Halaman

05 February 2013

388 ahli pembangkang di Besut isytihar keluar parti dan masuk UMNO

Kumpulan 250 ahli Pas bertindak keluar Pas dan menyerahkan borang keahlian Umno kepada Dato' Seri Idris Jusoh, malam tadi. - Gambar oleh Mohammad Ishak.

Oleh: Mohammad Ishak 

Selepas sedar diri mereka diperbodohkan oleh pemimpin pembangkang, kini semakin ramai ahli akar umbi dari Pas dan PKR di daerah Besut bertindak meninggalkan parti berkenaan dan menyertai Umno.

Tamparan paling hebat apabila 388 ahli pembangkang dari empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian Besut, mengistiharkan keluar parti dan menjadi ahli Umno.


Mereka menzahirkan niat suci menyertai Umno apabila menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih sempena program Selamat Tinggal Pembangkang (STP) di Kampung Pengkalan Nyireh, dekat Kampung Raja, malam tadi.

Kemasukan beramai-ramai yang terbesar pernah diadakan itu membuktikan Umno menjadi kepercayaan dan pilihan tepat kepada penyokong Pas dan PKR yang sebelum ini mengakui ditipu dan diperbodohkan oleh pemimpin mereka.

Kumpulan terbabit 250 ahli Pas dari DUN Kota Putera, Kuala Besut (83),Jertih (34) dan Hulu Besut 21 menyerahkan borang kepada Idris sambil disaksikan oleh ADUN kawasan masing-masing.

Ibrahim Mamat
Mereka ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian,Nawi Muhamad ADUN Hulu Besut, Naib Ketua Bahagian,Muhamad Pehimi Yusof (ADUN Kota Putera) dan Setiausaha Bahagian,Dr A Rahman Mokhtar,ADUN Kuala Besut.

Majlis yang turut dihadiri lebih 2,000 jemputan itu mengejutkan pembangkan g kerana ia satu petanda BN Terengganu amat kukuh dan mantap.

Ibrahim Mamat, 56, dari Kampung Lapang Kotak,yang mendahului penyerahan borang kepada Idris berkata beliau sudah 20 tahun bersama Pas dan rela meninggalkan parti itu kerana hilang keyakinan terhadap perjuangan Pas yang sekarang terpesong jauh daripada matlamat menegakan Islam di negara ini.


04 February 2013

Kerajaan negeri perkenal dana usahawan tani

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri bakal memperkenalkan dana usahawan tani bagi membantu para usahawan di negeri ini dalam mengembangkan projek pertanian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Tuan Haji Asha’ari Idris berkata, pelaksanaan dana tersebut akan bermula tahun ini bertujuan membantu golongan usahawan tani yang menjalankan projek berskala besar.

"Usaha membantu petani tidak akan selesai hanya dengan pemberian bantuan kerana dalam melahirkan usahawan tani tidak cukup sekadar dengan pemberian subsidi sahaja.

"Oleh itu, kita akan sediakan tabung pinjaman untuk kemudahan semua petani supaya dapat jayakan projek berskala besar dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah dan Penghargaan kepada Peladang, Penternak dan Nelayan Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2012 dan Kursus Usahawan Peladang di Wisma Peladang Terengganu, hari ini.

Katanya, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu telah menerima peruntukan sebanyak RM920,000 bagi membantu 12 usahawan tani daripada kerajaan pusat.

Menurut beliau, sebagai tanda prihatin terhadap petani di negeri ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menampung peruntukan tersebut bagi menyediakan pinjaman kepada lebih ramai usahawan tani yang berminat menerusi dana usahawan tani.

"Setakat ini, belum ada jumlah peruntukan khusus bagi dana ini dan kita gunakan sumber-sumber dari peruntukan lain.

"Apabila satu peruntukan khas telah diluluskan mungkin peminjam dana usahawan tani tidak akan dikenakan faedah tetapi hanya dicaj kos perkhidmatan sahaja,” katanya.

 

SEKUMPULAN PENYOKONG PAS TERENGGANU BERDEMO BANTAH PIMPINAN PARTI MEREKA YANG JADI ALAT DAP

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Kemarahan penyokong Pas terhadap pimpinan mereka kian merebak berikutan beberapa isu yang menampakkan parti itu dan pemimpinnya tidak bertegas dalam soal Islam dengan pakatan mereka terutamanya DAP.


 Hari ini (4 Februari) sekumpulan lagi penyokong Pas dari Kuala Terengganu yang diketuai oleh Zamri Yaakob telah berhimpun di Dataran Masjid Terapung Kuala Ibai, kira-kira jam 3.20 petang.

Mereka menentang sama sekali tindakan pimpinan parti mereka yang diperalatkan DAP dan bukan Islam dalam PKR kerana berpendapat menjejaskan masa depan umat Islam dan bangsa Melayu.


Zamri berkata, mereka mahu Pas keluar dari pakatan DAP dan PKR segera bagi menyelamatkan bangsa Melayu dan umat Islam.




