Halaman

03 February 2014

MKN peruntukan RM9.602 juta untuk mangsa banjir di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah 

Seramai 19, 205 mangsa banjir yang layak di negeri ini akan menerima wang ehsan sumbangan kerajaan Persekutuan selewat-lewatnya Mac depan.

Setiausaha Keselamatan Negeri, Encik Mohd Sarif Hassan berkata, RM9.602 juta diperuntukan untuk pemberian wang ehsan sebanyak RM500 bagi setiap ketua keluarga yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.

Katanya, semua mangsa banjir diberi jaminan akan menerima bantuan itu dan proses pembayaran tersebut telah dimulakan sejak Januari lalu dan ianya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan dijangka selesai Mac depan.

 ``Sehingga kini seramai 797 orang telah mendapat bantuan tersebut yang melibatkan daerah Setiu, Besut, Marang serta Kemaman yang melibatkan 607 orang di Kampung Pengkalan Pandan sempena lawatan Perdana Menteri di Kemaman baru-baru ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian wang ehsan mangsa banjir bagi daerah Marang yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di Pejabat Daerah Marang hari ini.

Menurutnya, daerah Kemaman mencatatkan bilangan paling ramai layak menerima bantuan itu seramai 15,197 orang, Dungun (2,787 orang), Hulu Terengganu (1,031 orang), Setiu (101 orang), Besut (46 orang ) dan Marang (43 orang).

 Dalam pada itu, bagi daerah Hulu Terengganu, majlis penyampaian tersebut akan diadakan pada 6 Februari bagi kawasan Telemong, Ajil (16 Februari) dan Kuala Berang (18 Februari).

 Manakala daerah Dungun dan Kemaman kini dalam proses semakan terakhir dan penentuan tarikh yang sesuai untuk diberikan kepada layak tidak lama lagi.

Beliau juga memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya menguruskan pemberian wang ehsan yang diluluskan oleh kerajaan Pusat sahaja dan tidak melibatkan bantuan kerajaan negeri dan bantuan peralatan rumah.

Di majlis itu seramai 43 ketua keluarga di daerah Marang menerima wang ehsan sebanyak RM500 seorang.
 

Berkat jadikan al-Quran teman karib

Oleh: Aida Abd Rahman

Berkat asuhan ibu bapanya supaya menjadikan al-Quran sebagai `teman karib' dalam susah mahu pun senang, memberi kelebihan kepada seorang anak muda, Amjad Fakhri At Tamimi Ismail, 20, untuk melakar keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), baru-baru ini.

Bekas pelajar Institut Al-Quran Terengganu (IQT), Padang Midin, Kuala Terengganu memperolehi 10 Mumtaz, mengekalkan keputusan cemerlang yang direkodkan ketika peperiksaan percubaan sebelum itu.

“Kedua orang tua saya merupakan ustaz dan ustazah yang kini berkhidmat di Pahang, mendidik saya mencintai al-Quran sejak usia lima tahun lagi. Alhamdulillah, selepas tamat persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang, dengan memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia , 7A 1B dan 1C, saya meneruskan pengajian di IQT pula.

“Kejayaan ini bukan sahaja berkat dorongan ibu bapa, guru dan juga rakan-rakan, malah hasil tumpuan kepada al-Quran dua hingga tiga jam setiap hari selepas sesi pembelajaran di kelas menjadi formula utama yang mencetus kepada kejayaan ini,” katanya yang ditemui sejurus mengambil keputusan STAM di IQT.

Anak kedua daripada tujuh beradik kepada pasangan pendidik,Ismail Ali, 48, dengan Sharifah Maznah Tuan Dalam, 46, yang bercita-cita bergelar hakim syarie suatu masa nanti, juga yakin kurangnya pengaruh media sosial seperti Facebook dan twitter dalam aktiviti sehariannya juga banyak mengehadkan waktu kepada perkara yang melalaikan.

