Halaman

13 June 2018

Agih 2,000 Batang Lemang Kepada Pengguna LPT2


Sebanyak 2,000 batang lemang diedarkan kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur Kedua (LPT2) dalam masa dua hari di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman, semalam.

Timbalan Exco Pelancongan II Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Abd Razak Ibrahim berkata, lemang tersebut diagihkan secara percuma kepada perantau yang balik berhari raya sempena sambutan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.


“Ini adalah kolaborasi di antara kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Kemaman bersama Syarikat LPT2 Sdn Bhd dalam menonjolkan dan memperkenalkan hentian Pelancongan R&R Perasing yang juga dikenali sebagai ‘Mini Kemaman’ di samping kita mempromosikan produk-produk makanan tempatan di Kemaman ini.


“Seperti yang kita ketahui di Kemaman terkenal dengan Lemang Kijal yang mempunyai identiti rasa tersendiri kerana ia antara makanan kegemaran ramai dan populariti Lemang Kijal masih tetap bertahan walaupun lebih daripada 20 tahun selain daripada mampu menggamit kunjungan pengguna laluan daripada Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas agihan lemang dan kudapan berbuka puasa percuma di Hentian Rawat dan Rehat Perasing, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Sementara itu, Tun Ahmad berkata, melalui promosi dan program-program yang sentiasa diadakan di R&R Perasing telah mampu menarik kunjungan pengguna LPT2.


“Pada hari ini kita dapat lihat perbezaan suasana R&R Perasing tahun ini dengan tahun lalu dimana pada hari ini kita lihat telah ramai pengunjung-pengunjung pengguna LPT yang singgah berehat di sini selain lebih banyak gerai-gerai dibuka kerana berlakunya peningkatan pemintaan selepas kejayaan kita mempromosikan R&R Perasing,” katanya.

Menurut Tun Ahmad, selepas ini kita akan membuka Tourist Information Center (TIC) untuk kita paparkan dan memberi informasi mengenai tempat-tempat pelancongan yang menarik dan makanan-makanan tempatan di Kemaman ini kepada mereka yang singgah di sini.

“Melalui TIC juga makanan-makanan tempatan seperti Lemang Kijal, Satar akan di pasarkan di R&R Perasing bagi membolehkan pengguna LPT2 mendapatkan makanan tersebut tanpa masuk ke Bandar Kemaman untuk mendapatkan berkenaan disamping membuka peluang perniagaan kepada peniaga-peniaga tempatan,” katanya.