Beberapa perkara dikemukakan dalam bantahan tersebut , antaranya:

- Mereka ingin tahu apa pendirian Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) dalam Isu kalimah Allah dan minta dibuat kenyataan segera setelah Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan bahawa kalimah Allah hanya untuk orang Islam sahaja dan tidak boleh digunakan oleh agama lain.
- Mereka juga mendesak supaya Majlis Syura Ulamak Pas mengeluarkan hukum, apakah boleh mereka berpakat dan membantu DAP dalam pilihan raya nanti kerana ternyata DAP memusuhi Islam secara nyata.
- Sehingga ini Lim Guang Eng, Karpal Singh dan Anwar Ibrahim masih berdegil dalam isu kalimah Allah, maka kumpulan ini menuntut ketiga-tiga mereka ini segera memohon maaf kepada Pas serta umat Islam.

“Kami sangat berharap pemimpin Pas bersatu hati dan singkirkan barua-barua DAP/PKR dalam Pas. Kami yakin barua-barua itu terdapat dalam Pas” tegas Zamri dalam satu kenyataan yang diedarkan.



Antara kata-kata pada spanduk mereka termasuklah “DAP jangan jadi biadap pada Islam”, “Petualang Pas jangan jadi baru DAP” , “Pimpinan Islam dalam PR wajib halau DAP” dan lain-lain lagi.




UMT berfokus penyelidikan dan inovasi

Oleh; Esah Abdullah

Tahun 2013  menjadi titik permulaan kepada pengukuhan pembinaan asas menjadikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah universiti berfokus kepada penyelidikan dan inovasi dalam ‘sains kelautan dan akuatik’.

 Naib Canselor (NC) UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, semua program dan projek penyelidikan perlu mempunyai hubungan erat dengan pembangunan ekosistem sungai dan tasik.

“Ia meliputi pembangunan kemanusiaan, ekonomi, sumber asli, pemuliharaan warisan tabii, sains gunaan dan pembangunan teknologi khususnya daripada perspektif kesejahteraan komuniti, kesihatan alam sekitar dan penjanaan kekayaan negara.

 “Untuk mengukuhkan ilmu dan kemahiran bakat akademik usaha perlu dilakukan untuk membudayakan gagasan ‘penyelidikan sepanjang hayat melalui penyelidikan fundamental bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang ilmu yang dipelopori,” katanya,

Beliau berkata demikian di majlis Syarahan Tahunan NC 2013 ‘Membina Akademik Berbudaya Cemerlang’ di UMT hari ini.

Katanya, fakulti digalakkan untuk menyediakan dana sokongan tahunan supaya kegiatan ini berlangsung secara berterusan dan pemantauan dilakukan berasaskan kepada penerbitan kertas penyelidikan dalam jurnal berwasit yang relevan dengan bidang kepakaran.

“Kita akan menggalakkan pewujudan kumpulan penyelidikan khas (SIG) untuk menjayakan usaha ini secara berstrategi dan jangka panjang walaupun projek penyelidikan lazimnya diberi tempoh satu hingga tiga tahun,” katanya.

Katanya, kumpulan ini akan dipantau oleh seorang ‘pemimpin penyelidikan’ yang dilantik sebagai peneraju SIG untuk memastikan proses penyelidikan dan pembangunan berkembang segar.

 

KTS capai pensijilan ISO 9001:2008

Oleh: Noraini Jusoh

Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) yang merupakan sebuah hospital swasta terkemuka di Kuala Terengganu telah memperoleh pensijilan ISO 9001: 2008 bagi penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan pada 21 Disember 2012.

Pensijilan tersebut telah dianugerahkan oleh sebuah badan pensijilan bebas terkenal antarabangsa iaitu Moody International Certification (Malaysia) Sdn Bhd dan Moody International Certification LTD.

Dengan pencapaian itu bermakna, proses pengurusan kualiti hospital telah diaudit dan telah memenuhi kehendak sistem pengurusan mengikut piawaian Malaysia dan United Kingdom Accreditation Standard (UKAS).

Sistem pengurusan kualiti KTS yang telah diaudit mengikut piawaian ISO termasuk tanggungjawab pengurusan kualiti, proses tindakan pembetulan dan pencegahan, pengurusan pembekal, audit dalaman dan latihan pekerja.

Sehubungan itu, anugerah tersebut akan disampaikan oleh wakil bagi Moody International Certification LTD kepada Pengerusi KTS, Datuk Hajah Fatimah Hamal dalam satu majlis yang diadakan di KTS pada 5 Febuari ini.

 

Kayu ukur sikap generasi muda : Dato' Sri Shabery

Oleh: Aida Abd Rahman

Tahun Sukarelawan Negara 2013 menjadi kayu ukur kepada sikap rakyat negara ini khususnya golongan muda sama ada mereka menjadi masyarakat yang sekadar menerima sumbangan semata-mata atau turut sama mengembleng tenaga dan masa bagi memberi khidmat menjayakan program kemasyarakatan, kata Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

“Bermula tahun ini dan tahun akan datang sudah tentu ada kaedah bagi mengukur budaya sukarelawan di kalangan masyarakat negara kita. Misalnya Australia terdapat lima juta penduduknya yang mendaftar sebagai sukarelawan dengan merekod 700 juta jam kerja-kerja sukarela pada tahun lalu, sekali gus berjaya berada di tangga pertama mengikuti Indeks Memberi Dunia (WGD).