Katanya, tumpuan ketika di kelas dan menghormati kesemua guru menjadi amalan sejak dulu, malah yakin tindakan itu turut memberi keberkatan dalam setiap gerak langkah sekali gus merealisasikan hasratnya untuk bergelar pelajar cemerlang.

Selain mengamalkan bacaan dan hafazan al-Quran setiap masa, Amjad yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran setahun lalu, juga percaya didikan ibu bapanya yang sentiasa mengingatkannya supaya mencari keredhaan Allah s.w.t, banyak mempengaruhi gaya hidupnya kini.

Dia yang berasal dari Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu berhasrat melanjutkan pengajian di Mesir tidak lama lagi kini menjadi guru sementara mengajar tasmi’ di Rusila, Marang.

“Saya kira waktu terluang dan peluang yang ada saya perlu terus mengasah ilmu dengan mengajar kaedah hafazan dan membaca al-Quran sementara saya meneruskan impian menyambung pengajian di bidang syariah tidak lama lagi.

Amjad yang amat meminati subjek Fiqh turut aktif di bidang kurikulum selain dilantik sebagai bendahari bagi Majlis Perwakilan Pelajar IQT sesi 2013-2014, bagaimanapun tetap berjaya dalam akademik sehingga muncul satu-satunya dari 124 calon STAM 2013 seluruh Terengganu yang mendapat keputusan 10 mumtaz..

16 pesilat Terengganu berguru di Batam

Sebanyak 16 atlet Persatuan Seni Silat Terengganu (Pesilat) yang mempunyai peluang cerah menyumbangkan pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Perlis, Mei ini, akan menjalani latihan di Batam, Indonesia.

Setiausaha Pesilat Rani Mustaffa berkata atlet terbabit terdiri 10 lelaki dan enam wanita akan menjalani latihan di Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) Kota Batam selama 10 hari mulai 18 Februari ini.

Latihan itu sebagai persediaan bagi memastikan lima pingat emas seperti disasarkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dicapai, katanya.

Pada edisi Sukma 2012 di Pahang, atlet silat Terengganu berjaya memperoleh enam pingat emas dan akan cuba mempertahankan kedudukan itu, katanya.

Sementara itu, Pesilat akan menerima kunjungan pesilat dari Selangor, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pertandingan persahabatan pada 14-16 Februari ini di Gerbang Persilatan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Rani berkata ini juga sebagai satu daripada persiapan pemanas badan untuk menghadapi Sukma Perlis selain pendedahan menerusi kejohanan di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Pasukan pesilat Terengganu dilatih oleh Shahrul Fahmi Abu Bakar bersama-sama dua pembantunya.

Seramai 35,935 sudah terima Dana Bakti Remaja

 Oleh: Suriati Ali 

SERAMAI 35, 935 remaja di seluruh Terengganu sudah pun menerima sumbangan Dana Bakti Remaja yang membabitkan peruntukan sebanyak RM7,187,000.

 Setiap remaja berusia antara 21 tahun hingga 40 tahun yang belum berkahwin mula menerima dana berjumlah RM200 bagi setiap individu itu, Oktober tahun lalu.

 Jumlah itu diagihkan secara berperingkat-peringkat di mana Parlimen Setiu (Kesemua DUN) mencatatkan jumlah paling ramai penerima iaitu seramai 10,269 membabitkan kos RM2 juta, diikuti Kemaman ( DUN, Kemasik, Kijal dan Air Putih) 9,508 penerima (RM1.9 Juta).

Parlimen Hulu Terengganu (DUN Telemung, Kuala Berang dan Ajil) pula mencatatkan seramai 8,686 membabitkan peruntukan RM1.7 juta dan Marang (DUN Pengkalan Berangan) 3,315 penerima (RM663 ribu).

 Parlimen lain iaitu Dungun (DUN Bukit Besi) 2,113 penerima (RM442 ribu) dan Kuala Nerus (DUN Seberang Takir) 2,044 penerima membabitkan kos RM408 ribu.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat berkata, pihak kami mendahului agihan dana itu kepada mereka yang tinggal di kawasan yang dimenangi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebagai tanda terima kasih dan sokongan.

