar di tahun satu sekolah ini sekitar 10 dan 20 orang sahaja, tetapi pada tahun ini jumlahnya bertambah sekali ganda dari tahun lepas iaitu seramai 30 orang, tahun lepas hanya 12 orang," katanya.

Bagi Sekolah Kebangsaan Merbau Menyusut  (SKMM) pula, jumlah muridnya adalah yang antara yang sedikit di daerah Setiu iaitu seramai 10 orang.

Jurahaizan Jamaluddin, guru SKMM melihat buku murid tahun 1.
"Jumlah murid tahun satu sekolah ini memang tidak ramai iaitu sekitar 10 hingga 20 orang. Ini memudahkan guru memberi tumpuan kepada murid-murid," kata seorang guru sekolah itu, Zamri Ali.

Sementara itu, di SK Putera Jaya  (SKPJ) pula, selain program suaikenal, murid juga diberi peluang untuk melukis bagi membiasakan murid dengan suasana persekolahan.

"Pada tahun ini seramai 21 murid belajar dalam darjah satu iaitu seramai 16 perempuan dan 15 lelaki. Suasana hari pertama persekolahan hari ini lancar dan semua murid menunjukan semangat untuk belajar," kata Guru Besarnya, Zainuddin Dollah.
Gembira...beberapa murid Tahun 1 SK Chalok Barat sempat berposing.

Seorang murid SKMM hampir tertidur.
Nur Izzah Farhanah (kanan) sedang membantu adiknya, Nur Izzah Sofia.
GB Sk Chalok Barat sedang memberi taklimat pada murid tahun 1.

 

20,576 murid Tahun Satu di Terengganu mula bersekolah

Oleh: Suriati Ali

Seramai 20,576 murid memasuki Tahun Satu membabitkan 351 sekolah rendah di Terengganu memulakan sesi persekolahan 2014, hari ini.

 Daripada jumlah itu, seramai 426 pelajar merupakan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat fizikal mengikuti persekolahan aliran kelas perdana.

 Murid pendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan dan keperluan khas pula seramai 2,293.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin berkata terdapat sebuah sekolah baru mula beroperasi pada tahun ini, iaitu Sekolah Kebangsaan Sekolah Kebangsaan (SK) Setengge, Hulu Terengganu.

Katanya, sebanyak 19 sekolah yang terjejas banjir awal bulan ini turut memulakan sesi baru persekolahan hari ini.

 “Sekolah tersebut sudah dibersihkan dan buku teks serta perabot yang rosak sudah diganti.

 "Bagi asrama yang terjejas seperti di Sekolah Menengah Mak Lagam di Kemaman, tilam-tilam dan perabot juga telah digantikan

 “Sebanyak 33 sekolah yang dijadikan pusat pemindahan juga telah dibersihkan dan perabotnya disusun atur untuk memulakan sesi persekolahan esok,” katanya.

 

Mangsa banjir di Hulu Terengganu terima bantuan persekolahan

Oleh: Mastura Jamaldin

Seramai 875 pelajar mangsa banjir di Hulu Terengganu menerima bantuan barangan persekolahan sempena sesi baru persekolahan yang bermula hari ini.

Bantuan kepada pelajar dari Kuala Berang, Telemong dan Ajil itu bagi meringankan bebanan keluarga mangsa berikutan banyak mengalami kerosakan harta benda akibat musibah banjir itu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu  Dato’ Jailani Johari, berkata sumbangan daripadada agensi seperti KUB, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), JASA serta Pergerakan Pemuda Umno Malaysia itu amat dihargai.

“Banjir sebenarnya mempunyai hikmat tersendiri keranamelaluinya,mangsa mendapat perhatian dan pelbagai intensif khas disediakan oleh pihak berwajib termasuk dari kerajaan Pusat dan negeri seperti bantuan kewangan.

“Saya juga berharap bantuan yang diterima pada hari ini dapat member motivasi kepada pelajar supaya lebih cekal selepas dilanda musibah,” katanya di Hulu Terengganu, semalam.

Selain bantuan persekolahan, Dato’Jailani merangkap Ketua Umno Bahagian turut memberi penghargaan kepada warga sukarelawan banjir yang membantu ketika menghadapi gelombang banjir pertama dan kedua, baru-baru ini.

 Beliau juga berharap sikap prihatin terus dipupuk dalam kehidupan masyarakat Hulu Terengganu, terutama ketika menghadapi bencana alam.


Ibu bapa teruja lihat anak masuk sekolah

Oleh: Suriati Ali

 Minggu pertama sesi persekolahan, semestinya ibu bapa, terutama bagi yang mempunyai anak yang baru memasuki tadika atau Tahun Satu, paling kalut dan teruja untuk melihat anak masing-masing memulakan alam persekolahan.

Ada di antara ibu bapa sanggup mengambil cuti dua atau tiga hari semata-mata mahu menemani anak supaya dapat membiasakan diri bergaul dengan guru dan rakan sekelas.

 Tinjauan Teganukita di Tadikan Yayasan Islam cawangan Kuala Terengganu, Jalan Pusara pada hari pertama sesi persekolahan mendapati, ada murid yang menghadiahkan senyuman pada guru yang menyambut di kelas dan tidak kurang juga menangis kerana tidak mahu masuk kelas.



 Ibu bapa tetap melayan dengan penuh sabar walaupun terpaksa menemani anak sehingga tamat waktu belajar.

Pada minggu pertama sesi persekolahan tadika itu, murid terlebih dahulu didedahkan pelbagai mainan dan aktiviti menyenorokkan sebelum diminta memperkenalkan diri kepada rakan dan guru. Usaha itu dilihat dapat meredakan perasaan takut dan malu berdepan dengan suasana baru.

 Murid juga didedahkan dengan pelbagai perkara asas, seperti bagaimana hendak ke tandas, apa perlu buat ketika berada di perpustakaan dan ada sopan ketika makan di kantin.