“Ini dapat dilihat dari masa ke semasa. Kalau tahun ini kita boleh kumpulkan sejuta orang sempena program My Beautiful Malaysia, jika kita himpunkan setiap hari berapa juta orang dan jam yang mampu disumbangkan bagi tujuan sukarela di mana ini perlu kita ukur bagi menentukan sama ada kita termasuk di kalangan orang yang memberi dan bukan sekadar menerima sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam program My Beautiful Malaysia peringkat negeri yang dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam (3 Februari).

Dato’ Sri Ahmad Shabery berkata, Tahun Sukarelawan Negara juga akan menilai tahap sumbangan tenaga, wang ringgit dan masa setiap rakyat selama ini dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dapat mengeratkan hubungan dan kasih sayang sesama manusia, persekitaran serta haiwan.

 “Dengan ilmu pendidikan bukan sahaja mampu menjadikan seseorang itu sebagai jurutera, malahan pendidikan untuk menjadikan seseorang itu insan yang lebih tinggi martabat dan darjatnya serta sudah tentu ketinggian darjat itu hanya dapat dibuktikan menerusi kecintaannya kepada manusia yang lain, kepada alam sekitar dan kepada negara yang tercinta.

 “Aspek penting dalam pembangunan insan dan pembangunan sebuah negara ialah semangat sukarelawan yang diitunjukkan oleh belia dan rakyat negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sambutan luar biasa generasi muda dalam program kemasyarakatan seperti My Beautiful Malaysia itu menunjukkan petanda positif bahawa golongan itu semakin bertanggungjawab dan menghargai sesama manusia serta persekitaran.

“Hari ini mereka tampil ke depan untuk membersih kawasan, menananam pokok, membaiki tempat awam yang selama ini dibiar begitu sahaja dan mereka tidak bertanya mengenai berapa upah serta ganjaran yang akan mereka dapat, tetapi semuanya semata-mata kerana mereka sayangkan negara selain mahu mengindah serta mencantikkan negara ini,” katanya .


Pembangunan kampus kedua UMT berjalan lancar

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memulakan pembangunan kampus kedua universiti itu di kawasan seluas 600 hektar di Bukit Kor Marang mulai tahun ini.

Naib Canselor (NC) UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, dalam fasa pertama (2013-2015) tumpuan akan diberi kepada penyediaan perancangan keseluruhan dan pembangunan kemudahan dan makmal luar untuk Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM).

“Pada fasa ini UMT akan menyediakan infrastruktur asas seperti jalan, pejabat dan asrama untuk kemudahan pelajar ,” katanya dalam sidang media di majlis Syarahan Tahunan NC 2013 'Membina Akademik Berbudaya Cemerlang' di UMT hari ini.

Katanya, penyediaan kemudahaan asas berkenaan menggunakan peruntukan dalaman universiti berjumlah RM600,000 sebagai persediaan untuk mendapatkan dana dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Usaha ini membolehkan aktiviti latihan lapangan dan penyelidikan dijalankan oleh pelajar di samping memberi perhatian kepada komuniti yang telah menyewakan sebahagian daripada kawasan ladang untuk aktiviti pertanian," katanya..

Menurutnya, dengan cara ini, jaringan dan proses pemindahan ilmu antara universiti dan komuniti dapat dilaksanakan secara berkesan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, mulai tahun ini pihaknya akan memulakan aktiviti penambahbaikan ekosistem akademik melalui Program Kampus Lestari.

“Tumpuan akan diberi kepada sistem pengangkutan dalam kampus yang mesra penjalan kaki dan berbasikal dengan menyediakan kawasan riadah berasaskan warisan tabii serta meningkatkan kebersihan melalui program kitar semula,” katanya.

Katanya, pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif memerlukan persekitaran kampus yang selesa, mesra pelajar dan mesra alam sekitar . Sehubungan itu katanya, jawatankuasa Kampus Lestari telah diwujudkan untuk merancang dan melaksanakan program tersebut.

 

Kuala Nerus, Kuala Terengganu lokasi pilihan Jelajah Anak Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu menjadi dua lokasi pilihan di negeri ini bagi melancarkan program Jelajah Anak Malaysia (Transformasi Rakyat) pada 7 hingga 8 Februari ini.

Program yang dilaksanakan seluruh Malaysia anjuran Pertubuhan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) dengan kerjasama Gagasan Terengganu bakal menjelajah ke dua destinasi itu bagi menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sepanjang dua hari satu malam.

Pengerusi Gagasan Terengganu, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata seramai 200 mahasiswa dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara akan menyertai program itu bagi mendekati dan mendampingi masyarakat secara langsung untuk berkongsi pengalaman kehidupan rakyat di bandar, pinggir bandar, kampung dan pedalaman.