 “Kemudian diikuti dengan DUN yang kalah, bagaimanapun jumlah yang bakal diagihkan itu bergantung kepada keperluan dan kos semasa,” katanya .

 Katanya, Kerajaan BN yang ada pada hari ini cakna belia, cakna orang muda. Sebab itu kita sediakan pelbagai kemudahan untuk mereka, termasuk lebih RM20 juta setahun untuk Dana Bakti Remaja.

 “Mulai tahun ini kerajaan akan memberi beberapa pendekatan baru terutama modul kursus program khas berkaitan dana ini di samping mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan.

 “Ini termasuk Biro Tata Negara (BTN), Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Sukan negeri Terengganu (MBNT),” katanya.

 

TSG senarai lumba hadapi cabaran di Australia

Pasukan lumba basikal profesional, Terengganu Cycling Team (TSG) menyenaraikan enam pelumbanya untuk menggalas cabaran pada Kejohanan Lumba Basikal Herald Sun Tour Victoria 2014 di Melbourne, Australia pada 5 Februari ini.

 Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Rozali Salleh berkata, enam pelumba itu diketuai dua pelumba hebat iaitu Anuar Manan dan Muhammad Adiq Hussaini Othman, manakala empat lagi ialah Mohd Harris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

 Katanya, Anuar dan Muhammad Adiq kembali bersama TSG berkuat kuasa 1 Jan lalu setelah berkhidmat bersama pasukan lumba basikal profesional luar negara iaitu Manan menyertai pasukan Synergy Baku Cycling Project dari Azerbaijan, manakala Muhammad Adiq menyertai pasukan Champion System Pro Cycling dari China.

"Ini merupakan kejohanan kedua yang disertai TSG bagi 2014 selepas Kejohanan Jiexpo Kreterium 2014 Jakarta, Indonesia pada 25 Jan lepas yang mana Manan berjaya menduduki tempat ketiga iaitu penyertaan sulungnya bersama TSG tahun ini," katanya

Katanya, kesemua pelumba kini giat menjalani latihan intensif di sekitar bandar Kuala Terengganu dan Dungun di bawah bimbingan penolong jurulatih Jasmin Roslan bagi memastikan mereka mempamer persembahan hebat pada kejohanan selama lima hari itu.

 

ANTARTIKA: DI MANA DUDUKNYA SAINTIS DAN STESEN PENYELIDIKAN MILIK NEGARA ISLAM TANYA DATO' SERI AHMAD SAID?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dikirimkan oleh Prof Dato' Dr Aziz Deraman 

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang dalam perjalanan pulang dari Antartika memberi pandangan bahawa sudah sampain masanya saintis Islam dan negara-negara Islam mengadakan penyelidikan secara seriusdi kutub selatan itu, malah sepatutnya telah lama.
 Ini kerana untuk memberi imej dan gambaran yang baik terhadap umat Islam dan tidak membiarkan orang bukan Islam sahaja berbuat demikian, malah beliau menyebutkan itu sebagai fardhu kifayah bagi umat Islam selaras dengan ayat Al Quran yang ada menyebut bahawa tiap-tiap apa yang dijadikan Allah sama ada di langit atau dibumi tidak sia-sia.
 “Saya rasa sepatutnya menjadi tanggungjawab saintis Islam membuat penyelidikan di Antartika kerana ia bertepatan dengan ajaran Islam supaya kita menimba ilmu di mana sahaja tempat,” katanya dalam satu sesi temuramah dengan Manis FM yang disampaikan melalui whatsapp.
  Kalau tidak, kita umat Islam akan terus ketinggalan malah dengan berbuat demikian kedudukan imej orang Islam akan meningkat dan setanding dengan bukan Islam, katanya.
 Baginya tiada masalah bagi umat Islam, khususnya saintis untuk berada di sana bagi tujuan penyelidikan kerana bekalan makanan halal boleh di bawa ke sana tanpa halangan.
 Begitu juga, beliau berkata kalau gereja boleh dibina di kawasan penyelidikan, apa salahnya kita orang Islam membina surau, tempat orang Islam menunaikan sembahyang.
 "Orang bukan Islam yang bersama lami di sini kagum dan terharu melihat kami menunaikan solat jemaah dan berpuasa semasa berada dalam eksplorasi Antartika itu dan amat mengalu-alukan kehadiran kita sehingga bertanya bermacam-macam soalan mengenai umat Islam kepada kami," kata Dato' Seri Haji Ahmad.
 Menteri Besar Terengganu itu yakin bahawa suatu masa Malaysia akan mempunyai juga stesen penyelidikan sendiri di sana, walaupun buat masa sekarang menumpang dengan stesen pihak negara lain.
  "Kalau Peru bukanlah kuasa besar dan maju ekonominya boleh membuka beberapa stesen penyelidikan di Antartika, saya percaya negara Islam pun boleh berbuat demikian termasuk Malaysia," katanya dalam wawancara itu.





