Halaman

11 May 2012

Mapem dan Teraju turun padang bantu usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Program Outreach Tranformasi Usahawan Bumiputera Berprestasi Tinggi (OTUBBT) yang digerakkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah dilancarkan di peringkat negeri Terengganu .



Program ini bertujuan mendedahkan usahawan Bumiputera daripada pelbagai sektor dan tahap pencapaian perniagaan dengan agenda transformasi ekonomi yang sedang digerakkan oleh kerajaan pada masa ini.

Presiden Majlis Perunding Ekonomi Melayu (Mapem), Tan Sri Rozali Ismail berkata, tidak kira sebesar mana idea tentang agenda pembangunan ekonomi Melayu, tapi jangan terlepas pandang kumpulan usahawan kecil-kecilan atau mikro yang menjadi 90 peratus daripada komuniti usahawan Melayu.

“Walaupun kita mempunyai agenda besar bersama Teraju dan SME Corp untuk mencari calon syarikat kecil dan sederhana milik orang Melayu yang boleh ditransformasikan menjadi syarikat besar namun kita masih tidak mengabaikan keperluan dan harapan usahawan kecil yang memerlukan sokongan, dorongan dan kepimpinan untuk melonjak dalam bidang ekonomi yang diceburi,”.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program OTUBBT di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Haji Azmi Razik; Yang Dipertua (YDP) Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Terengganu, Dato’ Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar; YDP DPMM Perak, Dato’ Mohd Muhiyuddin Abdullah; YDP DPMM Melaka, Datuk Ramly Mohamad dan YDP DPMM Negeri Sembilan, Dato’ Ahmad Yusof.

Katanya, sehingga ini penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi masih tidak berpadanan dengan peratusan bilangan penduduk Bumiputera dalam negara.

Oleh itu katanya, Teraju dan Mapem serta gabungan persatuan yang mewakili kepentingan peniaga dan usahawan Melayu turun padang untuk mendekati usahawan Melayu yang boleh diketengahkan.

“Banyak usahawan dan syarikat yang berdaftar di bawah Teraju ini yang mendapat bimbingan dan perkembangannya sentiasa dipantau dari semasa kesemasa,” katanya.
Katanya, untuk berjaya syarikat atau usahawan jangan asyik membuat kritikan sebaliknya perlu bekerja lebih tanpa mengira waktu.