 “Mereka (mahasiswa) akan mendapatkan maklum balas terkini berkaitan permasalahan dan cadangan rakyat agar semua pihak terlibat dalam proses pembangunan masa hadapan negara yang akan memenuhi citarasa, kehendak serta keperluan semasa.

“Pada masa yang sama penyertaan mereka sebagai agen perhubungan antara kerajaan dengan rakyat itu juga dapat menolak andaian setengah pihak bahawa mahasiswa tidak lagi menyokong kerajaan, sebaliknya kita mahu menunjukkan bahawa mereka masih bersama dengan kerajaan, ” katanya di sidang media di Rumah Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat dan Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad.

Dato’ Mohd Nasir merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, program yang pertama kali diperkenalkan itu akan mendekati seluruh masyarakat menerusi pelbagai pengisian acara, bermula dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, diikuti program bersama semua warga tempatan iaitu Suara Rakyat, Program Kami Prihatin, Kuliah Rakyat (Imam Muda Asyraf), Rakyat Cergas, IM4U (gotong-royong) dan Kami Prihatin.

Sementara itu, Syed Anuar berkata, penganjur mensasarkan seramai 4,500 peserta khususnya golongan muda akan membanjiri tapak ekspo di Pasar Raya Hock Kee Seng, Gong Badak (Kuala Nerus), sementara 1,500 peserta dijangka menyertai program di Kuala Terengganu.

 “Kesemua 200 mahasiswa IPTA yang menaiki empat buah bas akan menuju dua destinasi, dua bas ke Kuala Nerus dan dua bas ke Kuala Terengganu bagi melaksanakan aktiviti masing-masing sebagaimana dijadualkan.

 “Program terbesar di pameran dan ekspo (Pasar Raya Hock Kee Seng Gong Badak), Kuliah rakyat oleh Imam Muda Asyraf serta Bicara Selebriti bersama Imran Ajmain. Manakala di Kuala Terengganu program tumpuan adalah Kuliah Rakyat di Masjid al-Taqwa Durian Burung, futsal (DS Sport Centre) dan acara ziarah,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai agensi dan jabatan termasuk seperti Jabatan Penerangan Terengganu, Jabatan Penyiaran Terengganu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Polis Diraja Malaysia akan membuka booth untuk kemudahan orang ramai.

Katanya, golongan muda juga berpeluang mendaftar untuk mendapatkan lesen kenderaan di kaunter pra pendaftaran Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang bakal beroperasi sempena program itu nanti.

Program yang bermula di Kuala Lumpur pada 30 Januari lalu, singgah ke beberapa negeri dan Terengganu pada 7 Februari akan meneruskan penjelajahan ke Pahang pada keesokannya sebelum berakhir 16 Februari depan.

 

Pas mula perang dengan DAP

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Baru seminggu Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, melakukan kejutan terbesar dalam sejarah kepimpinan parti itu apabila menyambut hari jadinya di rumah Pengerusi DAP, Karpal Singh.



Belum pun reda keriuhan di kalangan pemimpin Pas dan penyokong parti itu mengenai sambutan hari jadi yang luar biasa itu, hubungan antara pemimpin Pas dan DAP itu kini memasuki episod baru.

Semalam Nik Abdul Aziz memberi amaran kepada pemimpin DAP itu supaya tidak campur tangan urusan dalaman dan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan Pas.

Menteri Besar Kelantan itu dengan lantang bersuara DAP tidak perlu ‘jadi pandai’ kerana ahli-ahli Pas sahaja yang tahu keadaan sebenar berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Beliau menegaskan Pas tetap dengan pendirian mereka bahawa kalimah berkenaan tidak boleh digunakan oleh masyarakat bukan islam seperti yang diputuskan oleh Majlis Syura Pas.

Setelah membisu sejak lebih seminggu, Karpal Singh membuat kenyataan kelmarin bahawa pakatan pembangkang tetap dengan pendirian bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam seperti yang diputuskan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini, termasuk dari Pas.

Mungkin selepas ini ramai lagi pemimpin Pas akan bangkit mempertahankan pendirian Majlis Syura dan sudah pasti ia akan menyemarakkan api perbalahan antara Pas dengan DAP.

Pertembungan pendapat dan perbalahan antara pemimpin Pas dan DAP memang dijangkakan dan ramai pihak meramalkan hubungan kedua-dua parti itu tidak akan kekal lama. Ini kerana kedua-dua parti itu tidak akan mampu mencapai kata sepakat dalam banyak hal kerana masing-masing mempunyai agenda politik mereka sendiri.

Selama ini Pas terlalu banyak tunduk kepada desakan DAP demi bagi menjaga hubungan antara kedua-dua parti tersebut. Antara pengorbanan terbesar yang telah dilakukan oleh Pas dalam menjaga hubungannya dengan DAP ialah mereka terpaksa mengorbankan ramai pemimpin kanan parti itu yang kurang senang dengan hubungan antara Pas dan DAP.