AKHIRNYA KEMBALI SEMULA KE PANGKUAN TSG

Oleh: Ruslan Abdul Rahman  Foto: Harris Fadzillah

Pelumba terkemuka bertaraf anarabangsa, Anuar Manan dan Muhammad Adiq Hussaini kini mengetuai Terengganu Cycling Team (TSG) menghadapi cabaran Kejohanan Lumba Basikan Herald, Sun Tour Victoria 2014 di Melbourne Australia bermula lusa, 5 Februari.

Turut tersenarai empat lagi ialah Mohd Haris Salleh Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.



Ini bermakna TSG akan menjadi pesaing hebat di kejohanan antarabangsa itu memandangkan Anuar dan Muhammad Adiq adalah jaguh professional antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Rozali Salleh berkata kepulangan Anuar dan Mohd Afiq kepangkuan TSG sebenarnya bermula 1 Januari lalu, bakal member kekuatan kepada TSG untuk tetap teguh di persada sukan lumba basikal negara dan dunia.

Sebenarnya ini adalah kali kedua pelumba itu mewakili TSG di kejohanan antarabangsa bagi tahun ini, 2014. Sebelum ini pada 24 Januari lalu Anuar mewakili TSG di Jakarta Indonesia yakni Kejohanan Jiexpo Kreterium 2014. Beliau mendapat tempat ketiga dalam kejohanan ini.

Marilah kita mendoakan pelumba-pelumba TSG ini mencipta kejayaan di Melbourne, Australia kali ini kerana kejohanan bertaraf antarabangsa ini amat berprestij iaitu kali ke 61 setelah bermula sejak tahun 1952 lagi.








Letak jawatan wakil rakyat satu pencabulan demokrasi- Idris Jusoh.

Idris ketika berucap di Kuala Besut, semalam.
Oleh: Aminudin Ismail.

PERLETAKAN jawatan seorang wakil rakyat yang dipilih rakyat secara demokrasi yang sepatutnya berkhidmat selama lima tahun adalah satu pencabulan demokrasi yang besar berlaku di negara ini, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Idris berkata, rakyat perlu lihat dan memerhati siapakah yang sebenarnya yang mengamalkan demokrasi dan siapa pula yang sebenarnya menipu rakyat.

“Gara-gara hendak melaksanakan tugas tetapi tidak melaksanakan tugas. Jadi piliharaya kecil (PRK) Kajang (nanti), Insya Allah akan membuka mata rakyat.

"Maka rakyat akan tahu memilih siapa pemimpin yang lebih baik dan kerajaan mana yang lebih baik, kata Idris kepada beberapa wartawan selepas merasmikan satu majlis di Kuala Besut, semalam.

Sehubungan itu, Idris mahu pengundi di Kajang memilih kerajaan dan pemimpin yang benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat pada pilihanraya kecil itu nanti.

Dalam pada itu, Idris berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO belum lagi berbincang di peringkat Barisan Nasional (BN) mengenai calon BN dalam PRK itu nanti dan beliau akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

Pilihanraya kecil Dun Kajang terpaksa diadakan semula berikutan perletakan jawatan wakil rakyatnya yang dipilih pada PRU Mei tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pendidikan II itu berkata, semua pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara dibekalkan dengan insuran.