Di antara mangsa pemimpin Pas akibat parti itu tunduk kepada DAP ialah Dato’ Dr Hassan Ali dan terbaru bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa.

Justeru tidak hairanlah jika ramai pihak meramalkan lebih ramai pemimpin kanan parti itu sama ada dipecat atau akan keluar dari Pas kerana tidak puas hati dengan keputusan pucuk pimpinan Pas bergabung dengan DAP bagi menentang Barisan Nasional (BN).







ASM Unggul Trading adakan hari bertemu pelanggan

Oleh: Noraini Jusoh

ASM Unggul Trading yang merupakan sebuah stesen minyak Petronas akan mengadakan hari bertemu pelanggan bertempat di Dataran Stesen Petronas Seberang Marang, Marang, pada 7 Februari ini.

Program Petronas Marang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ‘Sehari Bersama Pelanggan’ yang dianjurkan ASM Unggul Trading dengan kerjasama Petronas dan KPDNKK itu dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Pengurus ASM Unggul Trading, Ahmad Shukridin Muda berkata, pada program yang sama, Dato’ Sri Ismail Sabri juga akan menyempurnakan majlis perasmian kedai buku ‘ASM Book Store’.

"Pembukaan kedai ini akan menjadikan Stesen Petronas Marang sebagai satu-satunya stesen minyak di negara ini yang menyediakan perkhidmatan kedai buku.

"Di ‘ASM Book Store’ kami menyediakan bahan bacaan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan kami memiliki koleksi bacaan melebihi 1500 judul yang terdiri daripada pelbagai genre,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, sempena hari bertemu pelanggan yang kali kedua dianjurkan itu, pelbagai acara menarik menanti pengunjung antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak, jualan buku serta pelbagai lagi.

Tambah beliau, orang ramai di jemput hadir untuk memeriahkan majlis tersebut yang merupakan tanggungjawab sosial pihaknya terhadap masyarakat.

 

KPDNKK lulus RM5.4 juta untuk majukan 6 koperasi di Besut.


DR Abdullah menyampaikan replika cek kepada pemimpin koperasi

Oleh: Mohammad Ishak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah meluluskan RM5.4 juta bagi membantu memajukan 6 buah koperasi di daerah Besut tahun ini.

Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Parlimen Besut yang juga Ahli Parlimen Besut , Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata,peruntukkan itu diluluskan bagi membiayai Tabung Modal Pusingan bagi 3 koperasi dan membantu 3 lagi koperasi untuk Bantuan Pembangunan.

Katanya, Koperasi Guru-Guru Melayu Besut Berhad yang kini mempunyai 2,500 anggota menerima tabung modal berjumlah RM5 juta ,

Koperasi Felda Selasih Besut Berhad sebanyak RM204,300 dan Koperasi Bersatu Jaya Pulau Perhentian Besut Berhad pula menerima RM103,500. 

Dr Abdullah berkata,bantuan pembangunan pula Koperasi Guru-Guru Melayu Besut Berhad turut menerima RM50,000, Koperasi Kemahiran Muda (Kemuda) Besut Berhad menerima RM43,026 dan Koperasi Sekolah Menengah Agama Maarif Besut Berhad pula menerima RM20,000.

Menurutnya bantuan diberikan setelah KPDNKK melihat akan prestasi tahunan dan keupayaan koperasi-koperasi di daerah Besut itu dalam membantukan pembangunan di Besut serta meningkat ekonomi dikalangan ahli-ahlinya.

Sementara itu itu ketika berucap melancarkan Majlis Perundingan Koperasi dan Mini Karnival Koperasi Parlimen Besut di Dataran Jerteh Souq disini beliau meminta umat Islam tidak terkeliru atau terpengaruh dengan isu-isu mengenai agama yang banyak ditimbulkan pelbagai pihak di musim ketibaan PRU13 ini. 

Katanya, rakyat diminta hanya berpandu kepada pihak yang telah dipertanggungjawabkan bagi memberi penjelasan kepada perkara-perkara seumpama itu iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bernaung dibawah Majlis-Raja-Raja.

 Menurutnya mengenai isu Kalimah Allah dan Amanat Haji Hadi Awang , JAKIM telah pun mengeluarkan fatwa yang dengan nyata menolakkan kedua-dua daripada digunakan.

03 February 2013

Penyertaan 80,000 warga Terengganu meriahkan My Beautiful Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

Kira-kira 80,000 penduduk Terengganu memeriahkan sambutan `My Beautiful Malaysia’ di lima lokasi tumpuan di seluruh negeri, bermula jam 8.30 pagi tadi.

Menteri Besar turut serta memeriahkan  Senaman 1 Malaysia bersama kira-kira  25,000 hadirin  yang hadir  di program ' My Beautuful Malaysia'  di Pantai Batu Buruk
Program yang tamat empat jam kemudian melibatkan lima pusat pelancongan iaitu Pantai Batu Buruk, Lagun Kuala Ibai dan Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu; Pengkalan Gawi, Hulu Terenganu serta Pantai Rhu Sepuluh, Setiu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penyertaan kira-kira 80,000 peserta  membuktikan program itu berjaya mencapai sasaran penganjuran, selain mewujudkan semangat kesukarelawan di kalangan pelbagai lapisan masyarakat bagi memastikan persekitaran bersih dan indah.

“Terima kasih kepada warga Terengganu yang turut sama meraikan program `My Beautiful Malaysia’ yang dilancarkan serentak oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di bawah Program Sukarelawan Belia (1Malaysia Untuk Belia) pada tahun ini.

 “Setiap negeri perlu sekurang-kurangnya melibatkan 50,000 peserta dan Terengganu sendiri dianggarkan lebih 80,000 turut sama menyertai majlis ini yang menunjukkan satu kejayaan besar menerusi pembabitan semua pihak bagi membersihkan semua kawasan yang dikenalpasti,” katanya di sidang media selepas melancarkan program itu, di Dataran Batu Burok.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek;Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Toh Chin Yaw dan pegawai kanan kerajaan negeri dan Pusat.

Dato’ Seri Haji Ahmad sebelum itu menyertai acara senam 1Malaysia, menanam pokok dan membersihkan persekitaran pantai.

Menteri Besar berkata, kebersihan menjadi indikator utama bagi menarik kedatangan pelancong ke Terengganu selaras dengan sambutan Tahun Melawat Terengganu tahun ini yang mensasarkan kehadiran empat juta pelancong dari dalam dan luar Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri bukan sahaja memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi tujuan mengindah dan membersih seluruh kawasan perbandaran dan juga tumpuan pelancong, malah menggalakkan pembabitan seluruh masyarakat dengan menganjurkan pelbagai program dan kempen kebersihan.

“Kerajaan negeri juga membelanjakan sejumlah RM20 juta setahun bagi menjalankan kerja pembersihan kawasan longkang, memotong rumput dan jalan di seluruh Terengganu yang disalurkan menerusi Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.

 “Bagaimanapun, tahap kesedaran masyarakat masih rendah dan kerajaan berharap mulai hari ini, semua pihak saling bekerjasama dalam usaha memastikan tempat awam dan juga persekitaran sentiasa terjaga serta bersih dengan memastikan semua sampah di buang di tempat sepatutnya,” katanya.











Pupuk budaya sukarelawan di kalangan masyarakat

Oleh: Aida Abd Rahman

Program My Beautiful Malaysia bukan sahaja memberi impak dalam usaha memelihara persekitaran supaya bersih dan indah, malah turut memupuk budaya sukarelawan di kalangan seluruh masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.

Seorang peserta, Puan Rogayah Hashim, 50, dari Jabatan Kemajuan Masyarakat Parlimen Kuala Nerus, berkata program itu memberi manfaat yang besar kepada semua dalam menilai budaya menjaga kebersihan dan keindahan sekitar.

“Program sebegini amat baik dan wajar diteruskan bukan sahaja peringkat negeri, malah di setiap jabatan dan kampong masing-masing.

 “Negeri yang cantik, indah serta terjaga dari aspek kebersihan pastinya memberi kelebihan dan tarikan kepada pelancong bersempena sambutan Tahun Melawat Terengganu (TMT) tahun ini.

Sementara seorang kakitangan Bahagian Operasi, Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu, Encik Mohamad Yusoff Ali, 54, pula berkata program ini mampu menimbulkan kesedaran kepada orang ramai bahawa amalan menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran bukan sahaja di bahu pihak berwajib dan kerajaan negeri.

 “Semua pihak, tidak kira sama ada pegawai dan kakitangan kerajaan, pelajar serta orang awam, amalan kebersihan dan tidak mencemarkan kawasan persekitaran terutama kawasan tumpuan seharusnya sudah menjadi amalan kita bersama.

“Amalan terpuji itu bukan sahaja melalui kempen dan program seumpama ini, malah ia harus dipraktikkan sentiasa,” katanya.

 Pandangan itu turut disokong seorang pelatih Kem Program Latihan Khidmat Negara Padang Kacong, Marang, Siti Nur Ayumi A Latif, 18, yang pertama kali berpeluang menyertai program itu di peringkat negeri.

“Sebelum ini saya hanya menyertai program gotong-royong di peringkat sekolah sahaja. Ini pertama kali berpeluang menyertai program peringkat negeri yang melibatkan jumlah peserta cukup besar.

 “Saya dan rakan sangat teruja kerana program ini bukan hanya disertai orang awam, malah pemimpin khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek turut turun padang bersama rakyat,” katanya.