“Memang yang dihantar kerajaan dibekalkan dengan insuran. Pelajar-pelajar yang ditaja kerajaan mereka tidak perlu bimbang kerana kerajaan sentiasa mengambil berat tentang mereka,” katanya.

     

02 February 2014

Kementerian Pendidikan akan bantu Aisyah dan adik-adiknya.

Idris..beri pendidikan terbaik.
Oleh: Aminudin Ismail. 

KEMENTERIAN Pendidikan memberi jaminan akan memberi kemudahan proses persekolahan kepada empat beradik yang kedua ibubapa mereka kini ditahan di Sweden sekiranya keluarga kanak-kanak terbabit mahu kanak-kanak itu bersekolah di negara ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai warganegara Malaysia mereka mempunyai hak untuk belajar dan mendapatkan pendidikan terbaik di negara ini seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

“Sebenarnya itulah, jika kita lihat Pelan Pendidikan Malaysia (PPPM), kita nak pastikan semua rakyat Malaysia diberi ruang untuk belajar, jadi kita akan memudahcarakan agar anak-anak mereka itu akan dapat pendidikan yang sempurna .

Idris berkata, pihak kementerian akan berbincang dengan penjaga kanak-kanak terbabit bagi menempatkan tempat yang sesuai untuk empat beradik itu  (Aisyah (14), Ammar (12) Adam (11) dan Arif, 7) belajar.

“Kementerian akan pastikan mereka akan dipermudahkan segala permohanan mereka  supaya mereka (kanak-kanak itu) mendapat pendidikan yang terbaik di negara ini,” katanya.

“Justeru jika mereka ingin meneruskan persekolahan di sini (Malaysia) saya beri jaminan yang semua urusan persekolahan akan dimudahcara oleh pihak kementerian mahupun jabatan pendidikan negeri yang berkaitan,”katanya selepas melancarkan Kelab Sukan dan Rekreasi UMNO Bahagian Besut dan program Membara Kembali Ke Sekolah, di Kuala Besut, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Adun Jertih yang juga Exco kerajaan negeri, Muhamad Pehimi Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Ab Rahman dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Besut, Mohd Mahadi Musa. (Adun Kota Putera).

Pada majlis itu juga, Idris turut menyampaikan sebuah Perodua Viva bernilai RM26,000 kepada peserta Walk Of Malaysia, Mohd Noor Mat yang berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya sempena kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Julai lalu.

 

Wira pejalan kaki, Mohd Nor terima sebuah Viva.

TERIMA...Impian peserta jalan kaki Program Walk4Malaysia, Mohd Nor Mat,48, dari Kampung Tok Raja, Jertih, untuk memiliki kereta sendiri menjadi kenyataan apabila belia menerima sebuah kereta Viva sumbangan lima Adun dan seorang ahli Parlimen, di satu majlis, di Dataran Kuala Besut, hari ini. 

Majlis penyerahan kunci kereta berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh, turut dihadiri tiga Adun iaitu Adun Jertih, Muhamad Pehimi Yusof yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Mohd Noor, kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YT) mencipta sejarah apabila beliau menamatkan berjalan kaki sejauh 600 kilometer dari Kuala Besut ke Putrajaya, September tahun lalu.

Gembira..Mohd Nor(kanan) bersama Idris, Zaihan dan Mahdi.

Beliau menunaikan nazar selepas Barisan Nasional (BN) mencapai kejayaan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, yang diwakili Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Julai tahun lalu.

"Terima kasih kepada UMNO Besut terutamanya kepada Ahli Parlimen, Dato' Seri Idris Jusoh, dan lima Adun termasuk Adun Jabi kerana menyumbangkan kenderaan ini kepada saya. Saya begitu gembira hari ini dan akan meneruskan usaha membantu Barisan Nasional di kawasan ini," katanya. - Aminudin Ismail.