Sekolah dalam hospital beri manfaat kepada pesakit

Oleh; Esah Abdullah

ExxonMobil memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi melaksanakan pelbagai program kecemerlangan pendidikan termasuk mewujudkan ‘sekolah kita’ dihospital dan modal insan di negeri ini setiap tahun.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Hubungan Kerajaan ExxonMobil Subsidiari, ExxonMobil Malaysia, Encik Farid Jaafar berkata, ini merupakan salah satu program di bawah tanggungjawab sosial korporat untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

“Setakat ini dua ‘sekolah kita' diwujudkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan hospital Kemaman yang memberi manfaat besar kepada pesakit kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan persekolahan kerana menerima rawatan.

“Kita menyediakan dana bagi menggerakkan kelas itu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk komputer dan bahan bacaan di samping suasana yang menceriakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan Pengerusi Subsidiari ExxonMobil Malaysia, J. Hunter Farris ke 'Sekolah Kita' di HSNZ bagi meninjau perkembangannya setelah dinaik taraf.

Katanya,'sekolah kita' memberi peluang kepada pesakit kronik dan talasemia di wad pediatrik yang menerima rawatan panjang atau pesakit yang kerap menerima rawatan harian dan membolehkan mereka memanfaatkan masa dengan aktiviti pembelajaran secara santai dalam suasana menggembirakan.

Menurutnya, kelas ini mendapat bantuan tenaga pengajar daripada pelajar Fakulti Bahasa Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) yang mengajar secara sukarela setiap minggu secara bergilir.

"Pada masa ini terdapat antara 15 hingga 20 kanak-kanak dalam satu masa dan ExxonMobil bersedia untuk menimbang peruntukan tambahan bagi memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak mendapat manfaat," ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus ketika menyampaikan taklimat ringkas mengenai perjalanan 'Sekolah Kita' mengucapkan terima kasih kepada ExxonMobil yang terus memberi komitmen terhadap program itu.

Menurutnya pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan telah meluluskan pelaksanaan Sekolah Dalam Hospital di HSNZ mengikut konsep sekolah harian biasa pada tahun lalu tetapi belum dapat dilaksanakan kerana kemudahan premis yang terhad.

 

5,000 sertai My Beautiful Malaysia Day di Pantai Rhu Sepuluh


Peserta gotong royong membersih pantai Rhu Sepuluh

Oleh: Mohammad Ishak 

Pantai peranginan Rhu Sepuluh, Setiu hari ini mencatat sejarah apabila dibanjiri orang ramai yang menyertai pelancaran My Beautiful Malaysia Day peringkat daerah Setiu dan Besut.

Lebih 5,000 peserta mewakili pelbagai pertubuhan sukarela (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kakitangan kerajaan serta penduduk setempat menghadiri majlis pelancaran berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Negeri, Yang Berhormat Haji Asha’ari Idris yang juga ADUN Langkap, melakukan upacara perasmian.

Hadir sama ADUN Permaisuri,Abd Hali Jusoh serta pegawai kanan kerajaan daerah Setiu dan Besut.

Peserta yang hadir sebelum menyertai kerja gotong royong turut dihiburkan dengan persembahan muzik oleh “Saund of Setiu” dan persembahan dikir barat.

Program yan g diadakan di serentak seluruh Negara dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak itu bertujuan memupuk sikap suka bergotong royong dan bermufakat untuk membersih kawasan persisiran pantai.

Selain itu, Ia juga bertujuan mewujudkan budaya cintakan kebersihan dan keindahan alam semula jadi.

Sebelum menyertai gotong royong membersih pantai Asha’ari bersama Abdul Halim serta pegawai kanan kerajaan daerah Setiu dan Besut menanam pokok rhu sebagai simbolik pelancaran program berkenaan.

Warga Tionghua Kijal bangga dengan Ahmad Said

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Buat kali keempatnya masyarakat Cina di sekitar Kijal diberi sumbangan dana raya menjelang Tahun Baru Cina tidak lama lagi,

Seramai 168 warga Tionghua menerima bantuan Dana Raya Cina di Dewan Sivik Kijal petang semalam yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Lip Woon Toong, 51 selaku Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kuang dan merangkap Setiausaha Badan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Kuang berkata, Ahmad Said iaitu Menteri Besar sama sekali tidak pernah meminggirkan masyarakat Cina malah kami sama seperti kaum lain dirai menjelang perayaan.

“Dengan bantuan Dana Raya Cina yang diberikan dapat meringankan beban bagi mereka yang kurang berkemampuan dan dapat memeriahkan lagi Tahun Baru mereka pada tahun ini.

“Masyarkat kami amat berbangga dengan Dato’ Seri Haji Ahmad Said kerana ketokohannya sebagai Yang Berhormat Dun Kijal sudah terserlah sebelum beliau menjadi Menteri Besar lagi,” katanya.

Sebanyak empat Pusat Daerah Mengundi iaitu PDM Bukit Kuang, PDM Padang Kubu, PDM Bandar Kijal dan PDM Taman Bukit Kuang menerima bantuan Dana Raya Cina dan 2 kotak limau mandarin setiap seorang.






Pesakit angin ahmar terharu dikunjungi MB

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi

Hampir dua tahun Hassan Mohamad menderita sakit angin ahmar yang menyebabkan badannya lumpuh sebelah kanan dan membataskan segala pergerakannya.

Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika melawat Hasan Mohamad
Beliau yang mempunyai anak seramai sembilan orang dan masih lagi mempunyai anak yang bersekolah hanya mampu berserah kepada yang Maha Esa dengan nasib yang telah menimpanya sekeluarga.

Bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan hasil keringat isteri iaitu Mek Ngah, 56 yang siang malam membanting tenaga untuk membesarkan anak-anak mereka membuatkannya cukup terharu dengan kehadiran Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang lebih dikenali ‘Mat Said’ di Kijal.



Beliau yang tidak pernah menyangka kehadiran anak mantan Kijal yang kini menjadi orang penting negeri membawa sinar baru kepada mereka sekeluarga setelah Dato’ Seri Haji Ahmad said berjanji akan membina sebuah rumah bernilai RM40,000 secepat yang mungkin.



Dengan sumbangan yang diterima dapat memberikan keselesaan mereka sekeluarga untuk berteduh memandangkan rumah yang didiami sudah terlalu daif.



Menteri Besar turut meluangkan masanya melawat beberapa penduduk sekitar yang uzur seperti Pa Ngah yang menghidap sakit kencing manis yang menerima bantuan Kerusi Roda Elektrik, Omar Embong 65, Maizatul Nadia 13, Hussin Awang dan Noraini Awang.




Yayasan Terengganu rai pelajar cemerlang

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Seramai 38 pelajar yang mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 31 pelajar yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam DUN Kijal yang memperoleh kejayaan cemerlang telah dirai oleh Yayasan Terengganu semalam.



Kehadiran Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga ADUN Kijal menambahkan lagi keceriaan majlis.

Menteri Besar dalam ucapan beliau berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu sama sekali tidak pernah lupa untuk meraikan kejayaan anak-anak yang cemerlang dalam apa jua bidang yang mereka pelajari.

Malah pihak kerajaan sendiri telah memberi pelbagai sumbangan dan insentif kepada mereka yang berjaya.



Sama seperti graduan lepasan universiti awam mahupun swasta yang tidak ketinggalan menerima insentif daripada kerajaan sebanyak RM5,000 bagi mereka yang mendapat kepujian kelas pertama dan bagi mereka yang membuat pinjaman akan bertukar kepada biasiswa.

“Kerajaan negeri turut menghantar dan membiayai sepenuhnya pembelajaran anak-anak negeri Terengganu ke sepuluh universiti terbaik dunia dan keutamaan bagi mereka yang mengambil bidang bioteknologi.

“Menjelang 2015, peluang pekerjaan dalam bidang bioteknologi akan terus bertambah dan kita amat memerlukan tenaga kerja dalam bidang tersebut,” katanya mengakhiri ucapan.

Justeru itu Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said amat mengalu-alukan anak-anak negeri Terengganu untuk mempelajari bidang ini.

 

Pandu Puteri rai warga emas

Oleh; Esah Abdullah

Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu meraikan seramai 100 warga emas dari seluruh negeri ini sebagai tanda kasih sayang dan prihatin kepada golongan itu.

Program yang diadakan serentak seluruh negari itu sebagai usaha badan sukarela yang merasakan golongan warga emas sewajarnya mendapat perhatian dan kasih sayang daripada setiap anggota masyarakat untuk terus menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata usaha yang didakan ini juga adalah untuk menjalinkan koloborasi murni antara ahli khasnya ahli remaja bersama warga emas.

``Kita inginkan anak-anak dididik dengan nilai akhlak mulia, berbudi pekerti dan menghormati orang tua, bukan sahaja ibu bapa sendiri setapi semua orang dewasa,’’ katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Pandu Puteri Bersama Warga Emas Terengganu di Dewan Utama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) negeri yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah YPK, Puan Ramlah Idris petang semalam.

Sehubungan itu program tersebut turut diadakan pemeriksaan kesihatan kepada orang awam khususnya warga emas dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu. Warga emas juga turut menerima cenderahati di samping dihiburkan persembahan ahli-ahli Pandu Puteri termasuk penyanyi Idola Kecil 5 (IK5) Nor Adlina Batrisyia Zuraimi (Tisha) .

Sementara itu, Puan Ramlah berkata, YPK kini sedang mengenalpasti warga emas terlantar untuk dibantu dalam pelbagai apsek termasuk pemeriksaan kesihatan , peralatan dan makanan yang akan dimulakan pada akhir bulan ini.

Katanya, Unit Khas yang ditubuhkan oleh YPK akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk sukarelawan doktor, jururawat dan belia untuk membantu golongan tersebut.

Selain itu kataya,YPK juga berusaha untuk mengenalpasti golongan warga emas di seluruh negeri untuk menyertai kelab warga emas yang telah diwujudkan di setiap kawasan.

``Usaha ini memberi memanfaat pelbagai program yang akan dilaksanakan oleh YPK sendiri serta pelbagai agensi yang berkaitan terutama dalam menjaga kesihatan dan kebajikan,’’ ujarnya.